Monday, 26 September 2016

Cinta Yang Tertunda - Bab 1

Lima tahun yang lalu...
“Oi… aku nak duit!” selamba saja Pak Mail
meminta duit daripada isterinya tanpa sedikit pun terbit rasa
malu.
Nasuha memerhati dengan penuh geram. Kalau
dia kuat, dah lama dia campak lelaki itu keluar dari rumah.
Tak ingin dia tengok muka lelaki tak guna yang hidup hanya
tahu bergantung kudrat orang perempuan. Tak tahu malu
sungguh! Kadang-kadang hilang sabar juga dia melihat
kerenah ayahnya itu.
“Saya mana ada duit lagi, bang. Semalam kan abang
baru aje ambil semua duit saya,” Mak Salwa memberi alasan.
Memang dia masih ada sedikit lagi duit baki, tapi duit itu
hendak digunakan untuk membeli barang-barang dapur dan
membayar bil air. Kalau tak dibayar, takut pula bekalan air di
rumah akan dipotong. Susah pula mereka sekeluarga nanti.
“Oiii, jangan tipulah! Tadi aku nampak si Alip hantar
duit jualan nasi lemak dan kuih yang kau letak dekat kedai
dia. Mana duit tu? Bagi kat aku cepat. Aku nak guna!” bentak
Pak Mail kasar.
“Duit tu nanti saya nak buat modal untuk berniaga.
Kalau nak harapkan abang bagi duit, rasanya matilah kami
ni.”
“Oh, pandai kau nak mengata aku sekarang ni, ya?
Dah, jangan nak bagi alasanlah. Bagi aku duit tu cepat!” pinta
Pak Mail lagi. Dia cuba merampas beg duit milik Mak Salwa.
Nasuha terkejut melihat kelakuan ayah tirinya.
Sungguh tak tahu malu dan tak layak menjadi lelaki.
Sepatutnya lelaki melindungi perempuan, tapi sebaliknya
pula.
“Pak cik ni tak tahu malu ke? Dahlah malas kerja.
Lepas tu minta duit dekat emak pula. Lelaki jenis apa pak cik
ni?” Nasuha bersuara. Sabarnya hilang setelah sekian lama
memendam perasaan marah dalam hati.
Berdesing telinga Pak Mail mendengar teguran
Nasuha. Tercabar egonya.
‘Budak ni memang nak mampus agaknya.
Kecik-kecik lagi dah pandai nak ajar orang tua,’ omel Pak
Mail dalam hati. Pantas kaki diatur menuju ke arah Nasuha.
Pang!!!
Tangan melayang laju ke pipi anak gadis itu tanpa
sebarang amaran.
“Budak kurang ajar! Kecik-kecik tak nak mampus!
Bila dah besar menyusahkan pula. Kau ingat kau siapa nak
ajar aku???” marah Pak Mail. Berkali-kali penamparnya
hinggap di pipi Nasuha sehingga Nasuha lembik longlai.
“Sudahlah tu bang! Sudahlah! Ya Allah... awak nak
bunuh anak saya ke? Kalau ya pun marahkan saya, jangan
lepaskan pada budak tu.” Mak Salwa teresak-esak sambil cuba
meleraikan perbuatan suaminya itu.
Sayu hati. Dia sendiri tidak pernah sekali pun
mengasari Nasuha. Tubuh anaknya itu dirangkul. Ada darah
yang mengalir di pipi dan hidung Nasuha.
“Abang ambillah duit ni. Pergilah ke mana abang
nak pergi dan jangan pukul dia lagi.”
“Heh! Kalau kau bagi dari awal tadi kan senang.
Menyusahkan aku aje.” Tangan Pak Mail merentap duit kertas
yang dihulurkan oleh isterinya itu. Duit itu dibawa ke wajah
lalu dicium. Wajah yang kusam dan garang tadi kini kembali
ceria. Pantas dia melangkah keluar dari rumah.
“Maafkan mak, sayang. Mak yang buat silap. Kalau
mak tak kahwin dengan dia dulu, tentu hidup kita tak
merana macam ni.” Hiba hati Mak Salwa sebab tidak mampu
menyediakan kebahagiaan buat anak itu.
Nasuha hanya menggeleng lemah. Dia benci
mendengar Mak Salwa tidak putus-putus menyalahi diri
sendiri.
“Bukan salah mak... bukan salah siapa-siapa. Inilah
dugaan hidup kita, mak. Allah nak tengok sejauh mana kita
boleh bersabar dengan ujian-Nya,” bisik Nasuha perlahan.
Tubuh Nasuha dipapah perlahan oleh Mak Salwa
menuju ke bilik. Tuala kecil dicapai lalu dibasahkan untuk
mencuci luka di wajah anaknya itu. Air mata tak putus-putus
mengalir di pipi cengkungnya. Sayu melihat wajah si anak
berkerut menahan kesakitan dek penangan suaminya.
“Mak… maafkan Suha. Suha tak dapat tahan
sabar tadi. Suha benci tengok pak cik tengking-tengking,
marah-marah mak macam tu.” Tangan Mak Salwa dipegang
lalu dikucup perlahan. Air mata yang mengalir di wajah tua
milik Mak Salwa diseka dengan hujung jari.
“Mak janganlah sedih. Suha tak ada apa-apa. Sikit aje
ni. Lagipun Suha puas dapat cakap macam tu dekat dia. Suha
harap pak cik berubah suatu hari nanti,” sambungnya lagi
apabila melihat Mak Salwa hanya diam membisu.
“Suha tak salah apa-apa. Tak payah minta maaf
dengan mak. Suha rehatlah, ya. Lain kali mak harap sangat
Suha tak buat macam ni lagi. Mak tak nak tengok Suha
dicederakan dengan pak cik lagi.” Mak Salwa mengusap
perlahan rambut milik puteri tunggalnya itu.
“Janji dengan mak, walau apa pun yang jadi selepas
ni, Suha jangan masuk campur kalau pak cik marahkan
mak, ya nak? Mak tak mahu apa-apa jadi pada Suha. Mak tak
mahu benda ni berulang lagi,” pinta Mak Salwa lagi. Jangan
disebabkan dia bertengkar dengan suami, anaknya itu pula
yang menjadi mangsa keadaan.
“Suha tak boleh nak janji.” Nasuha mengetap bibir
apabila teringat tingkah Pak Mail itu.
Mak Salwa terdiam mendengarnya. Suha memang
anak yang keras hati. Nampak saja lembut orangnya, tapi
kalau hati dah tekad membenci, maka bencilah dia.
“Dahlah… Suha tidur ya, nak.” Dikucup perlahan
dahi anaknya itu. Mak Salwa sedih melihat Nasuha dalam
kesakitan.
Entah ke manalah lelaki itu pergi dengan duitnya.
Mungkin berjudi di hujung simpang kampung atau sedang
mabuk meneguk air kencing syaitan yang dibeli di kedai Ah
Thong. Ada suami pun macam tiada suami. Kalau dia tahu
hidupnya akan jadi macam ni, lebih baik dia bersendiri
membesarkan Nasuha. Selama ini pun dia yang menanggung
hidup lelaki itu. Lelai itu hanya tahu menghabiskan harta
benda saja.
Hari ini merupakan hari terakhir STPM. Nasuha tersenyum
girang. Kaki laju mengayuh basikal. Tak sabar ingin sampai
ke rumah untuk melepaskan lelah. Kalau diikutkan, kertas
peperiksaan terakhirnya sudah selesai pagi tadi, tapi dia
sengaja pulang lewat untuk menghabiskan detik-detik
terakhir zaman persekolahan. Dia sempat berbual dengan
teman-temannya sehingga tidak sedar hari telah beranjak ke
petang.
Dia semakin laju mengayuh basikal sambil
tersenyum riang menghirup udara petang sehingga tidak
sedar ada seseorang sedang melintas jalan. Brek tangan
dicengkam sekuat hati. Dia lupa tali brek basikalnya sudah
lama putus. Dalam kalut mengawal basikal, Nasuha terbabas
ke dalam semak yang tumbuh meliar di tepi jalan. Kepalanya
sedikit berpinar akibat terhentak. Dia mengaduh perlahan.
“Awak tak apa-apa ke?” tegur satu suara yang agak
garau sehingga membuatkan Nasuha tersentak.
‘Ceh... lagi mahu tanya ke? Dah tengok aku
tertonggeng mestilah aku ada apa-apa. Lain kali nak melintas
tu tengoklah kiri kanan dulu. Ini tak, main terjah saja. Macam
jalan ni ayah dia yang punya! Tengok, siapa yang jadi mangsa
keadaan? Aku juga… Siapa yang cedera? Aku juga...’ omel
Nasuha dalam hati.
“Tak... errr... saya tak apa-apa. Saya tengah bersantai
dalam semak ni.” Sengaja Nasuha menyindir lelaki itu.
“Oh, bersantai ya? Seronok ke dekat dalam tu? Tak
rasa miang ke? Nanti gatal pula kulit awak tu,” balas Tengku
Aniq Afnan.
Wajah lelaki itu direnung geram. Rasa macam nak
aje hadiahkan penampar sulung dekat mulut itu. ‘Hai... sabar
Suha. Dia lelaki, kau perempuan. Mesti kau tak mampu nak
lawan kekuatan dia kalau dia apa-apakan kau.’
Dia memandang sekilas muka lelaki itu. Nampak
macam bukan orang sini. Kemudian dia terus bangun. Tidak
sangka lelaki itu bermurah hati untuk membantunya. Siap
pegang kedua-dua lengannya lagi.
“Hesy, tepilah!” Tangan lelaki itu ditepis kasar.
‘Kau ingat ni dekat bandar ke suka-suka nak sentuh
anak gadis orang? Nanti tak pasal-pasal bertelur kepala kau
dek penangan orang-orang kampung ni tau,’ bebel Nasuha
dalam hati.
“Eh... eh... kita dah tolong dia, bukan nak ucap
terima kasih. Cik adik, cikgu awak tak ajar ke subjek moral
sampai orang berbudi pun awak tak tahu nak hargai?” soal
lelaki itu sinis.
“Saya tak suruh awak berbudi pun. Lagipun sebab
awaklah saya tertonggeng jatuh tau. Dah buat kita terjatuh,
lepas tu ada hati nak menabur budi pula. Budi awak tak laku
tau,” balas Nasuha. Geram! Dahlah banyak cakap. ‘Apa dia
ingat muka dia yang putih siap ada lesung pipit tu boleh buat
aku cair, tertarik, menarik dan lembut hati? Boleh jalanlah...’
“Agaknya macam inilah kut sikap orang-orang
kampung, ya? Orang tolong dia, dia marah kita balik. Isy...”
ucap lelaki itu sambil menggeleng.
Basikal yang dipegang oleh lelaki itu diambil. Ops!
Dengan bahasa tepatnya dirampas. Tak ada masa nak berbudi
bahasa dengan lelaki itu!
“Tepilah! Saya nak lalu ni. Sibuk saja. Lain kali
mata tu letak dekat tempat yang sepatutnya. Bukan letak
dekat tapak kaki. Nak melintas tu tengok-tengoklah dulu.
Menyusahkan orang saja,” bebel Nasuha.
“Saya rasa mata saya elok aje terletak dekat sini. Ke
awak tu yang bawa basikal macam orang tengah makan angin?
Berangan memanjang. Huh! Teringat pakwelah tu, kan? Saya
faham sangat dengan budak yang baru nak meningkat naik
macam awak ni.” Lelaki itu membidas.
“Malaslah nak layan orang sewel macam awak ni.
Saya nak balik. Hari pun dah gelap. Awak pun mesti nak kena
balik rumah, kan? Nanti tercari-cari pula orang tua awak tu.
Eh, awak ingat tak jalan nak balik rumah awak?” soal Nasuha.
Dia sengaja hendak menyakitkan hati lelaki itu. Biar lelaki
itu bengang.
“Kata orang pulak. Entah-entah dia yang takut
mak dia cari. Itu yang kata nak balik dengan alasan hari dah
malam.”
‘Huh! Malas aku nak layan dia ni. Makin aku layan,
makin sakit hati. Lebih baik aku balik. Lagipun senja-senja
ni tak elok ikut emosi. Senang tersampuk pula nanti,’ bisik
hati Nasuha.
Tanpa pamitan, Nasuha mengayuh basikal
meninggalkan pemuda yang telah mengacau dan merosakkan
ketenangan hatinya petang itu.
“Hati-hati kayuh basikal ya, cik adik. Jangan
berangan buat macam jalan tu hak milik pakwe awak pulak.”
Sempat lagi lelaki itu menyindir Nasuha.
Nasuha pantas menghadiahkan jelingan maut kepada
lelaki itu. Siap tayang penumbuk yang tidaklah sebesar mana
pun. Lelaki itu hanya tertawa melihat telatahnya sambil
menggeleng perlahan.
Aik, dia ada buat lawak ke? Nasuha kehairanan.
Macam-macam hal.
“Macam manalah boleh jatuh ni, Suha? Hairan mak, tahu
tak? Dah besar-besar macam ni pun naik basikal sampai boleh
terjatuh,” bebel Mak Salwa. Terkejut dia melihat lebam-lebam
di tubuh anaknya.
“Aaa... errr... ada lembu besar terlepas tiba-tiba
melintas, mak. Suha terkejut. Tak sempat nak elak. Itu yang
terus terbabas dalam semak.” Nasuha tergelak membayangkan
lembu yang dimaksudkan itu.
“Lembu terlepas? Bahaya tu. Lembu siapa tu?
Nasib baiklah dia tak sondol kamu dengan tanduknya. Risau
pula mak,” soal mak Salwa sambil mengurut kaki Nasuha.
Berkerut-kerut wajah Nasuha menahan sakit.
“Suha rasa lembu Pak Awanglah, mak. Sebab tadi
Suha nampak dia sibuk cari lembu dia,” balas Nasuha. Tak
pasal-pasal nama Pak Awang masuk dalam ceritanya.
“Oh... esok mak nak pergi jumpa Pak Awanglah
kalau macam tu. Nak nasihat sikit, biar dia jaga lembunya
elok-elok. Jangan biarkan lepas bebas tak bertambat,” putus
Mak Salwa. Dia tidak mahu kejadian yang menimpa anaknya
itu terkena kepada orang lain pula. Ini baru jatuh basikal dah
lebam sana sini. Kalau jatuh motor, mesti dah patah riuk. Tak
pun hilang nyawa. Bahaya tu.
“Eh, tak payahlah, mak. Lagipun Pak Awang dah
berjaya tangkap lembunya tu. Tak perlulah mak ambil serius
dan panjangkan cerita. Nanti lain pula jadinya.”
“Mak bukan apa, Suha... mak takut kejadian ni
berulang dekat orang lain. Eh, tapi kalau kamu kata macam
tu, tak apalah.”
“Hah, lagipun dah kurang sikit rasa sengalnya.
Pandai mak urut. Terima kasih ya mak,” ucap Nasuha.
Fuh! Nasuha menghembuskan nafas lega. Nasib
baik emaknya jenis yang lembut hati dan mudah dipujuk.
Kalau jenis yang keras hati, mahu maknya jumpa Pak Awang
sekarang juga. Nanti tak pasal-pasal timbul salah faham. Silap
hari bulan bergaduh pula dengan Pak Awang.
“Baru tahu ke mak ni pandai mengurut? Arwah nenek
kamu dulu tu tukang urut dekat kampung kita ni,” balas Mak
Salwa sambil tersenyum mendengar pujian anaknya itu.
“Mak ni... puji sikit dah perasan,” giat Nasuha.
“Eh, mak bukan perasan. Kenyataan tau.”
“Yalah tu, mak. Suha nak masuk tidur dululah. Nak
ganti tidur yang tak cukup sepanjang peperiksaan ni.”
“Ha... Sebelum tidur tu jangan lupa ambil wuduk
dulu. Biar tidur tu berkat. Tak adalah mengigau yang
bukan-bukan pula nanti.” Mak Salwa sempat menitipkan
pesan untuk anaknya itu.
“Yalah mak... Tiap-tiap malam mak selalu ingatkan
Suha. Selamat malam, mak,” ucapnya lalu mengucup pipi
Mak Salwa.

No comments:

Post a Comment