Monday, 26 September 2016
Cinta Yang Tertunda - Prolog
Sekali lagi dia menjejakkan kaki di tanah ini.
Hembusan nafas berat dilepaskan. Menjejakkan kaki ke sini
ibarat membuka kembali jahitan luka yang baru saja ingin
tertutup rapat, sekali gus membuatkan luka itu berdarah
kembali.
‘Sampai bila nak bawa diri? Baliklah…
bantu ayah di sini. Hotel ni perlukan
kamu.’
Pujukan lembut itu terngiang jelas di telinga.
Kerana rasa kasih dan hormat, dia ketepikan perasaannya.
Dia langgar sumpah sendiri. Sumpah yang dia tidak akan
kembali lagi ke bumi Malaysia yang sudah hampir 6 tahun
ditinggalkan.
Gara-gara wanita itu, hatinya betul-betul berkecai.
Bahagia yang diharapkan menjadi derita yang tidak
berpenghujung. Cinta hancur tanpa kata putus. Diri dihukum
tanpa tahu apa salahnya. Dia suami tapi tanpa isteri di sisi.
Tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Wanita itu hadir
dalam hidupnya secara tiba-tiba dan pergi seperti angin lalu.
“Akhirnya balik juga kamu ke sini.”
Dia terkejut apabila ditegur oleh satu suara garau.
Suara yang amat dikenalinya. Dalam asyik mengelamun,
kakinya sudah dibawa melangkah sehingga keluar daripada
kesesakan bangunan itu. Laju dia berpaling. Senyum terukir
di bibir. Wajahnya yang kelat cuba dimaniskan semanis
mungkin. Sungguh! Semenjak badai duka yang melanda
dalam hidupnya dulu, dia sudah lupa makna gembira.
“Ayah…” Tangan lelaki itu disalami penuh hormat.
“Ayah takut sangat kamu batalkan penerbangan
kamu pada saat-saat akhir.” Bahu anak itu ditepuk mesra.
Nampak sedikit susut tubuh anaknya itu. Kematangan
semakin tergaris jelas di wajah anak itu.
“Takkanlah saya nak mungkir janji, ayah.”
“Manalah tahu kamu ubah fikiran.” Nafas dihembus
lega.
“Jomlah ayah. Tercongok macam tu, kenapa? Tak
nak saya balik ke?”
“Tak ada sesiapa yang tegah kamu untuk pulang ke
sini. Kamu saja yang tak mahu.”
“Bukan tak mahu, ayah... cuma tak ada kekuatan
untuk kembali,” ucapnya penuh makna. Bukan senang nak
balut hati yang dah hancur berkecai dek pengkhianatan itu.
No comments:
Post a Comment