Monday, 26 September 2016

Cinta Yang Tertunda - Bab 3

“Hai... nama siapa?”
“Opocot, hantu naik basikal! Eh, basikal naik hantu!”
Nasuha yang sedang menyanyi kecil sambil mengayuh basikal
tuanya terkejut. Tak ada bunyi tak ada apa, tiba-tiba dia
ditegur satu suara garau. Kus semangat! Dia mengusap dada
yang terasa berdegup kencang.
Laju dia palingkan wajah untuk melihat si penegur
yang sedang tersengih melihat aksi spontannya sebentar tadi.
‘Huh, dia ni lagi! Dia nak apa pula kali ni?’
“Ceh... hantu basikal awak kata saya?” Berkerut dahi
mendengar gelaran luar biasa yang diberikan oleh gadis itu.
“Yalah. Kalau manusia, dia tahu bagi salam dulu
sebelum nak tegur orang.” Nasuha hadiahkan jelingan tajam.
Sudahlah malam Jumaat. Orang tak normal aje yang takkan
seram sejuk siap berdiri segala bulu roma apabila ditegur
secara tiba-tiba begini. Kayuhan basikal dilajukan.
“Weh, tunggulah. Perlahanlah sikit. Takkan lari
rumah awak tu!” laung Tengku Afnan apabila dia semakin
ketinggalan.
Buang tabiat! Hilang akal! Agaknya itu yang sedang
bermain di dalam kepala Tengku Syukri dan Syarifah Azulia
apabila dia suarakan ingin pulang ke desa hari ini. Dia
sanggup ambil cuti separuh hari lagi. Macamlah dia tidak
perasan riak terkejut Tengku Syukri apabila diberitahu yang
dia mahu pulang ke kampung.
Tengku Afnan ketawa kecil. Terasa lucu sendiri.
Nasuha bertambah seram sejuk apabila melihat
Tengku Afnan ketawa sendiri. Kayuhan basikal semakin
dilajukan.
“Weh, lagi orang suruh perlahan, lagi dia laju pulak.
Tak faham arahan betullah dia ni.” Tengku Afnan membebel
tidak puas hati.
Gara-gara ingin mengenali gadis itu, dia nekad
untuk mengheret sekali basikalnya ke kampung. Konon
dengan cara itu terbukalah sedikit jalan untuk dia mendekati
gadis yang kelihatan selesa dengan basikal tuanya setiap kali
mereka bertembung.
“Awak nak ajak saya berlumba ke apa?” soal Tengku
Afnan. Termengah-mengah suaranya apabila berjaya
menyaingi Nasuha.
“Awak nak apa? Sesat ke? Tak ingat jalan balik ke
rumah, ya?” soal Nasuha sinis. Dia kurang senang dengan
kehadiran lelaki itu.
“Amboi... garangnya dia. Soalan saya, awak tak jawab
lagi.”
“Soalan yang mana?” soal Nasuha.
“Saya tanya nama awak siapa?”
“Eh, perlu ke jawab soalan tu?”
“Eh, perlulah… melainkan awak tak bernama.”
“Tak wajib untuk saya jawab, kan?” balas Nasuha
selamba.
“Alah, nama pun kedekut ke? Bagilah tahu... bukan
kita nak tiru dan guna nama awak pun,” gesa Tengku Afnan.
“Tak naklah. Dah, jangan ganggu saya. Mak saya
cakap jangan layan sangat dengan orang asing ni. Bahaya!”
“Awak tengok gaya saya ni ada macam gaya orang
bahaya ke?” soal Tengku Afnan. Rasanya gaya pemakaiannya
tidak kelihatan mencurigakan pun.
“Alah, manalah tahu. Orang zaman sekarang ni
pandai menyamar apa.” Nasuha angkat bahu.
“Tak baik bersangka buruk tau. Lagi-lagi awak tu
baru balik dari surau.”
“Mana tahu saya baru balik dari surau? Intip saya,
ya?”
“Errr…” Terkelu lidah Tengku Afnan. Terjerat
dengan bicara sendiri. Kantoi!
“Diam… hmmm… jadi betullah awak intip saya ni?
Tak ada kerja lain nak dibuat ke?”
“Mana adalah. Kebetulan saya ternampak awak baru
keluar dari surau tu tadi,” jawab Tengku Afnan. Memang
kebetulan pun. Ketika itu dia sedang mengambil angin
malam sambil mengelilingi kampung. Tak sangka pula dia
boleh terserempak dengan gadis itu.
“Sudahlah, saya tak percayakan awak. Dah, jangan
nak ikut saya lagi. Jauh sikit.”
“Tak nak!” balas Tengku Afnan.
“Saya jerit nanti, nak?” Nasuha mula mengugut.
Rimas pula dengan lelaki itu. Apa kena dengan dia ni agaknya?
Nasuha semakin melajukan kayuhan. Macam nak masuk
pertandingan lumba basikal peringkat daerah sudah gayanya.
Lelaki itu pun turut laju mengayuh basikal.
“Jeritlah. Bukannya saya ada cuit awak pun.”
“Awak nak apa sebenarnya ni?” soal Nasuha. Dia
menghentikan basikalnya secara mengejut.
“Nak a... wak...” Tak sempat habis ayat, Tengku Afnan
sudah terbabas dan tertonggeng di dalam semak. Semuanya
gara-gara hendak mengelak basikal Nasuha yang berhenti
secara tiba-tiba itu.
“Ops... alamak!” Nasuha serba salah. Alahai… dia
bukan sengaja, tapi… Eh, bukan lelaki itu pernah buat dia
tertonggeng begini ke gara-gara hendak mengelak lelaki
itu yang muncul tiba-tiba? Oh, Tuhan itu memang adil! Dia
tersenyum sendiri.
“Aduh… awak sengaja ya nak balas dendam dengan
saya?”
“Nak balas dendam untuk apa? Saya tak sengajalah.”
Serba salah pula Nasuha. Cederakah lelaki itu? Tak
bangun-bangun dari tadi. Cepat-cepat Nasuha tongkat
basikalnya. Dia ingin membantu mengalihkan basikal yang
masih menghempap tubuh lelaki itu.
“Yalah... mana tahu... pasal saya, awak terjatuh hari
tu.” Tangan Tengku Afnan laju melekap pada pergelangan
tangan Nasuha yang sedang memegang handle basikal.
“Eh, apa ni? Lepaslah!” Nasuha terjerit kecil. Terkejut
dengan tindakan tidak diduga lelaki itu. Dia cuba melepaskan
tangannya daripada terus dicengkam.
“Tak nak.”
“Saya jerit betul-betul nanti,” ugut Nasuha. Terasa
ingin menangis pun ya juga. Jangan-jangan lelaki itu punya
niat tak baik terhadap dirinya. Sudahlah kawasan ini agak
sunyi dan gelap. Entah kenapa malam ini bulan seolah-olah
segan untuk keluar dari tempat persembunyiannya.
“Jerit sajalah. Tak payah nak gertak. Saya tak takut
pun.” Tengku Afnan ketawa besar dalam hati. Seronok dapat
menyakat. Itulah... jual mahal lagi tadi.
“Awak nak apa sebenarnya?”
“Berapa kali awak nak ulang tanya soalan yang sama,
cik adik oi? Kan saya dah cakap, saya nak tahu siapa nama
awak. Nak kenal dengan awak. Tu aje. Tak ada niat lain tau,”
jawab Tengku Afnan.
“Saya tak naklah kenal dengan awak. Lepaskanlah
tangan saya. Saya nak balik. Nanti emak saya dekat rumah
risau.”
“Oh... sombong, ya? Okey. Kalau macam tu kita
duduklah kat sini. Selagi awak tak cakap siapa nama awak,
selagi tu saya pegang tangan awak. Sampai pagi pun tak
apa. Saya tak kisah, sebab bukan ada sesiapa pun yang akan
risaukan saya dekat rumah tu.”
“Eee... Awak ni dah kenapa?” Nasuha mula tinggikan
suara. Geram. Sudahlah pegang orang macam harta sendirian
berhad!
“Saya tak kena apa-apa pun. Saya nak kenal dengan
awak. Eh, berapa kali nak kena cakap perkara yang sama?
Letihlah.”
“Kalau letih pergilah balik rumah,” balas Nasuha.
“Tak nak! Saya tak akan berganjak selagi saya tak
dapat apa yang saya nak,” ujar lelaki itu tegas.
‘Eee... kepala batu betullah dia ni,’ omel Nasuha
dalam hati. Dia sudah mati akal.
“Hah, kenapa diam?” soal Tengku Afnan apabila
melihat gadis itu menyepi beberapa minit.
“Okeylah... nama saya Bedah!” beritahu Nasuha
spontan.
“Ya ke Bedah? Macam tipu aje. Macam tak betul aje.
Awak cakaplah betul-betul, nama awak siapa?”
“La... tadi kata nak tahu siapa nama saya. Saya dah
beritahu, tak nak percaya pula. Saya ini kan orang kampung.
Dah tentulah nama saya kekampungan. Takkanlah orang
kampung macam saya ni nama Laila Issabella, Cleopatra atau
Jeniffer Limah,” balas Nasuha panjang lebar.
“Amboiii... panjang lebarnya jawapan.” Tengku
Afnan tergelak kecil mendengar nama yang disebut oleh gadis
itu. ‘Pandai buat lawak ya.’
“Dah awak tak percaya saya. Sudahlah, malas layan
awak. Lepaskan tangan saya cepat sebelum saya tangankan
awak pulak.” Nasuha menggertak.
“Wah... garangnya dia, macam tebuan.”
“Mahunya tak garang. Dah memang betul nama saya
Bedah. Siti Bedah. Kalau tak nak percaya sudah. Terpulanglah.
Sekarang tunaikan janji awak tu. Lepaskan tangan saya ni.”
“Yalah, yalah... Cik Bedah.” Berat untuk percaya tapi
Tengku Afnan terpaksa akur. ‘Kenapa kekampungan sangat
nama dia ni? Alah, apa nak dihairankan? Dah dia memang
orang kampung pun.’
Nasuha bingkas bangun sebaik sahaja tangannya
dilepaskan. Laju saja dia mencapai basikalnya dan ingin terus
berlalu.
“Eh, Cik Bedah... takkan dah nak pergi? Habis tu nak
biarkan saya sendiri macam ni ke? Tak nak tolong ke?”
“Huh, tolonglah diri awak sendiri.” Laju Nasuha
membalas. Hampir tergelak pun ya juga apabila mendengar
lelaki itu memanggil dirinya dengan nama itu.
“Oh ya, lupa… walaupun awak tak tanya, saya tetap
nak beritahu yang nama saya Afnan!” laung Afnan sambil
memerhati Nasuha yang semakin menjauh. Kemudian dia
bangun sambil mengibas kedua-dua tangannya.
Tergeleng-geleng kepala dia apabila mengenangkan
kejadian yang baru berlaku sebentar tadi. ‘Tak betul dah kau
ni, Afnan!’

No comments:

Post a Comment