Monday, 26 September 2016

Cinta Yang Tertunda - Bab 4

“Nah, semua sekali RM54.50. Ni duit hasil
jualan kuih dengan nasi lemak untuk semalam dan hari ni.”
Duit yang dihulurkan oleh Pak Alip bertukar tangan. Nasuha
sambut dengan senyuman penuh syukur.
“Terima kasih, Pak Alip.”
“Sama-sama. Jangan lupa kirim salam dekat mak
kamu nanti ya, Suha. Kata dengan mak kamu, Pak Alip suruh
tambahkan lagi nasi lemak. Sebab nasi lemak mak kamu
memang sedap. Letak tak sampai berapa jam, dah habis
orang beli sampaikan Pak Alip tak sempat nak rasa kalau tak
asingkan awal-awal.”
“Baik, Pak Alip. Insya-Allah.” Suka Nasuha
mendengar kata-kata Pak Alip itu. Air tangan Mak Salwa
memang tak pernah menghampakan.
“Apa khabar mak kamu? Dah baik demamnya?”
“Macam tu jugalah, Pak Alip. Kejap okey, kejap
demam dia datang balik. Tapi dia tetap gagahkan diri
memasak untuk meniaga. Risau saya ni. Nak bawa ke klinik,
mak tak mahu pula. Tetap berkeras walaupun dipaksa.”
“Ayah kamu tahu mak kamu tak sihat?”
“Entah.” Nasuha angkat bahu. Alah, kalau tahu pun
lelaki itu pasti buat-buat tak tahu saja. Bukannya dia ambil
peduli pun.
“Hai... apa nak jadilah dengan si Mail tu. Beginilah
Suha... kamu kalau dah tak ada siapa-siapa nak minta tolong,
jangan malu-malu nak cari Pak Alip ni, ya. Insya-Allah... Pak
Alip akan bantu kamu mana yang termampu. Pak Alip ni dulu
dengan arwah ayah kamu kawan baik. Pak Alip dah anggap
kamu pun macam anak sendiri. Jangan kamu lupa, ya?”
“Baik, Pak Alip. Terima kasih, saya minta diri dulu.
Nak ke kedai beli barang sikit. Mak pesan tadi. Balik dulu,
Mak Cik Tipah Putih.” Nasuha melambai kepada isteri Pak
Alip yang kelihatan agak sibuk. Kebiasaannya wanita itu akan
ramah melayan kalau dia datang ke kedai mereka.
Terharu Nasuha apabila mendengar kata-kata Pak
Alip. Tak sangka masih ada lagi insan yang berhati mulia
di atas muka bumi ini. Lapang hati mendengar bicara Pak
Alip itu. Memang masih jelas dalam ingatannya betapa rapat
hubungan persahabatan antara arwah ayah dan Pak Alip.
Dahulu, kalau arwah ayah berkelapangan, dia akan singgah ke
warung Pak Alip untuk bertanya khabar dan bertukar cerita.
“Hati-hati naik basikal tu, Suha.” Sempat Pak Alip
meninggalkan pesan.
Nasuha hanya mengangguk mendengar pesanan
lelaki separuh usia itu. Kemudian dia melemparkan senyuman
sekali lagi sebelum berlalu.
Pin! Pin! Sebuah motosikal Suzuki biru tiba-tiba
muncul menyaingi jalannya.
“Hai Suha. Sorang aje ke? Nak pergi mana? Nak
abang-abang temankan?” tegur Kassim sambil mengenyitkan
mata kepada Nasuha. Itam yang membonceng di belakang
tersenyum miang siap menayangkan barisan gigi yang sudah
tidak cukup sepenuhnya.
Nasuha hanya menghadiahkan jelingan tajam
sebagai jawapan pada soalan yang diberikan oleh Kassim tadi.
“Sombongnya dia. Tanya tak nak jawab. Jual mahal,
ya? Ni yang buat Abang Kassim bertambah suka ni.”
Nasuha semakin melajukan kayuhan basikal. Bukan
dia tidak kenal dengan dua orang lelaki yang mengganggu
dirinya itu. Mereka berdua ialah kawan Pak Mail melepak,
berjudi atau senang cerita kawan rapat bapa tirinya. Tak
berkenan benar dia dengan perangai kedua-dua orang lelaki
itu. ‘Umur dah menginjak ke 50-an, masih ada hati lagi
nak membahasakan diri tu abang. Geli-geleman telinga
mendengar,’ kutuk Nasuha dalam hati.
“Suha laju-laju ni nak pergi mana? Perlahanlah sikit.
Cuba jangan sombong sangat dengan Abang Kassim ni.”
“Saya nak cepatlah, Pak Cik Kassim. Mak suruh beli
barang. Nanti lambat pula sampai rumah.” Sengaja Nasuha
kuatkan panggilan pak cik itu supaya jelas di pendengaran
lelaki itu. Biar sedar diri.
“Pak cik dia panggil kau, Kassim?” ejek Itam lalu
ketawa kuat. Seolah-olah lucu benar panggilan yang keluar
dari mulut Nasuha itu.
“Apa pula panggil pak cik ni, Suha? Panggil abang
saja sudahlah. Abang Kassim muda lagi tau.” Tidak mahu
kalah. Sedikit pun Kassim tidak hiraukan Itam yang sedang
tertawa mengejek dirinya itu.
Nasuha mencebikkan bibir.
“Pak Cik Kassim dengan Pak Cik Itam kalau ya pun
tak ada kerja nak dibuat, janganlah ganggu saya ni. Kalau
betul dah tak tahu nak buat apa dan tak ada kerja sangat tu,
pergilah ke surau sana. Tolong kemas-kemaskan surau. Buat
sikit amal jariah untuk dijadikan bekalan ke alam akhirat
sana.”
“Amboi budak ni... nak jadi ustazah pula ceramahkan
kita ni, Itam.”
“Alah, siapa kata Abang Itam tengah tak ada kerja?
Tengok, sekarang ni tengah ada kerja tau. Kerja nak temankan
Suha. Bahaya tau jalan seorang diri. Nanti kalau apa-apa jadi,
kan susah.” Tangan dipanjangkan cuba menyentuh tangan
Nasuha namun tidak berjaya. Laju ditepis oleh Nasuha.
“Apa ni Pak Cik Itam?” Nasuha menjerit kecil.
Berang dengan tindakan tak beradab lelaki yang bernama
Itam itu. Tegang wajahnya.
“Alah, usik sikit pun nak marah. Bukan luak apa
pun.” Itam tersengih seolah-olah kemarahan Nasuha itu
sedikit pun tidak menggentarkan dirinya.
“Pak cik ni memang tak tahu adab ke? Usik-usik anak
gadis orang macam hak sendiri. Cuba fikir kalau orang usik
anak pak cik, adik perempuan pak cik, emak pak cik macam
ni? Mesti marah juga, kan? Jadi sila jaga adab tu. Berdosa
tahu tak?” Panjang lebar Nasuha membebel. Dah tak peduli
dah yang si pengacau itu lebih berusia daripada dirinya. Huh,
sarang tebuan jangan dijolok. Itu bermakna sengaja mencari
sakit!
“Amboi... kau tengok Kassim... anak si Mail ni nak
sekolahkan kita pula.”
“Weh, Suha... tegur bapak kau tu dulu baru
sibuk-sibuk nak tegur kami ni. Tak sedar diri, bapa dia pun 2
kali 5.” Kassim mengejek sinis. Tercabar ego apabila ditegur
oleh budak hingusan.
Pijar telinga Nasuha mendengar herdikan Kassim.
‘Dia bukan bapa akulah! Dia cuma bapa tiri aku!’ jerit
Nasuha dalam hati. Dia mengetap bibir. Cuba pagarkan sabar
sekuat mungkin. Tak mahu marahnya meletus.
Sudahnya dia teruskan kayuhan. Buat seperti tiada
apa-apa yang berlaku. Namun cuma hanya seketika. Tiba-tiba
motor yang ditunggangi Kassim sengaja dihentikan dalam
keadaan melintang. Menghalang laluan Nasuha. Sudahlah
jalan kampung ini tidak sebesar mana.
Nasuha berhenti mengejut. Terkangkang-kangkang
kaki cuba mengawal diri. Itam dan Kassim ketawa kuat
melihat kekalutan gadis itu.
“Suha jangan nak sombong sangat tau dengan Abang
Kassim dan Abang Itam ni. Lagi Suha jual mahal, lagi kami
berkenan tau.”
Nasuha telan air liur. Tiba-tiba rasa gerun apabila
melihat senyuman yang dilemparkan oleh Kassim dan Itam
itu. Allah… Kenapalah dia kena tempuhi semua ni? Tadi dia
mengambil keputusan untuk lalu jalan pintas ini menuju ke
kedai runcit di hujung kampung kerana hendak menjimatkan
masa. Tak sangka pula yang dia akan terserempak dengan
mereka berdua di jalan ini.
Itam dan Kassim turun dari motor. Kedua-duanya
serentak mendekati Nasuha.
“Eh, pak cik berdua nak buat apa ni?” Nasuha
menyoal takut. Dia memandang keadaan sekeliling. Sunyi
dan yang ada hanya pokok-pokok kayu yang tumbuh meliar
di kiri dan kanan jalan.
“Hah, kenapa Suha tanya macam tu? Takut? Eh,
jangan takut. Kami takkan apa-apakan Suha. Cuma nak dekat
dengan Suha dan bergaul lebih mesra lagi.” Itam jilat bibir
sambil kedua-dua tangan cuba menyentuh Nasuha namun
pantas dielak oleh gadis itu.
Laju Nasuha melompat turun dari basikal. Terjatuh
basikalnya. Tepat menghempap kaki Itam. Terloncat-loncat
lelaki itu menyeringai kesakitan.
“Celaka!” sumpah lelaki itu sambil memandang
geram kepada Nasuha. Bergerak-gerak rahang dan merah
padam wajahnya.
“Apalah kau ni, Itam. Itu pun tak boleh nak elak ke?”
Kassim mengejek.
“Diamlah kau, Kassim!” Marah dan panas hati Itam
mendengar ejekan Kassim itu.
“Tengok aku ni, Itam. Suha, Suha nak ke mana tu?
Suha tahu tak hanya kita aje yang ada kat sini? Kalau Suha
lari masuk ke dalam hutan tu, Suha tak takut ke kalau ada
harimau? Daripada Suha serahkan diri tu pada harimau, baik
Suha serahkan diri tu pada kami ni. Lagi berbaloi.”
“Sudahlah Pak cik Kassim. Janganlah usik Suha lagi.
Tolonglah… Suha tak suka,” rayu Nasuha.
“Berapa kali nak cakap, panggil Abang Kassim,
bukan pak cik! Tak faham bahasa betullah kau ni!” marah
Kassim keras.
“Dahlah Kassim. Tak payah berlembut dengan
budak tu. Menyakitkan hati aje. Jomlah lanyak dia. Karang
lambat-lambat, ada pula orang yang lalu. Kempunan pula
kita. Melepas nanti. Bukan senang nak ada peluang macam
ni.”
“Suha pakai macam ni nampak seksilah. Buat abang
lapar pula siang-siang macam ni.”
Hampir menangis Nasuha mendengar ayat yang
dituturkan oleh Kassim itu. Sungguh, walaupun dia masih
muda, dia sudah dapat mengagak makna tersirat di sebalik
bicara lelaki itu. Apa dia nak buat sekarang ni? Bagaimana
cara untuk dia selamatkan diri? Lari masuk hutan di sebelah
kanan atau terjun masuk parit di sebelah kiri? Dua-dua
pilihan yang boleh mendatangkan bencana. Menyerah? Tidak
sama sekali. Dia rela mati daripada membiarkan dirinya
diratah hidup-hidup oleh dua lelaki itu.
“Suha nak ke mana tu?” tegur Kassim apabila
melihat mata Nasuha melingas ke kiri dan ke kanan.
“Jangan dekat atau…”
“Atau apa, Suha?” laju Itam bertanya.
“Saya jerit nanti!” Nasuha mengugut.
“Jeritlah… jeritlah sekuat mana sampai tercabut
anak tekak, jangan kau nak bermimpi akan ada orang dengar!
Budak bebal!” tengking Kassim kuat. Agaknya sudah mula
bosan dengan kerenah Nasuha yang dingin dan memberontak
itu.
“Alah, kau ni banyak cakap aje. Kau nak dulu ke atau
bagi aku dulu? Cepatlah,” gesa Itam.
“Sabarlah Itam. Gelojohlah kau ni. Aku saja nak
tengok budak ni menangis. Tadi sombong sangat. Sekarang
biar dia rasakan. Biar dia merayu dan menyembah kita ni!”
Habis saja ayatnya, Kassim terus menerkam ke arah Nasuha.
Nasuha tunduk tiba-tiba. Tindakan refleks.
Membuatkan tubuh Kassim terdorong dan jatuh tersungkur.
Melihat Kassim yang sudah tersungkur, Itam
meluru dan cuba memeluk Nasuha, namun gadis itu pantas
menggenggam pasir bercampur batu lalu dilempar tepat ke
wajah Itam hingga membuatkan lelaki itu meraung kesakitan.
Melihat keadaan kedua-dua musuhnya itu, Nasuha
pantas mengambil peluang untuk melarikan diri. Laju dia
mencapai basikal. Dia takkan tinggalkan satu-satunya harta
yang dia ada. Pantas kaki memijak pedal basikal dan ingin
memulakan kayuhan, tapi…
Buk!!!
Basikalnya disentap kuat dari arah belakang. Nasuha
terjatuh dan dihempap oleh basikal. Kain batik yang dipakai
sedikit terselak menampakkan betis putihnya.
“Suha ni sengajalah tu nak goda Abang Kassim.
Nakal tau.”
“Tolong jangan apa-apakan Suha.” Nasuha merayu.
“Mana ada kami nak apa-apakan Suha.” Itam alihkan
basikal daripada terus menghempap tubuh Nasuha. Kassim
hulurkan tangan konon untuk membantu Nasuha berdiri.
Nasuha pandang lama pada tangan yang dihulurkan
oleh Kassim itu. Dia meragui lelaki itu. Takkanlah begitu
mudah berubah laku? ‘Tuhan... selamatkanlah aku.
Lindungilah aku dari bala bencana.’
“Marilah… Abang Kassim takkan apa-apakan Suha.
Tadi tu abang bergurau. Saja nak usik Suha. Kan Itam, kan?”
Itam hanya mengangguk.
Nasuha tetap tidak berganjak. Masih berat untuk
percaya walaupun Kassim cuba meyakinkan dengan bicaranya
tadi. Dia memberi isyarat mata agar Nasuha menyambut
huluran tangannya.
“Jangan takutlah, Suha. Kami takkan apa-apakan
Suha. Takkan kami nak rosakkan anak kawan kami sendiri.
Kawan baik pula tu. Kami bukan keji macam tu.” Itam
menyampuk.
Boleh percayakah mereka ni? Nasuha serba salah.
“Cepatlah Suha. Takkan Suha nak duduk dekat situ
terus kut. Tak nak bangun ke?”
Akhirnya lambat-lambat Nasuha sambut huluran
Kassim itu. Terpaksa dan darurat. Sementelah kakinya rasa
teramat sakit. Terseliuh barangkali.
Kassim sambut tangan Nasuha dengan senyuman
yang melebar. Kemudian laju dia menarik tubuh Nasuha ke
dalam pelukannya.
“Mudah betul ayam masuk ke dalam perangkap, kan
Itam?” Sinis!
Nasuha meronta-ronta dan cuba melepaskan diri
dari pelukan Kassim itu.
“Lepaslah! Apa ni? Lepaslah! Tolong!” jerit Nasuha.
“Hahaha... lagi kau jerit lagi aku suka, Suha!”
“Hoi!” Tiba-tiba ada suara garau bertempik kuat ke
arah mereka.
Rontaan Nasuha terhenti. Serentak mereka berpaling
ke arah suara yang bertempik tadi. Satu susuk tubuh sedang
bersandar di kereta berwarna hitam sambil berpeluk tubuh.
Bulat mata Nasuha melihat wajah pemilik susuk tubuh itu.
Dia!
“Hah, kau ni siapa? Nak tunjuk hero ke? Pergi!
Budak ni bukan urusan kau.”
“Maafkan saya pak cik, sebab mengganggu. Saya
tahu bukan urusan saya. Tapi masalahnya, saya memang suka
masuk campur hal yang bukan urusan saya,” balas Tengku
Afnan selamba.
“Kau kenal siapa budak ni, Itam?” soal Kassim
kepada Itam.
Itam hanya mengangkat bahu sebagai jawapan
kepada soalan Kassim itu.
“Hoi budak! Pergi kalau kau tak mahu diapa-apakan,”
halau Kassim.
“Kalau saya tak nak pergi?” soal Tengku Afnan.
“Kalau kau tak nak pergi, bermakna kau sengaja
menempah sakit. Atau… hah, aku tahu.” Kassim tiba-tiba
tersenyum lebar.
“Tahu apa pak cik?” soal Tengku Afnan. Hairan
melihat raut separuh usia yang tegang bertukar ceria tiba-tiba.
“Aku tahu... kau nak kongsi sekali budak Suha ni
dengan kami, kan? Alah, cakap saja kau pun terliur, kan?
Siapa tak mahu pucuk muda? Bergetah lagi tu.”
Nasuha tercengang mendengar kata-kata Kassim.
Dia takut sungguh.
“Huh, mengarut! Minta maaflah pak cik. Saya tamak!
Saya tak berminat kalau bab berkongsi ni. Lepaskan gadis tu.
Kalau tidak…” Tengku Afnan sengaja tidak menghabiskan
ayatnya.
“Hoi, kalau tidak apa?”
“Kalau tidak, nahas pak cik berdua!” Tengku Afnan
benar-benar serius kali ini. Dari tadi dia memerhati tingkah
mereka. Agaknya kerana terlalu asyik mahu melakukan
perbuatan terkutuk, sehinggakan kehadirannya tidak disedari
oleh mereka.
“Kau ugut kami ni. Itam, kau dengar budak tu cakap
apa?”
“Huh, kau ingat kami gentar? Kassim, budak ni
betul-betul buat aku panas hati. Tunggu apa lagi? Jom ajar
dia!” Itam mula pasang kuda-kuda mahu menyerang Tengku
Afnan.
“Cik Bedah, awak tak apa-apa ke tu?” Tengku Afnan
sempat menegur Nasuha yang masih berada di dalam pelukan
Kassim.
Nasuha menggeleng laju.
“Kalau macam tu awak duduk diam-diam dekat situ,
ya. Sekejap lagi hero awak selamatkan awak dan selesaikan
dua ekor pak cik ni,” ucap Tengku Afnan lalu mengenyitkan
matanya kepada Nasuha. Sedikit pun tidak peduli dengan
Kassim dan Itam. Sengaja nak bermain dengan emosi
kedua-dua orang lelaki tua itu.
“Hoi, budak! Kau jangan nak kurang ajar!”
“Oh, saya memang akan kurang ajar kalau dengan
orang spesies makhluk perosak macam pak cik ni. Saya bagi
peluang pada pak cik untuk lepaskan gadis tu. Saya kira
sampai 3. Kalau pak cik lepaskan dia, saya janji saya akan
lepaskan pak cik berdua tanpa sebarang kecederaan.”
“Dasar budak hingusan! Kau ingat kami ni apa?
Budak sekolah? Takut bila digertak?”
“Jangan kata saya tak bagi amaran pada pak cik
berdua.”
“Itam, tunggu apa lagi? Ajar budak tu!” arah Kassim.
Sebaik sahaja Itam mendengar arahan Kassim,
dia terus meluru ke arah Tengku Afnan. Penumbuk sudah
dikepal. Tak sabar untuk menyapa wajah pemuda itu.
Tengku Afnan buka pintu kereta. Sebatang kayu
besbol yang sememangnya disimpan di dalam kereta
dikeluarkan. Itam mati langkah. Gerun agaknya apabila
melihat apa yang dipegang oleh pemuda itu.
“Hah, kenapa pak cik berhenti? Takut ya? Saya dah
kata lepaskan gadis tu kalau tak mahu saya sakiti pak cik.
Susah sangat ke permintaan saya tu?”
“Kau tercegat tu kenapa Itam? Hentam sajalah budak
tu. Takkan nampak kayu tu kau terus jadi takut?” Kassim
jegilkan matanya.
Itam serba salah.
“Penakutlah kau ni, Itam. Sudah! Mari sini pegang
budak Suha ni. Biar aku ajar budak tu!” arah Kassim.
Itam akur. Kassim yang berbadan agak sasa sedikit
daripada Itam terus meluru sambil mengayunkan kaki
ke muka pemuda itu. Namun sasarannya tidak mengena.
Sudahnya wajah Kassim yang tersembam di pintu kereta.
“Pak cik, kalau boleh saya tak naklah cederakan pak
cik. Lepaskan Cik Bedah saya tu,” pinta Tengku Afnan.
“Siapa Bedah?” soal Itam.
“Bedah... gadis yang pak cik duk rangkul sesedap
rasa macam hak milik pak cik sendiri tu. Pak cik tak malu
ke? Lepaskan dia dan saya janji saya akan lepaskan pak cik.”
Itam serba salah. Jika dia menurut kata pemuda itu,
takut pula dirinya akan dibelasah oleh Kassim pula nanti.
Kassim yang masih pening-pening lalat dan terduduk di atas
jalan dijeling.
Nasuha yang merasakan pelukan Itam semakin
longgar pantas mengambil kesempatan. Lengan lelaki itu
digigit kuat. Tangan kanan pula menyiku perut Itam sekuat
hati.
Itam mengaduh kesakitan.
“Bagus! Macam nilah Bedah saya,” puji Tengku
Afnan apabila melihat tindakan Nasuha. Siap tepuk tangan
lagi. Kemudian dia berjalan menghampiri Nasuha.
“Afnan, belakang awak!” tegur Nasuha apabila
melihat Kassim cuba menerkam Tengku Afnan. Bengis wajah
lelaki itu. Macam harimau lapar.
“Cik Bedah, belakang awak juga!”
Nasuha dan Tengku Afnan pantas mengelak
membuatkan Kassim dan Itam bertembung sesama sendiri
lalu rebah.
“Pengsan dah kut.” Tengku Afnan bersuara setelah
suasana bertukar hening selama beberapa saat.
“Oh...” balas Nasuha sepatah.
“Oh saja awak kata? Awak biar betul?”
“Habis nak cakap apa lagi?” Nasuha garu dagu.
“Hmmm... awak tak apa-apa ke?”
“Ouch!” Tiba-tiba Nasuha merasakan kakinya terlalu
sakit sampai nak bergerak pun dia tak berdaya. Dia hampir
terjelepok, namun sempat disambut oleh Tengku Afnan.
“Sudahlah... jom saya bawa awak ke klinik.” Selamba
sahaja Tengku Afnan menyauk kedua-dua kaki Nasuha konon
ingin menggendong gadis itu.
“Hei! Awak nak buat apa ni?” Nasuha terjerit kecil
dengan tindakan lelaki itu.
“Buat apa lagi? Nak dukung awaklah Cik Bedah oi.”
“Jangan! Saya boleh jalan sendiri.”
“Cuba jangan nak jual mahal bila orang nak tolong
tu. Saya bukan nak apa-apakan awak pun.”
“Haruslah jual mahal! Apa awak ingat saya ni barang
jualan murah ke?” marah Nasuha.
“Laaa... ke situ pulak awak ni. Saya tak ada maksud
lainlah. Saya cuma nak bantu awak. Tak apalah kalau awak
dah cakap macam tu. Mari saya papah awak ke kereta. Kita ke
klinik, ya?” Tangan Nasuha cuba dicapainya.
“Haip! Cubit karang! Saya boleh jalan sendiri. Tak
payah nak pimpin-pimpin.”
“Suka hati awaklah kalau dah kata gitu, Cik Bedah.”
Tengku Afnan akhirnya mengalah. “Eh, nak ke mana pulak
tu?” soal Tengku Afnan apabila melihat langkah Nasuha
bukan menuju ke arah keretanya.
“Ambil basikal sayalah. Saya kan naik basikal tadi.”
“Bedah, boleh tak dalam keadaan macam ni awak
lupakan sekejap basikal buruk awak tu? Takkan hilangnya
basikal tu.”
“Bagi awak mungkin basikal saya hanya sekadar
basikal buruk. Tapi bagi saya, basikal ni terlalu berharga
tau. Dah, baik awak tinggalkan saya. Terima kasih kerana
membantu tadi. Kalau awak tak ada tadi, tak tahulah apa akan
jadi.”
“Awak ni memang degillah Bedah.” Tengku Afnan
mula hilang sabar. Akhirnya dia panjangkan langkah
menghampiri Nasuha. Laju tangan menggendong Nasuha,
terus dibawa menuju ke kereta.
“Apa awak buat ni? Lepaslah… lepaskan saya!”
“Kalau awak nak jatuh macam nangka busuk atas
jalan yang berdebu pasir ni, sekarang juga saya boleh lepaskan
awak.”
Nasuha mati kutu.
“Dah, duduk sini diam-diam.” Tengku Afnan
dudukkan Nasuha di kerusi sebelah pemandu. Siap pakaikan
tali pinggang keledar lagi.
“Errr... awak nak ke mana pula tu?”
“Pergi ambil basikal kesayangan awak pulak. Takkan
nak tinggalkan? Menangis awak tu nanti. Dah, jangan banyak
tanya. Kita kena cepat sebelum dua makhluk perosak tu
sedar,” balas Tengku Afnan, terus berlalu meninggalkan
Nasuha yang terkebil-kebil.

No comments:

Post a Comment