Monday, 26 September 2016

Cinta Yang Tertunda - Bab 5

“Hah, kenapa dengan korang ni?
Bengkak-bengkak muka tu siap lebam sana sini,” soal Pak
Mail hairan.
“Errr... tak ada apa-apa,” jawab Kassim
tergagap-gagap. Marahkah Mail kalau lelaki itu tahu perkara
yang sebenar?
“Kalau tak ada apa-apa, kenapa lebam dekat muka
tu? Kau bersolek ke?”
“Kami jatuh motor,” beritahu Itam ringkas.
“Oh… jatuh motor. Aku ingatkan korang bergaduh
tadi. Dahlah, yang berdiri tercegat dekat situ, kenapa? Tak
reti nak duduk? Takkan nak aku letak kerusi empuk baru
korang nak duduk?”
“Errr... tak adalah…” Laju kedua-duanya duduk.
Berkerut dahi Pak Mail. Pelik benar. Seperti ada yang
tak kena aje dengan perangai Itam dan Kassim itu.
“Kau dah makan Mail? Mari kami belanja kau.”
“Dah buang tabiat ke apa tiba-tiba nak jadi baik ni?
Biasanya bukan main lagi kau berkira dengan aku ni, Itam?
Menang judi ya semalam? Tu yang sampai jatuh motor, ya?”
“Aku nak belanja pun kau kata buang tabiat,” ujar
Itam perlahan.
“Tak adalah… dah alang-alang kau tanya. Aku pun
memang lapar ni. Kat rumah tu hari-hari lauk ikan masin aje.
Dah tak tertelan aku ni dibuatnya.”
“Hah, mintalah apa yang kau nak makan. Panggil si
Alip tu,” balas Itam.
“Diam saja kau Kassim. Kenapa? Biasa tu kau yang
banyak mulut.”
“Tak adalah… aku… hah, kau nampak tak aku punya
bibir bengkak ni? Susah aku nak bercakap.”
“Hurm... pelik. Kau bukan baru setahun dua naik
motor sampai boleh terjatuh,” balas Pak Mail.
Itam dan Kassim berpandangan sesama sendiri.
Mula tak senang duduk apabila Pak Mail seolah-olah tidak
mempercayai mereka.
“Mail, kalau dah nak jatuh, tak kiralah dah 20 tahun
bawa ke, mesti jatuh juga. Tu takdir.”
“Pandai pula kau percaya pada takdir, Itam?”
Terkekeh-kekeh Pak Mail ketawa mendengar kata-kata Itam.
“Kau ni banyak cakap pula hari ni, Mail? Mabuk ke
apa?”
“Mabuk apa siang-siang buta ni, Kassim?”
“Dah tu lain macam aje kau hari ni. Banyak mulut.”
“Mana tak banyak mulut. Aku tengah gembira. Ada
orang nak payung aku makan hari ni. Hilang sikit bengang
Cinta Yang Tertunda
44
aku ni. Tadi aku minta duit dengan bini aku. Bukan main
kedekut lagi dia nak bagi. Dengan aku pun berkira sangat.
Kan tak pasal-pasal pagi-pagi dah sarapan penampar aku.
Rasakan!”
“Kau ni Mail... kalau sehari tak pukul bini kau tak
boleh ke?” Pak Alip tiba-tiba menyampuk. Cawan berisi teh
O panas dan kopi O panas diletakkan di hadapan Kassim
dan Itam. Dia terpanggil untuk menyampuk apabila melihat
riak tidak bersalah di wajah Pak Mail. Kadang-kadang dia
tak faham dengan perangai lelaki itu. Tak ada rasa belas
langsungkah dalam hati lelaki itu? Menyakiti wanita yang
sepatutnya dilindungi. Wanita itu bukannya orang lain, tapi
isteri sendiri.
“Ah, sibuklah kau, Alip. Dah dia cari pasal dengan
aku, siapa suruh?”
“Dia cari pasal apa? Cuba kau cakap? Sepatutnya
tugas bagi duit tu tugas kau, bukan tugas dia. Tak ada
salahnya dia tu kalau tak nak bagi kau duit. Kau tu lelaki,
Mail. Malulah sikit minta dengan perempuan.”
“Diamlah!”
“Sudahlah Alip… jangan dipanjangkan lagi. Karang
mengamuk pula dia.” Itam menepuk bahu Pak Alip.
“Aku cakap aje, Mail. Terpulanglah pada kau,” ujar
Pak Alip sebelum berlalu. Mengalah.
“Buat rosak mood aku saja.” Pak Mail mendengus.
“Dah, makanlah Mail. Buat tak tahu saja dengan Alip
tu.”
“Tak pa yahlah… emak nampak nanti bertelur kepala
saya kena baling dengan lesung batu.” Sedaya upaya Nasuha
menolak bantuan lelaki itu.
“Takkan emak nak marah? Bukan ada buat salah
pun.”
“Tak ada buat salah? Helo Encik Afnan, sini kampung
bukan bandar tau? Mana boleh sesuka hati jalan rapat-rapat
dengan anak dara orang.” Naik juling mata Nasuha menjeling
wajah selamba lelaki itu.
“Daruratlah!”
“Balik-balik darurat. Sekarang bukan zaman
Jepunlah!”
“Oi... darurat tu bukan berkait masa zaman perang
saja. Menurut Kamus Dewan, darurat tu maknanya keadaan
yang mencemaskan dan menyusahkan yang berlaku secara
tiba-tiba atau tak dijangka. Macam awak punya kes tadi.
Cedera tiba-tiba. Mesti waktu awak keluar rumah pagi tadi
awak tak terfikir akan tempuh peristiwa tadi dan cedera, kan?
Hah, itulah yang dipanggil sesuatu yang yang tak dijangka.
Ada fahamkah Cik Bedah?”
“Ya, faham. Errr... awak ni cikgu BM ke Afnan?”
“Ada gaya macam cikgu ke saya ni?” soal Tengku
Afnan sambil jari telunjuk tuding pada diri sendiri.
“Habis, kalau bukan cikgu, awak ni siapa? Sebelum
ni saya tak pernah nampak kelibat awak dekat kampung
ni. Sejak dua menjak ni saja saya asyik ternampak dan
terserempak dengan awak.”
“Maknanya ada jodohlah tu kalau asyik terserempak.”
“Ke situ pula yang awak fikirkan,” balas Nasuha.
“Betul apa yang saya cakapkan tu. Ke awak tak sudi
kalau berjodoh dengan saya yang kacak ni?” soal Tengku
Afnan mengusik.
“Perasan! Siapalah nakkan awak yang terlebih
perasan ni.”
“Awaklah yang nak.”
“Gila!”
“Memang. Saya akui saya agak tak betul sekarang
ni. Asyik terkenangkan awak saja. Tidur pun kadang-kadang
mimpikan awak. Tak malu betullah awak ni. Suka-suka aje
masuk dalam mimpi saya ni. Awak ada bomohkan saya, ya?
Yalah, biasanya orang kampung ni suka main bomoh-bomoh.”
“Hoi, Encik Afnan! Orang kata cakap siang
pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Nanti
orang makan nasi, awak makan bubur pula sebab gigi dah
bertaburan kena tampar dengan saya. Suka-suka aje tuduh
orang bomohkan dia. Tak mainlah bomoh-bomoh ni. Syirik
tau. Dosa paling besar tu.”
“Alah, tamparlah. Macamlah tangan tu besar sangat
nak tampar orang. Tangan kecik awak tu kalau tampar
kerengga pun belum tentu kerengga tu mati tau,” balas
Tengku Afnan. Seronok pula buat gadis itu melenting. Dapat
juga dia dengar suara gadis itu yang agak mahal.
“Malaslah layan awak. Sakit hati.”
“Sakit hati? La... tadi doktor tanya ada sakit kat mana
lagi, kenapa awak tak cakap yang awak sakit hati?”
“Eee… sudahlah,” ucap Nasuha. Dia menolak tubuh
lelaki itu yang masih rapat dengan dirinya. Setia memapah
konon!
“Oi, apa ni tolak-tolak saya? Macam ni ke layan hero
awak, Cik Bedah?”
“Apa yang bising-bising ni sampai ke dalam rumah
boleh dengar? Gaduhkan apa ni? Ya Allah... kamu kenapa lagi
ni Suha?” Mak Salwa yang baru saja muncul di muka pintu
terkejut melihat keadaan anak gadisnya yang berbalut di kaki.
“Suha jatuh basikal tadi, mak,” jawab Nasuha.
Tengku Afnan jegilkan mata apabila mendengar
jawapan Nasuha itu. Sudahnya dia siku perlahan pinggang
Nasuha.
“Apa?” bentak Nasuha perlahan. Tak puas hati
apabila disiku.
“Kenapa tak cakap hal yang sebenar, Bedah?” soal
Tengku Afnan tak puas hati. Kenapa nak berselindung?
Beritahu saja hal yang sebenar. Bukannya salah pun.
“Awak hilang akal? Saya tak mahu emak susah hati.
Emak saya tu bukannya sihat sangat. Baru saja nak kebah
demam, nanti tak pasal-pasal jatuh sakit bila tahu hal yang
sebenar. Awak tolong, ya.” Nasuha memohon pengertian
lelaki itu.
“Kalau macam tu kata awak, terpulanglah. Saya
tak akan ceritakan hal yang sebenar. Melainkan awak yang
ceritakan sendiri.”
“Apa pula yang dibisikkan tu, Suha?”
“Tak ada apalah mak.”
“Awak... dari tadi saya dengar orang panggil
awak Suha. Dekat klinik pun awak daftar atas nama Suha.
Sebenarnya nama awak siapa, Bedah? Baik awak berterus
terang dengan saya ni. Jangan tipu.”
“Errr... sebenarnya… sebenarnya…”
“Sebenarnya apa?” soal Tengku Afnan apabila
melihat gadis itu seperti mahu berdolak-dalik.
“Ha, sebenarnya Suha tu nama betul saya. Bedah tu
nama tipu. Tipu kat awak sorang aje.”
“Tipu? Oh, jadi selama ini awak tipu sayalah, ya?
Sampainya hati awak,” balas Tengku Afnan perlahan. Entah
kenapa hatinya rasa terusik.
“Saya minta maaflah awak. Saya janji tak buat lagi
dah.”
“Minta maaf saja tak cukup. Hati saya dah terlajak
merajuk.”
“Dah tu nak saya buat apa lagi?”
“Keluar dating dengan saya.”
“Hah, sekarang ke?”
“Bila awak dah sembuhlah.”
“Suha... hesy, budak ni... kita bercakap dengan dia,
tapi dia buat tak tahu saja. Kamu tak apa-apa ke? Macam
manalah sampai boleh jatuh basikal ni? Kerap benar kamu
jatuh basikal sekarang ni. Agaknya basikal tu dah tua
sangat kut. Dah tak larat nak bawa kamu.” Mak Salwa mula
menuruni anak tangga kemudian menuju ke arah Nasuha.
Bimbang sungguh hatinya apabila melihat keadaan Nasuha.
“Kamu ni siapa pula?” Mak Salwa pandang lelaki
muda yang berada di sebelah Nasuha.
“Saya Afnan, mak cik. Saya jumpa anak mak cik tadi
dekat jalan hujung kampung sana. Tu yang tolong hantarkan
dia balik tu.”
“Kamu lalu jalan hujung kampung tu, Suha?” soal
Mak Salwa, terkejut.
“Errr... Suha… Mak... Suha…”
“Dah berapa kali mak pesan, jangan lalu jalan
tu. Jalan tu tak elok. Tak berturap. Tengok, sekarang dah
jatuh. Nasib Afnan jumpa kamu. Kalau tak… hesy, budak ni.
Kadang-kadang tu suka ikut kepala dia. Mana yang kita larang,
itulah yang dia buat.” Panjang lebar Mak Salwa berleter.
“Mak...” Nasuha cuba menghentikan leteran Mak
Salwa. Malu pun ada.
Tengku Afnan pula sudah tersengih-sengih. Tu tak
lain tak bukan sedang mentertawakan dirinyalah tu. Nasuha
ketap bibir.
“Betullah yang mak awak cakap tu, Suha,” ujar
Tengku Afnan. Panggilan sudah berubah. Tiada lagi panggilan
Bedah. Lancar sungguh lelaki itu menyebut namanya.
“Saya tak cakap pun mak saya salah.”
“Dah... pergi masuk dalam. Rehat. Terima kasihlah
Afnan sebab tolong Suha,” ucap Mak Salwa setelah
mengarahkan Nasuha masuk ke dalam rumah.
“Alah... tak ada hallah, mak cik. Perkara kecil saja.”
Tengku Afnan mengeluarkan basikal Nasuha dari
bonet kereta lalu disandarkan di tiang rumah papan itu.
Kemudian sebungkus plastik berwarna putih diserahkan
kepada Mak Salwa.
“Ni ubat Suha, mak cik. Suruh dia makan antibiotik
ni. Biar luka tak dijangkiti kuman. Saya minta diri dululah,
ya.”
“Eh, tak nak singgah minum dulu ke?” ajak Mak
Salwa.
“Tak apalah, mak cik. Lain kali sajalah,” tolak
Tengku Afnan. Kalau boleh dia nak terima pelawaan itu
namun apakan daya, hari dah beranjak malam. Macam tak
manis pula senja-senja masih berada di rumah orang.
Nasuha yang bersembunyi di sebalik langsir tingkap
hanya mengintai kelibat Tengku Afnan sehinggalah kelibat
kereta hitam Tengku Afnan hilang dari pandangan mata.
“Hesy... Suha, apa nak jadilah dengan kamu ni.”
Hampir terloncat Nasuha apabila mendengar
teguran Mak Salwa.
“Emak ni... terkejut Suha tau.”
“Hai, takkan tak perasan emak tercegat dekat sini?
Itulah, khusyuk sangat intai anak bujang orang sampai
tak sedar keadaan sekeliling. Anak siapa tadi tu? Elok rupa
parasnya. Berbudi bahasa pula tu.”
“Entahlah mak. Anak oranglah tu…” balas Nasuha
acuh tak acuh. Memang dia tak tahu mana asal usul lelaki itu.
“Yalah, mestilah anak orang. Takkan anak gajah
pula kut. Kamu ni Suha... ada-ada saja nak kenakan mak
ni,” balas Mak Salwa sebelum meninggalkan Nasuha yang
terkulat-kulat sendiri.

No comments:

Post a Comment