Monday, 26 September 2016

Cinta Yang Tertunda - Bab 6

“Bukan macam tulah,” tegur Nasuha apabila
melihat lelaki itu terkial-kial ingin memasang umpan
pada mata kail. Batang pancing bertukar tangan. Tak
sampai seminit umpan sudah siap dipasang. Kemudian dia
menghulurkan batang pancing kepada lelaki itu.
“Nak ke mana tu? Menonong aje sorang-sorang. Tak
ajak saya pun?” soal Tengku Afnan sebaik saja melihat Nasuha
ingin berlalu pergi bersama batang pancing.
“Perlu ke nak ajak awak?”
“Kadang-kadang boleh tahan sarkastik juga awak ni
ya, Suha.” Tengku Afnan ketawa kecil. Mula masak dengan
perangai gadis itu. Memang kena banyak bersabar apabila
melayan kerenah Nasuha.
“Dahlah, saya nak cepat,” ucap Nasuha sebelum
kembali menyambung kayuhan.
“Saya nak ikut!” laung Tengku Afnan.
Nasuha tidak membalas. Dia tahu benar dengan
perangai lelaki itu. Lelaki itu tetap akan mengekori tanpa
rasa malu. Sudahnya di sinilah mereka. Tempat yang menjadi
saksi pertemuan kali kedua mereka dahulu.
Wajah merah lelaki itu diperhatikan. Kulit putih
Tengku Afnan sudah bertompok kemerah-merahan. Cuaca
petang yang agak panas ditambah pula dengan sang angin
yang agak malas bertiup kala itu cukup untuk membuatkan
kulit wajah lelaki itu bertukar warna. Itulah, sibuk sangat
nak ikut. Dahlah sini banyak nyamuk. Tu belum lagi dengan
kehadiran pacat yang sentiasa lapar. Belas pula dia melihat
Tengku Afnan yang sesekali menampar nyamuk yang hinggap
di tubuh.
“Suha, kenapa pandang-pandang saya dari tadi? Saya
kacak sangat, ya?” soal lelaki itu. Rimas agaknya apabila asyik
diperhati oleh Nasuha.
“Huh, perasan!” balas Nasuha pendek.
“Dah tu... kalau saya tak kacak, kenapa pandang
lama-lama? Oh, saya tahu…”
“Tahu apa?”
“Awak rindu saya, ya? Yalah, dekat seminggu kita tak
jumpa, kan?”
“Rindukan awak? Daripada rindukan awak, baik saya
rindukan kucing dekat rumah tu.”
“Alah, mengaku sajalah Suha. Jangan malu-malu.
Saya terima dengan berlapang dada kalau betul awak
rindukan saya.”
“Boleh tahan juga awak ni ya, Afnan.” Nasuha
jongketkan kening sambil memandang Tengku Afnan.
“Boleh tahan apanya Suha?”
“Boleh tahan perasan!” balas Nasuha, kemudian dia
jelirkan lidah.
Tengku Afnan terkesima. Terkaku dengan telatah
gadis itu. Kali pertama gadis itu bergurau manja. Raut nakal
gadis itu memang berjaya membuatkan jantungnya berdegup
laju.
“Suha buatlah lagi muka macam tu. Saya cium
nanti,” sakat Tengku Afnan.
“Gila!” balas Nasuha. Serentak dia menjauhkan diri
daripada lelaki itu. Bimbang dengan ugutan lelaki itu.
Tengku Afnan ketawa besar. Seronok melihat wajah
nakal Nasuha berubah kalut tiba-tiba.
“Diamlah. Ketawakan kita pula.”
“Awak buat muka macam tu pun tetap nampak
comel, Suha.”
“Syuhhh…” Nasuha meletakkan jari telunjuk ke
bibir. Memberi isyarat supaya lelaki itu diam.
“Kenapa?” soal Tengku Afnan dalam nada berbisik.
Hairan melihat wajah Nasuha yang berubah serius tiba-tiba.
Ada yang tak kena ke?
“Jangan bisinglah. Nanti ikan lari.”
“Suha ni... saya ingat apalah tadi. Ikan mana ada
kaki. Macam mana dia nak lari? Ikan berenang sajalah.”
“Awak ni... saya sumbat dengan umpan tepung ni
baru tahu. Mulut pot-pet... pot-pet macam perempuan. Lagi
kita suruh dia diam, lagi dia bising. Kalau macam ni, sampai
kembang umpan tu dalam air pun belum tentu dapat ikan,”
marah Nasuha.
“Kalau saya diam, nanti Suha pun diam jugak. Kalau
Suha diam, tak dapatlah saya nak dengar suara Suha tu. Suara
yang saya rindu nak dengar. Eh, Suha... awak ada telefon tak?
Meh bagi saya nombor telefon awak. Nanti kalau saya rindu,
saya boleh call awak.”
“Saya mana ada telefon. Nak buat apa ada telefon,
bukannya ada sesiapa nak call saya pun.”
“Siapa kata tak ada orang nak call?” soal Tengku
Afnan.
“Eh, ada ke?” soal Nasuha.
“Mestilah ada. Call saya ni kalau ada rasa rindu
dalam hati,” jawab Tengku Afnan selamba.
“Afnan, saya nak tanya sikit boleh tak?”
“Tanyalah. Nak tanya pun nak minta izin ke?”
“Awak ni kenapa, ya? Mana-mana saya pergi mesti
terserempak dengan awak. Awak ekori saya, ya?”
“Uik... tak baik tau tuduh saya macam tu. Mana ada
saya ekori awak. Takdir dah ikat waktu kita untuk sentiasa
bersama. Tu sebab bila awak keluar, mesti jumpa dengan
saya.”
“Yalah tu.” Nasuha juih bibir.
“Betullah… tak percaya sila tanya saya ni.”
“Kalau saya tanya awak, mestilah awak kata betul.
Apa-apalah dia ni.”
“Suha, nanti jumpa keluarga saya nak tak?” soal
Tengku Afnan. Raut wajahnya bertukar serius.
“Jumpa keluarga awak? Nak buat apa? Tak naklah.”
Laju Nasuha menolak tanpa berfikir panjang.
“Kenapa pula tak nak? Alah, naklah… nanti boleh
kenal-kenal dengan ayah dan bonda saya.”
“Kenapa pula saya perlu kenal dengan keluarga
awak?”
“Itu pun nak tanya ke? Untuk rapatkan hubungan
silaturahim sesama manusia. Dan yang paling utama
berkenalan dengan keluarga bakal suami awak ni.” Tengku
Afnan kenyitkan mata kepada Nasuha.
“Siapa bakal suami saya?” Berkerut-kerut dahi
Nasuha mendengar bicara lelaki itu. Macam pelik saja.
“Sayalah. Takkan pokok sebelah saya ni.”
“Hah?” Nasuha ternganga. ‘Eh, biar betul? Aku
salah dengar ke apa? Ribut tak ada, angin tak ada, tiba-tiba
mengaku sebagai bakal suami.’
“Siapa yang nak bersuamikan awak?”
“Janganlah nak jual mahal. Awak tahu tak, hanya
saya seorang saja yang sesuai jadi bakal suami awak. Baik
awak terima saya ni seadanya tanpa banyak soal.”
“Errr... ini cara orang bandar melamar ke Afnan?”
soal Nasuha. Tak pernah dibuat orang melamar sambil
pegang batang pancing.
“Saya belum official melamar tau. Saya cup awak
awal-awal supaya tak ada orang nak cuba-cuba melamar awak
selain saya ni,” balas lelaki itu selamba.
“Awak ingat saya ni barang ke boleh nak cup-cup?”
Nasuha bulatkan mata. Dia memandang tajam wajah lelaki
itu.
“Kalau awak tu barang, lagilah mudah... Suha. Tak
payah susah-susah tanya. Saya terus angkut awak bawa balik
rumah. Senang sikit hati saya ni. Dapat selalu tatap wajah
awak. Tak payah nak kumpul rindu selama seminggu baru
dapat jumpa awak.”
“Amboi... senangnya dia bercakap. Kalau saya ni
barang, saya jenis barang mahal tau. Pandang boleh, tapi nak
sentuh sorry.” Nasuha menjuihkan bibir.
“Alah, Suha... jomlah jumpa keluarga saya.”
“Tak nak. Malulah.”
“Suha nak malu apa? Bukannya awak tak cukup
hidung, mata ada tiga, mulut ada dua.” Tengku Afnan ketawa.
“Saya tetap tak nak pergi.”
“Suha, please…”
“Syhhh... Diamlah. Saya tak boleh fokus tau,” ujar
Nasuha. Rasa rimas pula mendengar rengekan lelaki itu.
“Saya tak akan diam selagi Suha tak setuju dengan
permintaan saya ni.”
“Apa faedahnya kalau saya turutkan kehendak awak
tu, Afnan?” Nasuha main tarik tali.
“Faedahnya awak mungkin akan dapat saya ni. Siap
pakej kacak dan bergaya lagi.” Tengku Afnan tersenyum lebar.
Kembang kempis hidungnya memuji diri sendiri.
“Huh, itu aje? Rasa macam tak berbaloi pula. Dua
tiga tahun lagi mungkin kacak awak tu akan bertukar jadi
berkedut.”
“Nasuha!” Tengku Afnan jegilkan mata.
Nasuha ketawa. Tahu yang lelaki itu mula bengang
dengan sikapnya ketika ini.
“Baiklah, Suha… kalau awak tak sudi tak apalah,”
ucap Tengku Afnan perlahan.
“Aik, cepatnya mengalah.”
“Yalah... takkan saya nak paksa kalau orang tu tak
sudi.”
“Kalau betul awak nak saya jumpa keluarga awak,
tunjuklah kesungguhan sikit. Ini baru uji sikit, awak dah
naikkan bendera putih.”
“Dahlah, lupakan saja. Anggap saya tak cakap apa-apa
pada awak, Suha.”
‘Amboi… sentap pula,’ omel Nasuha dalam hati.
Tiba-tiba tali pancing Nasuha tegang. Dia sedaya
upaya memegang batang pancingnya supaya tidak terlepas.
Dengan keadaan selipar jepunnya yang licin dan tebing tanah
yang agak lembik membuatkan dia tidak dapat mengimbangi
tubuhnya.
Bursss!!! Akhirnya Nasuha jatuh ke dalam tali air
yang agak dalam itu.
“Suha!!!” Tengku Afnan terjun ke dalam tali air
untuk menyelamatkan gadis itu. Dia lupa yang dirinya tidak
pandai berenang.
“Afnan!!!” jerit Nasuha setelah berjaya naik ke darat.
Risau dia melihat Tengku Afnan yang sudah tenggelam
selama beberapa saat itu. Tanpa membuang masa, dia terus
menyelamatkan Tengku Afnan.
“Afnan…” Nama lelaki itu diseru. Wajah lelaki itu
ditepuk-tepuk. Dia meletakkan jari di hidung lelaki itu untuk
memastikan lelaki itu masih bernyawa.
“Afnan, bangunlah. Jangan nak bergurau macam ni.
Bangunlah… janganlah takutkan saya.” Nasuha mula risau
apabila lelaki itu langsung tidak memberi tindak balas.
Tiba-tiba Nasuha teringat latihan pertolongan cemas
yang pernah dipelajari sewaktu di sekolah dahulu. Nasuha
telan air liur sambil memandang wajah Tengku Afnan.
Didekatkan wajahnya ke wajah lelaki itu.
‘Betulkah apa yang aku buat ni? Ah, sekarang tak ada
masa nak fikirkan mana yang betul dan mana yang salah. Apa
yang penting sekarang ni, selamatkan nyawa dia.’ Akhirnya
Nasuha memejamkan matanya.
“Suha, awak nak buat apa dengan saya ni?” tegur
Tengku Afnan.
Serentak Nasuha membuka mata. Kelihatan Tengku
Afnan tersenyum lebar dengan mata dikenyitkan nakal.
Laju Nasuha jarakkan wajahnya dari wajah lelaki itu.
“Alah, rugilah saya. Saya tercepat bangun pulak,”
usik Tengku Afnan.
“Afnan, awak jahatlah!” Nasuha mula menangis
teresak-esak. Malu dan marah menjadi satu. Malu sebab lelaki
itu mesti fikir dia nak ambil kesempatan. Marah sebab lelaki
itu berjaya menipu dirinya.
“Suha… Alamak… janganlah nangis. Okey, saya
minta maaf. Saya usik awak saja. Saya cuma nak tengok awak
sayang saya tak.” Tengku Afnan kalut. Tak pernah selama ini
dia buat perempuan menangis.
“Sayang tak sayang pun kalau orang dah nazak depan
mata kita takkan nak dibiarkan saja.”
“Okey, saya minta maaf. Janji tak buat lagi,” ucap
Tengku Afnan. Siap angkat tangan lagi.
“Benci awak!” bentak Nasuha dalam esak tangis yang
masih bersisa.
“Suha, janganlah benci saya. Saya sayang awak
tau.” Takut betul Tengku Afnan kalau Nasuha benci dia
sungguh-sungguh.
“Amboi, tiba-tiba pula kata sayang dekat saya,” ucap
Nasuha sambil berpeluk tubuh.
“Betullah. Kalau tak sayang, tak adalah saya ajak
awak jumpa keluarga saya,” jawab lelaki itu terus terang.
“Dah, jangan nak manis mulut!” bentak Nasuha.
“Bila masa saya bermanis mulut, Suha? Saya tak
minum air gula pun.”
“Afnan! Saya serius ni.”
“Ya, saya pun serius ni. Salah awak jugak, Suha.”
“Kenapa pula salah saya?”
“Awak buli saya. Awak main-mainkan saya tadi,”
beritahu Tengku Afnan.
“Oh, kiranya awak balas dendamlah, ya? Tak nak
kawan dengan awak lagi lepas ni,” ujar Nasuha.
“Samalah… saya pun tak nak kawan dengan awak,
Suha,” balas Tengku Afnan.
“Kata tak nak kawan, tapi kenapa masih berada
kat sini? Pergilah balik rumah. Karang demam pula sebab
pakai baju basah lencun tu,” halau Nasuha. Bimbang pula
kesihatan lelaki itu terancam gara-gara terjatuh ke dalam tali
air sebentar tadi.
“Memanglah saya tak nak berkawan, sebab saya nak
bercinta dengan awak lepas ni.”
“Hah???” Nasuha mati kata-kata.
“Kenapa diam, Suha?”
“Saya makin tak fahamlah dengan awak ni, Afnan.
Lagipun kita kenal tak sampai beberapa bulan. Saya cuma
tahu nama awak Afnan saja. Nama ibu bapa awak pun saya
tak tahu. Asal usul pun sama juga. Kut awak anak jin ke, anak
Buluh Betong ke, macam mana?”
“Awak ni banyak tengok movielah Suha. Mana ada jin
lahirkan manusia dan buluh keluarkan manusia? Mengarut
saja,” ucap Tengku Afnan.
“Mana ada saya tengok movie. Rumah saya bukan
ada tv pun. Saya banyak membaca tau,” balas Nasuha.
“Apa-apalah, Suha.”
“Sudahlah... awak pergilah balik, Afnan,” halau
Nasuha. Kalau layan lelaki itu, mungkin sampai petang dia
tak dapat ikan.
“Kalau saya balik, awak pun kena balik sekali. Saya
tak nak awak tinggal sini sorang-sorang. Bahaya!”
“Takkan saya nak balik dengan tangan kosong? Nanti
emak saya pelik pula. Pergi memancing tapi tak dapat ikan.”
“Alah, kita beli saja ikan dekat pasar. Lepas tu bawa
balik bagi kat mak awak.”
“Mana ada duit nak beli ikan,” jawab Nasuha jujur.
Kalau ada duit, tak adalah dia pergi memancing.
“Tak apalah, saya belanja. Anggap saja ini balasan
sebab awak selamatkan saya tadi. Lagipun saya tak nak awak
kena kacau dengan dua orang lelaki tua macam hari tu,” ucap
Tengku Afnan ikhlas.
Nasuha terharu mendengar kata-kata Tengku Afnan.
Tak sangka lelaki itu ambil berat akan dirinya.

No comments:

Post a Comment