Monday, 26 September 2016

Cinta Yang Tertunda - Bab 7

Syarifah Azulia duduk di birai katil sambil
memicit kepala Tengku Afnan. Balik-balik saja anaknya
itu terus berkurung di dalam bilik. Ingatkan anaknya ada
masalah, rupa-rupanya demam.
“Hai, masa dekat sana tak ada pula dia demam,” ucap
Syarifah Azulia sambil melihat Tengku Afnan yang menggigil
kesejukan. Dia memandang Tengku Syukri yang turut berada
di dalam bilik anaknya itu.
“Suha… janganlah… Auw, sakitlah. Saya tak
sengaja,” ucap Tengku Afnan tiba-tiba.
“Afnan…” tegur Syarifah Azulia apabila melihat
anaknya meracau-racau ketika tidur.
“Suha… Alah, janganlah macam tu. Janganlah
merajuk.”
“Hesy, budak ni…” tegur Tengku Syukri pula.
“Kan cantik kalau sentiasa senyum macam tu. Suha
janganlah merajuk lagi. Susah hati saya tau. Mari sini, nak
cubit sikit pipi tu,” ucap Tengku Afnan dengan mata yang
terpejam rapat.
“Tengku Aniq Afnan!” Keras suara yang memanggil.
Tengku Afnan terus membuka matanya. Alangkah
terkejutnya dia apabila melihat tangannya sedang mencubit
pipi Syarifah Azulia.
“Siapa Suha tu, Afnan? Budak yang kamu ceritakan
hari tu ke?” soal Tengku Syukri.
“Errr... tak ada siapalah, ayah,” jawab Tengku Afnan
pendek.
“Kalau tak ada siapa, takkanlah sampai seteruk ini
angau tu. Ayah rasa demam merindulah tu.”
“Mana ada demam rindu,” nafi Tengku Afnan.
Hakikatnya dia betul-betul nanar.
“Sakit pipi bonda kena cubit. Angau tahap tinggi
melangit dah kamu tu,” tempelak Syarifah Azulia sambil
menggosok pipi.
“Maaflah bonda.”
“Kamu cakap saja nak bila. Nanti ayah pinangkan.
Ayah anytime aje sedia.”
“Ayah!”
“Tak payahlah kamu nak malu-malu. Tengok kamu
nanar begini pun ayah tahu kamu betul-betul tangkap cintan
dengan budak kampung tu. Ayah tak kisah siapa pilihan
kamu. Bonda pun sama, kan Azu?”
“Haah. Asalkan kamu bahagia.”
“Kalau begitu kata ayah, bonda, sekarang juga Nan
nak balik kampung. Nan nak bawa dia ke sini dan kenalkan
dia pada ayah dan bonda.” Tengku Afnan bingkas bangun.
Selimut yang menutupi tubuhnya ditolak hingga ke hujung
kaki. Tiba-tiba dia rasa demamnya sudah kebah.
“Amboi... kalau ya pun bawalah bersabar sikit.
Demam kamu tu belum sembuh. Rehat dulu. Takkan larinya
Suha kamu tu.” Bahu Tengku Afnan ditolak perlahan supaya
kembali baring oleh Sharifah Azulia.
“Tapi bonda…”
“Dengar cakap bonda kamu tu,” potong Tengku
Syukri pula.
“Pastikan kamu sembuh dulu. Lepas tu baru kita
bincang pasal Suha kamu tu.”
“Nan dah sihat, ayah, bonda…”
“Huh, automatik baik demam kamu bila sebut nama
gadis tu. Mesti gadis tu hebat sampai buat kamu jadi tak tentu
arah macam ni.”
“Betullah ayah. Nan dah sihat.”
“Dah, jangan nak bohong ayah.”
“Tapi ayah…”
“Baring dan rehat. Kalau tak, ayah ikat kamu dekat
katil ni kalau kamu tak nak dengar cakap ayah ni,” ugut
Tengku Syukri.
Syarifah Azulia ketawa kecil mendengar ugutan
suaminya itu.
“Yalah, yalah… Nan bukan budak kecil sampai ayah
perlu tambat dekat katil.”
“Memanglah bukan budak kecil, tapi kadang-kadang
perangai kamu tu macam budak kecil. Sudah! Baring dan
berehat. Kita sambung bincang bila kamu dah benar-benar
sihat,” tegas Tengku Syukri sebelum meninggalkan bilik
anaknya itu.
“Suha… kenapa tak makan bubur tu? Sejuk nanti tak sedap
pula,” soal Mak Salwa apabila melihat Nasuha hanya merenung
mangkuk bubur nasi yang diletakkan di hadapannya.
“Suha tak ada seleralah mak. Tekak Suha ni rasa
pahit.”
“Nanti mak buatkan kamu air asam jawa.”
“Tak apalah, mak. Nanti Suha buat sendiri,” balas
Nasuha. Tak sampai hati membebankan Mak Salwa. Bukan
teruk sangat demamnya pun.
“Itulah... dah jatuh tu patutnya terus balik rumah.
Tak dapat ikan pun tak apa. Mak tak kisah. Tak marah pun.
Makan saja lauk apa yang ada di rumah ni. Telur ayam
kampung yang mak tak sempat jual pun banyak lagi. Boleh
digoreng kalau kamu dah jemu makan berlaukkan ikan
masin tu. Tengok sekarang, dah demam. Susah hati mak
tengok keadaan kamu ni.” Panjang lebar bebelan Mak Salwa.
“Mak janganlah susah hati. Suha demam sikit aje.
Esok baiklah ni.” Segaris senyuman cuba diukirkan untuk
menutup kerisauan Mak Salwa.
“Emak mana yang tak susah hati kalau melihat
anaknya tidak sihat, Suha oi?”
“Yalah mak… Suha minta maaf sebab buat mak
susah hati.”
“Tak ada apa yang perlu kamu minta maaf, Suha.
Kamu pun tak minta nak demam, kan? Mari makan sikit. Biar
mak suapkan, ya?”
“Eh, tak payah mak. Biar Suha makan sendiri.”
Nasuha cuba menghalang namun tangan Mak Salwa laju
menyuakan bubur nasi ke mulutnya. Nak tak nak dia terpaksa
membuka mulut.
“Sudahlah mak. Suha memang tak ada selera. Mak
paksa macam mana pun Suha tetap tak mampu nak telan.”
“Kalau macam tu, kamu makanlah Panadol
yang kamu belikan untuk emak hari tu.” Dua biji Panadol
dihulurkan Mak Salwa kepada Nasuha.
Akhirnya Nasuha terpaksa menelan Panadol demi
menjaga hati Mak Salwa.
“Abang janganlah macam ni. Saya manalah ada duit.
Tolonglah faham. Duit yang ada tu saya nak guna untuk buat
belanja beli barang dapur rumah kita. Barang dapur dekat
rumah ni dah banyak yang habis,” rayu Mak Salwa.
“Ah, diamlah kau! Aku pinjam sekejap sajalah.
Nanti kalau dah menang, aku pulangkanlah balik duit kau
tu. Dengan aku pun kau nak berkira ke? Apa punya binilah
kau ni!” tengking Pak Mail kasar. Berang mendengar teguran
isterinya itu.
“Yalah tu… dah berapa kali abang janji nak ganti
balik duit saya? Tapi sekali pun abang tak pernah ganti.
Dahlah... lagipun saya tak nak duit abang tu. Saya lebih rela
berlapar daripada isi perut ni dengan hasil duit haram abang.”
“Ah! Kau ni tahu nak membebel saja. Nak tunjuk
yang diri kau tu baik sangat ke apa, hah? Eh, aku tak hairanlah
kalau kau tak nak duit aku ni. Tengoklah nanti aku mesti
menang besar,” balas Pak Mail angkuh.
“Abang... abang... sudah-sudahlah dengan dunia
abang tu. Abang tu dahlah semakin hari semakin tua. Buatlah
bawa bertaubat. Cukup-cukuplah jadi kaki judi. Bukan jadi
kaya pun. Hidup kita tak berubah pun. Makin susah lagi
adalah.”
“Bisinglah kau ni. Sudahlah, aku keluar dulu. Malas
nak layan. Aku ambil ni,” balas Pak Mail. Panas telinga
mendengar bebelan isterinya itu.
Mak Salwa tersentak melihat seutas rantai emas
pemberian arwah ayah Nasuha dulu di tangan Pak Mail.
Satu-satunya harta yang dia ada.
“Abang, tolonglah jangan ambil rantai tu. Itu untuk
kegunaan nak hantar Suha sambung belajar nanti.” Mak
Salwa cuba merampas kembali rantai emas yang berada di
tangan Pak Mail, tapi tidak berjaya. Malah tubuhnya ditolak
kuat sehingga terperosok ke dinding.
“Yang kau susah-susah sangat nak hantar dia pergi
belajar tinggi-tinggi tu kenapa? Kau tak tahu ke orang
perempuan ni kalau belajar tinggi mana pun nanti akhirnya
terperosok juga dekat dapur tu. Bodoh! Benda macam tu pun
kau tak tahu nak fikir ke?”
Mak Salwa mengetap bibir mendengar kata-kata Pak
Mail. Sekali lagi dia gagahkan diri untuk merampas kembali
rantai emas miliknya. Tak sanggup melihat satu-satunya
harta yang ada tergadai begitu saja.
“Tepilah! Berhambus! Jangan nak halang aku!”
tengking Pak Mail.
Nasuha yang sedang lena di bilik tersentak apabila
mendengar suara ayah tirinya itu. Selepas itu dia terdengar
bunyi daun pintu dihempas kuat. Dia bingkas bangun untuk
melihat apa yang terjadi. Hatinya rasa tak sedap.
“Mak! Ya Allah!” Dia menjerit kuat sebaik saja
melihat tubuh Mak Salwa terperosok di dinding dengan dahi
dan bibir berdarah.
“Ya Allah, kenapa mak jadi macam ni?”
Tubuh tua itu dipangku. Kesian mak. Sudahlah tak
berapa nak sihat. Lepas tu diperlakukan sebegini pula. Hati
Nasuha meratap hiba. Dia sebak. Air mata mula bergenang
di tubir mata.
“Suha... jangan nangis, nak. Mak tak apa-apa. Sikit
saja ni,” pujuk Mak Salwa. Tangan menyentuh pipi Nasuha
lalu diusap lembut penuh kasih.
“Ya Allah, mak... mak demam balik ni. Tangan mak
panas. Badan mak pun panas. Kita pergi hospital ya, mak?”
“Tak perlulah. Mak nak rehat dalam bilik saja. Suha
bantu mak, ya? Mak nak baring dalam bilik.” Mak Salwa
terkial-kial bangun. Terasa lemah seluruh tubuhnya.
Cepat-cepat Nasuha memapah tubuh Mak Salwa
menuju ke bilik lalu dibaringkan penuh cermat. Tuala yang
tersangkut di dinding dicapai lalu dibasahkan sedikit. Dengan
berhati-hati dia membersihkan luka di wajah Mak Salwa.
“Sial sungguh! Boleh pula tak menang!” omel Pak Mail
geram. Dia bengang melihat ayam yang dipertaruhkannya
tumbang menyembah bumi apabila ditaji oleh ayam lawan.
“Sudahlah Mail, hari ni memang tak ada ong buat
kau.” Itam menepuk kuat bahu Pak Mail dengan wajah yang
sedang tersenyum lebar. Gembira benar dia apabila melihat
ayam yang dipertaruhkannya menang. Dia menayang wang
dan rantai yang dijadikan taruhan Pak Mail. Dia sengaja
mahu membuatkan hati lelaki itu tambah membara.
“Ah... kau dah menang senang cakaplah. Habis rantai
bini aku tu. Hangus macam tu saja,” dengus Pak Mail kasar.
Punah harapan dan impiannya ingin menunjuk kepada Mak
Salwa, isteri yang telah memperkecilkan dirinya tadi.
“Alah... relakslah kawan. Bukan berharga sangat pun
rantai bini kau tu, Mail. Sudah, jom aku belanja kau dekat
pekan tu. Asyik melepak dekat warung si Alip ni aje. Jemu
pula rasanya. Makanan bukan sedap mana pun.”
“Bodoh punya ayam. Lembik nak mampus. Memang
bagus pun mampus macam tu. Buat habis duit aku saja bela.
Bagi dia makan bagus-bagus,” bebel Pak Mail. Bangkai ayam
yang kaku itu disepak-sepak penuh geram.
“Dah, dah... jom kita pergi minum. Aku belanja kau
malam ni. Nanti kau carilah ayam lain yang lebih kuat untuk
ganti ayam lembik kau tu.”
Hati yang panas tadi rasa sejuk tiba-tiba apabila
mendengar janji Itam itu. Terpujuk sedikit hati Pak Mail.
‘Ah, lantaklah dengan rantai tu! Bukannya aku punya
pun. Aku tak rugi satu sen pun,’ omel Pak Mail dalam hati.

No comments:

Post a Comment