Wednesday, 12 October 2016

Mimpi Yang Sempurna - Bab 10

“WARDAH, abang you mana?”
Aku yang sedang ralit menulis, terus panggung
kepala. Sejak bila Encik Marzuki ini kenal dengan Along
Wasim?
“Encik Marzuki kawan along saya ke?”
“Maksud I, bos you.”
“Tak tahulah, Encik Marzuki. Cuti sambut birthday
kut.” Aku tunduk semula dan sambung menulis. Ada ke patut
si sewel tu dia cakap abang aku? Pangkat pak cik adalah...
“Birthday dia?”
“Haah.” Aku angguk.
“Bila?”
“Hari ni.”
“Mana kamu tahu?”
“Dia yang cakap.”
“Haiman cakap hari ni birthday dia?” Suara Encik
Marzuki yang kuat menyebabkan suasana pejabat berubah
menjadi senyap.
“Sejak beberapa hari lepas dia ulang sebut hari ni
birthday dia,” jawabku sambil terus menulis.
“Pelik!”
Aku pula yang pelik dengan pernyataan Encik
Marzuki. Lantas aku angkat kepala memandangnya.
“Pelik kenapa, Encik Marzuki? Sebab dia sambut
birthday?”
“Bukan sebab tu. Tapi sebab dia beritahu you
pasal birthday dia. Selama dia kerja sini, dia tak pernah
bising-bising fasal birthday dia.”
Aku tunduk semula. “Ingatkan apalah tadi. Dia
beritahu saya sebab saya assistant dia kut...”
“Assistant dia sebelum-sebelum ni dia tak inform
pun?”
“Mungkin masa tu birthday dia jatuh on weekend.
Macam tahun ni, hari kerja.” Aku bagi jawapan rawak, malas
mahu serabutkan otak.
Dan kala itu juga, telefon bimbitku berbunyi.
Panggilan daripada orang yang menjadi topik perbualan
kami.
“Hah, Encik Marzuki. Ni dia call,” jelasku seraya
membawa gadget tersebut ke telinga.
“Assalamualaikum, bos!” sapaku.
“Eh, saya dah beritahu kamu yang hari ni birthday
saya, kan?”
Tanpa menjawab salamku, Encik Haiman terus
terjah dengan soalan.
“Ya, bos. Dah.”
“Kamu tolong inform Gee yang saya MC sebab
gastrik teruk, rasa macam nak mati dah tadi. Tapi saya terfikir,
takkan saya nak mati masa birthday pulak kan...”
Aku mengucap dalam hati. Apa punya oranglah! Mati
tu di tangan Allah. Andai dah ditakdirkan, jangan kata masa
birthday, masa tengah layan final World Cup secara langsung
pun boleh mati kalau kata ajal dah tiba. Geram sekejap aku
dengan kata-katanya.
“Okey, nanti saya inform Kak Gee. Bos nak cakap
dengan Encik Marzuki? Encik Marzuki ada kat depan saya
sekarang ni.”
Aku guna kaedah serampang dua mata. Satu, supaya
Encik Haiman menamatkan perbualan denganku. Dua, agar
Encik Marzuki boleh tanya sendiri kepada Encik Haiman
soalan-soalan yang dia nak tanya tanpa melibatkan aku.
“Nanti saya call dia. Bye.”
Aku pandang Encik Marzuki. Tetap macam tadi,
sengihannya masih tak hilang.
“Encik Haiman cakap kejap lagi dia call Encik
Marzuki. Apa-apa, Encik Marzuki boleh tanya dia.” Aku
menyampaikan pesanan yang separuh betul separuh tidak.
Sebaik sahaja Encik Marzuki berlalu dari situ, aku
capai kembali telefon dan mula menaip.
Happy birthday boss! May Allah bless
you always.
Send. Aku tahu itulah tujuan Encik Haiman
menelefonku dan membangkitkan perihal ulang tahun
kelahirannya hari ini. Nak juga ucapan selamat hari lahir tu!
Kenal sangat dah dengan bos aku yang sorang ni sekarang.
Andai setakat nak pesan suruh beritahu Kak Gee pasal dia
MC atau EL, kebiasaannya dia akan WhatsApp aje, tak ada
maknanya dia hendak membazir bil dengan menelefon. Cuma
tadinya aku tak boleh nak bagi ucapan terang-terangan bila
tengok Encik Marzuki sedang memandangku. Kalau setakat
pandang sahaja tak mengapa, ini pandang sambil sengih ada
maksud. Seriau jadinya.
MASUK ke pejabat, aku terus meletakkan hadiah yang
berbalut cantik ke atas meja tuan penerima hadiah. Sengaja
aku letakkan awal-awal sebelum dia sampai. Tak sanggup
aku nak berdepan dan buat muka ayu untuk bagi hadiah tu.
Dalam kad yang aku selitkan, selain daripada ucapan ‘Happy
birthday, boss!’, ada tertulis ‘Your Assistant’ sebagai pemberi,
jadi dia akan tahu gerangan yang bagi walaupun zahirnya aku
tidak bercakap.
Tepat pada pukul 10.15 pagi, Encik Haiman
melangkah masuk namun aku tetap buat selamba seperti
tiada apa-apa. Hari ini tidak ada urusan yang memerlukan
kelulusan atau tandatangannya, jadi aku tidak perlu
menyerah diri kepadanya atau melawat biliknya yang bersih
gila tu. Jangan gelak okey! Si sewel ini memang pembersih.
Bilik dia tu, jangan mimpi hendak jumpa kertas
waima sehelai. Bila ada dokumen atau apa-apa sahaja yang
memerlukan tandatangannya, masa diserahkan itu juga dia
akan turunkan tandatangan. Bila dia dah tandatangan, jangan
gatal-gatal cakap nanti baru ambil, memang dia mengamuk.
Prinsip dia, tak ada kertas di atas meja atau kabinet. Fail dan
buku-buku tak apa, dengan syarat fail tersebut dilabelkan.
Nak bukti yang dia memang pembersih? Tengok
kereta dia. Sangat-sangat bersih dan langsung tak ada habuk!
Macam kereta baru keluar dari kilang, cuma plastiknya dah
tak ada. Walhal Encik Fattah sahkan yang kereta tu dia dah
guna selama enam tahun.
Bukti lain yang si sewel ni gila pembersih adalah
baju dia. Baru-baru ini dia mengamuk sakan apabila baju
yang dipakainya terkena percikan kuah asam pedas, yang aku
tidak pasti macam mana perkara malang itu boleh berlaku.
Dalam dia merungut-rungut hendak menghilangkan kesan
kotoran tersebut, aku cadangkan kepadanya supaya hantar
sahaja ke dobi, senang. Dan akibatnya, aku telah menerima
jelingan membunuh sebelum dia menjawab, “Dobi tak
bagus. Kalau kamu tengok baju saya tak kemas, tu sebab saya
hantar dobi. Yang kemas tu, saya buat sendiri, basuh sendiri,
gosok sendiri.” Masa itulah baru kutahu yang penampilan
sempurnanya selama ini adalah hasil tangan dia sendiri.
Sebelum ini, mati-mati aku ingat dia hantar dobi ataupun
orang gaji yang uruskan.
“Termenung!”
Terlepas pen di tanganku bila disergah tiba-tiba.
“Monthly salary kamu yang empat angka tu dibayar
untuk kamu termenung ke? Isi form ni. Saya cuma nak pergi
Cocktail Dinner dan Seminar Session. Tak perlu register
untuk Gala Dinner.”
Aku belek borang dua muka surat yang baru
dihulurkan. Seminar untuk IR selama tiga hari. Nama,
syarikat, jawatan, nombor IC, erkk...
“Bos?”
Aku kalih tapi dia telah tiada. Hesy... Datang
sergah-sergah, blah tak cakap-cakap, alih-alih hilang.
Dengan perasaan malas aku capai pen hitam dari
dalam bekas. Baru tulis huruf ‘M’ di petak nama, dia muncul
semula.
“Guna pen nilah untuk isi form tu.”
Mata aku terpaku pada pen yang dihulurkan. Pen
yang aku hadiahkannya pagi tadi, yang aku balut cantik-cantik
dan letak di atas mejanya.
“Ini...”
“Gunalah pen tu, best! Saya dah try guna tadi.”
Aku telan air liur. Betul ke best? 89 ringgit Malaysia
aje tu, tak capai taraf dia yang standardnya mungkin
beribu-ribu.
Tanpa menyentuh pen tersebut, aku terus
menyambung aktiviti mengisi borang.
“Gunalah pen ni.” Sekali lagi dia mendesak.
Alahai... Pen untuk isi borang biasa pun boleh jadi
isu. Padahal selepas ini nak faks sahaja pun borangnya,
bukannya perlu kurier. Pihak yang terima bukannya nak buat
kajian guna pen jenis apa isi borang tu...
Dengan tak ada rasa, pen tersebut aku capai dan
aku sambung mengisi maklumat yang diperlukan. Tidak
sampai lima minit, selesai. Pen aku letak ke atas meja dan
aku pergi ke tempat Kak Gee, memintanya menguruskan hal
pembayaran course fee.
Bila aku kembali ke meja, Encik Haiman masih
berdiri di situ, sedang bercakap-cakap dengan Puan Dian yang
tempatnya di hadapanku. Di pejabat ini, hanya mereka yang
berjawatan Senior Manager dan ke atas yang diberikan bilik
sendiri, jadi sebab itu Puan Dian mejanya di situ walaupun
dia juga dikira sebagai bos.
“Ada apa-apa lagi nak saya buat, bos?” tanyaku seraya
duduk. Encik Haiman yang aku tahu, bukan jenis yang suka
bersidai di tempat orang tanpa sebab.
“Cantik kan saya letak pen ni kat sini.” Dia menunjuk
pada pen yang telah disisipkan pada kocek kemeja yang
dipakainya.
“Suka pen ni,” ujarnya lagi seketika kemudian. Suara
lembut, tapi riak muka seperti serba tidak kena.
Bila tubuhnya sudah menjauh, aku hanya mampu
geleng kepala. Macam-macam dia puji, nampak sangat yang
sebenarnya dia mahu mengambil hatiku sampai tahap letak
kat kocek baju. Punyalah payah dia nak cakap “terima kasih”,
“syukran” ataupun “thank you”. Belum pernah lagi aku jumpa
orang sepertinya sebelum ini. Ego betul. Ego dan sewel.

No comments:

Post a Comment