Wednesday, 12 October 2016

Mimpi Yang Sempurna - Bab 9

AKU pandang encik bos yang dah berbelas-belas
kali mundar-mandir di hadapanku. Mujur bilik dia ni lebar.
Agaknya kalau sempit, dah jadi beratus-ratus kali dia buat
aksi kawad tak lurus depan aku ni.
Jam di pergelangan tangan aku kerling. Hampir 15
minit dia macam tu. Nak tegur ke tidak? Sekali tengok, mood
dia macam tak baik. Silap cakap sikit, mesti kena sembur.
Tapi kalau dibiarkan, kepala aku pula yang rasa longgar skru
sebab mataku yang gatal ini asyik ke kiri ke kanan mengikut
pergerakannya yang tak ada tanda-tanda nak berhenti tu.
“Bos?” seruku.
“Jangan kacau akulah!”
Aku pandang tepat wajahnya yang tegang itu. Baran
tak habis-habis, perasan tak sudah-sudah. Ingat aku ni hingin
sangat nak masuk menghadap dia dalam bilik ni kalau tak
terpaksa?
“Okey. Saya pun tak nak kacau bos tapi bos yang
panggil saya tadi suruh datang jumpa bos sekarang. Lebih
tepat lagi, sejak saya masuk bilik ni 15 minit yang lepas.” Aku
smash dengan pakej senyuman manis yang tak ikhlas.
Aku nampak riaknya terus berubah. Raut tegang
di wajahnya hilang, dan tangannya mula menyentuh dahi
sendiri. Itulah. Tahunya nak melenting aje, kan dah malu
sendiri.
“Kalau tak ada apa-apa, saya keluar dululah ya?
Rasa-rasanya, siapkan paperwork for next site visit tu lagi
penting kut daripada tengok bos jalan ulang-alik macam polis
trafik ni.”
Aku terus mengambil kesempatan untuk menyindir
si singa pada waktu taringnya sudah menyorok. Bila dia diam
tidak memberi respons, aku pun bangun berjalan ke pintu
dan menarik tombol.
“Wardah, tunggu sekejap.” Suaranya menghentikan
pergerakanku.
“I think I need your help today,” sambungnya lagi
bila aku masih pegun berdiri menghadap pintu.
“Nak tolong apa?” Aku berpusing semula, kembali
menghampiri mejanya.
“Ada masalah besar. Saya kena pergi Cherating, ada
short leadership program selama tiga hari. Saya kena present
tentang Difference Between Investor Relations And Public
Relations.”
“Bos dah biasa present, kan? Apa masalah yang besar
sangat tu?” Aku bertanya lembut.
Encik Haiman menghenyakkan punggungnya ke
kerusi dengan kasar bersama satu keluhan panjang.
“Untuk present tu, saya memang tak ada masalah,
tapi slide presentation tu. Saya mana pandai buat slide
cantik-cantik lengkap dengan animation semua. IR punya
pun, selama ni Dian yang buat. Tu yang saya tengah pening
ni. 30 slide pulak tu HR minta.” Perlahan saja suara Encik
Haiman mengaku kelemahannya, membuatkan aku tidak
sampai hati untuk buat tak tahu.
“Okey, saya boleh tolong buatkan, tak ada masalah.
Tapi bos kena bagi full content kat saya. Bila kena pergi sana?”
“Esok.”
“Esok???”
Aku nyaris tinggi suara. Depan-depan dia aku belek
jam tangan. Pukul 12.30 tengah hari tepat. Setengah jam lagi,
dah masuk waktu lunch. Habis lunch, pukul 2 petang. Pukul
6 petang, dah habis waktu kerja. Tolak waktu solat zohor dan
asar, tinggal 3 jam 40 minit. 30 slide untuk 220 minit, kiranya
satu slaid hanya ada masa kurang 7 minit untuk menaip
content, mekap bagi cantik dan letak animation.
“Okeylah. Lepas lunch, sharp pukul dua, saya buat.
Insya-Allah sempat, ada masa hampir empat jam.” Aku
mengambil keputusan untuk membantunya.
“Tapi saya pukul 4 dah nak kena balik hari ni, ada
hal.”
Masa ini aku rasa macam nak pinjam kuasa Hulk
biar aku mampu nak lanyak si sewel ni sampai jadi lempeng
ataupun sekurang-kurangnya campak dia ke luar tingkap.
Hangin aje aku dengar. Bak kata umi, masa tu nak buang air
besar, masa tu la baru nak gali lubang. Sebijik macam lelaki
di depan aku sekarang ini.
“Kenapa tak cakap awal-awal, bos? Mana sempat
macam ni! Maksud saya, setakat buat yang biasa-biasa
sempatlah, mana cukup masa nak buat slide yang gempak
siap dengan animation semua tu.”
“Tak sempat eh?”
Aku pandang geram wajahnya yang sedang
tersengih-sengih. Pandai pulak sengih bila dah buat salah!
Sewel betul...
“Sempat, kalau mula buat sekarang. Cepat! Bagi saya
content.” Aku bangkit dari kerusi.
“Nak pergi mana tu?”
“Balik tempat sayalah! Sementara tunggu bos
siapkan content tu, saya buatlah layout dulu.”
“Buat kat sini aje, guna laptop saya terus,” balasnya.
Aku geleng. “Tak apa, saya lebih selesa buat kat
tempat saya.”
“Ini arahan, Wardah. Bukan cadangan!”
Okey, si sewel telah kembali kepada asalnya yang
penuh ego dan baran. Mentang-mentanglah aku dah setuju
hendak menolong, mulalah nak jadi diktator balik.
“Duduk sini.”
Kerusi empuk miliknya ditarik, menyuruh aku
duduk di tempatnya. Kemudian, dia tarik lagi sebuah kerusi
biasa yang disediakan untuk tetamu yang berkunjung ke
biliknya dan diletakkan di sebelah kerusi empuk tadi. Rasa
tak sedap terus bertandang. Jangan kata...
“Saya duduk sebelah, sambil saya cakap, kamu tulis,”
ujarnya selamba, sekali gus mengesahkan apa yang bermain
dalam fikiran aku tadi.
“Tapi bos, saya tak biasalah buat kerja bila ada orang
tengok kat sebelah, nanti jadi serba tak kena. Elok bos tulis aje
kat kertas dan lepas tu bagi saya draf tu.” Aku berterus-terang.
“Saya malas nak tulis, saya tulis lambat.”
Separuh terpaksa aku menghampiri kerusi yang
telah dikosongkan untukku. Dengan mendongkol geram, aku
buka aplikasi Microsoft Office PowerPoint.
“Tajuk?” Aku tanya dengan suara datar.
“Tak fikir lagi.”
Kalaulah si sewel ini adik aku, dah lama aku
sekeh-sekeh kepala dia tu. Tajuk presentation sendiri pun tak
tahu! Tapi disebabkan dia adalah bos di tempat aku mencari
rezeki, aku diamkan aje. Terus aku tulis ‘By Mohd. Haiman
bin Hussein’ berserta tarikh hari ini di bawah namanya.
“Tajuk nanti fikir kemudian. So, first slide nak letak
tajuk apa?”
Aku bercakap tanpa memandang mukanya. Jari-jari
aku pula sibuk mencari background yang sesuai untuk slide
presentation.
Alhamdulillah, kali ini jawapannya tidak lagi seperti
tadi. Sebab kalau dia ulang semula frasa “tak fikir lagi” tu,
aku tak pasti apakah yang aku akan lakukan kepadanya.
Silap-silap, memang aku betul-betul bertukar menjadi Hulk
yang dah tak kenal bos sendiri.
“Err... Nak biar tak lawa macam tu aje ke?” Encik
Haiman menyoal bila kursor tetikus yang aku pegang sudah
beralih pada slaid baru.
“Later.” Aku balas sepatah. Malas nak jelaskan
lebih-lebih.
“Boleh ke macam tu?”
Nadanya tika ini seperti tidak berpuas hati, lebih
tepat, macam tidak berapa hendak percaya dengan perkataan
‘later’ itu. Tanpa berfikir dua kali, aku menjelingnya. Biar dia
tahu dan sedar yang aku tengah marah.
“Nanti saya buatlah. Sekarang ni tulis aje dulu semua,
nanti baru betulkan, cantikkan... Kalau bos tak percaya, buat
sendiri,” kataku tegas.
“Sorry, saya tak tahu. I’m not well-versed with
PowerPoint.”
“Dah tak tahu, diam-diam. Lagi banyak distraction,
lagi lambat siap,” sindirku selamba.
Aku yakin yang si singa ini tidak akan memarahiku
sekarang ini walau apa pun yang aku cakap kerana kelebihan di
tanganku. Dan terbukti telahanku tepat apabila dia langsung
tidak meninggikan suara, malah dia terus menyebut satu per
satu content yang ingin dimasukkan ke dalam slaid.
Waktu lunch yang telah masuk waktunya, tidak aku
pedulikan. Tingkah Encik Haiman yang asyik melihat jam
tangannya setiap beberapa minit, aku buat-buat tak nampak.
Dah resah nak keluar lunchlah tu...
“Dah pukul 1.10 minit ni. Kamu tak nak pergi break
ke?” Akhirnya Encik Haiman membuka mulut.
“Tak. Saya nak siapkan ni dulu.” Aku jawab sambil
memandangnya sekilas.
“Takkan sampai tak makan?”
Aku berhenti menaip. Mukanya aku pandang kosong.
“Saya tak nak makan, saya puasa. Kalau bos nak pergi
lunch, silakan, I don't have a problem. Since content untuk
15 slide dah siap taip, saya boleh mekap dan letak animation
dulu sementara bos keluar lunch.”
“Tak apa ke? Nanti orang cakap saya dera staf sendiri
pulak.”
“Memang bos ni pendera pun kan?” Sengaja aku
memprovokasinya.
“Kamu...”
Raut wajahnya saat ini betul-betul berubah. Tidak
tahu untuk kugambarkan riak yang macam mana. Bukan riak
marah yang pastinya.
“Just kidding. Bos pergilah lunch, biar saya sambung
buat ni. Tapi, satu jam aje bos boleh keluar sebab ada lagi 15
slide yang nak kena letak content.”
“Sure?”
“Ya. Satu jam aje. Lewat daripada tu, bos buat sendiri
lagi 15 slide tu. Saya tak nak masuk campur.” Aku membalas
tegas.
“Thanks,” balasnya lembut sebelum melangkah
keluar, meninggalkan aku seorang diri di biliknya.
Sedang aku leka mencantikkan slaid, telefon
bimbitku berbunyi. Nombor talian tetap. Terus aku jawab
tanpa bertangguh.
“Helo!”
“Wardah, slide Encik Haiman mana?” Suara Meen
yang sangat-sangat aku cam jelas di hujung talian.
“Slide?”
“Slide untuk dia present di Cherating lusa. Dia
kena bagi pada kami hari ni tau, sebab kami nak arrange
untuk printing semua... Bos kita call dia banyak kali tapi tak
berjawab.”
Aku menghela nafas panjang. Bos aku yang sorang ni
memanglah tak suka menjawab panggilan dan membiarkan
orang keliling terkejar-kejar mencari dia. Dan mangsanya,
aku. Tak dapat dia, aku yang orang cari.
“Kita tengah buatlah Meen, dia baru bagi arahan
pukul 12 tengah hari tadi.” Aku jelaskan perkara sebenar.
“Ni dia mana? Bos kita nak cakap dengan dia sekejap.”
“Dia pergi toilet.” Aku tipu Meen tanpa ragu-ragu.
Walaupun aku sendiri sakit hati dengan perangai
Encik Haiman hari ini, aku tetap tak sampai hati nak
menjatuhkan air mukanya dengan memberitahu Meen yang
dia dah pergi makan tengah hari, tinggalkan slaid yang belum
siap. Pakar motivasi dalam TV pernah pesan, marah macam
mana pun dengan seseorang, jangan buat sesuatu yang
sampai menjatuhkan air muka orang tu.
“Hmm... Kalau macam tu tak apalah. Tapi nanti
awak pesan kat dia, suruh call kami ya,” pesan Meen sebelum
memutuskan talian.
Tepat satu jam kemudian, Encik Haiman muncul
dengan senyuman lebar yang aku langsung tak ambil pusing.
Saat-saat genting macam ni, kalau Keanu Reeves yang berdiri
menggoda kat depan aku pun aku akan buat tak heran, apatah
lagi setakat Encik Haiman yang tebal dengan aura sewelnya.
“Saya penat senyum ni...”
Aku tetap buat selamba.
“Tak nak tengok ke? Tak ada siaran ulangan lagi dah
selepas ni.”
Aku masih buat dek walaupun dalam hati rasa nak
gelak.
“Oi, betul ke tak laku senyuman saya ni?”
Kali ini aku sudah tidak dapat menahan gelak. Pecah
ketawaku mengisi ruang bilik tersebut.
“Tak semua orang bertuah dapat tengok saya
senyum, tau!” ucapnya lagi.
Aku betulkan duduk. “Yalah... sayalah yang bertuah.
Bertuah sangat-sangat sampai saya yang kena marah dengan
HR sebab bos.” Sengaja aku berbohong.
“Kamu yang kena marah, kenapa kaitkan saya pula?”
Kerusi di sebelahku ditarik dan dia duduk santai.
Jelas kekenyangan. Patutlah senang hati sampai boleh buat
aksi julung-julung kali tadi tu.
“HR call saya sebab nak lepaskan marah pada bos.
Persediaan diaorang untuk program di Cherating tu sangkut
sebab bos masih tak hantar slide. Kawan saya yang handle
event tu cakap bila diaorang call, bos langsung tak jawab
panggilan diaorang. Tak adil betullah bos ni. Sebab bos, saya
yang kena marah.” Aku buat-buat sedih.
“Nanti saya dapatkan keadilan untuk kamu balik.
Siapa kawan kamu tu. Yasmeen Mumtazah?”
Aku telan liur. Walaupun hakikatnya dia pernah
nampak Meen bersamaku ketika jamuan hari raya dulu tu,
aku pasti yang dia tidak tahu nama penuh Meen.
“Tak payahlah. Saya sendiri dah dapatkan keadilan
untuk saya.” Aku geleng, cuba melindungi Meen daripada
terlibat.
“Maksud kamu?”
“Sorry, boss! Tadi saya geram. Disebabkan tu, saya
dah beritahu HR yang slide bos tu tak siap lagi sebenarnya.
Seronok jugak bila dengar diaorang marah gila kat bos.
Tunggu ajelah nasib bos kat Cherating nanti.”
“Wardah...!”
“Haa, marah? Bos marahlah saya, saya tak nak tolong
siapkan slide ni. Bos siapkan sendiri,” tuturku lalu bangun.
“Eh, saya tak marah pun. Kamu nak pergi mana?
Siapa nak siapkan ni?”
Aku tetap terus berjalan ke arah pintu.
“Wardah, tak kesian kat saya ke? Kamu nak aniaya
bos sendiri?”
Aku pejam mata sesaat. Apalah nasib dapat bos yang
cepat berprasangka dengan staf sendiri.
“Apa bos cakap ni? Saya nak pergi solat zohorlah...
Bos dah solat ke belum? Jom pergi surau! Boleh mohon
kepada Allah supaya slide ni siap on-time dan bos dapat
present dengan mantap di Cherating tu.” Aku menjawab
sambil berlalu tanpa sedikit pun menoleh.
Tanpa pengetahuan dirinya, dah lama aku kulum
senyum. Sesekali membuli bos sendiri, seronok juga
rupa-rupanya.
MEEN adalah salah seorang kawan aku yang bagi aku,
sangat-sangat penyabar. Beza tahap kesabaran aku dan Meen
seperti langit dan bumi. Sebab itulah aku suka sangat bila
mendapat peluang untuk tinggal menyewa bersamanya. Aku
jaga perut dia dengan masak banyak-banyak, dan dia boleh
jaga aku dengan sifat sabarnya. Tapi bila dia...
“Wardah!!!”
Aku jauhkan gagang dan bawa telapak tangan
menggosok telinga. Bingit suara Meen memecah
gegendangku.
“Apa kes ni, awak?”
Bila gadis yang bernama Yasmeen Mumtazah sudah
pandai menjerit sampai nak terkeluar anak tekak ini, mesti
ada sesuatu yang dahsyat berlaku.
“Bos awak tu la! Sakit hati betul!”
Minda aku terus terbayangkan Encik Haiman. Eh,
takkan dengan Meen pun dia nak buat sewel juga?
“Encik Haiman ke?” tebakku dengan sedikit ragu.
“Siapa lagi!”
“Apa dah jadi?”
“Kita dipaksa jadi partner karaoke dia kat Cherating
ni, tahu tak?”
“Kenapa awak tak elak?”
“Nak elak macam mana? Tak terelak dah! Dahlah
sejak first day dia asyik aim kita! Nightmare betul!” Suara
Meen jelas menahan amarah di hujung talian.
“Kejap. Cuba cerita slow-slow apa yang dah jadi.”
Aku cuba mengubah moodnya supaya bertenang.
“Macam ni... Sejak hari pertama tu, dia macam
target kita aje. Setiap aktiviti berkumpulan kan memang
akan ada sorang wakil HR untuk guide, so kita ni semedang
kena masuk team dia, langsung tak boleh nak join team lain.
Ayat dia, balik-balik ‘Come, we want and need you here’.
Memanglah lembut aje gaya dia cakap, tapi kita rasa macam
bencana.”
Terdengar Meen cari nafas.
“Ni tadi, dia ajak kita karaoke, jadi partner dia, tapi
kita tak nak. Bila dah nak sampai giliran, kita pergilah toilet
sebab nak mengelak. Tapi awak tahu tak, keluar aje dari toilet,
dia dah siap tunggu kita kat tepi pintu tu. Dia ikut kita sampai
ke toilet tahu tak? Cheesecake betul!!!”
Aku gelak tanpa suara. Nak buat terang-terang,
ibarat menyimbah minyak ke atas api sekarang ni.
“Mati hidup balik, kita takkan mimpi ada mamat tak
berapa nak center yang tunggu kita depan toilet, sanggup
menapak sampai ke toilet, demi nak pastikan kita tak lari!
Dahlah dia nyanyi lagu tu lintang-pukang, huru-hara okey!”
Yang ini aku memang dah tak dapat sembunyi gelak.
Ini kali pertama aku tengok Meen hilang akal. Selalunya dia
tenang aje walaupun ada benda buruk yang berlaku.
“Lagu apa kau orang nyanyi?”
Aku cuba merisik di hujung tawa. Sempat otak aku
yang tengah tak berapa nak sihat ini membayangkan raut
muka Encik Haiman yang sedang memegang mikrofon
penuh perasaan.
“Lagu Mulanya Di Sini. Lagu Seha nyanyi dengan
siapa entah...”
Aku bantai gelak sekuat-kuatnya. Kesian betul Meen
ni. Sekali kena penangan si sewel, terus haru-biru jadinya.
“Sekarang kita dah faham, awak. Kita sangat
faham...” Meen menyambung kata setelah beberapa minit
senyap.
“Kita dah faham kenapa awak panggil dia si sewel.
Betul cakap awak selama ni, dia tu memang sewel!”
“Eh, ya ke? Selama ni bila kita panggil dia si sewel,
awak marah kita. Awak cakap tak elok panggil dia macam tu?”
Sengaja aku memprovokasi Meen.
“Tak... tak... Dia memang sewel!”
Aku sambung gelak. Jelas bahawa gelaran si sewel
itu memang tepat untuk seorang lelaki yang bernama Mohd.
Haiman bin Hussein.

No comments:

Post a Comment