Wednesday, 12 October 2016

Mimpi Yang Sempurna - Bab 8

DENGAN mood raya yang masih menebal, aku
kembali ke pejabat. Kembali kepada suasana kerja yang
genting dan bos yang sukar untuk dikawal. Cuma bezanya,
hari ini aku sudah mula menumpang kereta Meen ke tempat
kerja. Jika sebelum ini aku tinggal bersama mak uda, sekarang
aku duduk menyewa bersama Meen di kawasan Bukit Jalil.
“Seronok cuti raya?”
Soalan pertama Encik Haiman sewaktu aku masuk
ke biliknya membawa beberapa dokumen. Dia nampak relaks,
tidak serius seperti selalu. Sesuatu yang tidak pernah aku
lihat sejak bekerja dengannya.
“Mana ada raya yang tak seronok, bos? Kalau dah
balik kampung, jumpa saudara-mara, melantak makanan
raya yang sedap-sedap, siap dapat duit raya lagi... mestilah
seronok! Err, bos hulur tangan kenapa?” soalku bila tiba-tiba
dia menghulurkan tangannya.
“Dah tua pun masih dapat duit raya? Tangan saya
ni salam. Kamu tak minta maaf lagi raya ni, dosa dahlah
banyak.”
“Saya minta maaf cukuplah, bos. Tak payahlah salam
bagai.” Aku membantah.
“Saya ni lagi tua daripada kamu. Yang muda kena
hormat orang tua, kena salam dan cium tangan.”
Kalau yang bercakap ini adik lelaki aku, dah lama aku
hentak lutut tu bagi rebah. Cium tangan? Banyak handsome!
“Memanglah bos ni tua daripada saya dan yang muda
bila salam orang tua kena cium tangan. Tapi bos ni bukan
mahram saya, yang kulit bos tu halal untuk saya sentuh. Dosa
tu karang, bos nak tanggung ke?” Aku perli sedas.
“Orang lain tu relaks aje salam, tak ada hal pun.”
“Tu orang lain, bukan saya. Orang terjun gaung,
takkan saya nak ikut sekali? Tak naklah saya ikut part salam
tu, kalau part duit raya tak apa.”
Aku susun dokumen untuk dibawa keluar.
Lama-lama berdebat pasal salam ni nanti, mahu bergaduh.
Bukan boleh percaya sangat si sewel ni...
“Kamu tak nak puji rambut baru saya?”
Langkahku terbantut. Rambut baru? Laju aku
berpaling semula dan sebaik sahaja bahagian tersebut
menyapa pandangan mata, aku jadi terpaku. Kenapa dari tadi
aku tak perasan?
“Lawa tak?” soalnya lagi.
Aku tarik nafas dalam-dalam dan menghela panjang.
Payahnya la soalan...
“Lawa tak?”
Air liurku rasa tak tertelan.
“Urmm... Abah saya tak bagi menipu tapi kalau saya
cakap yang betul, bos akan belasah saya tak?”
Untuk pertama kalinya dalam sejarah, aku tengok si
sewel gelak.
“Bos, bos okey ke tak ni?” soalku.
Makin galak ketawa yang kedengaran, menyebabkan
aku terus berundur dua tapak dan melangkah keluar dari
bilik tersebut cepat-cepat. Seram tiba-tiba jadinya. Nak kata
tersampuk hantu raya semasa balik kampung, dia sambut
raya kat KL ni aje.
Bila tiba di mejaku, baru aku sedar yang aku sedang
diperhatikan oleh semua orang.
“Err... anything?” tanyaku.
“What happened?” soal Mr. Kevin.
“Haah, apa yang jadi?” Shila turut menyampuk.
“Apa yang jadi?” Aku tanya balik sebab tak faham.
Tiba-tiba kena terjah dengan soalan yang tidak tahu hujung
pangkal, memanglah hilang haluan jadinya.
“Kami dengar macam Encik Haiman gelak?”
“Haah, memang dia gelak.” Aku mengaku sambil
melabuhkan punggung ke atas kerusi.
“Kuat?”
“Kuatlah jugak kut...” Aku bagi komen jujur.
“Banyak kali?”
Aku pandang muka Mr. Kevin. Kenapa tiba-tiba dia
banyak soal?
“Gelak dia sambung-menyambung,” terangku.
Tangan laju mengasingkan dokumen yang perlu dikurier
dengan dokumen yang perlu difail.
“Cik Wardah...”
“Ya?” Sambil tunduk membuat filing, aku menyahut.
Tak payah tengok siapa, aku cam itu suara Encik Fattah.
“Bos kita tu...”
“Kenapa dengan dia, Encik Fattah?” soalku bila
suara Encik Fattah meleret.
“Dia gelak hari ni dengan Cik Wardah...”
“Haah, first time dia gelak dengan saya. Kan selalu
muka dia ketat aje.”
“Sebenarnya...”
Aku menanti namun ayat tidak disambung. Lalu aku
angkat kepala cari Encik Fattah. Nampak wajahnya seperti
serba salah.
“Straight to the point, Encik Fattah.” Aku memberi
lampu hijau kepadanya untuk meneruskan kata.
“Ini first time kami semua dengar dia gelak dengan
staf dia sejak dia masuk sini.”
AKU terserempak dengan Encik Haiman ketika sampai
di depan lif. Malam ini penampilannya ternyata berbeza
dengan sepasang baju Melayu berwarna maroon yang lengkap
bersamping. Kalaulah siap bertanjak dan memegang keris,
memang aku gelarkan dia Hang Jebat malam ni.
“You look nice.”
Terus aku tengok diri sendiri atas bawah bila
menerima pujiannya yang langsung tidak aku jangka. Hasil
usaha mak uda yang beria-ia mencarikan, malam ini aku
menyarung jubah dress A cut gabungan fabrik electric blue
brocade dan rose pink silk yang dipadankan dengan selendang
berwarna baby pink. Kasut pula, sekadar high heels hitam
jenama Vincci yang aku pakai masa raya baru-baru ni.
“Terima kasih, bos.”
Di dalam lif, masing-masing senyap tanpa sebarang
bicara. Mata pula aku halakan pada deretan butang di tepi
pintu lif. Tidak ada yang menarik di situ, cuma aku tidak tahu
hendak berbuat apa lagi. Mahu berborak, sama ada dengan
Meen atau bos sendiri, dua-dua aku rasa janggal.
“Jaga nama IR malam ni, jangan buat perangai,”
pesan si sewel serius sebelum melangkah keluar dari
lif. Sangatlah tak gentleman di mataku sebab dia tidak
mendahulukan kami berdua yang perempuan ini.
Meen mencuit lenganku dan bersuara perlahan. “Dia
langsung tak gentleman. Tapi dia pandang awak banyak kali
masa dalam lif tadi.”
BOSAN!
Meen meninggalkan aku di satu sudut bila dia
terpanggil untuk menyahut ‘seruan alam’. Tiada pilihan,
aku terus berdiri keseorangan memerhatikan keadaan
sekeliling, kalau-kalau ada grup yang boleh aku join tanpa
rasa canggung.
“Hai, Umayra!”
Aku pusing leher. Encik Daud Iskandar. Lelaki
kasanova yang tak faham bahasa. Berkali-kali aku ingatkan,
jangan panggil aku dengan nama Umayra tapi dia tetap tak
mengendahkan. Lagi galak adalah.
“Hai, Encik Daud.”
Aku paksakan diri untuk memaniskan muka. Orang
sedang ramai di ballroom ini, tak boleh aku nak tayang muka
tertelan cuka getah. Nama Investor Relations pihak syarikat
harus dijaga.
Lelaki yang bernama Daud Iskandar itu menghampiri
aku dengan senyuman.
“You look stunning tonight,” ucapnya sambil
merenung aku atas bawah.
“Err... Encik Daud pun handsome jugak!” Aku
cuba menarik perhatiannya agar mata lelakinya beralih dari
tubuhku.
Sedangkan hakikat yang sebenar, aku terasa ingin
muntah menyebut perkataan tersebut. Handsome? Memang
tidak aku nafikan yang penampilannya sungguh bergaya
malam ini dengan padanan three-piece-suit yang menyerlah
namun bagiku, apa gunanya kacak kalau nafsu mata sendiri
pun gagal untuk dikawal?
“Call me Encik Iskandar please... atau paling bagus,
panggil Is aje. Janganlah panggil I Daud, nama orang tua tu.”
Aku beristighfar panjang di dalam hati. Inilah
dia lelaki tak sedar diri. Dia ingat kalau nama dia hanya
Iskandar, dia takkan tua-tua ke? Nama Daud yang bagus,
yang merupakan nama salah seorang daripada 25 Rasul yang
wajib orang Islam tahu, dia cakap nama orang tua. Agaknya
dulu-dulu masa zaman sekolah, raja tuang kelas agama.
Cuba membuang rasa meluat, aku paksa diri untuk
akur.
“Baik, Encik Iskandar.”
“Macam tu la, sedap sikit telinga I dengar.”
“Tak pergi berbual dengan orang-orang VIP tu ke?”
Aku tayang senyum palsu.
“VIP-VIP tu biarlah, I selalu dapat peluang jumpa
mereka. Hari ni I nak borak-borak dengan you, kat ofis tak
ada peluang, Haiman aje conquer you.”
“Oh, ya ke...” Aku sengih dalam kelat sambil mata
melilau ke sekeliling. Meen, mana awak, Meen? Ulat bulu dah
naik daun ni...
“Urmm... urmm... saya minta diri dulu ya, Encik
Iskandar. Nak cari housemate saya, tadi dia cakap dia pergi
ladies sekejap aje, ini lama dah ni.” Aku mencari alasan untuk
menjauhkan diri.
“Eh, nantilah dulu!” Langkahku dihalang oleh badan
ukuran model Encik Iskandar.
“I tahu you belum makan lagi, kan? Jom I temankan!”
Dengan beraninya tanganku dipegang dan tubuhku
ditarik ke arah kawasan bufet. Namun saat tinggal beberapa
langkah hendak sampai, Encik Haiman tiba-tiba muncul di
hadapan kami.
“Excuse me, Daud. I would like to introduce her to
our main investors now, if you don’t mind.” Tegas suaranya
walaupun muka itu tampak tenang.
“Sure! She’s your staff...” Semerta tanganku
dilepaskan dan giliran Encik Haiman pula menarikku.
“Seronok digoda oleh playboy tu?” bisiknya keras
setelah kami menjauh. Riak yang tadinya tenang, dah berubah
kelat dan garang.
“Yang pergi layan dia tu buat apa? Banyak lagi orang
lelaki tak gatal ataupun perempuan kat sini yang kamu boleh
layan!” Sepertimana suaranya yang semakin meninggi di
telingaku, begitulah juga makin kuat cengkaman tangannya.
“Sakitlah bos... Kut ya pun marah, tengking
cukuplah. Tak payahlah nak lebamkan tangan saya pulak.”
Tanpa langsung memandangku, cengkamannya
melonggar tetapi tubuhku tetap terus dilelar mengikut
langkahnya berjalan merentasi ruang ballroom yang luas.
Belum sampai lima minit, kami telah berada di depan pintu
lif.
“Bos, kata nak kenalkan saya dengan investors?”
“Next time. Ni semua orang jahat.”
“Diaorang baik apa? Ramah.” Aku jawab ikhlas
daripada hati. Memang itu apa yang aku nampak.
“Don’t be too naive. Ramah dan baik yang ada
maksud. This is the corporate world, setiap tindakan ada
sebab dan alasan tertentu. Tak semua jujur macam saya.
Jangan jadi bodoh.”
Aku rasa hendak pitam. Tak semua orang jujur
macam dia? Sebab dia jujur sangat ke yang dia jadi sewel
tahap tera tu?
“Sekarang ni kita nak pergi mana?” soalku.
“Balik.” Tubuhku ditolak masuk ke dalam lif dan
punat LG ditekan.
“Err... Saya datang dengan kawan saya, bos. Saya
tumpang kereta dia.”
“So?”
“Saya patutnya kena balik dengan dialah, kan?” Aku
menyeringai buat muka minta simpati.
“Mati ke kalau tak balik sekali dengan dia?” Sambil
bersandar di dinding lif, Encik Haiman merenungku tajam.
“Err... Taklah sampai mati.” Serba salah aku
menjawab.
Tiba di keretanya, sekali lagi dia menolakku.
“Masuk,” arahnya sepatah.
Sedar tiada ruang untukku menolak, aku melabuhkan
punggung di tempat duduk penumpang bahagian depan.
Lima minit kemudian, kami dah keluar dari kawasan Shangri
La.
“By the way... thank you,boss,” ucapku ikhlas.
“Untuk apa?”
“Lepaskan saya daripada encik kasanova tu.” Aku
diam sebentar sebelum menyambung, “Dan... sebab panggil
dia Daud.”
“Hmm...” Hanya itu balasannya.
Lepas itu, aku diam, dia pun diam. Tapi bila terbayang
semula adegan di hotel tadi, aku tidak dapat menahan diri
lalu tawaku pecah. Dan seperti mimpi, Encik Haiman juga
tiba-tiba gelak. Lepas dan bersahaja. Menjadikan tawa kami
bergabung menjadi satu irama indah tanpa lirik.
“Bos gelak kenapa? Saya gelak pasal panggilan Daud
tu,” soalku usai tawa.
“Samalah...”
Dan gelak kami kembali pecah.
“Berubah muka dia, bos. Dahlah dia baru lepas pesan
kat saya jangan panggil dia guna nama Daud tu.”
“Biarkan. He deserved it.”
“Bos tak risau dia marah ke?”
“Never.”
“Yeah.” Aku angguk kepala. Setelah berbulan-bulan
bekerja bersama, aku semakin memahami pendiriannya. Aku
perasan, perkara remeh yang tidak penting untuk kerjayanya,
memang dia tolak tepi terus. Tak ada KIV lagi dah.
“Yang kamu ni, pergi menggedik dengan dia tu
kenapa?” Tiba-tiba dia menyoalku. Namun dengan nada yang
lembut.
“Mana ada saya menggedik dengan dia, bos. Dia
yang datang jumpa saya. Saya nak buat macam mana?” Aku
menjawab dengan lembut juga. Dia berbudi, aku berusaha
untuk berbahasa.
“Dah dia datang tu, tak pandai nak lari?”
“Saya buat dah, bos. Saya tepis, elak, lari... tapi dia
macam ikut aje mana saya pergi.”
“Kamu tahu kan yang si gatal tu ada kat situ, yang
kamu pakai macam ni kenapa? Lain kali pakai aje baju
kurung.” Nada suaranya masih rendah tapi sedikit sinis.
Spontan aku pandang tubuhku sendiri sebelum
pandang mukanya yang tengah fokus memandu.
“Bos jugak yang pesan, jaga penampilan dan
nama baik bos. Jangan pakai selekeh-selekeh.” Aku
mengingatkannya kembali pesanannya kepadaku minggu
lepas.
“Saya pesan jaga penampilan, bukan tarik perhatian.”
Aku garu kepala yang berselendang. Sedikit
teragak-agak, dengan perlahan aku menyoalnya.
“Tapi tadi masa kita satu lif masa sampai hotel tu,
bos jugak yang cakap saya nampak nice?” Meen pun cakap bos
asyik pandang-pandang saya, sambungku dalam hati.
“Kamu yang telinga tersumbat. Saya cakap nasty,
bukan nice!” Suaranya dah meninggi. Tidak sampai lima
minit dia gelak, sekarang ini dia dah meroyan balik. Kalau
orang tak kenal, mesti ingat dia sewel.
“Tapi kawan...”
“Jangan banyak bantah boleh tak? Siapa bos, saya ke
kamu?”
“Err... Boslah bos.”
“Then berhenti jadi staf derhaka.”
Aku diam tanpa kata. Penat asyik berbalah yang
mana aku tahu lelaki di sebelahku ini tidak akan sesekali
mahu mengaku kalah.
“Bos, kenapa tak berhenti kat stesen LRT tu?” soalku
bila dia hanya terus memandu melepasi stesen LRT Bukit
Nanas.
“Beritahu kawan kamu, saya hantar kamu balik
sampai rumah.”
“Biar betul, bos? Rumah sewa saya kat Bukit
Jalillah...”
“Jadi apa masalahnya?”
“Lain arah dengan rumah bos tu.” Aku
mengingatkannya.
“So?”
Nampaknya memang dia dah nekad untuk
menghantarku pulang. Ada baiknya aku mengalah sahaja
sebelum dia membuat keputusan untuk tinggalkan aku di
tepi jalan.
“Thanks, boss.”
“Its not for free. Lepas ni kerja kena bagi 101
peratus.”
“Okey. Tapi, saya nak minta cuti Jumaat minggu
depan boleh?”
“Kenapa? Kan baru lepas cuti raya?”
“Nak balik kampung.”
“Apa, dating?”
“Balik kampung,” tekanku, sedikit kuat.
“Oh, ingatkan dating.”
Aku merungut dalam hati. Pekak badak betul si
sewel ni. Jauh kut bunyi kampung dan dating tu.
“Berapa banyak pakwe kamu ada kat kampung tu?”
“Boleh tak saya cuti ni?” Aku tidak melayan
soalannya.
“Make sure kerja-kerja kamu siap. Tak siap, tak boleh
cuti.”
“Okey bos. Deal! Thank you...” Aku senyum senang
hati.

No comments:

Post a Comment