Wednesday, 30 November 2016

Gila! Aku Suka Dia? - Bab 2

“ORANG tanya tu jawablah.” Mak aku yang lalu
di sebelahku, menguis lengan aku sampai terangkat bahu
aku.
“Hah?! Si... sihat...! Abang Lan sihat walafiat je.”
Aku terkejut tiba-tiba. Nasib baiklah tak melatah macam Mak
Senah jiran sebelah. Kalau tak memang nampak aku tengah
tak tentu arah masa tu. Isy-isy mak ni... Nampak sangat mak
aku sengaja nak provokasi aku.
“Haih, tanya Abang Lalan saja?” Bob menyampuk.
Amboi Bob, cepat kau masuk line. Don’t cross my
line, okey! Walaupun sama-sama single-mingle! Untuk kau,
kena ambil borang dua tahun lagi, itu pun kalau masih
available.
“Abang Bob dan Abang Joe sihat ke?” tanya Najwa
sekali gus memandang Joe dan Bob.
“Sihat...” Mereka menjawab serentak.
“Tak perlulah abang-abang sangat, nampak macam
dah tua pula...” Joe mencelah sambil melempar senyumannya
yang paling manis ditambah madu itu. Joe pula masuk
jarum. Aku tahulah kau lebih handsome daripada aku Joe,
tapi bagilah peluang dekat aku ni ha dulu, kau tu berlambak
perempuan nak.
“Bila lagi nak kahwin ni, Najwa? Dah jumpa orang
sana ke?” tanya mak aku. Soalan... kemain lagi. Merisik untuk
aku ke tu, mak? Perasan!
“Tak adalah cikgu.” Najwa malu-malu. Lain kali
terpanggil mak kan best. Eh!
“Kamu pun masih muda lagi, tak apalah. Abang Lan
kau ni ha yang cikgu risaukan, satu habuk khabar nak kahwin
pun tak ada lagi. Nampaknya lambat lagilah nak dapat timang
anak si Lan ni...”
Amboi mak, mengeluh nampak. Nak cucu
bagailah. Jatuh standard aku, macam menampakkan aku
ni sangat-sangatlah tak laku walaupun dibagi free kat pasar
borong.
“Mak ni... ke situ pulak...” Aku menyampuk.
“Assalamualaikum...” Tu dia suara presiden a.k.a
abah aku, Encik Jamaluddin Said merangkap Ketua JKKKK
Kampung aku. Aku sebut K banyak sebab aku tak reti nak
terangkan apa semua K tu. Nanti aku sebut satu-satu, berbelit
lidah ni.
“Waalaikumussalam...” Kami semua menjawab.
“Semua ada dekat sini. Eh, siapa ni?” tanya abah aku
kepada mak sambil memandang Najwa.
“Ini Najwa anak Hussin kambing, cucu Pak Deris Tok
Sidang tu...” Tu dia mak... Dengan nama gelaran dia sebut,
memang betul-betul mengenali tu.
“Oh, anak Hussin kambing. Dah kurus Najwa
sekarang, dulu masa kecik kemain dengan lolipop. Eh kau
ni Siah, kan Husin tu dah tak jaga kambing, tak elok cakap
macam tu.” Abah aku mengingatkan mak aku, sempat juga
teringatkan Najwa masa kecik dulu. Tak sangka, abah ingat
lagi.
“Ala bang, dah terbiasa mulut ni ha. Saja nak
mengingatkan abang tu Najwa ni anak siapa. Ramai nama
Hussin dalam kampung ni.”
Abah aku mengambil tempat duduk di sebelah aku,
dia memandang Bob dan Joe.
“Yang kamu berdua ni baru tahun ni pak cik nampak,
selalu tak balik kampung...”
Sempat pula abah aku menegur Bob dan Joe. Aku
tumpang senyum saja. Aku faham tugasan Joe dan Bob yang
menuntut mereka bekerja lebih daripada biasanya. Biasalah
kan, orang-orang bujang yang belum kahwin, selalu jadi
mangsa tak boleh bercuti atau balik kampung masa raya.
Sungguh tak adil! Patutnya yang bujang inilah kena balik
kampung awal, boleh cari calon. Hari raya kan masa orang
berkumpul. Dan, senang nak cari calon sebab ramai anak
dara masa tu balik kampung sekali.
“Baru dapat cuti, pak cik. Biasalah orang bujang
jaga ofis time raya...” Bob menjawab. Joe senyum-senyum,
mungkin mahu memberikan alasan sama barangkali.
“Asalkan tak lupa kampung sudahlah...” Abah aku
sempat pula bersyarah. Manakan tidak, kalau dulu masa
kecik-kecik Bob dan Joe makan dan tidur dekat rumah
aku, kira dah macam adik-beradik lain mak, lain bapak dah.
Kiranya nasihat yang abah aku berikan tu untuk abah kepada
anaknya.
“Ha, Najwa ni dah habis belajar dekat sana tu?” tanya
mak aku kepada Najwa. Kami semua memandang Najwa.
“Lagi enam bulan habislah cikgu. Lepas tu tunggu
konvokesyen.”
“Baguslah, nanti boleh berkhidmat dekat sekolah
menengah dekat kampung ni mengajar Bahasa Inggeris.”
“Insya-Allah, cikgu.” Najwa senyum.
Mak kata Najwa ambil TESL dalam bidang pendidikan
dan lanjutkan sarjana dia dekat luar negara. Memang berjiwa
tinggi juga Najwa ni, kata orang ada cita-cita. Yang jarang
orang nak ambil tu la dia ambil. Dan tak ramai juga yang
sambung sampai overseas macam Najwa. Ha, kira serasi dah
tu. Serasi sebab kami sama ambil benda yang orang jarang
nak suka.
“Alhamdulillah. Itulah harapan cikgu, ada
penyambung.”
Nampak sangat mak aku meletakkan harapan
tinggi agar ada anak-anak kampung yang sudi mewarisi
tanggungjawab sebagai pendidik di sekolah menengah
kampungku. Sebenarnya, mak aku sungguh-sungguh
mahukan aku masuk maktab lepas aku habis belajar dulu
tapi aku ni saja yang liat sikit. Minat tu ke arah lain, ke arah
kira-kira sikit. Orang tak minat Matematik, aku pula yang
terlebih minat. Tu yang dah jadi akauntan tu. Tapi rezeki
masing-masing, Alhamdulillah mak selalu berkat walaupun
aku tak jadi cikgu pun.
“Lupa pula, tadi cikgu nak masuk dapur tukar bekas
kamu ni ha. Asyik berborak pula.”
“Saya ikut sekalilah, cikgu...”
Kemudian mak dan Najwa masuk ke dalam dapur.
Abah pula sudah masuk ke dalam bilik untuk berehat.
“Eh, dah gollah. Apasal tak perasan ni?” Aku bertanya
tiba-tiba, yalah, tak ada siapa yang sorak tadi time Chelsea
dapat gol.
“Mana nak perasan, mata kau tu pandang Najwa saja.
Kau ingat aku tak nampak? Amboi, Lan... dulu kemain kau
ya, kaulah raja tukang kacau si Najwa tu.” Bob mengusik,
mengherotkan mulut.
“Isy kau ni Bob, coverlah sikit. Cakap siang
pandang-pandang tau.” Aku pula naik malu kalau Najwa
terdengar.
“Ek eleh kau Bob, kau pun samalah...” Joe
menyampuk.
“Cantik kan Najwa tu? Agak-agak single lagi ke?”
Aku pula seakan-akan berminat.
“Dah-dah. Entah-entah dia dah jumpa mat salih
dekat sana, lagi handsome daripada kita-kita ni.” Joe nampak
macam pasrah.
“Kau ni Joe, perempuan macam Najwa tu satu dalam
sejuta tau. Kalau dia jenis yang ada teman lelaki, dia taklah
malu-malu macam tu.” Aku menyampuk. Amboi-amboi
macam pakar hati wanita pula. Wahai Shazlan, baik kau sedar
diri. Kalau kau pakar sangat, kenapa kau tak kahwin-kahwin?
Beberapa minit kemudian...
“Ha Najwa, raya nanti datanglah rumah. Kirim salam
dekat mak ayah ya.” Mak aku dan Najwa keluar dari dapur dan
menuju ke tempat kami.
“Insya-Allah cikgu. Abang semua, Najwa balik dulu
ya.” Najwa memandang kami, meminta diri dengan senyuman
manisnya.
Apa lagi, kami bertiga melopong melihat Najwa
menuju ke pintu. Macam dengar ada satu gol lagi masuk, tapi
kami buat tak peduli.
“Hei! Kamu bertiga ni buat apa pandang anak dara
orang? Tak baik tau!” Mak aku marah tiba-tiba.
Kami berlagak biasa.
“Eh, gol! Golll!!!” Aku, Joe dan Bob bereaksi lebih,
tak tahu hujung pangkal... sengaja coverline daripada mak
aku.
Setengah jam kemudian selepas kami menonton
perlawanan bola sepak pasukan favourite kami Chelsea
menentang Manchester yang sangat memuaskan hati serta
menghabiskan kuih sepit mak aku yang baru dia buat, Joe
dan Bob meminta diri.
“Lan, kami balik dulu tau. Dah nak malam ni, rumah
pun kami tak jejak lagi. Karang risau pula mak ayah kami tu.”
Joe meminta diri.
“Kami balik dulu tau, esok aku lepak sini lagi. Bye.”
Bob juga meminta diri.
“Cikgu, kami balik dulu...” Joe memekik meminta
izin pulang kerana tahu mak aku sibuk dekat dapur.
“Kejap, kejap.” Mak aku menegah.
Hai mak, takkan nak suruh Bob dan Joe tidur dekat
rumah pulak? Bilik aku dahlah bersepah, tak naknya mangkuk
dua ekor tu tidur dekat ruang tamu. Mesti nak sempit-sempit
tidur sekatil dengan aku juga macam dulu-dulu. Joe dan Bob
menunggu di kerusi luar.
“Nah, ni ada kuih sikit. Kirim salam mak ayah
kamu.” Mak aku memberikan tin biskut besar Khong Guan
yang berisi kuih kering, aku agak satu tin kuih baulu dan satu
lagi tin kuih sepit. Amboi, sorang dapat dua tin. Kalau dekat
bandar KL nuuu... satu tin besar macam tu, boleh cecah RM
100 ke atas untuk setin termasuk GST. Maklumlah, kuih-kuih
tradisional macam tu agak mahal sikit daripada kuih-kuih
tunjuk tu.
“Terima kasih cikgu, kami balik dulu,
Assalamualaikum.” Joe dan Bob meminta diri.
“Waalaikumussalam.” Aku dan mak aku menjawab.
Joe dan Bob menyalami tangan ibuku macam
menyalami tangan mak mereka sendiri, seperti yang
dimaklumkan, kami ni adalah 3 adik-beradik lain mak, lain
ayah.
Selepas melihat Joe dan Bob berlalu pergi dari situ,
aku dan mak naik ke atas. Aku sebenarnya nak usyar Najwa
kat mak aku, yalah kalau terlambat nanti melepas. Sajalah
aku tolong mak di dapur.
“Mak tengah buat apa tu, mak? Ada yang along dapat
bantu?” tanyaku tiba-tiba rajin.
“Ha, along dah telefon Shueib dan Azie? Bila
mereka nak balik? Raya dah nak dekat ni.” Itu pertanyaan
mak aku yang pertama. Aku agak mak aku tentu merindui
anak-anaknya itu. Yalah, mesti meriah rumah dengan suara
anak-anak buah aku tu. Baru ada feel raya tu. Aku faham, aku
faham.
“Dah, mak. Shueib balik lusa, Azie balik rumah
mentua dia dulu.” Jawapan skema aku untuk menyenangkan
hati mak. Biarlah hati mak tu tenang-tenang saja, isy, korang
macam tak biasa, kalau nak minta sesuatu tu kan mesti nak
baik-baik dengan mak kan?
“Ha, tadi kata nak tolong kan? Along ambil tepung ni.
Tolong ayak.” Mak aku menunjukkan tepung di sebelahnya.
Fuh! Adalah dalam 10 ke 15 kilo macam tu. Ini macam tugas
berat je, mesti mak nak buat kuih lagi.
Keranamu, Najwa! Setakat ayak tepung ni, sebelah
mata saja aku buat. Kalau mak suruh teman dia buat kuih
tu aku retikan ajelah, tapi kalau hasilnya tak macam kuih,
aku mengakulah awal-awal yang aku tak reti nak membentuk
kuih bagai tu. Segera aku buka plastik tepung tu dan ayak
satu per satu. Tiga minit kemudian, sambil memerhati mak
aku yang masih membuat kuih baulu, aku cari perfect timing
nak bertanya.
Fuh! Nak tanya ke tak ni, kalau tak melepas. Tapi
kalau bertanya nanti mesti mak gosipkan pula. Ah! Sebagai
lelaki yang dah dalam kategori bujang ter... lajak yang malas
aku sebut tu, aku mesti tanya! Aku kuatkan hati, aku makan
tiga biji kuih baulu yang baru masak ke dalam mulut ni
sambil mengumpul kekuatan.
“Mak, Najwa tu baik kan mak?” Tu dia... perkataan
pertama atau mukadimah a.k.a pembuka kata aku. Lembut,
suara konsisten dan tak ada tersekat-sekat.
Mak aku senyum-senyum, macam malas nak
menjawab je orang tua ni. Setakat retorik aku, rasanya mak
aku yang cikgu sastera dan bahasa dekat sekolah menengah
tu dah tahu apa yang aku nak cakap.
“Along suka dia ya? Mak boleh tolong tanyakan.
Nak?” Mak aku menjawab sambil memandang aku.
Fuh! Tak sangka respons yang sangat cepat. Sayang
mak sangat-sangat!
“Boleh ke, mak? Najwa tu tak terlalu muda ke?”
Aku pula ragu-ragu. Yalah, dulu time aku usik dia sampai
menangis tu agak-agak aku umur aku 15 tahun, yang si
Najwa tu pula dalam darjah satu atau darjah dua. Jangan
congak umur aku tau!
“Along ingat mak tak tahu along yang menangiskan
si Najwa time kecik-kecik dulu? Mak saja malas nak sebut...”
Fuh! Tu dia, kantoi, kantoi!!!
Rupa-rupanya mak aku memang tahu aku, Joe dan
Bob suka menyakat Najwa sampai menangis. Ni mesti ada
yang pecah tembelang ni. Aku agak-agak mesti Bob. Pantang
mak aku sogok dengan ayam goreng masa kecik-kecik dulu,
semua rahsia kami pecah di tangannya. Nanti kau Bob! Aku
seligi-seligi kau! Siaplah hang!
“Tak adalah mak. Itu dulu... saja mengacau dia,
manalah Lan tahu bila besar...”
“Dah cantik?” sambung mak aku.
“Mak ni... Lan tak pandailah nak bermadah-madah ni
mak...” Aku berterus-terang.
“Along suka dekat si Najwa tu atau tak?” Mak aku
bertanya soalan cepumas pula.
Tiba-tiba aku jadi anak dara pula, langsung tak
menjawab. Cuma senyum saja. Isy-isy Shazlan! Dua kali
dah kau menjatuhkan standard sebagai lelaki pilihan, kalau
masuk imam muda, sah-sah belum buka mulut dah kena
kick out. Nak berkahwin tu ertinya akan mengimamkan
isteri dan anak-anak, haruslah berani, tunjuk lelaki tu sikit,
bukan tunjuk yang lain... tunjuk keyakinan dan kekentalan
tu sikit. Meskipun hati kau tu macam tisu yang dah basah
lembik bila tengok drama-drama melankolik Korea tu. Tapi,
kalau part-part yang ini kau kena kuat, kena kuat macam
Cicakman! Eh! Superman! Ah... mana-mana ajelah.
“Ah... err... ya mak,” jawabku perlahan. Tepung yang
aku ayak dah tak tentu arah jadinya.
“Kan bagus kalau cakap awal-awal tadi. Mak faham.
Najwa tu pun budak baik, walaupun belajar dekat overseas
sana, tapi akhlak dan peribadi dia masih lagi kekal, malah
bertudung pula. Sebenarnya mak dah awal-awal tanyakan
dekat mak dia tempoh hari.”
Apa?! Mak aku sebenarnya dah tolong carikan
pasangan untuk aku. Isy-isy mak ni, ni zaman modenlah mak.
Mahu saja aku berteriak malu.
“Mak ni, malunya Lan... perlu ke sampai macam tu
sekali, mak?” tanyaku. Entah dekat mana aku nak letak muka.
Patutlah Najwa pandang aku semacam, asyik-asyik tanya aku.
“Nak ke tak nak ni? Along ingat mak tak tahu
jawapan along bila mak sebut pasal kahwin? Along tak malu
ke dengan adik-adik? Anak diaorang dah banyak, yang along
ni kahwin pun belum, mak pun risaulah juga kalau along tu
membujang sampai ke tua...”
“Isy mak ni, macam mendoakan pulak... Kata-kata
tu doa, mak. Eh, kalau mak dah tanya, apa kata mak Najwa,
mak? Boleh ke?” tanyaku ingin tahu.
Mak langsung tak jawab. Diam. Sepi.
“Mak?” tanyaku lagi. Lagilah langsung mak tak ada
bunyi, yang aku dengar bunyi cengkerik dekat belakang
rumah saja, sengaja mak aku berteka-teki. Mak langsung
tak pandang aku. Haih mak, langsung tak nak kompromi.
Baiklah, okey, biarlah aku membujang sampai tua... Okey
baik! Pasrah ni, pasrah!

No comments:

Post a Comment