Wednesday, 30 November 2016

Gila! Aku Suka Dia? - Bab 3

SUDAH dua hari aku cuba untuk bertanya kepada
mak aku apa jawapan ibu Najwa, tapi langsung mak aku
tak kompromi. Isy-isy mak, masih nak berahsia-rahsia lagi.
Entahlah, sengaja mak rahsiakan sebab berita kurang baik
ataupun sengaja mak rahsiakan sebab ia benda baik. Air muka
mak aku bukan senang nak baca. Maklumlah seorang cikgu,
dia sudah biasa berhadapan dengan pelajar bermasalah. Opss!
Bukan aku ya, aku hanya ada masalah, bukan bermasalah.
Eh! Bukan sama ke? Ah! Abaikan.
“Along, nanti tolong abah kau tu cari buluh lemang,”
pesan mak aku semasa sahur tadi.
Buk!
Aku dengar bunyi kelapa jatuh bersebelahan tingkap
bilik aku, maklumlah tidak jauh dari bilik aku tu ada pokok
kelapa. Bukan main aku terkejut, aku buka mata. Dah pagi ke?
Macam baru 10 minit aku tidur lepas sahur tadi. Kemudian
aku ambil telefon, aku agak-agak mesti baru jam 7 lebih sebab
matahari macam baru saja sipi-sipi naik. Sekali aku tengok
jam. Jam 9 kut! Apalagi, bergegas aku keluar.
“Mak... o... mak... Abah dah jalan ke?” Aku cari mak.
Aku tengok jam dekat ruang tamu. Baru aku ingat,
mak tengah mengajar dekat sekolah waktu macam ni. Sekolah
belum cuti lagi, raya Isnin depan. Aku cari abah, kot-kotlah
masih ada lagi, itu pun kalau ada, memang aku nasib baik.
Orang tua tu kalau ada kerja, awal pagi lagi dah kerja.
Aku buka pintu hadapan. Punyalah terik matahari.
Manalah jodoh tak berat, matahari atas kepala baru nak
bangun. Adoi!
“Anak bertuah, baru nak bangun...” Abah aku yang
baru sampai dengan motosikal dan buluh-buluh lemangnya
menyapa.
Aku senyum pahit.
“Err... kenapalah abah tak kejutkan along tadi?”
Sengaja aku ambil alasan.
“Amboi, amboi. Salahkan abah pula. Dah, cepat
tolong abah, ambil semua buluh ni. Miang ni, pakai sarung
tangan tu,” arah abah aku.
Aku segera turun, kalau tidak memang habislah
aku kena bebel. Aku ambil semua buluh lemang tu. Aku
pindahkan ke tepi tangga untuk dibersihkan.
“Cukup ke ni abah?” tanyaku pantas.
“Amboi, banyak ni tak cukup lagi? Nak buat apa
banyak-banyak, membazir nanti...”
“Bukan apa, murid-murid mak ramai yang balik
kampung tahun ni. Joe dan Bob pun balik, takut tak cukup
pula...”
“Ala... tak cukup bawak balik bandar nuu... la tu
kan??” Pandai betul abah aku meneka, aku senyum-senyum.
“Kalau nak banyak, pergi cari buluh dekat hutan
sana, banyak lagi abah tengok tadi. Ramai juga orang
kampung dekat sana tadi tapi mungkin dah balik agaknya.”
“Okey, kejap. Along bawa masuk semua ni dulu,
lepas tu along pi...”
“Ha, abah nak masuk dulu, dah berlengas badan
nih.”
Abah aku masuk ke dalam rumah. Fuh! Tengok
buluh-buluh lemang tu buat aku bersemangat. Raya tinggal
lagi beberapa hari. Inilah best dekat kampung, semua buat
sendiri. Tak adanya yang beli. Mak dan abah aku masih
mengekalkan tradisi dulu-dulu, malam raya nanti sah-sah
meriah dengan aku tukang bakar lemang. Tambah-tambah
ada Bob dan Joe, lagi best. Lepas selesai kerja aku, aku pergi
depan balik.
Aku tengok motor abah masih ada kunci, malas pula
nak ambik kunci kereta dekat bilik.
“Racing time!!!” Aku ketawa sendiri bila naik motor
abah, motor kesayangan tu. Kalaulah abah tahu, sah-sah
kena bebel macam budak kecik. Tapi, dah lama rasanya tak
merempit, maklumlah... dah lama tak naik motor.
Broom! Broom!
“Bertuah punya budak...” Abah aku tiba-tiba keluar
dan segera menyembur aku dengan kata-kata hikmat Super
Saiyannya.
“Abah, sekali sekala ni abah, bila lagi... halal ya abah?
Don’t worry, minyak along tanggung full tank. Boleh ya
abah?” Aku sengih-sengih pandang abah.
“Hmm... jangan belok-belok. Jangan merempit!”
pesan abah aku. Abah, muka budak suci murni ni pun boleh
dicap merempit, erm!
“Okey!”
Cepat saja aku sampai ke hutan yang selalu aku
pergi masa kecik-kecik dulu. Masih sama macam biasa.
Adalah sikit-sikit perubahan. Aku tengok beberapa orang
kampung yang baru nak balik sambil membawa buluh
lemang masing-masing. Sempat juga aku bertanya khabar,
maklumlah lama tak balik kampung.
Eh! Aku nampak seseorang di situ. Oh! Bakal mentua
belum pasti tu. Terus aku gerak mendekatinya.
“Assalamualaikum, Pak Hussin,” sapa aku sambil
melempar senyuman. Masa tu la aku harus menunjukkan
bahawa aku adalah ‘Menantu Pilihan’ tak ada yang lain, hanya
aku! Nasib baik aku pakai cukup sifat pagi tu.
“Waalaikumussalam. Kau ni Lan anak tok ketua
kan?” tanya Pak Hussin yang masih mengenali aku.
Nampaknya dia memang mark muka aku yang
agak-agak handsome nilah kan? Wah, ada harapan tu. Ke, dia
mark aku sebab selalu buli Najwa? Habislah... punah-ranah
harapan aku. Harap-harap Pak Hussin tak ambik kira hal buli
bagai yang pernah aku buat dulu tu, please... lembutkan hati
bakal pak mentua aku ni, doaku sekilas.
Sekarang ni Pak Hussin adalah penolong ketua
kampung, jadi memang selalulah jumpa abah. Mesti abah ada
cerita sikit pasal aku, harapnya yang baik-baik jelah.
“Haah, pak cik sihat?” tanyaku lagi.
“Alhamdulillah sihat, kalau tak, tak gerak ambik
buluh lemang ni ha...” jawab Pak Hussin. Terkena aku!
Aku tengok banyak juga buluh lemang yang Pak
Hussin tu dah kumpul. Ada juga rasa malu. Aku yang masih
muda belia ni baru nak datang cari buluh lemang. Eh, muda
ke?
“Pak cik balik dululah ya, nak mengangkut kelapa
sawit lagi di kebun tu ha.” Pak Hussin minta diri.
“Biar Lan tolong pak cik bawa buluh-buluh tu.”
Segera aku menawarkan diri membantu. Bakal ayah mertua
tu, haruslah tunjuk baik.
Oh! Najwa, demimu apa saja rela kulakukan. Isy-isy,
nak melankolik bagai pula. Tolong ada makna tu. Habis
pahala ikhlas aku bulan Ramadan ni.
Pak Hussin mengangguk. Aku bawa buluh-buluh
tu dan letak dekat lori Pak Hussin. Dulu, masa kecik-kecik
Pak Hussin hanya ada ladang kambing je sampaikan orang
kampung gelar dia Hussin Kambing. Tapi alhamdulillah,
berkat kesabaran Pak Hussin menanam kelapa sawit di tanah
pusaka, Pak Hussin boleh dikatakan antara yang berduit dekat
kampung ni. Malah, dia juga tukang bawa hasil kelapa sawit
orang kampung ke kilang, lagilah bertambah pendapatan dia.
“Terima kasih Lan. Pak cik pergi dulu, raya nanti
datanglah rumah,” pesan Pak Hussin.
Memang aku nanti-nantikan nak datang beraya ke
rumah Najwa tu walaupun tak dijemput. Aku perhati lori Pak
Hussin berlalu sampaikan aku hampir terlupa tujuan asal aku
ke sini.
“Najwa punya pasal sampai aku lupa nak ambil
buluh lemang...” Segera aku menebang beberapa batang
buluh lemang.
Lama jugalah aku buat benda tu semua, nasib
baiklah aku masih ingat lagi cara-cara nak buang miang
buluh. Manakan tidak, dulu pernah aku kena miang buluh tu,
dek nak jadi hero sangat, kan dah kena. Tergeliat-geliat aku
kat mak masa tu.
MALAM TU, aku terawih dekat surau macam biasa, sekali
dengan Bob dan Joe. Kalau dekat kampung ni, nak tahu orang
tu balik kampung atau tak, tak payah susah-susah, boleh
jumpa masa terawih. Itu yang aku jumpa semua kawan-kawan
lama aku. Terma ‘kawan lama’ di sini adalah kawan lama kat
dalam kelas dulu tapi lain geng.
Malam tu Zul, Saat, Meor, Jemi, semua ada... dan
semuanya sudah kahwin! Semuanya bertanyalah bila aku
pula nak naik pelamin. Seperti biasa, si bujang terlajak ni
akan menjawab... relaks dulu, tak puas lagi bujang (jawapan
bapak klise!), padahal jawapan sebenarnya adalah... aku tak
ada calon, macam mana nak kahwin???
Masa aku kena interview tu, Joe dan Bob sengaja
duduk jauh sikit masa moreh, bersembang dengan orang
lain. Pandainya diaorang! Akulah jadi mangsa ni!
“Kau nak kahwin umur 40 ke Lan? Anak kau 10
tahun, kau dah masuk 50...” sindir Jemi yang memang suka
menyakat aku dari dulu.
“Ala... lelaki umur 50 pun masih okey kut,” jawabku.
“Kau kahwinlah cepat-cepat, Lan. Bukannya kau
tu tak laku, kau tu yang memilih sangat... Ramai anak dara
dekat kampung ni kalau kau berkenan. Tijah, Melur, Sal, Siti,
ha... Najwa pun.” Meor duk promo dekat aku pula, macam
tau-tau pula aku duk berkenan yang hat last tu kan.
Lama juga perbualan aku dengan mereka semua.
Maklumlah, dah lama tak jumpa diaorang. Jemi cikgu dekat
Batu Pahat manakala Meor pula cikgu dekat Terengganu.
Aku tengok Bob dan Joe pun sibuk bersembang dengan
kengkawan lama.
Tiba-tiba aku nampak Najwa. Masa tu dia dengan
Milah, kawan lama dia. Cantiknya berbaju kurung. Apalagi,
macam cacing kepanasan aku pun follow mereka. Tapi
sebelum tu kenalah periksa area, tengok kiri kanan, nanti
kena tuduh pula terhegeh-hegeh kat anak dara orang. Ini
kampung, bukan bandar, jadi faham-fahamlah maksud aku.
“Assalamualaikum Najwa, Milah...” Aku dengan tak
tahu malu duk bagi salam.
“Waalaikumussalam, Abang Lan...” Najwa dan Milah
menjawab salam.
“Apa khabar Milah? Masih belajar lagi?” Tiba-tiba
mulut aku ni duk tanya khabar Milah pula. Janganlah bagi
nampak sangat yang aku usyar Najwa kan? Pandai makan,
pandailah simpan.
“Haah, masih belajar lagi dekat KL. Lagi beberapa
bulan habislah...” jawab Milah. Najwa pula hanya diam.
“Najwa okey?” tanyaku kepada Najwa pula.
“Okey.”
“Macam mana puasa?” tanyaku lagi.
“Okey. So far okey,” jawabnya malu-malu.
“Puasa dekat sini dengan puasa dengan sana sama
ke?” ligat pula aku bertanya.
“Sama saja, beza masa je sikit, tapi lagi seronoklah
dekat sini.”
“Abang Lan, Najwa. Milah dah sampai, Milah masuk
dulu tau. Assalamualaikum.” Milah meminta diri apabila
kami sudah sampai di depan lorong masuk ke rumah Milah.
“Waalaikumussalam Milah,” jawab aku dan Najwa
serentak.
Kebetulan rumah Milah tak jauh dari surau.
Alamak. Tiba-tiba aku jadi malu pula berjalan
dengan Najwa berdua-duaan. Ah, alang-alang aku hantar
jelah. Lagipun rumah Najwa tu dah boleh nampak.
“Abang Lan baliklah dulu, rumah Najwa pun tak
jauh lagi, dekat depan tu.” Najwa pula segan.
“Tak apa, biarlah Abang Lan hantarkan.” Sebagai
‘bakal suami’ kita perlulah tahu melindungi ‘bakal isteri’ kita.
Kita kena tunjukkan keberanian tu. Gulp! Macamlah aku
pernah hadir kursus kahwin.
Tak banyak yang kami berdua bicarakan sepanjang
jalan tak sampai 100 meter tu. Aku faham. Tak baik bukan
mahram berdua-duaan. Langkah Najwa pun laju macam tak
selesa. Aku hantar Najwa sampai depan rumah, kemudian aku
pun lalu ikut jalan tadi.
Tiba-tiba...
Angin agak kuat, seram sejuk pula aku. Kejap, bulan
puasa mana ada Kak Pon, Abang Cong, auntie, uncle dia
semua tu kan? Entah, aku pun tak tahu. Langkah aku laju je
nak sampai rumah.
“Hehehehe...”
Aku dengar bunyi orang ketawa di sebelah pokok.
Dahlah jalan tu gelap. Selalu aku dengan abah dan mak jalan
okey je. Bila sorang-sorang, rasa seram sejuk semacam pula.
“Lan... Lan... Lalan...”
Terbeliak bijik mata aku bila nama aku kena panggil.
Macam mahu berlari pun ada, tapi aku agak itu perasaan aku
saja. Aku toleh-toleh belakang, manalah tahu kan. Teringat
pula filem ‘Jangan Pandang Belakang’, seriau rasanya. Aku
jalan cepat-cepat. Makin aku jalan, makin pula rasa seram.
“Hehehe...”
Tiba-tiba ada benda putih depan mata, aku terus
pengsan!
“Lan... Lan... bangun, Lan... bangun...”
“Apalah kau ni Joe, kan aku dah cakap dia ni lemah
semangat... kau tak nak caya. Macam mana ni? Kita nak buat
apa?” Bob sudah bimbang.
“Macam mana apa? Terpaksalah kita sedarkan dia ni.
Sini, aku tahu macam mana nak bagi dia sedar.”
Joe ambik air yang dia bawa dan simbah kat muka
Lan.
“Itu air tehlah, Joe...” Bob cuba menghalang.
“Nak buat macam mana, ini je yang ada. Dah! Kau
jangan kacau!”
“Oh! Mak kau! Hantuuu!!! Hantuuu!!!” Aku terus
terbangun, berteriak pula macam orang sasau.
“Hei Lalan, tak ada makna nak hantu bagai-bagailah.”
Joe menepuk bahu aku, sempat pula hirup air teh kat tangan
dia.
“Oh... jadi kamu berdua yang buat ya? Kurang
asam betul! Seligi baru tahu! Habis baju aku kena air teh.
Kecik-kecik tak nak mampus, besaq menyusahkan orang,”
marah aku.
“Amboi, nak jadi hero konon hantar Najwa depan
rumah, lepas tu balik sorang-sorang takut pula. Dasar hero
lembik!” Bob mengata aku, sindirlah tu.
“Itu lainlah...” bidasku.
“Yalah tu. Dah nak malam ni, karang ada lawan bola.
Jom, malam ni kami stay rumah kau.” Joe mengingatkan
Chelsea ada main bola jam 2 pagi nanti.
Aku berdiri dan kami mula gerak. Nasib baiklah
aku ni jenis tak ambil hati sangat. Tapi Bob dan Joe memang
selamba gila kenakan aku! Memang nak kena backhand yang
teramat-amat mangkuk dua ekor ni! Geram gila aku!
“Cepat, hujan dah nak lebat ni!” Aku dapat rasakan
hujan sudah mula turun rintik-rintik dan semakin deras.
Kami jalan cepat-cepat. Joe dan Bob bukan main
ketawakan aku. Nantilah korang, ada ubi ada batas, ada hari
boleh aku balas. Sabo jelah.
“Hehehehe...”
Tiba-tiba kami bertiga terdiam.
“Eh, suara siapa pulak tu?” tanya Bob kepada kami
berdua.
“Kau Bob kalau tak bising tak boleh ke? Jangan
tegurlah! Kau tak ingat ke pokok besar ni, kan aku dah cakap
dari dulu,” marahku yang memandang ke sebelah kanan pada
pokok besar yang gelap. Masa kecil dulu, pokok tu memang
budak-budak akan elak kalau jalan malam. Kata orang ada
penampakan.
“Hehehe...”
Suara tu makin kuat dan makin mendekat.
“Larikkk...” teriakku.
Kami bertiga sudah jadi macam Usain Bolt, pelari
100 meter Olimpik tu. Kerana nak memudahkan pergerakan,
masing-masing dah buka kain sarung yang dipakai, bukan
main laju lagi kami lari. Kalau benarlah ada hantu, hantu
pun naik seriau pandang kami yang seksi-seksa time tu. (Tak
payah bayangkan ya, dilarang keras!)
Alkisah lepas malam tu... kami bertiga demam,
bukan demam sebab hantu, tapi demam sebab kena air hujan
yang lebat pada malam kami berlari tu. Nasib baiklah sehari
je demamnya. Apa pun, aku masih ingat dapat jalan dengan
Najwa malam tu. Seronoknya! Macam dunia ni aku yang
punya pula!

No comments:

Post a Comment