Wednesday, 30 November 2016

Gila! Aku Suka Dia? - Prolog






AKU tengok notification daripada Facebook.
Seorang lagi rakan universitiku yang kini berada di Kedah
akan mengakhiri zaman bujang. Zaman sekarang tak payah
pakai kad. Boleh buat Events dekat Facebook dan jemput
semua rakan-rakan. Tapi, tradisi menghantar kad jemputan
kahwin masih tetap ada. Macam-macam kad kahwin yang
diletak di tepi meja pejabat aku nilah. Semuanya cantik,
semuanya kreatif, pujiku sambil tersenyum.
“Kalaulah aku kahwin nanti, mesti aku nak tempah
kad yang cantik, yang lawa dan paling penting unik. Agak-agak
ada tak yang dah buat kad kahwin ala-ala kotak piza? Aku kut
orang pertama nak buat. Baru awesome!”
Ting!!! Messenger aku berbunyi. Segera kubuka.
Salam. Thanks add friend. Lama tak
jumpa. Dah kahwin?

Soalan ni selalu singgah di kotak Messenger bila aku
tambah rakan yang dikenali. Daripada rakan Tabika Kemas,
rakan sekolah rendah, rakan sekolah menengah, waima rakan
universiti yang lama tak jumpa serta crush-crush aku yang
aku tak berani nak cakap aku suka kau. Soalan klise ni selalu
membuatkan aku tergolong dalam spesies terancam!
Dan, selalunya aku hanya akan jawab dengan
emoticon pada setiap mesej seperti itu. Sebab aku tahu,
manusia ni lahiriahnya suka bercakap dan bertanya soal bila
nak kahwin. Bila nak ada anak bagai.
Satu perkataan yang melekat dekat dahi aku ni
adalah... Kahwin!
Aku selalu eja perkataan ni... k-a-h-w-i-n. Tapi bila?
Entahlah, desis hatiku malas mahu melanjutkan pertanyaan
yang belum mungkin ada jawapan sahih.
Tok! Tok!
Pintu pejabat aku tiba-tiba diketuk seseorang.
“Masuk!” arahku.
“Encik, kami nak pergi majlis kahwin Hairi minggu
ni. Nak follow tak?”
Aku tak pandang pun pembantu yang menjemput
aku sekali ke majlis kahwin salah seorang staf. Saja aku sibuk
membuat kerja-kerja di komputer.
“Maaf ganggu ya, encik...”
Perlahan-lahan staf itu tarik balik pintunya. Sebab
aku tak pedulikan, dia pun berundur terus menghilangkan
diri. Jangan salah anggap, aku bukan benci orang kahwin
atau orang mengajak pergi majlis kahwin. Aku cuma tak
selesa bila orang yang pergi kahwin tu nanti tanya, “Turn kau
bila lagi?”
Sungguh! Soalan itu menusuk kalbu orang-orang
bujang terlajak macam aku! Dalam dunia ni siapa tak nak
kahwin kan?

No comments:

Post a Comment