Tuesday, 22 November 2016

Jiwangnya, Mat Rock - Bab 10

MASUK hari ini, sudah tiga kali berturut-turut
Ummi menerima satu bungkus mi goreng mamak bersama
enam biji donat di atas meja kerjanya. Nota yang ditinggalkan
pada makanan tersebut tetap sama. Tukang makan
makanannya pun adalah orang yang sama.
“Nikmatnya dunia... Sedap gila donat ni, Cik Ummi.
Rugi tau Cik Ummi tak makan...” Kak Embam memenuhkan
mulutnya dengan cebisan terakhir donat bertopping coklat
milik Ummi.
“Saya tak larat nak makan semua ni, Kak Embam.
Lagipun, sejak akhir-akhir ni saya memang malas nak
berjoging,” ucap Ummi sambil memenuhkan gelasnya dengan
air putih. Tidak sanggup rasanya Ummi mahu menambahkan
lemak di dalam badannya. Lemak yang sedia ada pun liat
mahu keluar!
Di dalam bilik pantri ini hanya ada mereka berdua.
Kak Melati dan Mastura pula baru sahaja tadi melesapkan diri
menjamu selera di restoran nasi kandar yang berhampiran.
Nak cari angin baru kata mereka. Bosan dengan makanan
kantin.
Selalunya pada waktu ini, Ummi akan menghabiskan
masa rehatnya di bilik pejabat. Memandangkan Ummi sudah
punya makanan daripada si pengirim misteri, tidak salah
rasanya jika berkongsi rezeki bersama-sama dengan Kak
Embam.
“Cik Ummi tahu ke siapa yang bagi semua ni?
Jangan-jangan Datuk Zulkifli yang bagi kut?” soal Kak
Embam sambil menjilat jarinya yang agak tembam.
“Entahlah. Kalaulah ada orang buat jahat nak
mandrem saya pun, saya tak tahu. Dah ada rezeki ni... kita
makan ajelah, Kak Embam. Jangan banyak tanya.” Ummi
tergelak suka.
“Bukannya apa. Kalau dia yang bagi, senang nanti
nak ucapkan terima kasih nanti.” Kak Embam sambung
gelak.
“Eh, tapi kalau dia bagi makanan ni dengan niat nak
kahwin dengan saya macam mana pulak ni?” Ummi mula
berpeluh dahi memikirkan agenda lelaki itu. Takut nanti
terhutang budi pula.
Lagi satu, bagaimana Ummi mahu membayar harga
makanan ini? Buatnya Datuk Zulkifli datang menuntut
haknya macam mana? Tambahan pula, sejak kebelakangan
ini lelaki itu jarang menemuinya. Mungkinkan Datuk Zulkifli
ada niat lain yang tidak baik? Fikiran merepek Ummi mula
mempengaruhi minda Kak Embam.
“Ya tak ya jugak!” Baru Kak Embam terfikir.
Perutnya yang sudah kenyang itu bagaikan meragui status
kekenyangan tersebut. Kenyang kerana rasa bersalah atau
kenyang tanpa rasa apa-apa?
“Arghhh, biarlah. Selagi kita tak rasa waswas dengan
makanan ni, okeylah kut!” Ummi cuba menyedapkan hati
Kak Embam yang semakin ragu-ragu.
Kak Embam hanya tersengih macam siput sungai.
Mungkin ada benarnya juga kata-kata Ummi itu. Lagipun,
ini bukan kali pertama dia menghabiskan semua donat
kepunyaan Ummi. Perutnya yang ‘maju ke hadapan’ itu pun
tidak pernah menolak pelawaan Ummi. Si pengirim juga
macam tahu-tahu saja makanan kegemaran Kak Embam!
“Hurmmm... Cik Ummi, Cik Ummi...” panggil Kak
Embam dengan wajah manjanya. Dia mengeluarkan sesuatu
dari bahagian bawah meja makan. Baru dia teringat akan
dua keping tiket wayang yang diperolehinya secara percuma
menerusi pertandingan teka dan menang di kaca TV.
“Apa tu?” soal Ummi sebaik sahaja Kak Embam
menyorong dua keping tiket menonton wayang ke
hadapannya.
“Tiket wayanglah! Jom temankan saya malam ni...”
pujuk Kak Embam.
“Ala... Kak Embam ajaklah Cik Siti. Anak Kak Embam
yang sorang tu. Saya malaslah,” tolak Ummi. Mengapa Kak
Embam tidak pergi saja dengan anak perempuannya itu, kan
senang!
“Ini cerita orang dewasalah, Cik Ummi. Mana sesuai
untuk budak-budak kecik. Cik Siti nanti saya tinggalkanlah
dengan nenek dia. Bolehlah pergi dengan saya malam ni.
Please...” rayu Kak Embam lagi.
“Si Mastura... Kak Melati kan ada. Hah, tak pun Kak
Embam ajaklah Mat Rock. Rasanya Kak Embam sesuai sangat
dengan Mat Rock kita tu!” Ummi buat senyuman nakal. Mahu
mengenakan Kak Embamlah tu.
“Eee... tak naklah saya. Kalau dengan Cik Ummi
ngamlah! Ermm... jujurnya, saya nak pergi dengan Cik
Ummi. Bila lagi kita boleh bermesra-mesra macam ni?” Kak
Embam menggesel-geselkan tapak tangan di atas lengan
Ummi. Macam kucing gebu tunjukkan kasih sayang kepada
tuannya.
“Amboi, bab mengampu ni bagilah aje kat Kak
Embam. Yalah, yalah! Malam ni kita berhibur sama-sama,
ya?” Akhirnya Ummi memberi kata setuju. Terpancing juga
dia dengan rayuan Kak Embam.
“Inilah sebab saya sayang lebih kat Cik Ummi.
Sentiasa ada hiburkan hati saya ni.” Kak Embam ketawa
suka. Rasa terharu pun ada. Sungguh tak sangka Ummi
sudi menemankan janda kesepian sepertinya. Sekali-sekala
melepaskan tekanan dan mencari angin, tidak salahkan?
“Oh, dia dah start!” jerit Kak Embam secara tiba-tiba
sejurus terdengar bunyi yang kuat datang dari luar bilik
pantri. Terhenti terus ketawa Kak Embam. Punggungnya
yang berisi diangkat dari kerusi, segera meluru ke tingkap.
Ummi yang tadinya duduk tenang di atas kerusi, jadi
panik dengan tindakan drastik Kak Embam itu. Dia turut
sama bangun menuju ke tingkap. ‘Ada apa? Rumah terbakar
ke? Atau ada orang mengamuk?’ bisik hati Ummi yang cemas.
Ummi melepaskan keluhan panjang sebaik sahaja
ternampak susuk tubuh Uwais yang menari-nari sambil
menyorong mesin pemotong rumput di padang berdekatan.
Semakin terganggu emosinya dengan rupa Kak Embam yang
tersengih lebar sambil melambai-lambaikan tangan ke arah
Uwais.
Ummi melemparkan pandangan tepat ke arah Uwais.
Lelaki itu turut tersenyum-senyum macam kerang busuk
sambil mengangkatkan tangannya ke arah Ummi.
“Erk!” Ummi menjauhkan diri dari tingkap. Tidak
sangka dia boleh tertipu buat kali keduanya!
“Saya tak fahamlah dengan aktiviti tak bermoral
korang ni...” rungut Ummi sambil mengambil tempat
duduknya semula. Wajahnya yang macam ayam berak kapur
itu digosoknya dengan tapak tangan. Terasa pula panas
pipinya menahan malu.
“Biasalah, Cik Ummi. Dalam seminggu sekali,
kitaorang pasti duduk lepak kat sini tunggu show Uwais.
Rugilah si Melati dengan Mastura tak dapat tengok show
hebat ni!” jawab Kak Embam sambil matanya tidak lepas
merenung ke luar tingkap.
“Naik gila saya dibuatnya dengan perangai pelik
kamu semua ni!” Ummi menekup kedua-dua belah telinganya
dengan tapak tangan. Entah mengapa hatinya rasa begitu
terganggu dengan bunyi mesin pemotong rumput itu
Sungguh menyakitkan hati!
UWAIS QARNI menampar nyamuk pada pipi kanannya.
Dia duduk mencangkung dan menunggu di dalam semak
berhampiran dengan pintu pagar utama ini teramatlah
menyeksakan jiwa Uwais. Hampir merah belakang tumit
kakinya akibat digaru berkali-kali. Terasa gatal sungguh
dengan kesan gigitan nyamuk betina di hadapan rumah Haji
Arsyad ini!
Kalaulah Uwais tahu saiz nyamuk di rumah Haji
Arsyad sebesar ini, sudah tentu dia akan memakai pakaian
tebal. Baju T-shirt berlengan pendek yang dipakainya
sekarang ini pun tidak mampu melawan hembusan angin
malam. ‘Aduh, kenapalah aku tak berfikir panjang sebelum
datang ke sini?’
Uwais memeluk tubuhnya yang terasa kedinginan.
“Sampai hati kau Ummi, suruh aku tengok wayang dengan
Kak Embam...” rungut Uwais sambil anak matanya tidak
lekang merenung ke arah pintu utama banglo kediaman Haji
Arsyad.
Sebelum dia membuat pertunjukan memotong
rumput pada siang hari tadi, adalah Uwais mencuri di sebalik
tingkap perbualan Ummi dan Kak Embam. Dengarnya,
mereka mahu menonton wayang pada malam ini.
Tapi sekarang, sudah hampir setengah jam
Uwais menanti. Mengapa kelibat Ummi masih belum
muncul-muncul? Naik lebam biji mata Uwais dibuatnya.
Takkanlah mereka tidak jadi keluar menonton wayang pula?
Setelah hampir satu jam berperang dengan
nyamuk, baru pintu rumah Haji Arsyad dikuak perlahan.
Dari jauh, kelihatan Ummi melangkah keluar kemudian
menyarung kasut tumit tingginya. Uwais pun apa lagi? Pantas
memboloskan diri dari situ dan mendapatkan motosikal
Yamahanya yang diparkir tidak jauh dari rumah Haji Arsyad.
Jangan sampai tertangkap sudahlah!
Sebaik sahaja pintu pagar automatik dibuka,
Mini Cooper yang dipandu Ummi menyusur keluar
meninggalkan kawasan pekarangan rumah. Uwais yang dari
tadi menyembunyikan diri, cepat-cepat menghidupkan enjin
motosikalnya. Mengekori kenderaan yang dipandu Ummi dari
belakang.
20 minit masa perjalanan membawa Uwais sampai ke
sebuah bangunan apartmen bertaraf mewah. Dia membuntuti
Mini Cooper Ummi sehingga ke tempat parkir kereta bawah
tanah. Bagi langkah berjaga-jaga, Uwais memarkirkan
motosikalnya selang sepuluh biji kereta dari tempat Ummi
berdiri.
Tanpa membuka topi keledar, Uwais mengatur
langkah kakinya berhati-hati. Dia cuba menghampiri Ummi
dengan jarak yang lebih dekat. Terhendap-hendap di sebalik
sebuah kereta mewah bercermin gelap.
“Siang tadi cakap nak tengok wayang dengan Kak
Embam. Tapi, apa yang dibuatnya pula sampai kat sini?
Jangan-jangan nak jumpa orang tua miang tu kut?” omel
Uwais sambil memerhatikan tindak-tanduk Ummi yang
nampak tidak keruan.
Gadis bertudung litup itu kelihatannya seperti
gelisah. Berjalan setempat sambil menatap skrin telefon
pintarnya berkali-kali. Melihatkan wajah tidak keruan Ummi
itu, buatkan Uwais terfikirkan sesuatu. Sesuatu yang boleh
diklasifkasikan sebagai skandal!
Ada kemungkinan besar Ummi dipaksa keras oleh
Datuk Zulkifli untuk bertandang ke rumahnya. Ummi ini pun
satu, mudah sangat percayakan rayuan si tua gatal itu. Jangan
sampai Ummi terpedaya dengan Datuk Zulkifli itu sudahlah!
‘Isy, ini tak boleh jadi. Aku mesti selamatkan Ummi!’
tegas Uwais dalam hati. Dia menghentakkan penumbuknya
pada punggung kereta bercermin gelap tersebut. Geram betul
Uwais jadinya. Kalau benarlah Ummi dipaksa oleh Datuk
Zulkifli, Uwais perlu segera selamatkan dia. Jangan sampai
sesuatu yang buruk terjadi pada bakal isterinya itu!
Tidak sampai beberapa saat, tindakan spontan Uwais
itu menyebabkan alat penggera pada kereta mewah tersebut
berbunyi. Mendengarkan bunyi mengejut itu, pantas Ummi
berpaling.
Seorang lelaki bertopi keledar gelap kelihatan
kelam-kabut di sebalik sebuah kereta yang terletak kira-kira
sepuluh langkah dari Ummi.
“Hei, siapa tu?” jerit Ummi lantang.
Tidak sempat menunjuk muka. lelaki bertopi keledar
itu pantas bangun berdiri dan melarikan diri. Ummi dengan
pantasnya mengejar dari belakang. Tergesa-gesa berlari
dengan kasut tumit tingginya. ‘Apa yang dia nak? Siapa lelaki
tu?’ Ummi perlu cari tahu!
Uwais yang berada di hadapan lebih pantas
menyusun langkah seribu. Dia segera melompat naik ke atas
motosikalnya.
“Hei, apa kau nak, hah?” kejar Ummi. Melihatkan
lelaki itu menghadapi kesukaran untuk menghidupkan enjin
motosikalnya, lagilah buatkan Ummi bertambah bersemangat
mahu memburunya.
“Alamak, time genting macam inilah pulak kau nak
buat hal!” getus Uwais. Berkali-kali Uwais mengayunkan kaki
kanannya. Cuba menghidupkan enjin motosikal, namun tetap
tidak berjaya. Habis akal, Uwais turun dari motosikalnya. Dia
menyorong motosikal tersebut sambil berlari kencang keluar
dari kawasan parkir.
Termengah-mengah Ummi mengejar, akhirnya dia
mengalah juga. Ternyata, kudrat wanitanya tidak standing
dengan lelaki misteri itu. Ummi hanya mampu mengeluh
penat dalam hati. Patutlah dia rasa lain macam saja tadi.
Rupa-rupanya ada orang asing mengekorinya sampai ke sini.
Apa mahunya pun Ummi tidak tahu.
Jika benar niatnya mahu mencederakan, sudah pasti
Ummi berlumuran dengan darah sekarang ini. Entahlah,
nasib baik Ummi tidak cedera apa-apa. Telefon pintar di
tangan dihidupkannya tergesa-gesa. Segera mendail nombor
telefon Kak Embam.
“Kak Embam, saya dah ada kat tempat parkir ni.
Kenapa Kak Embam tak reply WhatsApp saya? Penat tau saya
tunggu kat sini?” soal Ummi sebaik sahaja menjawab salam
daripada Kak Embam.
Sebelum ini Kak Embam ada menelefon Ummi.
Katanya, dia tidak jadi hendak mengajak Ummi menonton
wayang. Anak perempuannya merajuk sakan dan tidak
membenarkan Kak Embam keluar dari rumah. Sebab itulah
Kak Embam mengajak Ummi singgah ke rumahnya. Dapat
menonton DVD cerita Barbie di rumah Kak Embam saja pun
jadilah!
“Sorrylah, Cik Ummi. Saya tengah memasak tadi,
tak perasan pulak ada WhatsApp masuk.” Kedengaran suara
ketawa daripada Kak Embam.
“Isy, Kak Embam ni! Nasib baik saya call tau. Kalau
tak, sampai berkulat saya tunggu kat sini. Mana rumah Kak
Embam ni?” soal Ummi agak lucu. Kalaulah dia tahu akan
jadi begini, sudah pasti dia menelefon Kak Embam awal-awal
tadi. Tidak perlulah dia membuang masa, berasa resah dan
gelisah menunggu di sini.
“Kalau macam tu, Cik Ummi naik lif, berhenti kat
tingkat 12. Rumah saya nombor 20,” beritahu Kak Embam
dengan ketawa yang masih bersisa. Maklumlah, ini adalah
kali pertama Ummi datang bertandang ke apartmennya.
Bukannya sengaja Kak Embam mahu membiarkan Ummi
menunggu lama.
“Okey, saya datang sekarang.” Ummi tersenyum
simpul. Hilang sudah rasa penat dan ingin tahunya terhadap
lelaki misteri tadi. Lantaklah, mungkin juga itu adalah orang
kurang siuman yang lari dari hospital sakit mental!
Oh, jangan dilupa! 12 keping donat yang menjadi
kegemaran Kak Embam di tempat duduk belakang kereta.
Donat yang dibuat sendiri oleh Ummi itu wajib dibawa
bersama. Kemudian dia segera mengatur langkah menaiki lif,
menuju ke apartmen yang dimaksudkan oleh Kak Embam.
Sampai sahaja di hadapan pintu apartmen, Ummi
disambut mesra oleh Kak Embam dan anak perempuannya,
Siti Nurain yang berusia tujuh tahun. Ummi dipelawa duduk
di atas sofa dan menikmati mi goreng yang terhidang di atas
meja.
“Mana senyuman Cik Siti kita yang merajuk sakan
tu?” usik Ummi setelah merebahkan punggungnya di atas
sofa empuk bersebelahan Siti Nurain. Siti Nurain yang
tadinya berwajah masam, kini tersenyum-senyum malu
bertentangan mata dengan Ummi. Melihatkan reaksi positif
anak tunggal Kak Embam itu, lagilah galak Ummi mengusik.
“Senyum macam ni kan bagus! Barulah acik
sayang...” Ummi merangkul lembut belakang tubuh Siti
Nurain.
“Acik, hari ni cikgu cakap yang saya dapat periksa
nombor satu!” Siti Nurain ketawa gembira. Segera membalas
pelukan dengan menghadiahkan satu ciuman kepada Ummi.
“Ooo... jadi, hari ni kita kena celebratelah kejayaan
Cik Siti kita ni!” Ummi menganga mulut. Buat-buat reaksi
terkejut. Suka betul melayan keletah kanak-kanak.
“Ya. Inilah budak yang selalu jealous dengan ibunya
sendiri. Menangis punyalah bagai nak rak! Tak nak tinggal
sekejap pun dengan nenek dia. Tapi, tak apa... sayang anak
punya pasal, ibu sanggup habiskan masa dengan Cik Siti
hari ni,” sampuk Kak Embam yang baru muncul dari dapur.
Membawa sejag jus oren dan memenuhkannya ke dalam gelas
mereka.
Teringat pula Kak Embam pada rayuan Siti Nurain
yang tidak mahu dihantar ke rumah neneknya pada petang.
Kata Siti Nurain, dia mahu menghabiskan masa bersama
ibunya di rumah. Raikan kejayaannya dapat menduduki
tempat pertama dalam peperiksaan. Jadi, atas sebab inilah
Kak Embam terpaksa menukar rancangan mereka saat-saat
akhir.
“Oh, ya Kak Embam! Sebab saya tau Kak Embam
suka makan donat... saya buatkan ini.” Penuh perasaan teruja
Ummi membuka bungkusan donatnya.
Kak Embam hanya tersenyum manis. Tidak pula
dia nampak begitu teruja dengan hadiah yang dibawa oleh
Ummi. Tak mengapalah, mungkin sekejap lagi Kak Embam
akan menjamah sedikit donatnya. Jadi, lebih baik Ummi
menghabiskan masa melayani kerenah mereka berdua.
Boleh juga hilangkan rasa bosannya. Ummi Nadzirah cuba
menyedapkan hatinya.
HAMPIR PUKUL sebelas malam, Ummi melangkah keluar
dari apartmen Kak Embam. Terasa puas menghabiskan masa
dan bersembang sakan dengan Kak Embam. Anaknya, Siti
Nurain yang agak pemalu itu juga kelihatan amat gembira
dengan kehadiran Ummi. Sebelum beredar, sempat juga dia
mengucapkan selamat tinggal kepada dua beranak itu di
hadapan pintu rumah.
“Acik datanglah lagi... nanti kita boleh tengok
cerita Barbie lagi...” pelawa Siti Nurain dengan wajah
malu-malunya. Menyalam tangan Ummi. Kemudian, kembali
menyorok di sebalik tubuh ibunya.
“Insya-Allah. Ada masa nanti acik jenguk Cik Siti,
ya? Cik Siti belajar rajin-rajin, tau!” Ummi ketawa suka
dengan gelagat si kecil itu. Dia mula mengatur kaki perlahan
meninggalkan mereka.
“Hati-hati ya, Cik Ummi? Dah sampai rumah nanti,
jangan lupa telefon!” Sempat juga Kak Embam berpesan.
“Ya. Terima kasih Kak Embam sebab belanja makan!
Saya balik dulu!” jerit Ummi dari jauh. Dia berjalan menuju
ke kotak lif sambil melambai-lambaikan tangannya. Berat
hati pula rasanya mahu meninggalkan mereka. Mungkin bila
ada masa terluang nanti Ummi akan kembali ke sini lagi.
Keluar sahaja dari lif, Ummi mendapatkan Mini
Coopernya. Mata Ummi meliar-liar ke kiri dan ke kanan.
Berjalan dengan penuh berjaga-jaga. Manalah tahu kot-kot
lelaki gila itu ada di sini lagi. Buatnya lelaki itu memang ada
niat jahat. Mahu merompak atau merogol. Boleh bikin aniaya
saja hidupnya kelak!!
“Bahhh!” kejut satu suara dari belakang. Pantas
Ummi mengayunkan beg tangannya ke arah lelaki itu.
“Nah, rasakan kau! Tak guna punya orang!” cemuh
Ummi sambil tangannya tidak henti-henti menghempuk kuat
bahagian atas topi keledar yang dipakai lelaki itu.
“Adoi! Cik Ummi, ini sayalah!!!” tengking Uwais
kuat. Lengan Ummi direntapnya kasar. Automatik, Ummi
menghentikan pukulannya.
“Errr... Mat Rock? Apa awak buat kat sini? Awak
mengintip saya ke?” Terjegil biji mata Ummi menyoal.
Melepaskan lengannya daripada terus dipegang Uwais.
Mungkin juga Uwaislah lelaki gila yang dikejarnya tadi.
‘Dasar Mat Rock psiko! Apa lelaki ni nak sebenarnya?
Tak puas-puas lagi ke menyusahkan hidup aku?’
“Kalaulah saya tak intip Cik Ummi kat sini, sampai
bila pun tak ada sesiapa yang tahu skandal Cik Ummi dengan
Datuk Zulkifli si tua miang tu!” serang Uwais.
“Skandal dengan Datuk Zulkifli? Apa maksud
awak? Saya tak faham.” Terkedu sebentar Ummi mendengar
tuduhan melulu Uwais itu.
“Eleh! Cik Ummi memang ada hubungan sulit
dengan Datuk Zulkifli kan? Mengaku sajalah! Tak sangka
betul saya... Cik Ummi yang bertudung litup, nampak sopan,
tergamak buat benda terkutuk dengan Datuk Zulkifli. Cik
Ummi ni memang perempuan murahan!” Uwais mencebikkan
bibir. Pandang Ummi dari atas sampai ke bawah dengan lagak
tidak puas hati.
“Hei, Mat Rock! Cakap jangan sebarang cakap.
Awak pernah makan nasi guna straw? Nanti saya hempuk
mulut awak dengan kasut ni baru tau?” Ummi membuka
kasut tumit tingginya. Pantang betul dengan fitnah yang
menjatuhkan martabatnya sebagai seorang wanita. Mahu
sahaja dibenamkan tumit kasutnya ke dalam mulut Uwais
sekarang juga!
“Habis tu? Apa yang Cik Ummi buat kat apartmen
mewah ni? Mengajar budak tua ABCDE sampai Z?” perli
Uwais dengan wajah sinis.
“Hoi, si gila! Awak ingat Datuk Z tu je yang boleh
duduk kat rumah macam ni? Saya pergi rumah Kak Embam
lah! Kalau tak percaya, pergi ketuk pintu rumah nombor 20,
tingkat 12!” jerit Ummi kuat.
Panas betul hati dengan lelaki di hadapannya ini.
Malas mahu melayan lagi, Ummi pantas menoleh ke belakang
untuk mendapatkan keretanya. Lebih baik tinggalkan saja
lelaki psiko bermulut durjana ini!
Belum pun sempat melangkah pergi, lengan Ummi
ditarik sekali lagi oleh Uwais.
Bap! Satu tendangan kuat hinggap betul-betul di
celah kelengkang Uwais. Nah, rasakan kuasa seorang wanita!
Automatik tubuh Uwais jatuh terjelepok ke atas lantai.
Menggeliang-geliut badannya macam cacing pita. Menahan
pedih akibat tendangan hebat daripada Ummi tadi.
Niat di dalam hati Uwais memanglah mahu meminta
maaf atas kekhilafannya. Tapi, belum pun sempat Uwais
bertindak sedemikian, ‘hadiah’ ini pula yang diberikan oleh
Ummi kepadanya.
“Aduh, sakitnya!” Hanya itu perkataan yang sempat
diungkapkan Uwais.
“Itu hadiah sebab fitnah awak yang tak berasas.
Macam mana... sedap???” perli Ummi dengan ketawa jahat.
Pantas dia meluru masuk ke dalam keretanya dan segera
memandu pergi.
Uwais yang ditinggalkan terbaring seorang diri itu
hanya mampu menahan senak di kawasan ‘terbabit’ dengan
wajah yang merah padam. Dalam kepedihan tersebut, sempat
juga bibir Uwais mengukirkan senyuman lucu. Mengenangkan
apa yang sudah berlaku tadi buatkan dirinya terasa bodoh.
Bodoh kerana terikut-ikutkan perasaan cemburu membuta
tulinya!

No comments:

Post a Comment