Tuesday, 22 November 2016

Jiwangnya, Mat Rock - Bab 9

“RELAKS, Ummi... Ingat tiga prinsip tu.”
Semakin kuat bunyi enjin motosikal Yamaha model lama
yang menghampiri kawasan parkir, semakin menggeletar
lutut kaki Ummi dibuatnya. Tidak sanggup bertentang mata
dengan lelaki yang mengaku mencintainya. Padahal, Ummi
sendiri pun tidak pernah mengenali nama sebenarnya. Jangan
sampai si Mat Rock atau si Jessica menyimpan dendam
sudahlah!
Ummi pantas menutup pintu kereta. Menjinjing
beg tangannya. Ekor matanya dijelingkan sekilas ke arah
Uwais di tempat parkir motosikal. Berdebar! Jangan sampai
bertembung. Nanti kaku tak tahu nak buat reaksi apa.
Uwais mematikan enjin motosikalnya. Kemudian
membuka topi keledar. Rambut kembangnya diikat kemas.
Perasan dengan kewujudan Ummi di situ, pantas Uwais
mengalihkan pandangannya ke arah lain. Pura-pura
tidak nampak. Rasa menyesal pun ada dengan apa yang
dikatakannya semalam.
Bukannya Uwais tidak rasa apa-apa. Sampai tidak
lena tidur malam dibuatnya. Asyik fikir perkara yang berulang.
‘Malu! Malu! Malu! Mana nak letak muka jantan
aku ni?’ Tapi, nasib baik Uwais jenis lelaki yang tidak pernah
mengenali erti putus asa.
Kali ini dia nak buat tidak tahu saja. Perlu lebih
berhati-hati dalam mengatur strategi. Gunakan helah halus
pula. Pura-pura macam tiada ada apa-apa perkara yang
berlaku antara mereka berdua. Bimbang nanti keadaan
bertambah teruk. Ummi semakin menjauh, dia pula yang
gigit jari nanti. Minta simpang!
MENJELANG WAKTU rehat, Ummi mengatur langkah
menuju ke bilik pejabatnya. Tangan kirinya memegang
secawan kopi yang baru siap dibancuh di pantri tadi.
Kemudian dia membuka tombol pintu bilik pejabat. Terbuka
luas biji mata Ummi sebaik sahaja melihat ke arah meja
kerjanya. Sejambak bunga ros merah berada di atas timbunan
fail-failnya yang berserak. Siapa pula yang berani menceroboh
masuk ke dalam bilik pejabatnya ini?
“Ini mesti Datuk Z yang punya kerja.” Ummi
mengecutkan bibir. Bagai boleh mengagak sahaja gerangan si
pengirim bunga. Tangannya menyeluk sekeping kad berwarna
emas dari dalam bungkusan bunga tersebut.
“Eee... merepek betullah orang tua ni! Bila masa
pulak aku janji nak kahwin dengan dia?” Makin geli-geleman
Ummi membaca isi kandungan kad tersebut. Kalau diikutkan
hati, mahu sahaja Ummi mencampakkan jambangan bunga
tersebut ke dalam tong sampah. Carik-carikkan kad tersebut
sampai jadi abu.
Membaca sepotong ayat itu berkali-kali sudah cukup
membuatkan Ummi termuntah hijau.
‘Kahwin dengan Datuk Zulkifli? Eh, tak berkenanlah!
Tengok cara lelaki gatal itu renung orang pun dah naik
berbulu tengkuk aku jadinya,’ leter Ummi dalam hati.
Tuk! Tuk! Pintu bilik pejabat diketuk. Seperti biasa,
wajah Kak Embam yang terjengul di muka pintu.
“Masuklah, Kak Embam. Jangan nak jadi James
Bond sangatlah!” Ummi tergelak lucu melihat reaksi kepala
Kak Embam yang kejap ada, kejap hilang di sebalik dinding
pintu. Curi-curi mengintailah tu!
“Amboi, Cik Ummi! Sejak bila dah ada secret admirer
ni? Tak beritahu kat saya pun.” Kak Embam menghampiri
meja kerja Ummi dengan senyuman meleret. Menikmati
haruman jambangan bunga ros merah yang memenuhi
rongga hidungnya.
“Banyaklah secret admirer, Kak Embam! Ini mesti
Datuk Zulkifli yang bagi. Tak tau malu sungguh!” cemuh
Ummi.
“Jiwangnya Datuk Zulkifli Cik Ummi ni...” Kak
Embam menggesel-geselkan jambangan bunga ros tersebut
pada pipinya dengan penuh perasaan terharu. Macam dia pula
yang mendapat hadiah tersebut.
“Cis, saya pantang betul bila dapat bunga! Inilah
teknik mengurat yang paling klise dan yang paling saya
menyampah sekali. Sikit-sikit bagi bunga. Sikit-sikit bagi
bunga! Bukannya boleh makan pun. Kalau betul dia tu jiwang
karat sekali pun... kasilah donat ke... mi goreng mamak satu
ke. Barulah boleh kenyang perut!” bidas Ummi dengan gaya
meluatnya.
“Betul jugak tu. Kalau dapat makanan, kenyang sikit
perut. Bunga dapat tengok sekejap je... lepas tu layu. Buang
dalam tong sampah,” sokong Kak Embam dengan senyuman
setuju. Baru terfikir akan logik dalam kata-kata Ummi itu.
“Ada apa ni, Kak Embam?” soal Ummi. Mula
ragu-ragu dengan kehadiran Kak Embam. Pasti ada sesuatu
yang ingin disampaikan oleh wanita ini.
“Kalau saya cakap ni, Cik Ummi jangan marah, ya?”
duga Kak Embam.
“Cakaplah cepat!” gesa Ummi.
“Eh, belum cakap lagi dah marah?”
“Ya Allah! Saya tak marah. Cakaplah cepat...”
Ummi cuba melembutkan nada suaranya. Kak Embam
membersihkan kerongkongnya sebelum bersuara.
“Dari pagi tadi saya duk perhati si Mat Rock tu. Dia
asyik diam je. Buat show potong rumput hari ni pun dah
nampak macam tak bermaya. Tak syoklah hiburan waktu
rehat kami kalau terusan macam ni, Cik Ummi,” luah Kak
Embam.
“Jadi, awak datang ke bilik saya semata-mata nak
usulkan hal ni je?” Agak aneh Ummi rasakan.
“Saya mewakilkan diaorang je. Diaorang yang suruh
Cik Ummi pergi tanya Mat Rock sendiri. Apasal dia jadi diam
macam tu? Entah-entah dia ada masalah peribadi kut?”
Semakin berat kebimbangan Kak Embam terhadap tukang
kebun mereka.
“Saya ni majikan dia je, Kak Embam. Bukannya
kaunselor tak bertauliah, nak tanya hal-hal peribadi macam
ni.” Ummi merebahkan punggung di kerusi empuk. Tidak
larat lagi rasanya mahu melayan perbualan mengarut Kak
Embam.
‘Ingatkan pasal apa tadi. Rupa-rupanya pasal Mat
Rock. Aduh, virus apakah yang Mat Rock sudah sebarkan pada
semua kaum Hawa di seluruh taska ini? Sampai semua orang
tak henti-henti memikirkan pasal dia. Termasuklah diri aku
sendiri!’
“Sebab Cik Ummi ni majikan kamilah, saya minta
tolong. Bolehlah, Cik Ummi. Please...” rayu Kak Embam lagi
penuh harapan.
“Sakit betullah kepala saya dengan masalah korang
semua ni. Yalah, ada masa petang nanti saya tanyalah dia.”
Ummi membetulkan duduknya.
Kak Embam tersenyum puas hati dengan persetujuan
tersebut. Dia segera meminta diri kemudian beredar dari
bilik pejabat.
Ummi melepaskan keluhan panjang. Sudahlah
masalah jodohnya masih belum selesai. Ditambah pula
dengan masalah orang lain. Hampir sahaja mahu pitam
Ummi dibuatnya.
‘Entah apalah yang mengganggu fikiran Uwais
sampai jadi pendiam begitu. Jangan-jangan disebabkan
kejadian di studio tempoh hari kut?’ Ummi hanya mampu
mencipta kesimpulan dalam kepalanya. Jangan sampai Uwais
berdendam lagi padanya sudahlah!
SETELAH TAMAT waktu sekolah, Ummi berjalan perlahan
keluar dari bilik pejabatnya menuju ke bilik stor. Mencari-cari
kelibat Uwais. Manalah tahu jika lelaki itu masih belum
pulang dan ada di sekitar kawasan sini lagi.
“Mat Rock. Hoi, Mat Rock!” laung Ummi di hadapan
muka pintu bilik stor.
Puas melaung, Ummi mengetuk pintu bilik stor
yang nampak usang itu pula.
“Manalah si Mat Rock ni...” rungut Ummi sambil
bercekak pinggang. Mungkin juga lelaki itu sudah pulang
ke rumah. Nampaknya, esok jugalah Ummi perlu bersemuka
dan berbincang dengannya.
“Mat Rock yang kacak dan baik hati tak ada kat dalam
tu. Dia ada kat belakang Cik Ummi ni, hah!” sapa satu suara.
Pantas Ummi berpaling ke belakang.
“Ya Allah! Kat sini rupanya awak. Penat saya cari
tau?”
“Cik Ummi cari saya? Ada apa hal ni?” Bersinar
terang mata Uwais apabila mendengarnya. Mungkin juga
Ummi terlalu merinduinya sampai sanggup mencari Uwais
sampai ke sini?
“Diaorang kata awak ada masalah. Tapi, pada saya
awak tak nampak macam ada masalah pun.” Ummi memerhati
dalam wajah ceria yang ditunjukkan Uwais pada ketika ini.
“Siapa cakap saya ada masalah? Saya tak ada masalah
apa-apalah, Cik Ummi. Cuma... sejak akhir-akhir ni saya rasa
sakit sikit je,” balas Uwais dengan gelak kecil.
“Sakit apa?” soal Ummi agak serius. ‘Adakah sebab
itu muka Uwais bermuram je? Sampai tidak senang duduk
Kak Embam melihatnya.’
“Ala... sakitlah. Sakitnya jatuh cinta...” Uwais
tersenyum manja.
“Hah? Jangan nak buat gilalah!” Merah padam muka
Ummi mendengarnya.
“Jangan nak perasan sangatlah. Bukannya saya jatuh
cinta dengan Cik Ummi pun.”
“Habis tu, dengan siapa lagi? Apa maksud awak
masa kat studio tempoh hari?” Entah mengapa soalan itu
juga yang terkeluar dari bibir Ummi. Hendak ditarik balik,
sudah terlepas sampai ke telinga Uwais. Punah sudah tiga
prinsipnya. Reda sajalah jawabnya!
“Berminat nak tau?” Uwais melepaskan jurus
senyuman memikatnya.
‘Dugaan apa pula kali ini?’ Ummi hanya mampu
menebalkan muka di hadapan Uwais. Terkelu lidahnya mahu
menjawab. Jika sekarang ini, Ummi punya sayap, mahu
saja dia segera terbang dan memboloskan diri keluar dari
pandangan mata lelaki ini. ‘Sakit hati betul!’
“Tempoh hari saya cakap main-main ajelah, Cik
Ummi. Itu pun nak ambik hati ke? Oh, Cik Ummi. Ada satu
perkara penting yang Cik Ummi mesti ingat...” Uwais mula
bermain kata.
“Apa dia?” soal Ummi agak kasar. Tercabar sungguh
keegoannya dengan sikap kurang matang Uwais itu. Jangan
fikir Ummi seorang wanita yang mudah dipermain-mainkan!
“Ingat... Cik Ummi jangan nak perasan sangat.
Segala apa yang saya cakap masa kat studio tu hanyalah satu
gurauan... Gurauannn...” bisik Uwais dengan nafas yang
panjang.
“Whateverlah! Saya nak balik! Malas nak layan orang
gila macam awak ni!” Semakin meluat Ummi jadinya. Dia
segera mengatur langkah kakinya beredar dari situ.
Sebelum Ummi dicop sebagai gadis perasan lagi,
lebih baik dia cepat-cepat melarikan diri. Ada baik jugalah
Ummi tidak menyembur Uwais dengan kata-kata kesat. Kalau
ya, sudah pasti esok Uwais segan mahu menunjuk muka!
“Eh, Cik Ummi nak ke mana tu? Banyak perkara
yang kita belum bincangkan lagi ni!” jerit Uwais dari jauh.
Namun, langkah Ummi lebih pantas. Terus menghilang
meninggalkan Uwais yang tersenyum-senyum macam orang
mabuk bercinta.
“Apalah nasib. Aku baru je nak tanya sama ada dia
suka makan donat ke atau mi goreng mamak...” ucap Uwais
dengan ketawa kecil.
Ternyata, misi mencuri dengar perbualan di sebalik
tingkap bilik pejabat Ummi tadi berhasil juga. Jika Ummi tidak
mahu bunga, Uwais akan berusaha mencari apa sahaja yang
dimahukan oleh gadis itu. Kalau disuruh bawa bangunan
KLCC ke dalam bilik pejabatnya pun Uwais sanggup!

No comments:

Post a Comment