Sunday, 20 November 2016

Jangan Cintai Aku - Bab 5

“TARIQ! Buka pintu ni! Mak su nak cakap
sikit!”
Tariq yang sedang duduk menyandar tubuh di kepala
katil sambil memejamkan mata bagi menenangkan perasaan,
bangun. Dia tuju ke pintu. Membukanya tanpa banyak soal.
Tahu Durrah sudah pun beredar dari rumah mereka melalui
deruman enjin kereta yang didengarnya beberapa minit lepas.
“Mak su nak cakap apa?”
Pergelangan Tariq ditarik menuju ke ruang tamu.
“Duduk.”
Tariq patuh.
“Kenapa Tariq buat macam tu dekat Kak Durrah
tadi?”
Diam.
“Tariq tahu tak Kak Durrah tu lagi tua daripada
Tariq?”
Diam lagi.
“Tindakan Tariq yang meninggi suara pada dia tadi
tu sangat tak beradab tahu tak?”
Tariq dongak akhirnya. Merenung ke dalam anak
mata Puan Safa.
“Habis tindakan dia yang suka-suka hati masuk
campur dalam hidup Tariq tu beradab pulak? Kenal pun
tidak, apa pun tidak, tiba-tiba terus masuk campur hal Tariq.
Dia siapa? Lagi satu, kenapa mak su cerita benda yang tak
patut diceritakan pada orang luar macam dia?”
“Tariq, Kak Durrah tu kenalan rapat mak su. Dia
bukan orang luar. Apa salahnya mak su kongsikan cerita ni
dengan dia?”
Tariq merengus.
“Tariq, Kak Durrah tu ikhlas nak tolong mak su, nak
tolong Tariq. Dia pun sama macam mak su juga, tak mahu
kepandaian Tariq masa di sekolah dulu jadi sia-sia. Sebab itu
dia mahu Tariq sambung belajar.”
Tariq pamer muka sinis.
“Tak ada maknanya dia ikhlas, mak su. Tariq tak
percaya. Tariq bukan siapa-siapa pada dia. Apasal dia tiba-tiba
nak tolong Tariq free-free pulak? Tentu dia ada harapkan
sesuatu sebagai balasan pada pertolongan yang dia nak beri
tu.”
“Durrah tu baik orangnya, Tariq. Mak su kenal dia.
Dia memang tak mengharap apa-apa balasan pun daripada
kita. Dia ikhlas nak bantu mak su, nak bantu Tariq lebih-lebih
lagi!”
“Ah! Kalau dia betul ikhlas, betul baik sangat, nak
bantu mak su, bantu Tariq, suruh dia bantu Ira sama! Suruh
dia tanggung kos pengajian Ira, bayar semua hutang PTPTN
yang Ira ambil selama ni! Kalau dia sudi buat macam tu, baru
Tariq akan setuju untuk sambung belajar semula!”
Tariq menonong masuk ke dalam biliknya semula.
Tidak menghiraukan laungan Puan Safa.
“DURRAH!”
Durrah yang sedang ralit bermain dengan seekor
kucing di cat room Coffee Cottage Cat Café di Subang Jaya
itu, mendongak separuh. Melihat Wafeeq yang baru hendak
duduk di sebuah meja sambil menunjuk dua cawan kopi yang
berada di tangannya, gadis itu tersenyum, seraya bangkit
bergerak mendapatkan lelaki itu.
“Thank you.”
Durrah duduk. Cawan kopi yang berada di depannya
dipegang, lalu dihirup sedikit. Anak mata hazelnya kemudian
bergerak memerhatikan gelagat beberapa ekor kucing yang
sedang bermain-main dengan pelanggan lain di cat room itu.
“How was it? Your meeting with Tariq?”
“Okey. Cuma air mata aku tiba-tiba mengalir masa
first time bertentang mata dengan dia tadi. Too overwhelmed
I guess, since I never thought that this day would come kan...”
Durrah jawab tenang, tanpa memandang Wafeeq. Ke
saat ini pun, dia masih rasa sukar untuk percaya sebenarnya.
Yalah, selama ini cuma khabar dan gambar Tariq sahaja yang
mampu didengar dan dilihatnya. Tak pernah pula Durrah
sangka hari di mana dia akan punya keberanian yang cukup
untuk bertentang mata dengan Tariq secara berdepan macam
tadi akan tiba.
Walau bagaimanapun, dia rasa gembira!
“Dia tak terkejut ke tengok kau menangis? Dia tak
tanya?”
Durrah menggeleng.
“Tapi agaknya mesti dia fikir aku ni weirdo. Aku siap
kena marah lagi dengan dia tadi kau tahu.”
Wafeeq kerut dahi.
“Kena marah?”
“Yup. Kena marah, sebab aku sentuh pasal arwah
umi dan abang long dia.”
“Kau...”
“Taklah. Aku tak beritahu dia apa-apa pun. It’s just
that masa tu aku tak puas hati sebab dia tolak tawaran aku
dan beritahu aku yang dia happy dengan cara hidup dia
sekarang. Jadi aku pun secara tak sengaja tersentuh pasal
benda tu. Aku cakap dia tak nak sambung belajar bukan sebab
dia happy dengan hidup dia sekarang, tapi sebab dia fikir dah
tak ada makna untuk dia kejar cita-cita tu memandangkan
umi dan abang long dia dah tak ada. Lepas tu apa lagi, dia pun
naik anginlah.”
Durrah membongkok tubuh. Mengusap-usap kepala
seekor kucing yang datang menggesel-gesel di kakinya.
“Jadi sekarang ni, memandangkan dia dah tolak
tawaran kau tu, apa plan kau yang seterusnya?”
“Entahlah. Aku pun tengah fikir macam mana nak
buat dia setuju. Tapi aku takkan putus asa. Aku akan pastikan
jugak dia terima tawaran aku tu.”
Wafeeq senyum.
“By the way, macam mana dengan Encik Adham ni?
Apa plan kau dengan dia pulak?”
Dengar nama Adham, Durrah mengerut wajah. Dia
tegak badan, merenung pelik wajah Wafeeq.
“Kenapa dengan dia? Dia tak setuju ke untuk
rahsiakan pasal aku tak datang tadi daripada pengetahuan
mama?”
Kali ini Wafeeq pula yang kerut dahi.
“Laaaa... kau tak baca WhatsApp aku ke tadi?”
Durrah geleng.
“Kau ada hantar WhatsApp baru ke? Aku tak
perasan.”
Wafeeq mengeluh kecil.
“Ni, dia bukan tak setuju untuk tolong kau rahsiakan
pasal kau tak datang tadi daripada pengetahuan mama kau.
Dia setuju untuk kunci mulut. Tapi...”
“Tapi apa?”
“Dia nak aku beritahu pada kau yang dia tak terima
penolakan kau ni.”
“Hah?”
Terkejut Durrah mendengar.
Dia tak terima penolakan kau ni,
sebab dia kata kau dah buatkan
dia tertarik untuk tahu lebih
lanjut tentang diri kau. I think he’s
interested in you, D.
UNTUK KESEKIAN kali, Durrah ulang baca WhatsApp
daripada Wafeeq yang tak sempat dibacanya siang tadi.
Berkerut-kerut dahinya. Masih rasa sukar untuk menghadam
hakikat bahawa lelaki yang cuba nak dipasangkan dengannya
itu tidak menerima penolakannya. Malah menyatakan pula
berminat untuk kenal dia dengan lebih lanjut.
“Macam mana pula dia boleh berminat pada aku
kalau jumpa aku pun tidak? Dahlah aku bersikap kurang ajar
sebab tak datang blind date tadi.”
Bibirnya menggumam sendiri. Tertanya-tanya
dengan respons pelik Adham. Selama ini, setiap kali hadir
ke blind date yang diatur, Durrah pasti akan dikutuk kerana
suka bersikap biadab. Ini dengan siap tak datang tunjuk
muka, boleh pula dia tiba-tiba dapat respons positif?
“Pelik betul lelaki ni.”
“Siapa?”
Durrah toleh ke belakang. Kemudian merengus
kecil.
“Kau ni Wan, boleh tak bagi salam dulu? Terkejut
Kak Dlah!”
Dzakwan sengih. Dia ambil tempat di gazebo
tersebut, duduk di sebelah Durrah.
“Siapa lelaki yang Kak D kata pelik tu?”
Dzakwan ulang tanya lagi.
“Tak ada siapalah. Ni kenapa tak tidur lagi? Dah
pukul 12 tengah malam dah.”
“Sebab tak mengantuk lagilah. Kalau Wan dah
mengantuk, nak pulak Wan duduk sini tengok muka Kak D?”
Durrah menjeling. Dzakwan sengih lagi.
“By the way, lewat Kak D balik hari ni? Dah pukul
10 malam baru sampai rumah. Seronok sangat berdating
dengan blind date ke siang tadi?”
“Ah! Tak ada maknanyalah! Kau pun tahu kan Kak
D tak mungkin akan terima calon yang mama nak kenenkan
pada Kak D?”
“Jadi, kiranya Kak D memang nekadlah untuk tak
mahu kahwin sampai bila-bila ya?”
“Yup.”
Dzakwan diam seketika.
“Kadang-kadang, Wan rasa kesian pulak dekat
mama.”
Komen itu menarik perhatian Durrah.
“Kenapa cakap macam tu?”
“Yalah... Kak D suka sangat tak dengar cakap dia.
Mesti mama frust, kan?”
Durrah senyum.
“Sebab tulah kau kena jadi anak yang dengar kata
mama, supaya mama tak frust dengan kau macam mana dia
frust dengan Kak D.”
Dzakwan senyum kelat.
KE KIRI. Ke kanan. Meniarap. Menelentang. Habis semua
posisi baring dicubanya, namun sejak 30 minit lepas, Tariq
masih belum mampu melelapkan mata. Asal dia cuba nak
memejamkan mata, wajah Durrah yang sedang mengalirkan
air mata tadi terbayang, membuatkan pemuda yang bakal
menginjak ke usia 22 tahun beberapa bulan lagi itu laju
membuka semula mata.
“Hesy!”
Tak puas hati, Tariq bangun daripada perbaringannya.
Direnung ruang di depannya dengan muka berkedut seribu.
“Argh! Stres! Kenapa asyik teringat muka perempuan
tu je ni?”
Bibir merengus kasar. Dilontar soalan tersebut
pada diri. Hatinya tertanya-tanya kenapa sang pemilik nama
Durrah itu tidak henti berlegar dalam kotak fikiran, sedangkan
mereka tidak pernah kenal pun selama ini. Tambahan pula
dengan pertemuan mereka yang tidak berakhir dengan begitu
baik siang tadi, Tariq jadi bingung!
“Sebab muka dia cantik ke?”
Tariq geleng kepala, laju menolak apa yang baru
meluncur di mulut. Ya, tak dinafikan, Durrah sememangnya
kelihatan manis dan menawan meskipun sudah ada garis-garis
penuaan yang terlukis di wajahnya. Tapi Tariq tak rasa itu
sebabnya, terutama renungan Durrah sewaktu mengalirkan
air mata siang tadi, boleh beri kesan yang sebegini mendalam
kepadanya.
‘Habis... kalau tak sebab tu, sebab apa pula?’
“Sebab aku marah dia sentuh pasal umi dengan
abang long ke?”
Marah. Ya, dia marah dan tersinggung bila Durrah
sentuh perkara tu, tapi hati kecilnya tak henti berbisik bahawa
itu juga bukan penyebab utama kenapa dia jadi begini. Ada
sebab lain yang dia tak dapat nak rungkai ikut akal fikirannya.
Tariq garu kepala. Menyepah-nyepahkan juntaian rambut
yang menutupi dahi. Jam dah menginjak ke angka 2 pagi,
dan esok, dia perlu kerja syif pagi. Tapi matanya enggan lelap.
‘Ini semua salah perempuan tu sebab menangis
depan aku tiba-tiba tadi!’ Tariq merengus. Sudahnya malam
itu, dia langsung tak berjaya lelap!
AIR SUSU itu diteguk separuh. Durrah kemudian menyudu
scrambled eggs ke dalam mulut. Senyap sahaja dia. Tidak
berbicara walau sepatah dengan Datuk Dayani yang juga
sedang bersarapan bersama di meja makan itu. Dzakwan di
sebelah pun ikut senyap.
“Tan Sri Fauzi telefon mama semalam. Beritahu
yang Adham nak kenal D dengan lebih rapat.”
Pecah sunyi. Terhenti sekejap suapan croissant
ke dalam mulut. Durrah kerling sekilas pada wajah dingin
mamanya.
“Well, that’s his problem. Yang D tahu, D tak
berminat dengan dia, dan D dah pun reject dia.”
Wajah Datuk Dayani mengeras sedikit, namun cuma
untuk seketika.
“Mama dah bagi nombor D pada Tan Sri. Adham
minta. Soon you’ll be hearing from him. Make sure to treat
him well.”
Durrah ketap bibir. Dia ingin bersuara, namun
jemarinya yang tiba-tiba digenggam seseorang buat wanita
itu menoleh ke sebelah. Dipandangnya Dzakwan, yang juga
sedang merenung ke arahnya. Renung yang Durrah tafsir
sebagai permintaan supaya dia tidak bertelagah dengan Datuk
Dayani.
Tidak sampai hati untuk buat adik bongsunya itu
hampa, Durrah akur. Dia melepas rengusan kecil. Sempat
menjeling Datuk Dayani penuh jelik.
PINTU OFIS ditutup rapat. Durrah ambil tempat di meja
kerja yang terletak berhampiran tingkap kaca. Dia letak bag
pack yang disandangnya ke tepi, lalu menyandar badan ke
belakang kerusi ergonomic yang sedang didudukinya.
Tok!!! Tok!!! Pintu diketuk.
“Masuk!”
Erdina muncul, dengan iPad di tangan. Dia mula
bacakan jadual kerja Durrah hari ini. Durrah pula setakat
pejam mata. Mendengar tanpa sebarang suara.
“Meeting dengan Gold Bakery petang ni pula ditukar
ke hari esok. Sebab...”
“Pagi-pagi lagi dah buat mood orang rosak.”
Gulp!!! Erdina yang tengah membaca jadual Durrah,
telan liur. Cepat matanya berkalih. Daripada skrin iPad, ke
wajah Durrah.
‘Alamak! Cik D macam tengah bad mood aje!’ Risau
Erdina dibuatnya.
“Yang awak stop baca tiba-tiba ni apa hal?”
Tak sempat Erdina lari pandang, Durrah tiba-tiba
buka mata dan merenung tepat ke arahnya. Terkocoh-kocoh
gadis itu sambung semula pembacaannya sekejap tadi.
“Itu sahaja jadual Cik D untuk hari ni.”
Durrah tegak badan. Merenung Erdina, dingin.
“Kiranya hari ni saya tak perlu keluar dari ofislah,
betul?”
Erdina angguk.
“Good. Now make sure it stays that way for the rest
of the day. Unless I ask for something, treat as if I’m not here,
understand?”
“Yes, Cik D.”
“Keluar.”
Cepat-cepat Erdina keluar. Takut kena marah.
CERMIN MATA hitam jenama Bentley diturun dari batang
hidung. Adham kemudian memberikan senyuman manisnya
ke arah penyambut tetamu Il Diletto.
“Hai...” Adham kenyit mata. Penyambut tetamu itu
tersipu malu.
“Saya Adham. Uhmm, Cik Durrah ada? Boleh saya
jumpa dengan dia tak?”
“Encik ada janji temu dengan Cik D ke?”
Adham geleng. “Tak ada.”
“Minta maaflah, Encik Adham. PA dia beritahu saya
tadi yang hari ni Cik D tak mahu jumpa dengan sesiapa yang
tak ada buat appointment dengannya.”
“I see...”
Adham angguk faham.
“Err... tapi kan cik, tak boleh ke kalau cik izinkan
saya naik ke atas dan jumpa dengan dia? Sebenarnya saya
datang nak ajak tunang saya tu lunch sama-sama.”
Bulat mata penyambut tetamu itu. Merenung Adham
yang tampak bersahaja dengan rasa terkejut.
“Tu... tunang? Ma... maksud Encik Adham, Encik
Adham ni tunang Cik Durrah ke?”
Adham angguk.
“Ma... maafkan saya, Encik Adham. Saya tak tahu Cik
Durrah dah ada tunang, dan Encik Adham ialah tunang dia.
Kejap ya? Saya telefon PA Cik Durrah untuk beritahu yang
Encik Adham datang.”
Lekas Adham menghalang.
“Eh, tak apa, tak apa. Tak perlu beritahu PA dia. Saya
nak surprisekan Durrah sebenarnya ni. Just give me the pass,
I’ll find the way myself.”
Nak beritahu PA Durrah? Gila! PA Durrah dah
tentu-tentu tahu yang Durrah tak ada tunang. Rosaklah
helah dia nanti!
“Err...” Penyambut tetamu itu teragak.
“Alaa, takkan tak boleh? Saya bukannya orang lain
pun. Tunang dia. Lagipun, saya rindu sangat dah dengan
Durrah. Dah sebulan kami tak jumpa sebab saya ada kerja di
US hari tu. Ni baru aje saya sampai Malaysia pukul 10 tadi,
terus datang sini sebab rindu punya pasal. Cik tak kesian
dekat saya ke?”
Adham buat mimik muka simpati. Dalam hati, dia
ketawa dengan tingkah sendiri yang lancar sahaja menuturkan
pembohongan. Entah dari manalah idea itu datang. Yang
Adham tahu, dia tak boleh biarkan kedatangannya ke Il
Diletto ini berakhir sia-sia. Dia nak juga jumpa Durrah!

No comments:

Post a Comment