Sunday, 20 November 2016

Jangan Cintai Aku - Bab 6

MATA Erdina yang tadinya terpaku ke skrin
komputer terkalih bila dia perasan kelibat seseorang yang
sedang melangkah mendekatinya. Terkejut atas kedatangan
tidak diundang itu, wajah PA Durrah berlapis seribu. Tertanya
bagaimana si lelaki yang baru menghentikan langkah di
hadapannya ini boleh dibenarkan naik ke sini, dan siapa dia.
“Hai! Saya Adham, dan jangan risau, saya bukan
orang jahat. Saya cuma datang ke mari sebab nak jumpa bos
awak, Cik Durrah. Dia ada dekat dalam, kan?”
Belum sempat Erdina nak tanya lanjut, Adham
terlebih dulu menonong ke pintu bilik bosnya. Kalut Erdina
bangun mengejar, cuba nak menghalang. Namun sayang,
pintu kayu itu lebih dulu dikuak Adham.
Wajah Erdina berubah kecut. ‘Alamak! Mati!’

TIBA-TIBA PINTU bilik dibuka. Durrah yang tengah menulis
sesuatu di atas kertas yang berselerak di meja, kerut wajah.
“Saya dah beritahu awak kan Er, saya tak mahu
diganggu.”
“Assalamualaikum.”
Tapp! Mendengar suara asing memberi salam,
pen jenama David Oscarson yang dipegang di jemari
kirinya serta-merta terhenti gerak. Durrah angkat wajah.
Berkerut-kerut dahinya. Renungnya juga langsung jadi tajam.
“Who are you, and why are you here?”
Adham senyum.
“Tak mahu jawab salam I dulu ke?”
Wajah Durrah makin berkerut.
“Who are you?”
Durrah pandang wajah Erdina yang baru muncul di
muka pintu pula.
“Who is he, Er?”
Erdina ketap bibir. Kecut, rasa senak perut dia
dengan renungan Durrah yang tajam itu.
“Err, saya tak tahu, Cik D. Dia tiba-tiba muncul
dan...”
“I was the man from yesterday’s blind date, Miss
Durrah. The name’s Adham.”
Wajah Durrah mengerut.
“I NI handsome sangat ke?”
Durrah kerut dahi.
“Excuse me?”
“Tak adalah. Sejak I duduk dekat sofa ni 5 minit lepas,
you asyik renung I je. Tulah I terfikir, muka I ni handsome
sangat ke sampai you tengok I macam tu sekali?”
Durrah senyum sinis. ‘Narsisistik juga mamat ni
kan!’
“I tengok you bukan sebab you handsome, tapi sebab
I pelik kenapa you boleh tiba-tiba tak malu datang ofis I ni.
I thought I made everything clear yesterday. Kawan I dah
cakap kan yang I tak mahu terima you untuk jadi suami I?”
“Tapi kawan you tu juga dah beritahu pada you
kan yang I tak terima penolakan you tu? Malah I yakin ibu
you pun dah beritahu you yang I berminat untuk kenal you
dengan lebih dalam, kan?”
Durrah menjeling.
“Maaf. You berminat ke tak berminat ke, itu bukan
masalah I. Yang I tahu, I tak berminat dengan you,” tegas
Durrah lagi.
Adham ketawa kecil. Menggeleng perlahan penuh
kagum dengan bicara Durrah yang terlalu terus terang.
“Hmm, you ni orangnya direct kan? Tak kisah pun
sama ada orang yang you beritahu tu akan rasa kecil hati ke
tak, you cakap aje apa yang you nak cakap.”
“Dah tu, benda dah memang betul, I cakap jelah.
Takkan I nak berpura-pura pulak?”
Durrah tak suka berkias-kias semata-mata nak
jaga hati orang. Dia jenis yang terus terang bila berbicara,
sekalipun terkadang, tutur katanya yang tak berlapik itu
boleh buat orang lain berkecil hati. Lagipun, memang Durrah
harap Adham akan kecil hati dengan dia. Adham nak marah
pun Durrah kisah apa. Dia lagi suka adalah. Sebab bila Adham
marah, tak adalah lelaki itu akan ganggu dia lagi!
Durrah berdeham sedikit.
“Anyways, since you dah faham yang I tak...”
“I datang ni sebenarnya sebab nak usulkan sesuatu
pada you, Durrah.” Adham tiba-tiba potong.
“I tak berminat.” Durrah buat muka tak ada perasaan.
Adham senyum. “You tak nak dengar dulu?”
“Tak nak.”
“Tapi usul I ni akan buatkan you tak perlu lagi terus
dipaksa menghadiri endless blind dates yang mama you
aturkan untuk you tau. Betul you tak berminat?”
Durrah pamer wajah sinis. ‘Heh! Ingat aku tak tahu
dia nak usulkan apa?’
“Mesti you nak suruh I pura-pura couple dengan
you, kan?”
“Eh! Mana you tahu?” Terkejut Adham. Tak
sangka pula Durrah boleh teka dengan tepat usul yang nak
dicadangnya! ‘Boleh baca fikiran orang ke apa perempuan ni?’
hairan Adham.
“Tak susah pun untuk I agak. Apa lagi benda yang
akan buatkan Datuk Dayani berhenti daripada paksa I
daripada menghadiri semua blind date tu melainkan bila dia
tahu I dah ada teman istimewa?” Durrah senyum sinis.
“Hmm, betul juga kan.” Adham angguk-angguk.
“Look. Usul you tu mungkin akan hentikan mama I
daripada terus mengaturkan blind date untuk I, tapi ia akan
bawa kepada masalah lain, iaitu I pastinya akan didesak untuk
kahwin dengan you. I tak mahu benda tu jadi. Berbanding
kena paksa kahwin, lebih baik I attend blind dates yang
mama I aturkan. Sekurang-kurangnya I tak perlu nak kahwin
dengan siapa-siapa.”
“Lagipun I tak ada masa nak terlibat dalam lakonan
yang tak ada makna ni. Berpura-pura seperti kita ni pasangan
kekasih? I bukannya watak dekat dalam novel, Encik Adham.
I tak segila tu untuk buat kerja gila macam ni.”
Adham senyum.
“Kalau I kata yang kahwin paksa tu takkan jadi?”
Berkerut sedikit dahi Durrah.
“Maksud you?”
“Well, to tell you the truth, sebenarnya kita berada
dalam keadaan yang sama. Ibu bapa I pun sibuk suruh I
kahwin cepat-cepat, memandangkan I sekarang dah 34 tahun
kan. Selalu juga I dipaksa hadiri blind dates macam you. But
the thing is, I, seperti juga you, tak berminat untuk kahwin.”
“You ni gay ke?”
Terhambur tawa Adham. Tidak tersinggung, tapi rasa
kagum dengan bicara Durrah yang terlalu lancang! Memang
selamba katak sungguh perempuan ni!
“Hanya kerana sebab I tak berminat untuk kahwin,
you label I sebagai gay? You tu? Tak mahu kahwin, sebab you
lesbian ke?”
Durrah kerut muka. Tak senang dengan telahan
Adham. Adham ketawa lagi, namun kali ini tidak sekuat tadi.
“I’m straight, FYI. I bukan gay. I tak berminat untuk
kahwin sebab I lebih sukakan kehidupan I sebagai seorang
lelaki bujang. Bebas nak ke sana ke mari, tak ada siapa nak
mengongkong. You pun selesa hidup solo macam sekarang ni
sebab you nak hidup bebas, betul tak?”
Durrah diam. Tidak mengiakan dakwaan itu kerana
ia jelas lari daripada punca sebenar dia memilih untuk tidak
berkahwin. Namun untuk menafi pula, dia terlalu malas.
Durrah tak mahu ditebak soalan bukan-bukan oleh lelaki
yang tidak dikenalinya ini.
Penyudahnya, Durrah angguk.
“So sekarang ni, Cik Durrah... apa kata kita tolong
antara satu sama lain? Jadi pelakon utama untuk skrip yang
ala novel ni. Pura-pura sebagai pasangan kekasih di hadapan
famili kita, supaya mereka takkan suruh kita hadiri blind
dates lagi. Tapi, yang membezakan kita dengan jalan cerita
dekat dalam novel tu ialah hubungan kita tak perlu berakhir
dengan perkahwinan. Why? Because we both have the same
view on marriage. Tak berminat.”
Durrah termangu.
“I BAGI you masa untuk fikir tentang perkara ni. Once you
have the answer, you can call me anytime you want.”
Nombor Adham yang sudah tersimpan di dalam buku
telefon di iPhone sejak siang tadi, direnung buat beberapa
ketika. Durrah kemudian kunci skrin. Dari beranda biliknya,
dia buang pandang ke langit malam.
“Betul ke dia memang tak berminat nak kahwin?
Takkan dia tak teringin nak ada anak sendiri?”
Timbul soalan itu di kepala. Cadangan Adham yang
mahu mereka berpura-pura jadi kekasih itu memang satu
jalan penyelesaian yang cukup bagus andai dia tidak mahu
terus dipaksa menghadiri blind dates yang mamanya aturkan,
namun, Durrah rasa ragu pula. Dia tak pasti sama ada Adham
benar-benar maksudkan yang dia sememangnya tak berminat
dengan institusi perkahwinan, atau... Adham sebenarnya
sedang cuba menjerat dia ke dalam muslihat yang dia sendiri
tidak tahu apa.
“Tapi macam tak nampak pulak yang dia ada agenda
tersembunyi.” Durrah tukas sendiri.
ADILA KERUT wajah sebaik saja Adham habis bercerita.
Direnungnya wajah adik kembar tak seirasnya itu dengan
rasa tak percaya.
“Kau kata dekat dia yang situasi kau pun lebih
kurang dengan dia? Tak berminat dengan perkahwinan, tapi
didesak untuk cari calon isteri cepat-cepat oleh mummy dan
daddy? Jadi sebab tu kau nak ajak dia jadi kekasih olok-olok
kau?”
Adham angguk-angguk.
“Bijak tak aku ni? Bijak, kan?”
Sebenarnya, Adham bukan tak mahu kahwin. Malah,
Tan Sri Fauzi dan Puan Sri Zahra, daddy dan mummy dia
pun sebenarnya tak pernah desak dia supaya kahwin cepat,
jauh sekali paksa dia hadiri blind dates seperti apa yang Datuk
Dayani buat kepada Durrah. Adham sengaja khabarkan begitu
kepada Durrah siang tadi, sengaja nak pancing minat wanita
yang berusia sebaya dengan dia itu.
Nak buat macam mana? Itu sahaja cara yang dia ada
untuk merapatkan diri dengan Durrah. Kalau dia tak beri
jaminan yang kononnya dia tidak berminat dengan institusi
perkahwinan, Durrah akan menolak terus tanpa menimbang!
“Tahu dek mummy dengan daddy, naya kau!” Adila
geleng kepala.
“Alah, kalau kau tak beritahu, mummy dengan
daddy takkan tahu, betul tak?”
Adila geleng lagi. Apa nak jadilah dengan adik
kembar tak seirasnya ni? Buat kerja merepek! Banyak sangat
masa terluang ke apa?
“Macam manalah kau boleh terfikir idea merepek ni,
Ad? Kut ya kau berminat nak kenal dengan dia pun pilihlah
cara yang normal sikit. Ni tak, ada pulak pergi ajak dia
berlakon jadi kekasih bagai. Kau nak tukar profession ke apa
ni? Daripada veterinarian kepada pelakon?”
“Hmm, okey jugak idea kau tu. Mana tahu aku
dapat jadi pelakon popular macam Aiman Darwish tu ke kan?
Silap-silap lagi popular daripada dia. Yalah, aku kan lebih
handsome, lebih macho daripada dia.”
Adham buat muka berlagak. Adila yang melihat
juling mata ke atas. Rasa nak muntah dia dengar pujian
masuk bakul angkat sendiri lelaki itu!
“Huh, perasan! Aiman Darwish tu berbilion kali
ganda lebih handsome daripada kau tau?”
Adham terkekek-kekek.
“Cik Durrah tu cantik tak Ad? Dalam gambar tengok
hari tu macam cantik.”
Adila jongket-jongket kening. Merenung adik
kembarnya ingin tahu.
“Entahlah. Biasa aje kut. Tapi tak tahulah kenapa,
lepas jumpa dengan dia tadi, hati aku ni makin tertarik pulak
nak kenal dia lebih rapat.”
Adham sendiri pun tidak memahami kenapa dia
rasa begini. Tak pernah-pernah ada perempuan yang buat
rasa ingin tahunya untuk mengenali mereka membuak-buak
sebagaimana Durrah. Mungkin sebab dia tertarik dengan
tingkah dan lagak gadis itu siang tadi agaknya.
“Hmm, teringin pulak aku nak jumpa dia face to
face, Ad. Apa kata kau ajak dia lunch dekat restoran aku ni?”
“Hesy! Gelojoh sangat kau ni. Dia belum pun setuju
dengan offer aku tu, takkan tiba-tiba nak ajak dia jumpa
kembar aku pulak? Mesti dia akan rasa tak selesa kalau
tiba-tiba aku bawa dia jumpa kau. Lagipun, kau tu dahlah
busybody tahap tak ingat dunia. Kejap lagi elok-elok aku
dengan dia boleh jadi kawan, tak pasal-pasal dia langsung tak
mahu jumpa aku dah.”
Adila cebik bibir.
“HELO, ASSALAMUALAIKUM anak mak.”
Senyum terus terukir di bibir Bahira saat mendengar
suara Puan Safa di hujung talian.
“Waalaikummussalam, mak. Mak tengah buat apa
tu? Sihat?”
“Sihat, alhamdulillah. Mak tengah jahit baju orang
ni, sayang. Ira tengah buat apa tu? Sihat ke?”
“Sihat. Ira tengah study untuk exam subjek terakhir
Jumaat ni. Tapi Ira tak dapat fokuslah, mak. Ira asyik fikir nak
balik aje ni.”
Bahira merengek manja.
“Alaa, sabarlah Ira. Lusa tu tak jauh mana dah.”
Bahira sengih-sengih.
“Tariq apa khabar, mak? Sihat? Dia ada kat rumah?”
“Tariq sihat. Dia ada tengah tengok TV dekat depan
tu. Ira nak cakap dengan dia ke?”
Bahira geleng perlahan.
“Tak apalah, mak. Nanti Ira balik cuti ajelah Ira
sembang dengan dia puas-puas.”
“Hmm, tak apalah kalau macam tu. Tapi nanti kan,
bila Ira balik, Ira cuba pujuk dia supaya sambung belajar
semula boleh?”
Bahira kerut wajah.
“Eh? Kenapa tiba-tiba aje nak Ira pujuk Tariq supaya
sambung belajar ni mak?”
Puan Safa kemudian buka cerita tentang Durrah dan
niat wanita itu yang mahu membiayai Tariq sambung belajar.
Tapi dia tak beritahu semua benda. Dia putar belit sedikit
identiti sebenar Durrah ikut apa yang dia rasa sesuai supaya
Bahira tak syak apa-apa.
“Oh... macam tu ke?”
Bahira angguk-angguk kepala. Fahamlah dia kenapa
soal ini tiba-tiba ditimbulkan ibunya setelah sekian lama ia
berkubur. Rupa-rupanya sebab ada insan baik hati yang nak
membantu Tariq sambung belajar.
“Nanti Ira pujuk dia ya?”
Bahira ketuk-ketuk jari di atas meja.
“Tapi mak, Tariq tu kan degil orangnya. Mak pun
tahu kan?”
“Mak tahu. Tapi Ira cubalah dulu ya? Ira kan rapat
dengan dia. Sayanglah Ira kalau Tariq tak mahu terima
tawaran kenalan mak tu. Rugi sangat sebab peluang dah ada
dekat depan mata kan.”
“Yalah, yalah. Nanti Ira balik, Ira cuba pujuk dia. Tapi
Ira tak janji apa-apa tau.”

No comments:

Post a Comment