Tuesday, 22 November 2016

Jiwangnya, Mat Rock - Bab 2

CUTI hari minggu sudah tamat. Awal pagi lagi
Ummi sudah ke taska. Menjadi seorang guru dan pemilik
sebuah taska, bukannya tugas mudah. Banyak perkara
yang perlu diambil kira. Taska Harapan Ummi ini sudah
dikendalikannya sejak lima tahun yang lalu. Itupun atas
bantuan kewangan abahnya. Bolehlah dia memanfaatkan dan
membantu kanak-kanak di sini.
Nama taska ini diambil sempena namanya sendiri
‘Ummi’. Perkataan ‘Ummi’ ini pula dirasakan lebih sinonim
terhadap ibu. Sebab itulah Ummi memilih nama tersebut
bagi mengingatkan kembali arwah ibunya yang sudah hampir
15 tahun meninggal dunia akibat kanser ovari.
Pelajar-pelajar di taska ini pula terdiri daripada
kanak-kanak yang berumur dalam lingkungan seawal empat
sehingga enam tahun. Nasib baik Taska Harapan Ummi
ada pekerja bertauliah seperti Kak Embam, Kak Melati dan
Mastura. Bolehlah membantu Ummi serba sedikit.
“Cik Ummi dah sarapan? Kalau belum, saya nak
belanja,” soal Mastura sebaik sahaja ternampak Ummi berdiri
di hadapan pintu bilik pejabatnya.
“Tak apalah Mastura. Saya dah sarapan kat rumah
tadi,” jawab Ummi lembut.
“Cik Ummi tak nampak apa-apa perubahan baru ke
kat saya ni?” Mastura mengibas-ngibaskan tangan kanannya.
Menayang cincin belah rotan yang tersarung di jari manis.
Wanita muda berambut lurus paras bahu itu
kadangkala suka menunjuk. Ada saja perkara yang nak
ditonjolkan di hadapan Ummi. Kalau bukan baju baru, mesti
kasut baru yang ditayangnya. Sebagai majikan, Ummi pun
memang dah lali sangat dengan perangai Mastura. Pantang
dipuji, jadi kembang kempislah hidungnya nanti.
“Apa dia? Baju baru ke? Ke... Mastura dah beli selipar
baru?” soal Ummi. Berpura-pura tidak tahu sambil melihat
tubuh Mastura dari atas sampai ke bawah. Memangnya
Ummi sengaja ingin menguji. Dalam kepalanya memang
dah dapat mengagak. ‘Ini mesti cerita semalam. Kes mahu
menunjuklah tu!’
“Ini cincin bertunanglah! Cik Ummi tak nampak
ke?” kata Mastura. Tergedik-gedik sambil tersengih, tanda
syok sendiri.
“Oh, baru saya teringat! Semalam ada orang datang
meminang awak kan? Tahniah!” Suara Ummi bertukar
girang. Bukan hendak jadi hipokrit. Tapi, kalau tidak dilayan,
bimbang merajuk pula. Apa boleh buat? Ummi juga perlu jaga
hubungannya dengan pekerja. Mereka di sini sudah seperti
satu keluarga.
“Abang Ikram tu baik sangat, Cik Ummi. Tak sia-sia
kami berkenalan,” sambung Mastura.
“Ooo... lelaki yang Mastura kenal dalam Internet hari
tu ke?” Baru Ummi teringat akan cerita Mastura tempoh hari.
Kata Mastura, dia berkenalan dengan lelaki bernama
Ikram itu di alam siber. Sebuah laman web cari jodoh.
Apabila hubungan mereka sudah akrab, Ikram terus datang
melamar. Sebab itulah Mastura nampak ceria. Tersenyum
saja memanjang setiap hari.
“Yalah. Cik Ummi trylah bukak laman web tu.
Manalah tahu... kot-kot terlekat sorang. Tak cuba, kita tak
tahu,” cadang Mastura sambil ketawa.
“Isy, tak berkenanlah saya,” balas Ummi dengan
senyuman.
“Eh, terlupa pulak saya. Awal pagi tadi, Datuk Z ada
hantar anak dia. Dia ada cari Cik Ummi. Saya pun beritahulah
dia yang Cik Ummi belum masuk kerja lagi,” kata Mastura.
“Datuk Z mana pulak ni?” soal Ummi. Agak
kebingungan sambil menggarukan kepala. Tidak pernah pula
dia mendengar nama tersebut.
“Ala... Datuk duda anak satu tu. Datuk Zulkifli. Tak
kenal ke?”
“Cakaplah Datuk si tua gatal tu. Datuk Z, Datuk Z...
menyampahlah saya dengar!” Ummi mencebikkan bibir.
Mendengarkan nama duda kesepian berusia lewat
50-an itu sudah cukup membuatkan bulu tengkuk Ummi
berdiri terpacak. Seram sejuk dibuatnya. Seriau mengalahkan
cerita Pontianak Harum Sundal Malam.
“Okey apa. Sedaplah nama baru tu. Lagipun, Datuk
Z tu kan kaya... banyak duit. Cik Ummi tak payah kerja
susah-susah. Tadah tangan je, dah dapat duit. Kan senang
hidup macam tu?” omel Mastura.
“Cik Mastura oi! Kalau hidup kaya tapi tak happy,
tak guna jugak!” Satu cubitan hinggap di pipi gebu Mastura.
Mereka berdua akhirnya ketawa geli hati.
“Bila Mastura nak kahwin ni?” soal Ummi dengan
ketawa yang masih bersisa.
“Tahun depan,” jawab Mastura penuh yakin sambil
tersengih-sengih. Ummi mengangguk dengan senyuman.
Tumpang gembira dengan berita baik itu.
“Mana Kak Embam dengan Kak Melati?” soal Ummi
lagi.
“Kak Melati tengah mengajar. Kak Embam pulak...
entahlah. Tak sampai lagi kut,” keluh Mastura.
“Mastura tak mengajar ke hari ni?” perli Ummi.
Melihatkan Mastura yang bersenang-lenang begitu buatkan
hati Ummi semakin berbulu.
“Itu... ermmm saya nak pergi mengajarlah sekarang
ni. Kesian budak-budak tu tunggu lama. Saya pergi dululah
ya, Cikgu Ummi.” Mastura tersengih macam kerang busuk.
Baru tersedar tentang tugasnya sebagai salah seorang guru,
pantas dia berlalu meninggalkan Ummi di situ.
Ummi hanya menggeleng-gelengkan kepala.
Nasib baik dia masih ada hati perut. Kalau tak, mahu saja
dilenyeknya Mastura sampai jadi belacan. ‘Suka sangat curi
tulang!’
Ummi membuka tombol pintu bilik pejabat.
Kerjanya mesti dibereskan hari ini juga. Masih banyak lagi
maklumat berkenaan pelajar baru yang masih belum dikemas
kini. Bayang Kak Embam pula masih tidak muncul-muncul.
Entah pukul berapalah wanita berumur 40-an ini mahu
masuk bertugas.
Beberapa minit kemudian, pintu bilik pejabat
diketuk perlahan. Wajah tembam Kak Embam tersengih di
celah pintu. Wanita itu melangkah masuk.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikummussalam,” jawab Ummi sambil
merenung muka Kak Embam agak lama. Tidak berkedip
langsung.
“Maaflah, Cik Ummi. Tadi kereta saya buat hal. Mati
kat tepi jalan. Nasib baik ada sorang budak muda ni tolong
repairkan. Kalau tak, tak mengajarlah saya hari ni, Cik
Ummi.” Kak Embam buat muka kasihan.
Penat juga ketika dia menahan kereta yang lalu-lalang
tadi. Semuanya tidak mahu berhenti. Mentang-mentanglah
Kak Embam sekarang sudah tidak bergetah lagi. Semua lelaki
takut nak hulurkan bantuan! Nasib baik ada seorang mamat
rock yang kacak sudi membantu. Kalau tak, kena potong
gajilah dia hari ini. Itu dalam fikiran Kak Embam sekarang.
“Lain kali telefon saya. Taklah saya tertunggu-tunggu.
Tak apalah, Kak Embam pergi mengajar dulu. Kesian
budak-budak tak ada orang jaga,” arah Ummi agak tegas
dalam senyumannya.
“Nasib baik saya ada bos macam Cik Ummi ni.
Memahami. Terima kasih!”
“Lepas ni jangan masuk lambat lagi. Nanti saya
potong gaji Kak Embam. Baru tahu!” gertak Ummi.
“Lepas ni saya tak mahu lewat-lewat lagi. Saya janji,
bos!” Kak Embam tergelak besar. Bergetar-getar pipinya
meninggalkan bilik pejabat Ummi. Memang patutlah warga
taska menggelarkannya ‘Embam’. Nampak begitu comel
apabila ketawa.
Ummi menyambung kerja. Pintu biliknya diketuk
sekali lagi.
“Masuk,” balas Ummi.
“Ada apa lagi ni, Kak Embam?” soal Ummi sebaik
sahaja wajah Kak Embam sekali lagi mengintai ke dalam.
“Kak Embam terlupa sesuatulah. Tadi, mamat yang
tolong Kak Embam repair kereta tu ada tanya jalan nak ke
taska kita. Alang-alang dah satu hala, Kak Embam pun ajaklah
dia ikut sekali.” Kak Embam tersenyum simpul.
“Buat apa dia nak datang sini?” soal Ummi
kebingungan. Entah siapalah yang dimaksudkan oleh Kak
Embam itu.
“Dia datang sebab nak jumpa dengan Cik Ummilah.”
“Saya kenal dia ke?”
“Cik Ummi tengoklah sendiri. Amboi, tak sangka kan?
Cik Ummi nampak je sopan. Tapi kawan... bukan main rock
lagi tu. Rambut berketak-ketak macam Bon Jovi zaman 80-
an. Suara jangan cakaplah... bergetar tau tulang rusuk ni bila
dengar dia bercakap!” Kak Embam ketawa mengilai-ngilai.
“Bila masa pulak saya ada kawan macam Bon Jovi ni?
Ada-ada ajelah Kak Embam ni.” Giliran Ummi pula tergelak.
Rasa pelik pun ada.
“Ai! Tapi, dia cakap yang Cik Ummi ni teman
sepermainan dia masa kecik-kecik dulu. Entahkan betul,
entahkan tidak... Cik Ummi keluarlah. Pi tengok. Kot-kot
kenal ke?” Kak Embam berlalu pergi dengan ketawa yang
bersisa. Balu beranak satu itu memang terkenal dengan sikap
suka mengusik. Ada sahaja perkara yang boleh dijadikan
bahan. Tidak kering gusi berbual dengannya.
Telefon pintar Ummi tiba-tiba berdering. Hampir
terkejut Ummi dibuatnya. ‘Hesy! Orang tengah sibuk fikir
siapa mamat yang nama Bon Jovi, masa inilah dia nak
menyibuk,’ bebel hati Ummi.
Ummi mencapai telefon pintar di atas meja kerja.
Nama bapanya terpapar di skrin telefon. Terlopong mulut
Ummi. Menyirap darah hingga ke muka. Dadanya berombak
kencang,
Selalunya, Haji Arsyad takkan menelefon dia di taska.
Kecualilah kalau ada hal-hal yang penting. Entah-entah sakit
dada abahnya datang lagi. Berlegar-legar persoalan dalam
kepala Ummi. Ini tidak boleh jadi!
“Assalamualaikum. Ummi sibuk ke?” Kedengaran
tenang suara Haji Arsyad dari dalam talian. Ummi menarik
nafas lega. Mujurlah tiada apa-apa perkara buruk yang
berlaku. Bikin kalut saja!
“Waalaikummussalam, sekarang tak sibuk lagi.
Kenapa, abah?” jawab Ummi lembut.
“Anak Encik Hisyam nak datang ke taska hari ni.
Melawat kamu.” Ringkas saja kata-kata Haji Arsyad.
“Aaa... apa? Takkanlah. Ummi tengah kerja ni. Abah
kan tahu, Ummi tak suka orang luar datang kacau masa
Ummi kat taska. Lagipun, kejap lagi nak tengok budak-budak.
Nak buat banyak kerja. Tak ada masalah nak layan dia. Kenapa
abah suruh dia datang sini?” Mulut Ummi macam tidak boleh
berhenti bercakap. Masih banyak yang belum terluah.
‘Nak bertemu secara mengejut dengan lelaki itu?
Jangan harap!’ sambung Ummi dalam hati.
“Biarlah dia datang. Apa masalahnya?” tambah Haji
Arsyad lagi.
“Abah... masalahnya dah jadi masalah besar sekarang
ni. Ummi sibuk. Sibuk sangat-sangat, abah...” rayu Ummi.
Memang sengaja dilunakkan suaranya. Berharap benar
abahnya faham.
“Apa? Abah tak dengarlah... tak jelas..”
“Tut... tut...” Talian telefon tiba-tiba terputus.
“Abah! Helo, abah!” Ummi mengetap bibir. Telefon
pintar diletakkan semula ke atas meja. ‘Pandai sungguh
orang tua ini melakukan jurus penipuan. Taktiknya berjaya.
Tahniah, abah!’
Ummi terduduk, tidak terkata apa-apa. Otaknya ligat
berfikir. Boleh jadi juga orang itu ‘Bon Jovi’ yang dimaksudkan
oleh Kak Embam. Jadi...
‘Yes!’ Dalam fikiran Ummi sekarang ada agenda
yang lebih berkesan. ‘Jagalah. Ini Ummi Nadzirahlah. Bukan
wanita yang mudah diperdaya. Jika sekali terkena, aku pasti
akan menggunakan jurus yang lain pulak. Mungkin jauh
lebih kejam berbanding Haji Arsyad. Tunggu sajalah. Bapak
borek anak rintik!’
SEORANG LELAKI berambut kerinting melepasi bahu dan
berkaca mata hitam terjingkit-jingkit di hadapan pintu pagar
taska. Seluarnya koyak di bahagian lutut. Bajunya nampak
rugged dengan gambar muka kumpulan The Beatles.
Matanya meliar-liar mencari seseorang. Apa yang dilihat,
cuma ada beberapa orang kanak-kanak sedang bermain papan
gelongsor di taman permainan mini yang terletak di kawasan
anjung taska. Bersama mereka, ada seorang lagi wanita
berusia dalam lingkungan lewat 30-an sebagai penjaga.
“Betul ke ini tempatnya?” bisiknya sendiri. Sudah
hampir setengah jam dia menunggu di luar pintu pagar taska.
Hendak tanya pak guard, pak guardnya sudah menghilang
entah ke mana. ‘Ke tandaslah tu agaknya,’ fikirnya.
‘Hesy!’ rungutnya dalam hati. Rugi pula rasanya tadi
dia tak terima pelawaan Kak Embam untuk duduk menunggu
kat dalam pejabat. Kenapalah hari ini dia jadi pemalu sangat?
Bukannya nak buat apa pun. Hanya ingin bertemu dengan si
empunya taska. Salah ke?
Lelaki itu melepaskan satu keluhan bosan. Cuba
membuka pintu pagar. Gagal. Berkunci mangga. Lelaki itu
tersengih sendiri. Terasa kurang cerdik sekali lagi.
Mestilah pintu pagar sentiasa berkunci! Inikan
pusat asuhan kanak-kanak. Bukannya pusat membeli-belah.
Manalah tahu kot-kot ada penculik atau penyamun.
Keselamatan mereka juga perlulah dijaga.
“Assalamualaikum, Cikgu cantik!” jeritnya dari jauh.
Seorang guru wanita yang kemas bertudung litup itu lantas
berpaling. Mimik mukanya nampak pelik. Memandang lelaki
itu dari atas sampai ke bawah.
“Waalaikummussalam. Ada apa ya, encik?” soalnya,
segera merapati pintu pagar.
“Saya nak jumpa dengan tuan punya taska. Dah naik
berjanggut saya tunggu kat sini. Dia ada tak, cikgu?” tanya
lelaki itu.
“Ada apa nak jumpa Cik Ummi? Nak minta kerja
ya?” Kak Melati membuat andaian berdasarkan perwatakan
lelaki itu. Wajahnya boleh tahan kacak. Tapi malangnya,
nampak macam orang susah. Macam tak cukup kain pun ada.
Seluarnya pun koyak dilutut. ‘Gaya apa macam ini? Ini bukan
gaya masyarakat Malaysia!’ bisik hati Kak Melati.
“Ermmm... yalah. Saya nak minta kerja. Kerja apa
ada kat sini?” seloroh lelaki itu sambil tertawa. Dia fikir Kak
Melati sengaja mahu mengusik.
“Tukang kebun kat kawasan ni. Lagipun tukang
kebun kami dah nak berhenti. Awak pandai ke buat kerja-kerja
bertukang? Tanam pokok ke?” soal Kak Melati.
Muka Kak Melati nampak serius. Teringat pula
tentang Pak Mail yang mahu berhenti kerja pada minggu
hadapan. Apa boleh buat? Usia Pak Mail pun sudah melanjut.
Bukannya boleh buat kerja berat sangat. Tambahan pula,
jarang ada orang muda yang sudi buat kerja-kerja berkebun
dan bertukang seperti ini. Kalau lelaki di hadapannya ini sudi,
lagilah bagus!
“Tukang kebun? Serius ni?” Wajah lelaki itu berkerut
seribu. Sukar mahu percaya. Ini betul-betullah. Bukannya
cubaan. Wanita di hadapannya ini nampak begitu serius.
Memang tiada senyuman langsung di wajahnya.
“Betullah. Nampak muka saya ni macam main-main
ke?” Kak Melati bercekak pinggang. Kalau diikutkan hati,
mahu saja dia bagi pemuda ini satu tendangan kuda. Orang
muda zaman sekarang ni kerja suka memilih. Mahu kerja
duduk di dalam bilik berhawa dingin dan benci berpanas.
Sebab itulah bersepah-sepah warga asing kat negara ini!
Muka lelaki itu mula jadi serba salah. Mula
berfikir-fikir panjang. Beberapa saat kemudian, dia tersenyum.
Membuka kaca mata hitam. Diselitkannya ke leher baju.
“Boleh. Sebelum ni saya memang pernah buat. Tak
ada masalah. Bila saya boleh mula kerja?” soalnya. Nampak
begitu yakin.
“Masuklah dulu,” pelawa Kak Melati sambil
menyeluk saku baju kurungnya. Membuka kunci mangga
pada pintu pagar. Lelaki itu dibenarkan masuk.
“Nama siapa?”
“Uwais Qarni. Panggil saja saya Mat Rock,” jawabnya
bersahaja.
“Mat Rock?” Kak Melati tergelak besar.
“Kenapa akak gelak macam tu? Takut saya
dibuatnya.” Uwais menyentuh dada. Konon-kononnya takut
dengan wajah Kak Melati yang ketawa macam nenek sihir.
“Nama dah cantik. Kenapa nak kena panggil Mat
Rock pulak?”
“Dah biasa. Kawan-kawan selalu panggil saya macam
tu,” balas Uwais. Membetulkan rambutnya yang terjurai
ditiup angin.
“Tapi jangan beritahu siapa-siapa nama betul saya
tau, kak?” tambah Uwais.
“Eh! Kenapa pulak tak boleh beritahu?” Kak Melati
buat muka terkejut.
“Tak ada apa. Saja suka-suka.” Uwais tersengih.
“Boleh ke Mat Rock buat semua kerja ni
sorang-sorang?” soal Kak Melati lagi.
“Semua ni tak boleh buat sorang-sorang ke?” soal
Uwais semula. Buat muka aneh.
“Bukan macam tu maksud akak. Cuma...” Kak Melati
berkira-kira dalam hati.
“Kak Melati jangan pandang rendah dengan orang
macam saya. Saya bukannya peragut, penagih dadah ke apa.
Saya manusia normal. Ada hati, ada perasaan!” tegas Uwais.
Terasa hati sungguh Uwais dengan pandangan mata Kak
Melati semasa pertama kali mereka berjumpa tadi. Bukannya
Uwais tidak tahu apa yang bermain di dalam minda Kak
Melati itu.
“Eh, jangan salah faham! Kak Melati tak pernah fikir
macam tu. Lagipun, kerja-kerja tukang kebun kat sini jarang
ada anak muda nak buat. Kebanyakan mereka suka memilih
kerja. Tak suka buat kerja berpanas. Kalau ada yang cuba
pun, dua tiga hari je. Lepas tu cabut lari. Sebab tu akak tanya
Mat Rock betul-betul tadi.” Kak Melati cuba menjernihkan
keadaan. Takut Uwais tersalah anggap pula.
“Ya ke? Maaflah, sejak akhir-akhir ni saya memang
sensitif sikit.” Uwais tergelak kecil, cuba mengawal malu.
Ternyata Kak Melati lembut juga orangnya. Muka saja nampak
garang. Tapi, dalam hati ada taman berbunga mekar.
“Sebenarnya saya datang sini pun bukannya nak cari
kerja.” Uwais menggaru-garukan kepalanya.
“Habis tu?”
“Saya datang sebab nak jumpa dengan Ummi
Nadzirah. Dia ada ke tak?” tambah Uwais.
“Kenapa tak cakap awal-awal?” Giliran Kak Melati
pula yang menggarukan kepala. Buat habis air liur saja dia
membebel tadi.
“La... saya dah cakap lama dah. Sebab itulah saya
tunggu kat luar tadi.” Uwais tersenyum simpul.
“Oh! Sebenarnya, Cik Ummi baru je keluar. Ada hal
emergency katanya.”
“Emergency?”
Kak Melati hanya mengangguk.
“Kalau macam tu, tak apalah. Terima kasih.” Uwais
tersenyum tawar. Lalu meminta diri untuk pulang. Lain yang
diharap, lain pula yang jadi. Mungkin benar, Ummi Nadzirah
sibuk. Atau mungkin juga Ummi Nadzirah mahu mengelak
untuk bertemu dengannya.
Buktinya? Tempoh hari juga begitu. Belum lagi Uwais
habis bercakap, Ummi sudah jalan dulu. Entah-entah Ummi
sudah lupa pada Uwais. Apakah Ummi ingat lagi dengan janji
mereka? Atau Uwais Qarni sendiri yang terlebih perasan?
Itu semua kisah lama! Tapi, janji tetap janji. Uwais
perlu pastikan janjinya terhadap wanita bernama Ummi
Nadzirah terpateri!
TANGAN GEMPAL Seri ligat mengacau teh di dalam
cawan. Sambil mengacau, mulutnya tidak henti-henti
menyampaikan ucapan. Mengalahkan pemidato terhebat.
Ummi yang mendengar hanya mampu menadah telinga. Apa
yang dia boleh buat adalah melarikan diri ke rumah Seri.
Lebih rela lubang telinganya bernanah mendengar suara Seri
yang tak reti diam ni daripada menjadi mangsa peserta cari
jodoh Haji Arsyad!
“Berkahwin tu sunnah. Kau tahu tak? Bila dah ada
peluang, cubalah tengok lelaki tu. Elok ke tidak? Ini tak...
suka sangat hidup membujang. Sikit-sikit nak larikan diri.
Sampai bila, Ummi?” tanya Seri. Kemudian meletakkan
secawan teh panas ke atas meja makan.
“Dengan mat tempe tu?” Mata Ummi membulat.
Memandang muka Seri penuh perasaan pelik.
“Yalah. Siapa lagi?”
“Siapa yang nak membujang sampai tua? Memanglah
aku nak kahwin. Kau ingat senang ke nak cari lelaki berkualiti
zaman sekarang ni?” jawab Ummi tenang. Menghirup sedikit
teh yang panas melebur. Terasa hampir melecur bibirnya.
“Tak ada ais batu ke?” soal Ummi sambil
menggosok-gosok bibir yang pedih.
“Ambiklah kat dalam peti ais tu,” kata Seri.
Menjuihkan bibir ke arah peti sejuk.
Ummi segera mengangkat punggung, menuju ke
peti sejuk. Nampaknya, hari ini dia perlu buat servis melayan
diri.
“Kau tak teringin ke nak ada anak? Ada keluarga
sendiri?” tambah Seri lagi sebaik sahaja Ummi mengambil
tempat duduk di hadapannya.
“Tipulah kalau aku cakap aku tak pernah fikirkan
semua tu. Nak buat macam mana lagi, Puan Seri kusayang?
Mencari suami ni tak semudah mencari ikan di pasar.”
“Tak ada manusia yang sempurna, Cikgu Ummi hoi!”
potong Seri.
“Ya. Kita ni memanglah tak sempurna. Tapi salah
ke kalau aku nak pilih sendiri? Buruk baik dia, aku boleh
terima seadanya. Aku tak demand pun suami yang ala-ala
cerita novel. Romantik, handsome macam Aaron Aziz. Itu
semua lelaki fantasi. Tak pernah wujud dalam kamus hidup
aku. Kalau setakat nak syok sendiri tu, bolehlah.” Ummi
mengunyah biskut kering di dalam mulut.
Hidangan ini saja yang mampu dihidang oleh Seri.
Itulah! Siapa suruh datang tidak berpesan? Main terjah saja
masuk ke dalam rumah orang. Nasib baik suaminya masih
di pejabat. Anak lelakinya yang berusia setahun lebih pula
sedang lena tidur di dalam bilik. Masih ada kesempatanlah
untuk mereka berbual panjang.
“Suka hati kaulah. Aku cuma nak ingatkan je.
Apa-apa pun, aku sentiasa doakan jodoh yang terbaik untuk
kau. Eh, tak apa ke kau tak jumpa abang tempe tu hari ni?”
tanya Seri.
Hampir tersedak Ummi dibuatnya. Dalam minda
sudah terbayangkan wajah bengis Haji Arsyad. Bukannya
dia suka-suka mahu melarikan diri. Tapi itulah satu-satunya
jalan penyelesaian yang terbaik.
Bila Haji Arsyad tanya nanti, pandai-pandailah dia
mahu jawab apa. Bukannya niat untuk menipu. Tapi, sengaja
mahu Haji Arsyad berputus asa. Biar dia sendiri faham apa
perasaan dan kemahuan sebenar Ummi.
“Aku... errr. Aku rasa dia okey kut.” Ummi berdeham
beberapa kali bagi melawaskan sisa biskut yang tersekat di
tekaknya.
“Kut?”
“Yalah. Lagipun, aku dah tinggalkan pesan kat
diaorang. Beritahu yang aku ada hal emergency kat rumah,”
jawab Ummi.
Seri menggeleng-gelengkan kepala. Masih
membantah sekeras-kerasnya tindakan Ummi.
“Sekali menipu, berlipat kali ganda berantai
penipuan kau, ya?” komen Seri.
Ummi tersengih. Selepas ini, dia hanya perlu terus
pulang ke rumah seperti biasa. Pastikan Haji Arsyad tidak
tahu. Barulah perang dapat dihentikan. Tiada lagi sesiapa
yang bakal tercedera selepas ini.
“Bukan ke kau memang kenal dengan mamat tempe
tu? Apa salahnya jumpa dia sekali lagi?” persoal Seri.
“Entahlah. Itu semua sebahagian cerita zaman
kanak-kanak aku dulu. Aku nak lupakan semua sejarah tu.
Sekarang ni, aku kena pandang ke hadapan. Fikirkan apa
alasan terbaik nak beritahu kat abah aku ni. Tolonglah Seri.
Cuba fikirkan sesuatu untuk aku...” rayu Ummi.
“Ah! Tak kuasa aku nak layan kau. Tengok TV lagi
baik.” Seri terus mengangkat punggung. Malas mahu
melayan. Makin dilayan, makin mengada-ada pula.
Ummi memuncungkan bibir. Jujurnya, perasaan
bersalah terhadap Haji Arsyad turut menebal dalam hati.
Adakah Ummi patut berterus-terang atau menipu? Kalau
terus-terusan menipu, dia bakal menyakiti hati Haji Arsyad.
Baiklah! Dengan berterus-terang rasanya lebih afdal.
Logiknya, selepas ini mungkin Haji Arsyad akan
berhenti memaksa. Ummi Nadzirah pasti, jika Haji Arsyad
dirunding dengan penuh berhemah dan lembut dia akan
akur juga. Bukan senang mahu meyakinkan pendirian
orang tua itu. Selepas ini dia akan lebih berhati-hati. Cuba
mengurangkan aktiviti penipuan. Terasa banyak dosa pula
yang terbeban di bahu. Ummi perlu memohon maaf dengan
segera!

No comments:

Post a Comment