Tuesday, 22 November 2016

Jiwangnya, Mat Rock - Bab 3

UWAIS QARNI tersenyum lagi. Malam ini dia rasa
sangat gembira. Membaringkan tubuhnya di atas katil bujang.
Bilik kecil yang dipenuhi dengan poster-poster penyanyi rock
barat zaman 80-an menghiasi setiap ruang dinding. Semuanya
adalah hasil koleksi terhad yang dikumpulkan Uwais dari luar
negara. Setiap satunya ada nilainya yang tersendiri. Harta
yang begitu berharga buat Uwais.
Tapi sekarang, itu semua tidak lagi mampu menarik
perhatiannya. Cuma satu sahaja bingkai gambar yang menjadi
tatapannya. Masih erat di dalam genggamannya. Gambar
wajah Ummi Nadzirah yang comot pipinya dengan aiskrim
coklat. Walaupun tidak dapat jumpa orangnya siang tadi,
tengok gambar pun jadilah. Buat pelepas rindulah katakan!
“Dulu... bukan main lagi berhingus. Sekarang, dah
makin cantik kau ya, Ummi Nadzirah.” Uwais membelai
wajah Ummi di dalam gambar. Tersenyum memanjang.
Macam orang sudah kemaruk cinta.
‘Ingatkah lagi Ummi pada janji kita? Harap-harap dia
masih seperti dulu. Masih menyimpan perasaan yang sama
terhadap aku.’
Sejak Uwais bersekolah di MRSM, keluarganya
terus menetap di Kuala Lumpur. Sudah bertahun lamanya
dia tidak pulang ke kampung. Memandangkan kilang tempe
yang diusahakan oleh keluarga mereka mendapat pulangan
yang menguntungkan, tidak ada masalah bagi Encik Hisyam
menghantar Uwais ke UK untuk menyambung pelajarannya.
Sudah hampir tujuh tahun dia menetap di UK. Pulang
dengan segulung ijazah dalam bidang perniagaan. Sisa-sisa
masa yang terluang pula diihabiskan dengan kerja sambilan
dan aktivitinya sebagai pemuzik jalanan di sekitar bandar
Manchester. Encik Hisyam membantah keras keputusannya
untuk terus menetap di UK. Dia memaksa Uwais kembali ke
tanah air.
Menurut Encik Hisyam lagi, hidup di negara orang
mesti pandai berdikari. Jaga adab, jangan sampai lupa diri.
Encik Hisyam selalu merungut. Katanya, apalah yang
bidang muzik itu boleh beri kepada Uwais? Itu semua satu
pembaziran!
Tapi, Uwais tidak peduli. Dia bukannya lupa diri.
Uwais masih ada pegangan agama. Masih ada darah Melayu
dalam diri. Cuma, dia suka dengan perwatakan yang
dibawanya sekarang. Salah ke? Bukannya dia mengganggu
orang lain pun. Itu yang ada dalam minda Uwais.
Pernah juga Encik Hisyam mengajak Uwais untuk
tinggal serumah dengannya. Tapi, Uwais enggan. Dia lebih
selesa hidup berdikari. Uwais tidak mahu hidup terkongkong.
Encik Hisyam sudah pun merangka peraturannya sendiri di
rumah besar itu. Jika Uwais mahu terus tinggal, dia wajib
menguruskan perniagaan keluarga mereka. Tinggalkan
bidang muzik!
Memang itulah perkara yang Uwais paling benci.
Dia lebih rela menyewa rumah lain bersama kawan baiknya,
Aizat. Lagipun, bagi Uwais, belum tiba masanya untuk
dia menguruskan kilang tempe milik ayahnya. Dia mahu
membina hidupnya terlebih dahulu. Bidang muzik yang
menjadi impiannya selama ini.
“Hei, Mat! Sudah-sudahlah tu berangannya. Nanti
bercakap pulak gambar tu. Kau juga yang demam nanti,”
tegur Aizat yang sedang membuka pintu bilik rumah bujang
mereka. Lelaki berumur 30 tahun dan berambut afro itu
terus merebahkan punggungnya di atas katil. Gitar kapok
yang dibawanya diletakkan di tepi birai katil.
“Kalau dia ni boleh bercakap lagi bagus. Tak
payahlah aku sibuk tercari-cari. Simpan je dalam bilik. Boleh
aku tengok hari-hari.” Kemudian Uwais tertawa.
“Suka hati kaulah, bro. Asalkan kau tak jadi gila
sudahlah. Dapat ke tak jumpa Ummi Nadzirah si pengarang
jantung zaman kanak-kanak kau tu?”
“Tak sempat. Dia tak ada kat tadika hari ni.” Uwais
melepaskan nafas kecewa.
“Dia pergi mana?”
“Entah,” balas Uwais lemah.
“Jangan-jangan dia busy kut. Esok lusa dapatlah
jumpa.” Aizat cuba memujuk.
“Aku rasa dia dah lupa kat akulah. Dia macam
mengelak je bila nak jumpa aku. Buktinya, masa keluarga aku
hantar rombongan merisik hari tu pun dia tak ada kat rumah.
Aku frust betullah macam ni,” keluh Uwais lagi.
“Habis tu? Apa kau nak buat? Aku rasa kau patut
lupakan dia... berlambak lagi perempuan nakkan kau.
Kau berstail... macho apa? Tapi, malangnya kau tak boleh
kalahkan aku. Aku lagi handsome, bro!” usik Aizat dengan
ketawa mengejek.
“Janganlah perli aku macam tu sekali...” Uwais
mengecutkan wajah.
“Bukan perli. Tapi kenyataan. Kau kerjalah dengan
bapak kau tu, kan senang. Apa yang kau tak ada? Ijazah?
Pengalaman kerja kat luar negara? Berbakul-bakul, bro...
Mahu tak mahu aje!” tegas Aizat.
“Kau ni banyak membebel mengalahkan ibu aku la.
Adoi, sakit kepala tau tak?” Uwais menggaru kepalanya.
“Itulah kau! Aku nasihatkan aje. Kau beruntung tau.
Aku apa yang ada? SPM pun cukup-cukup makan je. Gitar
kapok ni saja yang ada... boleh la cari makan.” Aizat mencapai
gitarnya. Mula memetik dan menyanyikan lagu.
“Janganku dipandang hina hanya kerna aku
penganggur... Jangan pulaku dilupa hanya kerna aku
penganggur...”
Berulang-ulang lagu arwah Surdiman itu
dinyanyikan oleh Aizat.
“Sudahlah! Aku dah tak ada mood!” Uwais terus
bingkas berdiri. Meletakkan bingkai gambar di atas katil lalu
membawa tubuhnya yang tinggi lampai ke arah tingkap.
“Dah tak ada mood pulak? Bukan ke semalam kau
cakap kau dah lulus interview? Company gila mana yang
nak ambik kau tu?” sindir Aizat. Tersenyum sinis sambil
tangannya automatik berhenti memetik gitar.
Bukannya dia tidak tahu perangai Uwais. Uwais
paling benci pekerjaan yang memakai tali leher dan berkolar
ketat. Dia lebih suka melakukan sesuatu yang dianggap
bebas. Tidak suka terikat dengan mana-mana peraturan.
Lebih selesa bermain muzik dan memetik gitar di tepi jalan.
Selalunya, kalau tidak ke bangunan Sogo, mereka
akan turun ke Bukit Bintang untuk membuat persembahan.
Walaupun bayaran yang diterima tidak seberapa, tapi
cukuplah untuk buat biaya sewa rumah mereka.
Uwais sendiri pun tidak kisah sangat soal bayaran.
Apa yang penting baginya adalah kepuasan. Keghairahan
apabila memetik gitar. Itu yang paling penting. Aizat pula?
Aizat bergantung sepenuhnya terhadap karier tersebut. Kalau
tidak bermain muzik, alamat pokailah duit dia bulan ini.
“Lepas ni kau tak boleh panggil aku penganggur lagi
dah!” Uwais tiba-tiba ketawa besar. Penuh makna. Tiba-tiba
sahaja dia terfikirkan idea baru. Kali ini Ummi Nadzirah pasti
akan terperangkap. Jangan haraplah gadis itu boleh lari lagi.
“Kau dah dapat kerja ke, Mat? Biar betul ni? Tahniah,
bro! Aku tak sangka... ada jugak orang nak ambik Mat Rock
kepala batu macam kau ni kerja. Company apa?” Nada Aizat
bertukar ceria. Menepuk-nepuk belakang Uwais. Penuh
dengan rasa bangga.
“Taska Harapan Ummi.” Ringkas sahaja jawapan
Uwais.
“Cikgu tadika?” soal Aizat. Terasa macam mahu
terkeluar biji matanya meminta jawapan. Masakan lelaki
kasar macam Uwais mahu jadi cikgu tadika? Rambut pun
mengerbang bak langsuir. Apakah pengajaran yang boleh dia
bagi kepada anak-anak kecil itu?
Uwais mengangguk setuju. Mengiakan pertanyaan
Aizat. Semakin besarlah biji mata Aizat melihatnya. Sungguh
tidak percaya!
“This is insane! Buta ke apa pengetua taska tu?
Pedoman dan tauladan apakah yang yang kau boleh ajar
diaorang nanti? Hard metal? Rock kapak? Instrument apa
lagi? Cuba beritahu beta!” Tersembur-sembur air liur Aizat
membantah. Terkeluar semua bahasa baku bercampur
pasarnya. Uwais ketawa pedih perut.
“Apalah kau ni? Pengetua sekolah tu awek aku. Jaga
sikit mulut tu! Dengar sini baik-baik. Aku nak jadi tukang
kebunlah. Tu... kang ke... bun... Ada faham, bro?
“Tukang kebun?” Giliran Aizat pula ketawa
terbahak-bahak.
“Okeylah tu. Bak kata kau...” Uwais mula menyanyi.
“Janganku dipandang hina hanya kerna aku
penganggur... Jangan pulaku dilupa hanya kerna aku
penganggur...”
Mereka berdua sambung menyanyi. Dikuti petikan
gitar yang dimainkan oleh Aizat. Rasa gembira menyelubungi
hati masing-masing. Melepaskan tekanan yang terbuku di
dalam jiwa. Kali ini Uwais sudah nekad. Tukang kebun pun
tukang kebunlah! Jika bekerja sebagai tukang kebun dapat
menemukannya dengan Ummi Nadzirah, mengapa dia harus
menolak?
“TARIK, HEMBUS... tarik, hembus...” Ummi melepaskan
beberapa senaman nafas. Membetulkan saluran tekaknya.
Jangan sampai tersumbat ketika bercakap dengan abahnya
nanti.
Di dalam bilik tidur, Ummi menyisir rambutnya.
Rambut hitam panjang mengurai itu diikatnya rapi. Biar
lebih kemas dan terurus. Semoga Haji Arsyad tidak rimas
apabila melihat wajahnya nanti.
Ummi menuruni anak tangga. Menuju ke arah
dapur. Kebiasaannya, selepas pulang solat isyak di masjid,
Haji Arsyad akan ke dapur untuk makan lewat malam.
Harap-harap abahnya sudah selesai makan. Bolehlah mereka
berbincang panjang lebar.
Ummi melakukan senaman nafas sekali lagi sebelum
menjengah ke dapur. Biar hilang segala darah gemuruhnya.
Bila sudah bersedia, baru dia memulakan strategi pertama.
“Abah dah siap makan?” soal Ummi sebaik sahaja
melihat Haji Arsyad sedang menghabiskan sisa minuman
kopinya.
“Dah. Alhamdulillah... kenyang. Kenapa ni, Ummi?
Ni mesti ada benda nak beritahu abah kan?” duga Haji Arsyad.
Dia amat arif mengenai kelakuan puteri tunggalnya itu.
“Abah...” Ummi mengambil kerusi menghadap
wajah Haji Arsyad.
“Abah, Ummi ada hal nak cakap ni,” sambung Ummi
tenang setelah membetulkan duduknya.
“Cakaplah. Abah dengar.”
“Tentang anak tauke tempe tu. Eh! Anak Encik
Hisyam tu... Ummi dah fikir masak-masak. Ummi dah buat
keputusan.”
“Ummi setuju nikah dengan dia?” Pantas sahaja Haji
Arsyad memotong kata.
“Errr... Bukannya macam tu. Maksud Ummi. Boleh
tak abah bagi masa pada Ummi untuk cari calon suami Ummi
sendiri? Kalau memang Ummi tak jumpa, Ummi reda. Ummi
janji Ummi akan terima dia apa adanya. Boleh tak, abah?” soal
Ummi sambil merenung mata Haji Arsyad.
Haji Arsyad berfikir-fikir sejenak sebelum beri kata
putus.
“Boleh. Abah bagi masa dalam empat bulan. Kalau
dalam masa empat bulan ni Ummi tak jumpa calon suami,
Ummi kena reda dengan pilihan abah. Boleh tak, Ummi?”
balas Haji Arsyad.
Terbutang kedua-dua belah biji mata Ummi Nadzirah
mendengarnya. Apa semua ini? Lain yang dirancang, lain pula
yang terjadi. Strateginya hanya mahu melengahkan proses
pernikahan ini. Berharap lama-kelamaan Haji Arsyad akan
lupa niatnya itu. Bukannya diberikan tempoh masa tertentu
untuk mencari calon suaminya sendiri!
“Apa ni, abah? Ummi tak setuju. Bangkang
sekeras-kerasnya! Kenapa perlu masa empat bulan pulak?”
rungut Ummi tidak berpuas hati.
“Yalah. Kan Ummi cakap kat abah tadi... Kalau Ummi
tak dapat cari sendiri, baru Ummi setuju nikah dengan anak
Encik Hisyam tu. Ummi yang cadangkan idea ni. Abah cuma
tetapkan masa je.”
“Perlu ke ada masa, abah?”
“Perlulah. Kalau tak ada jangka masa, sampai bila
anak tauke tempe tu nak tunggu Ummi? Sampai jadi bujang
terlajak? Entah-entah, Ummi pun dah berkedut. Jadi anak
dara tua kematu. Jalan terketar-ketar. Masa tu entahkan abah
ada lagi ke tidak...” Perlahan suara Haji Arsyad.
“Abah... Ummi tak nak...” Belum sempat Ummi
menghabiskan ayat, Haji Arsyad menaikkan jari telunjuk di
bibirnya sendiri.
“Pssst... Dengar sini. Abah cuma nak Ummi bahagia.
Percayalah. Ummi akan faham suatu hari nanti. Abah yakin
dengan lelaki yang abah pilih ni,” tegas Haji Arsyad.
Lidah Ummi jadi kelu. Diam seketika.
“Tapi... empat bulan tu cepat sangatlah, abah. Kasilah
setahun... dua tiga tahun lagi ke? Manalah sempat nak cari
calon macam ni,” rayu Ummi.
“Empat bulan. Titik!” tegas Haji Arsyad.
“Abah! Apa ni...?” rungut Ummi.
“Tiga bulan!” kata Haji Arsyad lagi.
“Eh! Kenapa makin singkat pulak? Abah... janganlah
buat Ummi macam ni.”
“Dua bulan!” kira Haji Arsyad. Ummi masih tidak
mengalah. Terus merayu.
“Okey. Kalau macam tu, abah kasi tiga min...”
“Baik, baik. Dua bulan pun, dua bulanlah. Ummi
terima,” halang Ummi. Tidak sanggup dua bulan nanti
menjadi tiga minggu pula.
Haji Arsyad tersenyum lebar mendengarnya.
“Macam itulah anak abah. Janji tetap janji. Ummi
kena janji dengan abah jangan menipu lagi. Boleh tak?” pinta
Haji Arsyad.
“Ya, baik! Saya, Ummi Nadzirah binti Haji Arsyad
berjanji tidak akan menipu abahnya lagi. Insya-Allah!” Ummi
membuat akur janji sambil mendabik dada.
“Alhamdulillah. Esok bermulanya hari pertama.
Selamat maju jaya!” ucap Haji Arsyad lalu membelai lembut
ubun rambut Ummi sebelum meninggalkan dapur. Bapanya
itu berjalan perlahan mendaki tangga ke tingkat atas sambil
menyanyi-nyanyi kecil lagu beirama 60-an.
Ummi Nadzirah meraup wajahnya.
“Apa yang aku dah buat ni?” Terasa mahu menangis
saja. Tiada apa yang Ummi boleh lakukan sekarang. Nasi
sudah pun menjadi bubur. Terlajak perahu boleh diundur,
terlajak kata kahwin tak relalah jawabnya. Ah! Terkeluar
macam-macam peribahasa merepek dalam otaknya sekarang.
Semuanya negatif.
Suami bagaimanakah yang perlu dicari untuk
menggantikan anak tauke tempe itu? Bingung! Ummi
benar-benar bingung. Kalau diikutkan rasa, mahu sahaja dia
menjerit sekuat-kuatnya. Ternyata permainan Haji Arsyad
lebih licik dah berkesan. Ummi sudah tiada jalan keluar.

No comments:

Post a Comment