Tuesday, 22 November 2016

Jiwangnya, Mat Rock - Bab 4

HARI pertama dalam misi mencari suami
membuatkan Ummi Nadzirah tidak mampu tidur lena.
Menatap wajahnya di dalam biasan cermin bilik membuatkan
Ummi bertambah stres. Kedua-dua belah biji matanya lebam.
Terasa seperti maskot dalam filem Kung Fu Panda pula.
Malam semalam boleh pula dia bermimpi ngeri.
Menunggang seladang gemuk di padang ragut yang luas.
Kak Melati dan Kak Embam pun terlibat sekali. Mengambil
bahagian berlumba dengan seladang masing-masing.
Memang tidak masuk akal langsung! Mentang-mentanglah
mereka bertiga tidak mempunyai suami. Sampai ke dalam
mimpi pun mahu memerli!
Paling tidak masuk akal, adakah patut Haji Arsyad
kibarkan kain rentang sebesar skrin panggung wayang di
penghujung jalan penamat? Siap ada kiraan hari pula. Ini
mesti hitungan masa untuk Ummi mengotakan janjinya.
Ah! Malas mahu difikirkan perkara mengarut itu
lagi. Mungkin sebelum tidur semalam dia terlupa mahu
basuh kaki. Sebab itulah datang mimpi yang bukan-bukan.
Bikin susah hati saja!
Apa-apa pun, Ummi perlu bersiap cepat. Pagi ini
dia perlu ke taska. Mata panda perlu dihilangkan. Terpaksa
bubuh mekap teballah jawabnya. Hilangkan kesan lebam di
bawah lingkaran mata.
Sebaik sahaja mengenakan selendang labuh dengan
baju kurung moden, Ummi menuruni anak tangga ke
tingkat bawah. Terkejut beruk dibuatnya apabila Haji Arsyad
menyambutnya dengan sebuah kalendar di tangan.
“Hari ini 20 hari bulan. Abah dah tandakan hari. Jadi,
Ummi akan sentiasa bersedia.” Haji Arsyad menayangkan
sebuah kalendar lumba kuda kepada Ummi dengan senyuman.
“Apa ni, abah?” Ummi semakin tertekan.
“Ini rujukan untuk perjanjian kita. Nak kasi dramatik
sikit... Nah, abah tampalkan kat dinding ni!” Pantas saja Haji
Arsyad menggantikan bingkai gambar di dinding dengan
kalendar yang sudah dicontengnya.
“Ya Allah! Abah... Ummi ingatlah. Ummi bukannya
pelupa. Abah jangan risau, suatu hari nanti Ummi akan cari
jugak menantu untuk abah.” Ummi memeluk lengan Haji
Arsyad. Haji Arsyad tertawa suka.
“Yalah, abah tunggu janji Ummi tu. Ni pukul berapa
nak pergi sekolah ni? Cikgu tak boleh lambat tau! Nanti
kesian anak murid tunggu,” ucap Haji Arsyad.
“Ya. Ummi nak pergilah ni. Assalamualaikum
abah...” Ummi menyalami tangan Haji Arsyad. Meminta diri
untuk ke taska.

MINI COOPER yang dipandu oleh Ummi diparkir di hadapan
taska. Belum sempat pun dia membuka pintu kereta, sebuah
kereta mewah bercermin gelap meluncur masuk. Parkir
betul-betul di sebelah petak keretanya.
‘Sah!’ Naluri hati Ummi berbisik kuat. Ini mesti
Datuk Z. Si tua miang tidak sedar diri. Nasib baik anaknya
bersekolah di taska ini. Jika tidak, pasti sudah diusirnya lelaki
itu dengan senapang gajah!
Seorang lelaki berusia hampir separuh abad dan
segak berkot hitam keluar dari perut kereta. Melemparkan
senyuman manis kepada Ummi. Ummi hanya membalasnya
dengan senyum terpaksa. ‘Meluat betul!’ Melihatkan cara
Datuk Zulkifli merenungnya dari jauh itu pun sudah cukup
membuatkan Ummi rasa menyampah.
“Kebetulan sangat, cikgu. Hari ini driver saya
demam. Jadi terpaksalah saya curi masa sikit hantar Fauzan
ni ke sekolah,” ucap Datuk Zulkifli dengan renungan mata
yang menggoda.
Anak lelakinya yang berusia enam tahun itu pun
keluar dari kereta lalu berlari mendapatkan Ummi. Bersalam
dan mencium tangan kanan Ummi. Perlahan Datuk Zulkifli
menghampiri mereka.
“Fauzan, masuk cepat. Dah lewat ni,” arah Ummi.
Jam tangannya menunjukkan hampir pukul lapan pagi.
Dalam beberapa minit lagi, perhimpunan pagi
akan bermula. Jadi, Ummi tidak mahu Fauzan ketinggalan.
Fauzan pun faham benar dengan rutin hariannya di sekolah.
Kanak-kanak itu menganggukkan kepalanya dan segera
melangkah masuk ke dalam taska.
“Datuk, kalau tak ada apa-apa lagi, saya minta diri
dululah.” Cepat sahaja Ummi mahu beredar dari situ. Tidak
sanggup rasanya menghadap wajah lelaki itu lama-lama.
“Eh, nanti kejap!” tahan Datuk Zulkifli.
Ummi yang baru sahaja mahu melarikan diri
tiba-tiba berhenti langkah. Perlahan-lahan dia menoleh ke
belakang. Apa mahunya lagi?
“Agak-agak... cikgu free tak lepas waktu sekolah ni?
Saya ingat nak ajak cikgu pergi makan tengah hari. Bolehlah
kita borak-borak sekejap,” pelawa Datuk Zulkifli dengan
senyuman menggoda.
“Petang ni? Errr... Petang ni saya sibuklah, Datuk.
Ada mesyuarat dengan cikgu-cikgu lain.” Ummi memberi
alasan lalu tersenyum simpul.
“Makan malam?” soal Datuk Zulkifli lagi sambil
menaikkan keningnya yang lebat seperti watak kartun Shin-
Chan. Sungguh, lelaki ini tidak pernah kenal erti putus asa.
“Makan malam pulak dah? Ermm... malam... malam
saya ada banyak kerjalah, Datuk. Lain kali boleh tak?” alih
Ummi.
“Kenapalah Cikgu Ummi ni selalu menolak bila saya
ajak keluar? Bukannya suruh buat apa pun. Cuma makan
malam je. Tak luak apa-apa pun kan?” aju Datuk Zulkifli.
“Maaflah, Datuk. Sejak kebelakangan ni saya memang
busy. Sampai nak jamah makan tengah hari pun tak sempat.
Kalaulah saya ada masa, dah lama dah saya keluar makan
dengan Datuk tau tak?” Ummi menguatkan lagi alasannya.
Datuk Zulkifli mengangguk. Sepertinya sudah faham.
“Kalau macam tu, saya pergi dululah. Nanti lewat
pulak saya ke pejabat. Anyway... lepas ni saya harap sangat
Cikgu Ummi jangan tolak permintaan saya lagi. Boleh?”
Datuk Zulkifli mengenyitkan mata.
Ummi mengangguk laju dengan senyuman kelat.
Berharap sangat Datuk Zulkifli segera beredar dari situ.
Kemudian dia menarik nafas lega sebaik sahaja kereta
bercermin gelap itu berlalu pergi meninggalkan kawasan
parkir.
“Assalamualaikum! Cikgu Ummi Nadzirah ke tu?”
jerit satu suara garau. Pantas Ummi berpaling ke belakang.
“Waalaikummussalam. Ya, saya. Awak ni siapa?”
soal Ummi agak kaget. Melihatkan lelaki berambut panjang
dan berpakaian agak rugged yang berdiri di hadapannya itu,
Ummi naik hairan. Mamat rock mana pula yang muncul
pagi-pagi buta ini?
“Ummi! Kau tak kenal aku lagi ke?” soal Uwais.
Wajahnya nampak ceria. Berharap Ummi boleh mengecam
dirinya yang sebenar.
“Kalau tak silap... Awak ni... Oh, lelaki yang tercicir
wallet hari tu kan?” ucap Ummi agak teruja. Bila terlihat
rambut mengerbang dan kerinting Uwais, baru dia berjaya
mengecam.
Mimik wajah Uwais serta-merta berubah. Terpaksa
juga dia mengangguk kecewa. Ternyata gadis ini gagal
mengenali dirinya yang sebenar. Apa yang harus Uwais
lakukan sekarang? Semua ini tiada gunanya jika Ummi
Nadzirah sendiri sudah melayannya seperti orang asing.
“Maaf, macam mana awak tahu nama saya ya?” soal
Ummi dengan wajah aneh. Mungkinkah juga lelaki ini pernah
mengenali dirinya?
“Saya tukang kebun baru kat sini. Dua hari lepas
Kak Embam ambik saya kerja kat taska ni. Saya tahu nama
Cik Ummi pun sebab Kak Embam yang beritahu...” Berubah
serak nada suara Uwais. Rasa hambar pun ada.
“Oh! Semalam Kak Embam ada beritahu, dia ada call
saya. Maaf, saya betul-betul terlupa,” jelas Ummi.
Baru Ummi teringat akan panggilan telefon bersama
Kak Embam malam semalam. Kata Kak Embam, dia sudah
pun jumpa pengganti Pak Mail. Bukan main lega lagi hati
Ummi. Kini tukang kebun mereka sudah muncul di hadapan
mata. Tidak perlulah mereka bersusah payah lagi hendak buat
iklan untuk mencari tukang kebun baru.
“Okey. Kalau macam tu, kita masuk ke dalam
ofis dulu. Nanti saya jelaskan apa benda yang awak perlu
buat,” tambah Ummi. Uwais mengangguk sambil tersengih
kambing. Dia mengekori Ummi masuk ke dalam bilik pejabat.
Sampai sahaja ke dalam bilik pejabat, Uwais dipelawa
duduk. Ummi melapangkan pintu bilik pejabat. Biar terbuka
luas. Agak kekok rasanya berdua dengan lelaki bukan mahram
di tempat yang tertutup.
Setelah itu, Ummi meminta diri keluar sebentar
ke pantri. Membancuh secawan kopi buat tukang kebun
barunya. Jujurnya, sudah menjadi kebiasaan buat Ummi
melayani tetamu yang datang dengan baik. Tidak hairanlah
mereka itu dalam kalangan pekerja mahupun orang luar.
Mereka ini tetap akan mendapat layanan yang sama rata.
“Minumlah dulu,” pelawa Ummi, meletakkan
secawan kopi di atas meja sebaik sahaja melangkah masuk ke
dalam bilik pejabatnya.
“Terima kasih,” balas Uwais.
“Nama awak siapa ya?” soal Ummi.
“Mat Rock.”
“Mat Rock je?”
“Kalau aku beritahu nama betul, bukannya kau kenal
aku pun...” bisik Uwais perlahan sambil kepalanya menoleh
ke belakang.
“Apa awak cakap tadi?” soal Ummi. Kurang jelas
dengan butir bicara Uwais sebentar tadi.
“Kalau saya beritahu nama penuh, takut panjang
sangat. Terbelit lidah Cik Ummi menyebutnya nanti. Panggil
aje Mat Rock,” tegas Uwais sambil tersengih.
“Okey. Sebelum ni pernah buat kerja-kerja macam
ni?” soal Ummi lagi.
“Saya ni muda lagilah, Cik Ummi. Boleh menyapu
sampah, tanam pokok bunga melur, lap tingkap, tukul kayu,
tangkap tikus... apa lagi yang saya tak boleh buat? Semua
kerja orang lelaki saya boleh buatlah. Perlu ke Cik Ummi nak
tanya lagi benda macam ni? Kak Embam dah interview saya
minggu lepaslah. Asyik-asyik tanya soalan yang sama. Cik
Ummi tak bosan ke?” Laju saja baris-baris ayat keluar dari
mulut Uwais. Hampir tercengang Ummi mendengarnya.
“Eh! Awak ni marahkan saya ke apa ni? Saya cuma
tanya je.” Ummi mengecilkan anak mata. Pelik sungguh
dengan tabiat lelaki ini. Sekejap ceria. Sekejap sensitif. Aneh
sungguh perangai!
“Eh... tak, tak! Bukannya marah. Saya cuma nak
beritahu kepakaran saya je. Tak marah pun...” jelas Uwais.
Demi bekerja di sini, Uwais perlu kawal emosi. Jangan terlalu
tonjolkan taring. Nanti kerja terlepas, Ummi Nadzirah pun
melepas. Punah harapan kalau terus macam ni.
Seketika kemudian, pintu bilik pejabat diketuk.
“Eh! Mat Rock ada kat sini?” tegur Kak Embam.
Menjengah kepalanya di tepi pintu yang sudah memang
terbuka luas.
“Saya jumpa dia kat tempat parkir tadi. Terus ajak ke
pejabat. Ada apa, Kak Embam?” soal Ummi.
“Saya cari Mat Rocklah. Ingatkan tadi dia tak jadi
masuk kerja. Tak sangka pulak dia dah ada kat dalam pejabat.”
Kak Embam tersenyum penuh makna. Mahu mengenakan
Ummilah tu! Hadam sangat Ummi dengan senyuman
tersebut.
“Kak Embam free tak sekarang ni?” tanya Ummi.
Kali ini Ummi mahu mengenakan Kak Embam pula. Sebagai
pembantu kanan dan orang kuat di taska ini, Kak Embam
adalah orang yang paling sesuai untuk melakukan tugas
seperti ini.
“Tak free la, Cik Ummi. Lepas ni ada kelas lagi.
Kenapa?” soal Kak Embam semula. Macamlah Kak Embam
tidak dapat menghidu segala agenda Ummi!
“Saya ingat nak minta tolong Kak Embam tunjukkan
Mat Rock kita ni tempat-tempat yang penting. Kalau tak
free, tak apalah. Nanti saya yang tolong tunjukkan sendiri,”
balas Ummi berbaur agak kecewa. Entah mengapa, hatinya
rasa berat pula mahu melayan lelaki ini. Atas sebab apa pun,
Ummi tak tahu.
“Okey. Memandangkan Mat Rock pun dah sampai,
saya pun ada kerja lain, jadi... saya minta diri dululah ya?
Bye.” Selamba sahaja Kak Embam meninggalkan mereka
berdua di situ. Dalam hati, bukan main lagi Kak Embam
ketawa penuh kemenangan.
Mahu atau tidak, terpaksa juga Ummi layankan
tukang kebun barunya itu. Tetapkan pendirian untuk
bersikap profesional. Dia mempelawa Uwais meninjau-ninjau
ke kawasan sekeliling taska. Menunjukkan Uwais lokasi stor
alatan yang terletak betul-betul di belakang bangunan taska.
Stor sebesar bilik tidur itu menyimpan pelbagai
alatan penting untuk kegunaan tertentu. Terutama sekali
untuk kerja-kerja membersih dan bertukang. Satu per satu
penerangan terperinci diberikan Ummi.
“Selalunya, Pak Mail potong rumput seminggu
sekali. Bunga-bunga kat sini pun dialah yang tanam. Awak
kena siram tiap-tiap hari tau. Jangan sampai kering pulak
pokok-pokok kat sini. Lagi satu, saya paling tak suka dan
pantang betul dengan orang yang kerja curi tulang. Kalau
awak nak kerja lama... faham-fahamkanlah maksud saya ni,
ya?” jelas Ummi sambil memandang wajah Uwais dengan
tegas.
“Yalah, Cik Ummi. Saya faham,” jawab Uwais acuh
tak acuh. Agak bosan kerana dari tadi sering mendengar
arahan daripada Ummi.
“Ermmm... Kalau saya minta sesuatu awak jangan
marah tau?”
“Minta apa lagi, Cik Ummi?”
“Awak tolong ikat sikit rambut awak tu bagi kemas,
boleh tak? Jangan biarkan dia ‘melambai-lambai’ macam
rumpai air. Nanti nak potong rumput susah.” Selamba gaya
Ummi, berserta stail menyisir rambut. Ala-ala iklan syampu
gitu.
“Apa kaitan potong rumput dengan rambut saya
pulak? Apa Cik Ummi fikir yang rambut saya ni boleh
tersangkut dalam mesin rumput ke? Hei, tak terjejaslah
mesin rumput Cik Ummi ni!” jerit Uwais. Sudah hilang sabar
dibuatnya.
Sememangnya Uwais amat sensitif apabila
rambutnya yang ‘seksi’ itu sering dipersoalkan oleh orang.
Bukan Ummi sahaja. Sebelum ini pernah juga dia diarahkan
oleh majikannya untuk memotong rambut. Disebabkan
keengganan itulah Uwais sering gagal dalam temu duga. Ini
gaya lelakinya. Orang lain apa tahu?
“Memanglah mesin rumput tu tak terjejas. Tapi, kaki
awaklah tu yang hilang dulu nanti. Kalau diikat, kan lebih
kemas. Senang nak buat kerja. Barulah nampak bergaya,”
puji Ummi sambil tergelak. Terlebih sensitif pula Mat Rock
ini!
“Jadi... Cik Ummi tak suruh saya potong kan?” soal
Uwais. Penuh perasaan gementar. Bimbang juga jika rambut
seksinya terpaksa dipotong.
“Taklah. Rambut awak, hak awak. Saya tak paksa
pun.”
“Jadi saya boleh simpan rambut ni?” soal Uwais lagi.
Ummi mengangguk dan masih ketawa. Rasa lucu
pula lelaki ini. Walaupun nampak emosional, sebenarnya dia
agak lurus bendul juga.
“Kalau tak ada apa-apa lagi, saya nak masuk pejabat.
Awak nak tanya apa-apa lagi ke?”
“Errr.. tak. Tak. Saya dah faham. Cik Ummi
sambunglah kerja Cik Ummi tu.” Uwais tersenyum simpul.
Ummi masih perlu menyempurnakan tugasnya di
pejabat. Banyak lagi kerja yang tergendala. Lalu dia meminta
diri dan segera meninggalkan Uwais di situ.
Uwais tetap memerhati kelibat Ummi sehingga
hilang dari pandangan matanya. Tersenyum-senyum macam
orang dilamun cinta.
Biarlah Ummi Nadzirah tidak mengenali dirinya. Itu
lagi bagus. Lagi senanglah kerjanya untuk mengambil hati
gadis itu. Jika ini yang Tuhan tentukan untuknya, mengapa
tidak dia mencuba? Manalah tahu, suatu hari nanti hati Ummi
akan beralih kepadanya. Mungkin Ummi sudah melupai Uwais
Qarni, tetapi tidak terhadap Mat Rock yang satu lagi ini.

No comments:

Post a Comment