Tuesday, 22 November 2016

Jiwangnya, Mat Rock - Bab 5

DI dalam bilik air yang kecil ini, Uwais menatap
wajahnya di cermin. Pagi ini terasa dingin untuk mandi.
Mencuci muka dan menggosok gigi sudah terasa memadai.
Rambut panjang dan kerintingnya disisir rapi. Biar nampak
kemas untuk memulakan kerja pada hari kedua dia berada di
Taska Harapan Ummi.
Namun, seperti ada satu perkara lagi yang masih
belum sempurna. Getah rambut milik Aizat yang tersangkut
di bingkai pintu dicapainya. Mengikat rambut tocang kuda
berpangkal dari atas kepalanya.
“Dah macam ninja Jepun je?” Uwais membelek
rupanya di hadapan cermin. Persis samurai Jepun pada
zaman syogun.
“Tak boleh! Tak boleh!” Uwais merendahkan sedikit
ikatan rambut sehingga menyentuh belakang leher pula.
Baru rasa selesa. Tidaklah nampak pelik sangat.
Sebaik sahaja Uwais membuka pintu bilik air, Aizat
melapangkan mulutnya. Luas ternganga macam ternampak
jelmaan saka.
“This is insane! Uwais Qarni a.k.a Mat Rock
mengikat rambut! Oh, kerja gila apa kau dah buat ni, bro?”
Aizat menjerit-jerit macam orang tidak siuman.
“Relakslah. Aku ikat rambut je pun. Bukannya
botakkan kepala. Aku yang ikat rambut, kau yang rasa panas
kenapa? Kenapa bro?” Uwais tergelak-gelak. Memegang
kedua-dua belah bahu Aizat. Aizat ketawa geli hati sampai
terguling-guling ke atas lantai.
“Hei, tak pernah dalam sejarah aku tengok kau ikat
rambut! Tup-tup hari ni jadi sopan!”
“Aku cuma ikut spesifikasi kerja. Salah ke?” Uwais
menjongketkan bahu.
“Spesifikasi kerja sebagai tukang kebun? Masa kau
interview untuk jadi manager hari tu, kau tak ikut pun
spesifikasi. Anyway, tahniah bro! Aku suka... aku suka sangat
dengan perubahan kau kali ni...” Aizat tidak henti-henti
ketawa.
“Menyampah pulak aku layan orang macam kau
ni. Pergi kerja lagi baiklah!” Uwais terus ke ruang tamu.
Menyarung kasut sneakers di pintu rumah. Topi keledar
di atas meja tidak dilupakan. Diangkut sekali naik ke atas
motosikal Yamahanya.
“Jangan lupa tau! Minggu ni ada show. Dahlah
jamming pun kau ‘tuang’! Jangan kau tak datang sudahlah!”
pesan Aizat dari jauh.
Selalunya, pada hari Sabtu atau Ahad, mereka akan
membuat showcase di hadapan bangunan Sogo. Jadi, sudah
menjadi tanggungjawab Aizat untuk mengingatkan Uwais
mengenai perkara itu.
“Tengoklah macam mana!” jerit Uwais. Lekas-lekas
menghidupkan enjin motosikal Yamaha model lama itu.
Dia memecut laju meninggalkan halaman rumah mereka,
menuju ke Taska Harapan Ummi.
SEBAIK SAHAJA tiba di tempat parkir, mata Uwais tertumpu
ke arah dua buah kereta yang tersadai betul-betul di
hadapannya. Kelihatan Ummi sedang berborak-borak dengan
seorang lelaki. Sepertinya itu adalah lelaki yang dilihatnya
semalam. Bertambah menyirap darah Uwais apabila melihat
senyuman menggoda lelaki itu. Mahu mengayat gadis
kesayangannyalah tu!
Uwais pun apa lagi? Dia berjalan pantas
menghampiri mereka sambil membawa topi keledarnya.
Tidak teringat pun mahu meninggalkan topi keledar tersebut
di atas motosikal. Baguslah! Kalau apa-apa terjadi nanti,
bolehlah dia menggunakan topi keledar ini sebagai senjata
mempertahankan diri. Biar remuk muka antik lelaki itu
dikerjakannya.
“Ehem, ehem. Cikgu tak nak masuk sekolah ke? Dah
lewat dah ni,” tegur Uwais dengan senyuman paling manis.
Menayangkan gaya rambut barunya yang kini berikat kemas.
Entah mengapa, secara tiba-tiba Ummi membalas
senyumannya dan mula tergedik-gedik berdiri di sebelah
Uwais.
“Untuk pengetahuan Datuk, ini tunang saya.
Maaflah, bukan sengaja saya menolak nak keluar sama-sama.
Sebenarnya, saya dah bertunang. Tak elok kan... kalau
tunangan orang keluar dengan lelaki lain. Apa pulak kata
orang nanti?” bicara Ummi dengan ketawa kecil.
Terbeliak biji mata Uwais mendengarnya. Pandangan
matanya tidak lekang daripada menatap wajah Ummi. Minta
kepastian. Hatinya rasa berbunga-bunga cinta. Macam ada
dua ekor burung merpati yang sedang bermain-main di atas
kepalanya. Betul ke apa yang Uwais dengar sekarang ini?
“Bila masa pulak Cikgu Ummi bertunang? Kenapa
saya tak tahu pun?” luah Datuk Zulkifli. Semakin pening
otaknya berfikir. Tadi kata sibuk, sekarang sudah bertunang
pula. Mana satu yang betul ni?
“Kami buat secara tertutup. Saya tak mahu
kecoh-kecoh. Kan Mat Rock, kan?” jeling Ummi, menyenggol
lengan Uwais kasar. Paksa supaya Uwais membuka mulut.
“Errr... Haah. Ya, Cikgu Ummi ni tunangan saya,”
sambung Uwais setelah dipaksa sekali lagi oleh Ummi dengan
isyarat mata.
“Tak boleh ke kalau saya nak keluar dengan tunang
awak ni?” soal Datuk Zulkifli kepada Uwais. Masih belum
mengalah.
Uwais pantas merenung wajah Ummi. Ummi
membuat isyarat muka lagi. Minta ditolak. Berharap Uwais
mengerti maksud yang disampaikan.
“Tunang saya adalah bakal isteri saya. Jangan pernah
ajak dia keluar. Saya tak suka!” tegah Uwais dengan muka
yang serius, sambil menggenggam penumbuk. Bila-bila masa
sahaja topi keledar yang dipegang Uwais boleh hinggap di
kepala lelaki itu.
Datuk Zulkifli mengangkat kedua-dua belah tangan.
Tanda mengalah.
“Baik! Maafkan saya. Saya pergi dulu.” Agak serius
nada ucapan Datuk Zulkifli. Lelaki itu terus melangkah
masuk ke dalam perut keretanya. Meninggalkan mereka
berdua di situ.
“Terima kasih sebab tolong saya,” kata Ummi.
“Erk, itu tolong je ke? Oh! Okey, saya faham.
Sama-sama...” Uwais termalu sendiri. Rasa macam dihempap
batu pun ada. ‘Ingatkan bertunang betul-betul. Cis!
Rupa-rupanya olok-olok. Potong stim betul!’ rungut Uwais
dalam hati.
“Maaf sangat-sangat sebab libatkan awak dalam
hal saya ni. Sebenarnya saya tak berkenan sungguh dengan
perangai orang tu. Setiap hari kalau berjumpa je, mesti dia
nak ajak saya keluar. Naik rimas dibuatnya.” Ummi buat aksi
geli-geleman.
“Eh, tak apa-apa. Benda kecik je. Boleh saya tau
kenapa Cik Ummi tak suka orang tua tu? Dia kaya apa? Pakai
kereta mewah. Sah-sah boleh jamin kehidupan Cik Ummi
nanti,” duga Uwais.
“Kaya tapi kalau hati saya tak berkenan, tak guna
jugak.” Ummi tergelak kecil. Uwais tersenyum simpul.
“Ermmm... Saya rasa... awak nampak lainlah hari ni,
Mat Rock. Nampak lebih kemas daripada semalam. Saya rasa
bangga,” luah Ummi dengan rasa kagum.
“Bangga? Kenapa bangga? Kenapa tak cakap... Mat
Rock nampak kemaslah hari ni. Saya sukaaa...” Panjang nafas
Uwais mengajuk perkataan terakhir itu.
“Sudahlah tu. Makin dilayan, makin menjadi-jadi
awak ni.” Ummi ketawa suka. Mereka melangkah seiring ke
pintu masuk taska sambil berbual-bual kosong.
Buat kali pertamanya Uwais melihat ada sesuatu
di wajah Ummi. Sesuatu yang membuatkan matanya tidak
berkedip sesaat pun tatkala menatap wajah itu. Macam ada
aura yang melekat di dalam hati. Tidak boleh ditanggal
walaupun jenuh disental dengan pencuci pinggan mangkuk
yang mahal.
Uwais terus mendengar bicara Ummi. Setiap ayat
yang dituturkan itu nampak sungguh bergaya. Terasa tuli
sekejap pendengaran Uwais. Seperti tayangan filem yang
diperlahankan rakamannya. Lesung pipit di sebalik senyuman
itu membuatkan hati Uwais berada jauh nun di sebalik bukit
yang jauh. Jasad di badan, hati ke laut cinta membara. Terus
terbang dibawa ke awan nan biru.
“Mat Rock! Mat Rock!” Ummi mengipas-gipas muka
Uwais. ‘Berangankan apa pula lelaki ini?’ Sejak dari tadi Ummi
menyeru namanya. Tidak berbalas. Hanya pegun menatap
wajah Ummi, tidak pula menyahut panggilannya.
“Errr... Apa tadi, Cik Ummi?” tanya Uwais
tergagap-gagap.
“Ni saya nak kenalkan. Cikgu Mastura. Semalam
awak tak sempat jumpa dia kan?” soal Ummi.
“Oh, ya... Saya Mat Rock,” balas Uwais lantas
tersenyum manis sambil melihat wajah Mastura.
“Ini ke Bon Jovi tu, Cik Ummi? Handsomelah!” bisik
Mastura sambil menyiku lengan Ummi dengan mimik muka
nakal.
Baru Mastura percaya apa yang didengarnya daripada
mulut Kak Embam sebelum ini. Patutlah Kak Melati tidak
berkedip mata. Tukang kebun mereka terlalu kacak! Tidak
senang duduklah jawabnya mereka nanti.
“Apa? Bon Jovi?” soal Uwais sambil menatap wajah
Ummi. Pelik pula mendengarkan gelaran itu.
“Eh! Tak ada apalah...” balas Ummi sambil
mengerutkan wajah.
“Tak ada apa, apanya? Rambut Mat Rock ni
mengingatkan saya pada seseorang. Siapa namanya tu.
Mmm... Hah, Bon Jovi!” ucap Mastura agak tergedik-gedik.
Uwais ketawa terbahak-bahak apabila mendengarnya.
Masakan dia disamakan dengan Bon Jovi? Jauh sungguh
bezanya. Kulit Uwais jauh lebih kuning langsat berbanding
artis rock bertaraf antarabangsa itu.
“Bon Jovi? Bon Jovi pun bolehlah. Asalkan bukan
makhluk asing sudahlah,” seloroh Uwais. Membetulkan
rambut berketaknya dengan penuh perasaan bangga.
“Bon dah kahwin ke?” soal Mastura selamba. Uwais
menggelengkan kepala dengan senyuman. Rasa kelakar pula
dengan panggilan barunya itu.
“Baguslah. Kalau Bon nak tau, kat taska ni, semua
cikgu-cikgu single lagi tau. Termasuklah saya. Tapi, saya
dah ada yang punya...” Mastura ketawa mengilai macam
pontianak. Terlampau suka pula dia hari ini.
“Bon dah melawat kawasan taska?” soal Mastura lagi.
“Belum sepenuhnya.”
“Kalau macam tu... jom saya tunjukkan
tempat-tempat menarik kat taska ni,” sambung Mastura.
Tanpa segan silu, Mastura pantas mengheret lengan Uwais.
Menuju ke bahagian kantin. Mulutnya tidak henti-henti
bercakap. Macam kereta api lajunya.
Ummi menggeleng-gelengkan kepalanya. Pening
betul melayan kerenah Mastura. Macam budak-budak. Faham
benar dia dengan perangai Mastura. Agak kegila-gilaan tetapi
baik hati. Sempat juga Ummi menarik nafas lega. Nasib
baiklah ada Uwais tadi. Menjadi penyelamat Ummi dari
menjadi mangsa mainan cinta Datuk Zulkifli. Hilang sekejap
rasa meluatnya!

No comments:

Post a Comment