Sunday, 15 January 2017

MAKMUM YANG PALING AKU CINTA - BAB 3

MENJELANG keesokan harinya, Amru
menyarung jaket hitam dan seluar tracksuit putih. Dia
memulakan paginya dengan aktiviti joging di sekitar
kampung. Sambil memakai kaca mata hitam dan headphone,
dia memulakan langkah tanpa ditemani oleh Haji Sufian.
Pemandangan kampung yang bersawah bukan kali
pertama baginya. Melalui projek dan tender yang diperolehi,
dia banyak meredah kampung dan kawasan pendalaman.
Amru pernah terfikir untuk memiliki kehidupan nyaman di
kampung. Jauh daripada kesibukan kota raya. Ada kalanya
dia letih mengejar sesuatu yang kurang pasti. Dia buntu
menentukan matlamat sebenar yang memberi kepuasan
maksimum. Segala-galanya cukup tapi hatinya masih wujud
ruang kosong. Bukan dia tak berusaha mencari jawapan tapi
hasilnya selalu mengecewakan. Oleh sebab itu, Amru lebih
gigih bekerja. Menenggelamkan diri dalam kesibukan yang
mampu menyekat fikirannya daripada berfikir perkara yang
tak pasti.
Tersentak. Lariannya tergencat bila sebuah
motosikal melintas di depannya. ‘Hesy!’ Hatinya merengus.
Kurang senang dengan pertemuan yang sering berlaku sejak
kebelakangan ini.
“Abang Amru!” Namanya dilaung kuat dan mujur
headphone mampu melindungi cuping telinganya. Ikutkan
hati, Amru ingin terus berlari tanpa pedulikan gadis yang
sedang menghampirinya. Bibir menayang secebis senyum.
Headphone disangkut belakang leher. Spek hitam yang
dipakai masih melindungi mata.
“Untungnya Sara dapat jumpa abang! Tadi Sara
cari abang dekat homestay tapi abang tak ada. Sara kecewa
sangat. Tapi sekarang Sara dah tak kecewa. Tak sangka jodoh
kita kuat,” tingkah gadis itu, bereaksi manja dan mesra. Tapi
Amru pula rimas dengan perhatian yang berlebihan.
“Kenapa Sara cari saya?”
“Semalaman Sara fikirkan abang sebab ayah cakap
tangan abang terseliuh. Sara sangat risau. Tidur pun tak lena.
Tangan mana yang terseliuh tu, abang?” Mata Sara meliar di
kedua-dua belah tangannya.
Amru diam sejenak. Dia agak terlupa tangan yang
dipertaruhkannya semalam. Tapi urutan Pak Cik Hamdan
telah meninggalkan kesan sengal. Amru pantas mengunjuk
tangan kirinya.
“Tangan ni, tapi dah sembuh.”
Amru menarik tangannya dengan lembut bila Sara
dengan berani memegang lengannya. Bimbang perbuatan itu
diperhatikan penduduk kampung sehingga menular gosip
liar. Sementelah dia berada di kampung bukan seperti bandar
yang bebas laku dan kurang sensitiviti.
“Hari ni Sara ada buat sarapan special untuk
abang. Kalau abang nak tahu, hari ni Sara bangun awal pagi
semata-mata nak buat sarapan yang paling best dalam hidup
Sara. Khusus untuk abang.”
Amru cipta senyum. Sekadar menghargai jasa baik
Sara.
“Thanks. Lain kali Sara tak payah susahkan diri
bangun pagi. Abang boleh pergi sarapan dekat Warung Haji
Sakor.”
Maisarah bukanlah tak cantik bagi Amru. Gadis itu
manis dan berkulit kuning langsat. Dia mengenali Sara sejak
hari pertama tiba di kampung. Setiap kali waktu tengah hari
dan petang, Sara akan muncul di depan homestay dengan
membawa makanan di dalam mangkuk tingkat.
Selain itu, Haji Sufian selalu menjemputnya
bertandang ke rumah untuk menjamu selera. Amru perasan
anak-beranak itu berusaha mengambil hatinya. Layanan yang
diberikan sangat istimewa. Cuma perhatian yang berlebihan
menyebabkan Amru rasa rimas. Terasa gerak-gerinya sentiasa
dalam perhatian.
“Abang tak payahlah sarapan dekat warung. Makanan
dekat warung tu mana sedap. Hari-hari benda yang sama.
Sara pun dah muak. Apa kata Sara teman abang makan dekat
homestay? Boleh Sara kenal abang lebih rapat,” usulnya
dengan senyum lebar.
‘No way! Itu menempah bala namanya!’ benak Amru
meningkah. Dia semakin lemas dengan kehadiran Sara yang
muncul bagai menembusi pintu Doraemon. Sekelip mata
mampu hadir di depannya.
“Macam nilah, apa kata Sara tinggalkan sarapan tu
dekat beranda rumah? Nanti lepas joging, saya makan.”
Sara ketap gigi sebelum bibir mengoyak lagi
senyuman.
“Okey, Sara tinggalkan sarapan ni dekat beranda.
Tapi abang jangan lupa makan tau. Penat Sara bangun awal
pagi semata-mata nak masak untuk abang,” ucapnya penuh
santun yang dibuat-buat. Dalam hatinya, dia terasa geram
dengan Amru yang suka jual mahal. Langsung tak pedulikan
usahanya yang sudah terang lagi bersuluh cuba menggoda.
Sara berusaha semata-mata ingin buktikan kepada
ayahnya bahawa dia juga mampu memikat lelaki berduit.
Kebelakangan ini Sara banyak makan hati bila Haji Sufian
selalu membandingkan dirinya dengan Siti Nailufar.
Walaupun serba kekurangan, Lofa mampu
memancing perhatian golongan berstatus VIP. Malah ingin
dilamar oleh seorang Dato’. Sara cemburu dengan rezeki Lofa
yang tak dijangka. Cuma Lofa yang masih berat memberikan
kata putus kerana lelaki itu sudah beristeri. Sebaliknya Sara
tak kisah jika ditakdirkan menjadi isteri kedua, ketiga atau
keempat. Yang penting kesenangan dan kemewahan berada
di hujung jarinya. Ekoran itu, Sara nampak Amru sebagai
lubuk emas. Ayahnya juga menggalakkan dia memikat Amru.
Lantas Sara berusaha memancing perhatian pemuda itu.
Namun hasilnya tak memberangsangkan. Amru langsung tak
pedulikan kehadirannya.
“Sara baliklah dulu. Saya nak sambung joging.”
Kemudian Amru berlalu pergi. Meninggalkan Sara bersama
motosikalnya di tepi tali air.
Amru hela nafas lega setelah berjaya melarikan diri.
Terasa segar udara sekeliling bila kelibat Sara di belakangnya
semakin menghilang. Dia terus mengatur larian menuju ke
kawasan yang dikelilingi pokok-pokok tinggi. Melihat denai
yang kehijauan.
Apabila lelah menghimpit dada, dia mula berjalan.
Tatkala itu pandangannya bertaut sesuatu. Seekor kucing
sedang melilau-lilau sambil mengiau-ngiau. Amru perasan
kucing putih bertompok hitam itu sama jenis dengan kucing
yang berada di sebelah Pak Cik Hamdan semalam.
“Hemo-Hemo.” Dia sekadar menyeru panggilan
yang didengarnya semalam.
Amru tercengang bila kucing itu mendekatinya.
Menggesel-gesel di batang kakinya sambil terus mengiau.
Lantas dia mengendong kucing tersebut. Namun Amru agak
pelik bila kucing itu masih mengiau. Dan bunyinya semakin
kuat dan nyaring.
Dia terkejut bila kucing itu tiba-tiba melompat
turun dari tatangannya. Suara mengiau si kucing masih
kedengaran. Kali ini kepala kucing itu menyondol belakang
kakinya seperti mahu dia bergerak. Lantas Amru mara ke
depan dan kucing itu turut berjalan sama.
Tatkala Amru terus melangkah, kucing itu melencong
ke arah lain. Menuju ke kawasan pokok-pokok pisang. Bila
Amru hentikan langkah, kucing itu turut hentikan langkah.
Masih mengiau-mengiau tanpa henti. Menyedari kucing itu
seperti sedang memberikan suatu isyarat, Amru jadi aneh.
Dia menjejaki langkah kucing itu sehingga jauh ke dalam
kawasan kebun.
Pandangannya menimpa sehelai tudung yang
tersadai di tanah. Kucing itu berputar-putar sekitar tudung
tersebut tanpa berhenti mengiau.
“Mana kau nak lari, hah?”
Amru tersentak. Tergencat kakinya. Suara seorang
lelaki bergema kasar. Dia kenal suara itu! Seraut wajah
bertamu di mata. Mereka pernah makan semeja dan
bertentang mata!
“Cubalah menjerit, Lofa. Aku nak dengar suara kau
menjerit minta tolong.” Kemudian berdekah-dekah lelaki itu
ketawa.
Lofa! Jantung Amru serta-merta berdetak kencang.
Berganda rasa terkejut. Kaki dan matanya lekas mencari
kelibat manusia di sebalik daun dan batang pokok pisang
yang menyukarkan pandangan.
Sah! Tak syak lagi lelaki itu Nabil, anak lelaki Haji
Sufian! Giginya terketap kuat tatkala terpandang seorang
gadis yang tersedu-sedan menangis. Siti Nailufar! Kepala
gadis itu tergeleng-geleng, wajahnya dihujani tangis dan
kedua-dua belah telapak tangannya bersatu seperti merayu
dilepaskan.
“Dah lama aku sukakan kau, Lofa. Aku minta bapak
aku pinang kau, dia tolak mentah-mentah. Sekarang bapak
aku sibuk nak kahwinkan kau dengan Dato’ miang. Bapak
aku sanggup tolak permintaan anak sebab Dato’ tu tawarkan
banyak duit semata-mata nak kahwin dengan kau. Tapi
sebelum Dato’ tu dapat tubuh kau, baik aku rasmikan dara
kau dulu. Sekurang-kurangnya aku tak kempunan.”
‘Damn it!’ sumpah hati Amru. Dia mula mengatur
gerak perlahan. Berselindung di sebalik batang pokok pisang.
Dia enggan dikesan oleh Nabil yang sedang menggila.
“Nasib aku baik hari ni. Mujur hari ni ayah kau
tak datang kebun. Dapatlah aku lapah kau puas-puas. Biar
seumur hidup aku terkenang saat ini.”
Amru naik radang. Nabil telah merentap rambut
Nailufar sekali gus menyauk gadis itu ke dalam rangkulan.
Tubuh kecil itu dihenyak. Nailufar langsung rebah ke tanah.
Amru kehairanan. Sekalipun dia tak mendengar jeritan
Nailufar walaupun diperlakukan sebegitu kasar. Hanya
tangisan lebat tanpa suara mencemari wajah itu.
Amarah mengalir ke setiap penjuru hati. Darah merah
menyerbu serata wajah. Amru pantas bertindak. Menyerang
dari belakang Nabil. Kakinya naik menujah pinggang Nabil
yang sedang gigih menanggalkan tali pinggang.
“Celaka kau, Nabil!”
Nabil putarkan tubuhnya yang tertiarap ke tanah.
Mencari manusia yang berani membuat serangan hendap.
Berair matanya menanggung kesakitan. Pedih menusuk ke
tulang belakang.
“Hoi, orang luar jahanam! Kau jangan masuk
campur!” pekik Nabil lalu bangkit menyerang.
Dia menepis tumbukan yang disasarkan ke wajahnya.
Amru lebih cekap memandu tangannya ke bawah rahang
Nabil. Menumbuk padu sehingga Nabil terkulai sekali lagi ke
tanah.
Namun Nabil enggan berputus asa. Dia menarik
sebelah kaki Amru sehingga Amru ikut jatuh di atas
tanah. Nabil lantas cuba menindih tubuh Amru. Dia ingin
menumbuk bertubi-tubi wajah Amru sebagaimana bibirnya
mampu merasai pedih dan darah.
Sebaliknya Amru lebih dulu menolak tubuh Nabil ke
tanah. Mereka berpusing dan bergelut di atas tanah. Amru
mencekak kolar baju Nabil. Manakala kedua-dua belah tangan
Nabil berusaha mencekik batang leher Amru.
Bila mendapat peluang, Amru lekas bercelapak
antara tubuh Nabil. Dia berjaya lepaskan lehernya daripada
cengkaman Nabil. Lantas beberapa tumbukan dilepaskan ke
wajah itu. Serta-merta Amru bangkit lalu kakinya memasang
kuda-kuda. Bersiap sedia untuk melawan Nabil lagi.
Dengan kudrat masih bersisa, Nabil cuba berdiri.
Tubuhnya terlalu lelah dan sakit. Tiada daya untuk berentap
lagi. Dengan tenaga yang berbaki, Nabil berusaha merangkak.
Dia terbongkok-bongkok menahan sakit di dalam
tulang-temulang. Akhirnya Nabil terkocoh-kocoh selamatkan
diri bila Amru datang dari arah belakang.
Amru sekadar membiarkan Nabil lari. Lantas
tubuhnya berpusing mencari Nailufar. Matanya mengesan
sekujur tubuh yang masih menangis ketakutan. Amru
perasan lengan baju kemeja yang dipakai oleh Nailufar
terkoyak. Mendedahkan kulitnya yang putih.
Jaket yang tersarung pada badannya segera
ditanggalkan. Amru tunduk seraya memakaikan jaket
miliknya ke tubuh Nailufar.
“Kau tak apa-apa?”
Gadis itu sekadar mengangguk.
“Tapi kenapa kau tak menjerit minta tolong? Kenapa
senyap bila Nabil buat kau macam tu?” soal Amru agak
bengang. Persoalan itu mengasak mindanya sebelum dia
menyerang Nabil tadi.
Gadis itu mendongak. Melihat wajahnya dalam
tatapan yang merah dan berkaca-kaca. Telunjuk Nailufar
menuju mulut sebelum kedua-dua belah tangannya bersilang.
Amru terpinga-pinga kurang mengerti.
“Apa maksud kau?”
Sekali lagi Nailufar mengulangi perbuatan tadi
dan kali ini Amru terdiam lama. Terenjat. Tegak belakang
tubuhnya. Mustahil!

No comments:

Post a Comment