Sunday, 15 January 2017

MAKMUM YANG PALING AKU CINTA - BAB 4

TERKESIMA.
‘Oh my God. Dia tak boleh bercakap? Siti Nailufar
B.I.S.U!’ Tak berkutik tubuh Amru lantaran terkejut.
Seakan-akan jantungnya hampir luruh ke perut. Seolah-olah
mimpi ngeri melanda diri.
“Kau... kau bisu?” Hatinya berdoa supaya
sangkaannya tidak tepat sama sekali.
Hakikatnya dia benar. Gadis itu mengangguk. Amru
meraup wajahnya. Tak menjangka dirinya telah dikejutkan
dengan berita yang tak disangka-sangka. ‘Daddy pilih
perempuan bisu untuk dijadikan isteri? Mustahil daddy tak
tahu siapa sebenarnya Nailufar! Apa yang daddy inginkan
daripada seorang gadis bisu?’ Benaknya sungguh tak percaya.
Nailufar berusaha berdiri. Perlahan dan pincang
langkahnya ketika berjalan. Namun lengannya ditangkap oleh
seseorang. Lelaki yang menjadi penyelamatnya kini berdepan
dengannya. Menatapnya dengan renungan penuh erti.
“Aku hantar kau pergi hospital. Kemudian kita buat
laporan polis.”
Kepala Nailufar bergerak ke kiri dan ke kanan.
“Kenapa tak nak? Aku boleh jadi saksi Nabil cuba
perkosa kau. Kalau kau biarkan Nabil bebas, dia akan ulang
perbuatan yang sama.”
Nailufar menggeleng lagi seraya menekup wajah
dengan telapak tangan. Bahunya terhinggut-hinggut
menangis.
Amru serba salah. Dia menarik kedua-dua belah
tangan itu. “Kau malu dengan kejadian tadi? Kau risau orang
akan bercakap bukan-bukan kalau jadi kes polis?” tekanya.
Nailufar perlahan angguk.
“Kenapa nak malu? Maruah kau dapat diselamatkan.
Aku boleh jadi saksi.”
Gadis itu bungkam. Tapi air matanya masih lebat
menuruni lekuk pipi.
Melihat kepiluan Nailufar, hati Amru terhenyak
sakit. Pedihnya merusuh jiwa. Terasa ingin disauk tubuh itu
seraya memberi pelukan ketenangan. Amru ingin berbisik di
telinga gadis itu bahawa segalanya telah selamat dan dia akan
selalu melindunginya.
Kedu. Amru terkejut dengan bisikan hatinya.
Sungguh dia tak faham mengapa emosinya mampu terjejas
saat ini. Pantas dia membuang segala pemikiran yang tak
masuk akal. Menidakkan rasa aneh yang bertamu di dalam
jiwa lelakinya.
“Aku hantar kau balik rumah. Biar ayah kau yang
putuskan tindakan selepas ni.”
Nailufar tak memberi sebarang respons. Dia menarik
tangannya yang dipegang oleh jejaka asing itu. Jemari
mengesat wajah yang dicemari air mata. Kakinya bergerak
perlahan lalu melencong ke sebelah kanan. Nailufar tunduk
mengambil Hemo-Hemo dari tanah.
Amru melihat Nailufar mendekatkan Hemo-Hemo
ke wajah. Kucing itu menggesel-gesel pipi Nailufar sambil
mengiau halus. Seperti lega pemiliknya telah selamat. Amru
berjalan sepuluh langkah untuk mengambil tudung yang
tersadai di tanah. Kemudian dia menghampiri Nailufar
semula.
Tercengang dan pegun. Nailufar tersentuh dengan
tindakan Amru. Tudung yang direntap oleh Nabil tadi telah
kembali kepadanya. Dan Amru yang sudi memakaikan tudung
itu tanpa teragak-agak.
“Aku Amru. Orang luar yang baru masuk kampung
ni. Selama aku dekat sini, aku cuma kenal keluarga Haji
Sufian. Sebab itu aku kenal Nabil. Semalam petang aku
jumpa ayah kau untuk mengurut. Adik-adik kau ada cakap
yang kau juara tangkap ikan. Kita balik rumah dulu, okey?”
Kejujuran yang terbias di mata lelaki itu membuatkan
Nailufar akur. Perlahan kepalanya mengangguk.

LAMA HAMDAN terdiam di ruang tamu. Dia mengancing
gigi dek menahan marah. Sudah lama dia perhatikan tingkah
Nabil yang selalu mengintai rumahnya di hujung jalan.
Kesalnya dia kerana membiarkan Nailufar ke kebun seorang
diri.
“Maafkan ayah, Lofa. Kalau ayah tak biarkan kamu
pergi kebun seorang diri, tentu perkara ini tak terjadi.”
Nailufar menggeleng. Air matanya luruh lagi.
Kedua-dua belah tangannya bergerak. Cuba berkata sesuatu
kepada ayahnya. Manakala Amru melihat tanpa mampu
mentafsirkan bahasa isyarat tersebut.
Hamdan terharu. Anaknya tak menyalahkan dirinya.
‘Ayah jangan salahkan diri. Kita tak sangka perkara
ini akan berlaku. Lagipun ayah tak sihat dan ayah perlukan
rehat. Lofa dah selamat pun. Ayah tolong ucapkan terima
kasih dekat dia bagi pihak Lofa.’ Itulah kata Nailufar melalui
bahasanya.
“Amru.” Hamdan memanggil anak muda yang
kebingungan melihat ‘bicara’ Nailufar.
“Ya saya, pak cik.” Amru menala muka kepada
Hamdan.
“Nailufar ucap terima kasih dekat kamu sebab
selamatkan dia.”
Amru toleh ke arah gadis yang duduk di kerusi
rotan tunggal. Pandangan mereka bertembung. Sekali lagi
hati Amru pedih melihat mata yang berkaca-kaca itu. Sekilas
kepalanya mengangguk. “Sama-sama.”
“Pak cik pun sama, Amru. Terima kasih
banyak-banyak sebab sudi selamatkan Lofa. Pak cik sangat
terhutang budi dengan kamu.”
Amru angguk lagi. “Sama-sama, pak cik. Semuanya
sebab Hemo-Hemo yang dorong saya ke kebun.”
Hemo-Hemo mengiau halus seolah-olah mengiakan.
Nailufar mengelus lembut Hemo-Hemo yang berbaring di
ribanya.
“Syukurlah tak jadi apa-apa. Alhamdulillah,” ucap
Hamdan separuh lega. Marahnya masih wujud tapi nilai
kesabaran dipertaruhkan terlebih dahulu.
“Tapi saya harap sangat pak cik buat laporan polis
supaya perkara ni tak terjadi lagi.”
Hamdan terdiam sejenak. “Nabil tu anak Sufian. Pak
cik banyak terhutang budi dan duit dengan Sufian.”
Rahang Amru mengetat. Menahan diri daripada
merengus. Dia tak bersetuju jika Pak Cik Hamdan
mendiamkan isu ini. “Kalau pak cik tak ambil tindakan, esok
lusa Nabil masih berani lakukan perkara yang sama. Dia
tak mungkin rasa takut selagi tak ada sesiapa yang berani
laporkan perbuatan dia. Isunya antara pak cik dengan Nabil.
Bukan Haji Sufian. Lagipun terhutang budi dan duit tak
boleh dibandingkan dengan maruah Nailufar. Niat dia yang
cuba merogol perlu kita dakwa.”
Hamdan nampak bungkam. Senyap.
“Apa kata pak cik buat laporan polis dulu? Tunjukkan
yang pak cik tak mungkin berdiam diri dengan sesiapa yang
cuba merosakkan Nailufar. Selagi Nabil tak mohon maaf,
pak cik jangan tarik dakwaan ke atas dia. Tunggu sampai dia
betul-betul insaf dan tak ulang lagi perbuatan tu.”
Amru berusaha memujuk. Hatinya cukup bimbang
seandainya Nabil dibiarkan terlepas. Firasatnya kuat
mengatakan bahawa Nabil tak mungkin berpuas hati selagi
hajatnya belum tercapai. Kejadian yang sama mampu
berulang.
Akhirnya Hamdan bersuara. Matanya merenung
anak gadisnya.
“Lofa nak ayah lapor dekat polis tentang perbuatan
Nabil?”
“Lofa, awak kena berani. Perempuan tak boleh
malu demi pertahankan maruah. Sekali awak tunjuk lemah,
ramai yang akan menindas. Sepatutnya orang yang berdosa
perlu dihukum sebagai pengajaran untuk mereka yang nak
buat perkara yang sama.” Amru mencelah agar Nailufar
pertimbangkan sebarang keputusan.
Nailufar renung riak Amru yang begitu cakna
terhadapnya. Dia sangat senang dengan perhatian pemuda
itu. Malah hatinya terusik apabila Amru menyeru nama
timangannya. Lembut dan serak. Lantas dia ‘berkata’ sesuatu
kepada ayahnya.
‘Lofa serahkan segala keputusan kepada ayah.’
Hamdan mengeluh halus.
“Baiklah, Amru. Kita buat laporan polis.”
Amru sungguh lega. Udara yang menyesakkan dada
dibuang sejauh mungkin. “Kalau macam tu, kita ke klinik
dulu. Lepas dapatkan report pemeriksaan doktor, baru kita
buat laporan polis. Lofa pula tak boleh mandi atau tukar baju
lain.”
Nailufar akur dalam anggukan.

No comments:

Post a Comment