Sunday, 15 January 2017

MAKMUM YANG PALING AKU CINTA - BAB 7

DIA sukar lelap malam itu. Fikirannya
terkenangkan setiap kejadian yang berlaku. Hari yang
membawa satu titik perubahan dalam hidupnya. Hari yang
penuh sejarah. Hari yang mustahil untuk dia lupakan selagi
ingatannya bersatu dengan kewarasan.
Nailufar mengalihkan tubuh. Dia baring di atas
rusuk kiri membelakangi Nafisah. Telapak tangan menyapa
dada. Masih terkesan degup jantung yang terkejut. Pegun
tubuhnya saat lelaki itu menyatakan sebuah hasrat.
“Pak cik, saya nak tawarkan diri menjadi suami
Nailufar.”
Terangkat wajah Nailufar saat itu. Terkejut. Matanya
lekas melihat reaksi ayahnya yang turut terkedu.
“Kenapa tiba-tiba, Amru? Pak cik tak faham apa niat
kamu sebenarnya?” soal ayahnya.
“Saya ingin lindungi maruah Nailufar.”
“Hari tu kamu dah selamatkan maruah Nailufar,
Amru. Pak cik yang terhutang budi dengan kamu.”
“Selepas kejadian dekat kebun, ramai yang akan
membuat pelbagai andaian tentang Nailufar. Dengan
tuduhan Nabil yang tak berasas, maruah Nailufar pasti
tercalar. Saya percaya orang kampung akan lebih percaya
Nabil memandangkan dia anak ketua kampung. Saya orang
luar mungkin tak terkesan tapi keluarga pak cik yang akan
menanggung pandangan serong orang kampung.”
Ayahnya menyepi. Nailufar tak menjangka masalah
akan menjadi rumit selepas ini. Dia tak harap Amru
mengahwininya demi menyelamatkan maruahnya. Namun
Nailufar tidak sanggup ayahnya dipandang keji oleh penduduk
kampung. Walaupun dia nyata benar tetapi dia tidak berdaya
membetulkan tanggapan semua orang.
“Dengan menjadikan Nailufar isteri saya, dapat
menutup aib yang akan datang.”
“Pak cik tak boleh terima, Amru.”
Berderau darahnya. Amru terkedu. Pinangannya
ditolak? Dia teguk liur.
“Kenapa, pak cik? Nailufar dah jadi milik sesiapa ke?”
soalnya dalam debaran kencang.
“Pak cik dah terhutang budi bila kamu selamatkan
Nailufar. Besar pertolongan kamu, Amru. Entah bila pak cik
mampu membalasnya. Sekarang kamu tawarkan diri untuk
mengahwini Nailufar semata-mata nak selamatkan maruah
kami sekeluarga. Pak cik tak boleh terima pengorbanan
kamu.”
“Mungkin sebab saya orang luar yang baru muncul,
pak cik susah nak percayakan saya.”
Hamdan menggeleng.
“Kamu jangan salah sangka, Amru. Tak mudah
untuk pak cik lepaskan Nailufar ke tangan orang lain. Di
mata pak cik, Nailufar sama dengan anak-anak yang lain. Dia
sempurna dengan caranya tersendiri. Pak cik tak nak kamu
menyesal dengan keputusan kamu hari ni. Amru baliklah
dulu ke Kuala Lumpur. Fikir baik-baik. Bila kamu dah yakin,
datanglah semula jumpa pak cik.”
“Saya yakin, pak cik. Saya tak mungkin sia-siakan
Nailufar. Saya akan lindungi dia sebelum saya lindungi nyawa
sendiri.” Amru jeda. “Saya tak mungkin patah balik ke sini
tanpa saya fikir baik dan buruknya, pak cik,” luahnya lebih
jelas.
Jiwa gadisnya terusik. Nailufar tidak reti menilai
kejujuran manusia. Tapi hatinya senang dengan kesungguhan
Amru. Namun Nailufar percaya, ayahnya lebih pandai menilai
peribadi seseorang.
Serba salah Hamdan hendak memberi kata putus.
Amru nampak nekad. Terasa berat sekali mahu menolak.
Dari mata seorang lelaki, Hamdan melihat Amru seperti
dirinya yang bersungguh mahu menikahi Siti Hazlina,
arwah isterinya. Dia juga pernah merasakan detik cemas
berhadapan ayah kepada gadis yang ingin disuntingnya.
Walaupun hakikatnya ayah Hazlina hanyalah ayah angkat.
Berkat kesungguhan, pinangannya diterima. Mereka bahagia
sepanjang sepuluh tahun bersama.
Namun sebuah peristiwa ngeri telah meragut
nyawa ibu kepada anak-anaknya. Dan kesan peristiwa itu
menyebabkan anaknya, Siti Nailufar masih enggan berbicara
sehingga ke saat ini.
Lantaran itu, dia mahu memilih yang terbaik. Harta
tak penting baginya. Cukuplah lelaki itu ikhlas menerima
kekurangan Nailufar. Mengasihi, mencintai dan melindungi
anaknya tanpa sempadan. Sungguh Hamdan tidak rela
melihat amanah dan kepercayaannya dirobek sehingga
Nailufar dilukai. Cukuplah segala kepahitan yang anaknya
telan selama ini.
“Berikan saya peluang untuk buktikan kata-kata
saya, pak cik.” Amru belum berputus asa. Masih menyuarakan
hasrat hatinya. Dia kesuntukan masa sebenarnya. Cadangan
Pak Cik Hamdan supaya dia pulang ke KL dan berfikir
masak-masak tidak boleh dipraktikkan dalam situasi
sekarang. Bimbang Pak Cik Hamdan bertindak menerima
pinangan daddynya.
Hamdan menoleh ke arah anaknya.
“Lofa dah dengar hasrat hati Amru, apa jawapan
Lofa? Ayah nak kejujuran daripada hati Lofa.”
Renungan antara Amru dan Nailufar bertembung
sesaat. Nailufar lantas menala mata kepada ayahnya. Tangan
dan jemarinya bergerak menyatakan sesuatu.
Nafas disedut dalam sebelum dihembus. Hamdan
lega. Bila dia menuntut kejujuran, anaknya tidak berdalih
atau berbohong. Jujur Hamdan lebih suka mendengar luahan
anaknya sebelum membuat sebarang keputusan. Apa yang
penting adalah hati anaknya.
‘Lofa tak reti menilai seorang lelaki. Lofa serahkan
keputusan di tangan ayah. Tapi antara Amru dan Dato’ Syed,
hati Lofa lebih senang bersama Amru,’ kata Nailufar kepada
ayahnya.
“Macam mana dengan keluarga Amru? Mereka dah
maklum dengan hasrat kamu?”
Gulp! Amru tak sanggup berbohong tapi terpaksa.
“Belum tapi mereka tak halang pilihan saya.” Amru
sekadar berikan jawapan rambang. Rumit rasanya untuk
menerangkan kedudukan sebenar.
“Sejujurnya pak cik tak boleh berikan keputusan
terus. Lagipun baru sehari Amru kenal Nailufar. Kamu tak
nak pertimbangkan lagi keputusan kamu?”
Amru tak pedulikan tempoh perkenalan. Sehari,
sebulan atau setahun bukan angka yang penting baginya.
Amru hanya ingin melunasi kemahuan hati. Selagi nama
Nailufar tak dipetik dalam akad, selagi itu hatinya enggan
tenteram. Muktamad!
Matanya mencari wajah Nailufar. Dipandang sekilas
sebelum kembali menala wajah Pak Cik Hamdan.
“Saya sangat teliti dalam kerja, pak cik. Setiap
keputusan saya tak pernah silap. Apatah lagi memilih isteri
untuk dijadikan pendamping sepanjang hayat. Ini keputusan
terbesar yang pernah saya buat. Saya tak mampu janjikan
bahagia semata. Tapi saya janji, hanya Nailufar isteri saya di
dunia.” Bibirnya melafaz tanpa ragu-ragu.
Hatinya yang naif terusik lagi. Nailufar tidak bisa
nafikan getaran di dalam jiwa saat Amru menabur janji. Terasa
jejaka itu benar-benar reda menerima dirinya seadanya.
Lagipun Nailufar melihat lamaran Amru seolah-olah jalan
keluar baginya untuk menolak pinangan Dato’ Syed Qassim.
Sungguh dia ingin lari daripada lamaran Dato’ itu. Nailufar
tak mampu membayangi bagaimana kehidupannya boleh
bahagia dengan menjadi isteri kedua atau ketiga walaupun
dilimpahi kemewahan. Saban waktu dia berdoa supaya
diberikan petunjuk atas lamaran Dato’ itu. Namun sehingga
hari ini, Nailufar masih ragu-ragu untuk memberi kata putus.
Dan lamaran Amru seakan-akan petunjuk Allah untuknya.
“Kalau pak cik setuju, ini jumlah hantaran yang saya
mampu berikan.”
Nailufar melihat Amru menolak sekeping cek ke arah
ayahnya di atas meja kopi. Reaksi ayahnya nampak terkedu.
Lantas ayahnya memandang Nailufar sekilas sebelum
memandang Amru kembali.
“Banyak sangat ni, Amru,” tingkah Hamdan,
terkejut. Untuk seumur hidup, pertama kali dia melihat
angka dua ratus ribu ringgit di atas sekeping cek!
“Saya tak pasti cara apa untuk buktikan keikhlasan
saya, pak cik. Duit itu hanyalah sandaran atas kesungguhan
saya untuk memperisteri Nailufar. Selebihnya pak cik yang
berhak tentukan.”
Hamdan mengeluh. Berat rasanya mahu menolak.
Berat juga mahu menerima. Lantas Hamdan teringatkan
doanya kepada Yang Esa. Dia memohon supaya diberikan
petunjuk untuk jodoh anaknya. Dalam dia ragu-ragu
menerima lamaran Dato’ Syed Qassim, Amru datang dengan
sebuah lamaran.
Amru, pemuda yang punya harta, rupa dan tubuh
yang sempurna. Hamdan pasti anak muda itu mampu
mendapatkan gadis yang jauh lebih baik. Namun Amru
bertindak memilih Nailufar. Amru juga telah menyelamatkan
maruah anaknya sekali gus melindungi maruah keluarganya.
Amru buktikan bahawa dia mampu menjadi pelindung
kepada Nailufar. Menurutnya pemuda itu berani dan hebat!
Lebih baik daripada Dato’ yang ingin menyunting Nailufar
menjadi isteri ketiga, yang mana kebahagiaan anaknya belum
tentu terjamin.
“Bila kamu nak hantar rombongan?”
Amru panggung kepala. “Pak cik setuju?”
Hamdan angguk sekali.
“Pak cik serahkan Lofa kepada kamu selama mana
kamu sudi menjaganya. Andai suatu hari nanti kamu dah
tak sudi dengan dia, janganlah dipukul atau disakiti Lofa.
Pulangkan dia semula kepada pak cik secara baik. Tapi pak cik
akan selalu berdoa supaya hari itu tak muncul dalam hidup
pak cik.”
Nailufar kesat mata yang basah. Di depan Amru dan
ayahnya, dia tidak mampu menahan sendu. Bahkan bantal
yang mengalas kepalanya sekarang turut lencun. Dia tak sedar
air matanya tumpah lebih awal apabila minda memutarkan
skrip perbualan beberapa jam yang lalu. Emosinya masih
terkesan dengan kata-kata ayah yang meruntun hati. Jelas di
mata, ayah berat untuk melepaskannya.
Selepas persetujuan diberikan, Amru terus pulang
ke Kuala Lumpur. Minggu depan jejaka itu akan membawa
rombongan meminang dan mereka terus bertunang. Minggu
seterusnya mereka akan bernikah. Nailufar tidak mengerti
mengapa perlu cepat tetapi persoalan itu tidak terluah. Apa
yang terbaik pada fikiran ayah, Nailufar hanya akur. Dia yakin
ayah telah memikirkan kewajarannya.
Dia terkejut. Bahunya terasa disentuh.
“Tidurlah, Kak Lofa... jangan menangis lagi,” tutur
Nafisah seakan-akan memujuknya.
Lantas Nailufar pusingkan tubuh. Menghadap
adiknya semula. Bibirnya tersenyum nipis. Mata merenung
Nafisah yang menahan kantuk.
“Kak Lofa tentu sedih sebab tiba-tiba kena kahwin
dengan Abang Amru yang baru muncul dalam hidup akak,”
teka Nafisah walaupun mata belum tercelik sepenuhnya.
Nailufar segera menggeleng. Dia ‘berkata’ sesuatu.
‘Kak Lofa bersyukur sebab Abang Amru hadir dalam
hidup akak. Sekurang-kurangnya Allah datangkan calon
suami yang akak nampak lebih baik daripada sebelum ni.’
Nafisah mengangguk.
“Nana pun sama. Rasa bahagia sangat bila Kak Lofa
berjaya lepaskan diri daripada lamaran orang tua miang tu.
Tak sepadan langsung!”
Telunjuk Nailufar berada di tengah bibir.
‘Tak baiklah Nana cakap macam tu. Kalau tak suka
seseorang, lebih baik diam. Kalau diluahkan pun tak ada
faedahnya.’
“Hrmm, lebih baik lupakan orang yang tak ada
kaitan dengan hidup kita. Sekarang Nana nak tahu, apa
pendapat Kak Lofa tentang Abang Amru? Nak tanya perasaan
akak macam tak kena pula. Baru sehari Kak Lofa kenal Abang
Amru, mustahillah dah jatuh cinta.”
Dua ulas bibirnya bertaut senyum.
‘Mana ada mustahil. Nana dah lupa agaknya mana
datang istilah cinta pandang pertama? Sekali pandang hati
terus terpaut walaupun tak kenal.’
Bulat mata Nafisah.
“Jangan cakap Kak Lofa betul-betul jatuh cinta
dengan Abang Amru?”
Nailufar menggeleng.
‘Kak Lofa belum cinta, belum suka dan belum sayang
Abang Amru. Tapi hati ini sangat senang dengan dia.’
Tersengih-sengih Nafisah.
“Mesti hati Kak Lofa melting lepas Abang Amru
tunjuk kegagahan dia selamatkan akak,” usiknya.
Nailufar tersenyum. ‘Dahlah, esok Nana sekolah,
lebih baik tidur sekarang.’
“Tapi sebelum Nana tidur, Kak Lofa kena janji
sesuatu.”
Nailufar angkat kedua-dua belah kening. ‘Janji apa?’
“Janji, lepas ni Kak Lofa kena lebih berhati-hati
dengan lelaki gila macam Nabil. Kak Lofa bukannya boleh
jerit minta tolong. Nana risau sangat dengan keselamatan
akak.”
Sengaja dia menggelarkan Nabil dengan nama
walaupun Nabil lebih tua daripada kakaknya. Lelaki itu
tak layak dihormati atau diberi kehormatan. Dia marah!
Perbuatan Nabil terhadap Nailufar sangat melukai hatinya.
Tak terbayang perasaan takut yang ditanggung oleh kakaknya
sewaktu itu. Haiwan yang tak berakal jauh lebih mulia
daripada lelaki yang berakal tapi bernafsu buta.
Pipi adiknya dielus lembut sebelum ‘berkata’
sesuatu. ‘Janganlah Nana risau. Insya-Allah, Kak Lofa akan
jaga diri. Walau apa pun, kita tak boleh lupa hero sebenar
yang selamatkan akak ialah Hemo-Hemo.’
Tersenyum Nafisah mendengar balasan kakaknya.
Malam ini Hemo-Hemo tidak tidur dengan mereka. Pastinya
Hemo-Hemo menyelit tidur di tempat lain. Mungkin di bilik
ayah atau adik-adik lelakinya. Syukur, kucing yang dibela
sejak kecil itu bijak membalas jasa tuannya. Sudah tentu
semuanya atas keizinan Allah SWT.
‘Alhamdulillah...’ ucap Nailufar sebelum melelapkan
mata.

No comments:

Post a Comment