Sunday, 15 January 2017

MAKMUM YANG PALING AKU CINTA - BAB 8

DIA tengadah menerima kunjungan mengejut.
Terkebil-kebil melihat susuk tubuh yang baru sampai. “Apa
mimpi kau muncul dekat sini?” Dengan nada terkejut, dia
menyoal.
“Jemputlah aku duduk dulu.”
“Kau masuk sini gaya terjah, ada hati nak suruh
aku jemput duduk. Kenapa tak buat sesuka hati macam ini
pejabat kau? Masuk dan terus duduk!”
Walaupun disindir, Amru selamba duduk. “Aku ada
hajat.”
Tersandar Mustafa dengan mata bulat. Pertama kali
telinganya disapa ayat itu dari mulut Amru. Janggal dan aneh
mukadimahnya!
“Hajat apa? Kedatangan kau tanpa isyarat buat sel
otak aku kurang berhubung pagi ni.”
“Aku nak kahwin!”
Makin melotot mata Mustafa.
“Serius? Aku tak setuju!”
Amru terjegil. “Kenapa?”
“Yalah, kau tiba-tiba datang bawa hajat besar. Anak
perempuan aku baru dua tahun. Walaupun kau sanggup
tunggu dua puluh tahun lagi, aku tak berminat nak ada
menantu sama umur dengan aku!”
Tercengang Amru dan Mustafa tergelak-gelak.
“Aku tengah serius, Mus.”
Mustafa serta-merta kulum mulut. Menahan tawa
yang masih bersisa. Bukan dia ketawa sebab lawaknya tapi
sebab muka Amru berubah sungguh bila dia membangkang.
“Fine, aku tahu kau serius. Aku bersyukur sangat
kau nak kahwin. Tapi calon mana kau rembat? Baru dua
minggu lepas kau cakap tak ada perempuan yang boleh buat
kau settle down. Tiba-tiba hari ni tepat pukul sembilan pagi,
kau kata kau nak kahwin. Apa yang jadi sebenarnya?”
“Tak jadi apa-apa. Kalau kau nak cakap aku kena
tangkap basah, tolong sucikan otak kau. Aku tak keji nak
bersekedudukan sebelum kahwin.”
“Sejujurnya adalah sikit terlintas dalam kepala tapi
aku tak sanggup nak tuduh. Aku yakin kau masih suci.”
Sekali lagi Mustafa terkekeh-kekeh gelak. Masih dalam mod
bercanda.
“Shut up, Mus! Aku tak pernah seserius ini sepanjang
hidup aku. Tolong bagi kerjasama. Aku dah tak tahu nak
rujuk dekat siapa lagi.”
“Relaks, aku boleh tolong kau. Sebelum tu, cuba
tenangkan diri dulu. Janganlah tunjuk sangat kau desperate
nak kahwin. Sepanjang kita berkawan, aku tak pernah
tengok kau gelabah macam ni. Selalunya kau maintain cool
selesaikan satu per satu problem. Sampai aku sendiri rasa
apa-apa masalah yang muncul tak jadi masalah bagi kau. Apa
dah berlaku sampai kau tak keruan? Cuba fahamkan aku.”
Amru mengeluh. “Entahlah, Mus. Masalah ni aku
sendiri yang cari.”
Terkulat-kulat Mustafa. Kehairanan.
“Kau yang cari masalah?”
“Aku nak kahwin tapi aku tak nak mama dan daddy
aku tahu.”
Rahang Mustafa tergelincir ke bawah.
“Kau nak kahwin senyap-senyap?”
Kepalanya angguk sekali.
“Dalam masa terdekat, Nailufar mesti jadi isteri aku.”
“Wait!” Mustafa angkat tangan. “Nailufar? Siapa
perempuan ni yang tiba-tiba muncul? Dah kenapa kau nak
kahwin rahsia? Apa motifnya?” Bertalu-talu soalannya kerana
musykil.
“Nailufar cuma gadis kampung. Aku pasti mama tak
setuju. Mama aku mana berkenan pilihan yang tak setaraf.
Mama selalu ingatkan aku supaya pilih perempuan yang sama
darjat,” rumus Amru secara ringkas. Terlalu rumit untuk
menerangkan situasi sebenar. Sudahnya dia sediakan jawapan
klise.
“Okey, aku dah mula faham alasan kau nak kahwin
sembunyi-sembunyi. Tapi kalau suatu hari nanti terpecah
rahsia kau macam mana?”
“Aku bukanlah nak rahsiakan selamanya, Mus.
Sampai masanya, aku sendiri akan berterus terang. Cuma
sekarang aku mesti sembunyikan dulu. So, aku perlukan
pertolongan kau, umi dan walid untuk wakili pihak aku,”
Amru menjelaskan tujuan sebenar.
“Kau ni kejamlah sampai nak umi dan walid
bersubahat sekali. Kesian orang tua aku!” tempelak Mustafa
kurang setuju.
“Mus, aku ajak buat jenayah ke? Buat benda baik
mana datang dosa. Semakin bertambah pahala walid dan
umi tolong aku bina masjid. Bukannya aku nak kahwin lari.
Lagipun aku bukan perempuan yang wajib bawa wali.”
Mustafa berpeluk tubuh. “Memanglah tak salah tapi
aku nak cakap apa dengan umi dan walid? Aku tak ada alasan
kukuh.”
“Kau ceritalah perkara sebenar. Kau kata, Amru
nak kahwin tapi risau mama dengan daddy dia tolak sebab
perempuan tu orang kampung. Amru minta umi dan walid
tolong jadi wakil bagi pihak dia,” ucap Amru sambil karangkan
ayat untuk Mustafa.
Tiba-tiba Mustafa tersenyum. “Aku tengok keadaan
kau sekarang, aku terasa Amru yang aku kenal dulu dah tak
sama. Siapa Nailufar ni? Macam mana dia boleh ubah prinsip
kau? Kau ingat tak lagi prinsip kau?”
“My first marriage will be my last marriage,” ujarnya
mendatar.
“Habis, kau betul-betul nekad pilih Nailufar yang
baru kau kenal? Kahwin secara rahsia?”
Tangan Amru menggosok belakang tengkuk.
Meredakan ketegangan dalam dirinya. “Mus, aku tak datang
menghadap kau kalau aku tak nekad.”
“Serius Amru, tindakan kau buat aku curious! Tak
sabar aku nak kenal siapa Nailufar. Apa istimewanya dia di
mata kau?”
Bibirnya mengulum senyum. Dia boleh bayangkan
Mustafa akan terkejut dengan pilihannya. Namun Amru
enggan pedulikan tanggapan sekeliling. Yang penting hati
lelakinya mendambakan Siti Nailufar. “Hujung minggu ni
tolong jadi wakil aku, boleh?”
“Boleh, tapi walid dan umi... aku tak berani janji.
Biar aku tanya diaorang dulu.”
Amru angguk. “Thanks, bro. Jumaat ni merisik dan
terus bertunang.”
Sekali lagi Mustafa tayang muka terkejut.
Terpinga-pinga. “Bertunang terus? Kau confirm orang tua
Nailufar terima?”
Tanpa ragu, Amru mengangguk. “Ayah dia dah
setuju. Wang hantaran pun aku dah bagi. Tinggal nak buat
majlis rasmi. Hujung minggu ni, aku dan Nailufar masuk
kursus. Minggu depan nikah.”
Bertambah melongo Mustafa dengan perancangan
Amru yang mendadak. “Apasal gelojoh betul kau letak tarikh?
Dalam masa dua minggu dah selesai semuanya? Apa benda
yang kau kejarkan sangat? Tadi kau sendiri cakap, ayah dia
dah setuju. Lambat atau cepat, Nailufar jadi juga milik kau.”
Amru terdiam. Pening kepala hendak menerangkan
alasan di sebalik tindakannya. Terbayang bagaimana reaksi
Mustafa jika mengetahui gerangan sebenar lelaki yang cuba
merampas Nailufar daripadanya. Pembetulan! Dia yang
sengaja merampas dengan bermain taktik sehingga mencaras
jalan daddynya!
“Senang cerita, ada lelaki lain yang cuba halang jalan
aku untuk dapatkan Nailufar. Dia pun nak kahwin dengan
Nailufar.”
Meleret senyuman Mustafa. “Oh, takut bunga yang
kau puja dikebas orang! Kau ni dah betul-betul mabuk cinta
dengan Nailufar,” candanya.
‘Cinta?’ Amru menyepi. Belum bersedia mentafsirkan
perasaan sebenarnya.
“Kau cakap nak terus tunang, semua persiapan dah
sediakan?” tebak Mustafa.
“Persiapan?” Amru bingung sekejap.
“Yalah, kau ingat pergi dengan tangan kosong?
Cincin dah beli? Barang-barang untuk hantaran tunang
pihak perempuan dah siap?”
Hampir bercantum kening Amru dek berkerut. “Kau
pernah kahwin, kan? So, kau tolonglah uruskan semuanya
untuk aku.”
Namun Mustafa mencerlungkan mata. “Yang
nak dirikan masjid itu engkau, bukan aku! Kalau bini aku
dapat tahu, berpeluh aku nak menjawab. Dahlah sekarang
Yuna asyik nak merajuk. Pantang aku salah sikit, muncung
mengalahkan Yuni.”
Amru tayang sengih. Terbayang sekilas wajah isteri
Mustafa, Bayu Nazirah yang dipanggil Yuna. Manakala Murni
yang digelar Yuni ialah anak pertama Mustafa. Hampir
berusia tiga tahun. “Kalau susah sangat, kau heretlah Yuna
sekali. Sebelum tu, kau kena janji, rahsia perkahwinan aku
ini cuma kau, Yuna, walid dan umi saja yang tahu. Promise?”
Mustafa mencebik bila Amru menuntut janji.
“Kalau bukan dari mulut kami berempat, rahsia kau masih
boleh pecah. Manalah tahu kau terkantoi dekat mana-mana.
Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah
juga.”
“Itu tupai! Aku Syed Amru.”
“Aku nak tengok sejauh mana kau melompat.”
“Pandai makan pandailah simpan, Mus.” Amru
akhirnya bisa senyum.
“We will see. Silap makan boleh tercekik. Risau tak
sampai sebulan semuanya terbongkar. Masa tu, aku akan jadi
penonton sambil makan popcorn.” Mustafa juling mata ke
atas.
“Jangan risau, Mus. Esok lusa kalau aku dah letih
main sembunyi-sembunyi, aku sendiri akan tampil dengan
kenyataan rasmi. But for now, let it be a secret among us.”
Mustafa hanya jongketkan bahu. “Terserah. Macam
kau cakap tadi, masalah ni kau sendiri yang cari. Aku hanya
mampu berdoa.”
“Bukan setakat doa. Kau tolong siapkan kelengkapan
yang patut untuk majlis tunang dan kahwin aku. Tak payah
grand wedding sebab nama pun rahsia. Aku kalau boleh nak
wedding tertutup.”
“Amru, kau pernah dengar kilang roti yang sediakan
khidmat wedding planner?” tanya Mustafa, sinis.
Amru mengeluh halus. “Aku tak ada experience,
Mus. Lainlah kau, dah pernah lalui semua ni. Kau ajaklah
Yuna sekali. Sebagai ganjaran, aku hadiahkan pakej bulan
madu kali kedua untuk kau orang suami isteri. Segalanya aku
tanggung termasuklah Yuni dan bakal adik Yuni.”
Mustafa tersengih-sengih. “Kau ni banyak betul akal!
Nasib baik tawaran tu menggoda. Dah tentu bini aku teruja
bila aku kata nak pergi honeymoon lagi. Yuni tak payah ikut.
Dia tinggal dengan umi dan walid. Mana boleh ganggu usaha
baba dan mama nak dapatkan adik baru.”
Amru mencemik.
“Dah, jangan berangan lagi. Selesaikan dulu majlis
aku, baru cerita fasal bulan madu.”
“Kau tak payah nak instruct aku, macamlah aku
kuli kau. Esok kau ambil cuti. Aku dengan Yuna tolong kau
cari kelengkapan. Kalau majlis simple, rasanya sehari dua
bolehlah siap semua.”
Amru terdiam. Fikirkan jadual kerjanya.
Memandangkan ini perkahwinan pertama dan terakhir
baginya, dia lekas angguk. “Minta kertas, Mus,” pintanya
kemudian.
Dalam terpinga-pinga, Mustafa hulurkan sekotak
sticky notes. Amru pula menarik keluar sebatang pen dari
kocek kot hitamnya. Kemudian ditolak semula sticky notes
dan pen tersebut ke depan Mustafa.
“Kau tolong senaraikan prosedur yang perlu aku
buat sebelum hari akad nikah.”
Mustafa ketap mulut sebelum sambut pen dan sticky
notes. Dia mencoret sesuatu sebelum ditolak semula ke depan
Amru. Dalam hatinya, dia melambakkan tawa besar-besaran.
Sengaja mengenakan kawan baiknya dari zaman belajar
di Universiti Edinburgh, UK lebih sepuluh tahun lalu.
Sebilik, sekelas dan sekuliah dalam pengajian Business and
Economics. Waktu itu mereka berumur sembilan belas tahun
dan tahun ini masing-masing mencecah angka tiga siri. Umur
yang sangat sesuai untuk Amru tamatkan zaman bujang dan
mula membina keluarga yang jejaka itu impikan.
Amru angkat muka dan tatapannya tajam. Bengang
dengan Mustafa yang asyik mempermainkan niat baiknya.
“Kedekut ilmulah kau, Mus!”
Mustafa tergelak-gelak seraya bangkit dari kerusinya.
“Jomlah, pergi minum. Aku terangkan prosedur
mana yang aku ingat. Lagipun dah lebih empat tahun aku
kahwin. Mungkin ada prosedur yang dah berubah.”
Memandangkan dia belum sempat bersarapan, Amru
cepat-cepat bersetuju. Lebih cepat dia selesaikan, lebih mudah
jalannya untuk mendapatkan bunga yang dipuja. Nailufar!

No comments:

Post a Comment