Sunday, 15 January 2017

MAKMUM YANG PALING AKU CINTA - BAB 9

“TAK guna!” getusnya baran. Tubuh dihempas
ke sofa tanda protes.
“Abang, kenapa marah-marah ni?” Che Kiah
menerpa ke ruang tamu. Lekas menempatkan punggung di
sebelah suaminya.
“Habis jahanam rancangan aku!” bentak Haji Sufian.
Kedua-dua belah tangannya mengepal penumbuk.
“Rancangan apa, bang? Kenapa abang naik angin
tak tentu fasal?” Lembut tangan Che Kiah mengusap bahu
suaminya.
“Hamdan dah bagi keputusan soal lamaran Dato’
Syed.”
Bulat mata Che Kiah. “Apa keputusannya?” soalnya
agak teruja. “Dia setuju?”
Berkerut dahi Haji Sufian. Matanya menjegil. Geram
bila isterinya tidak mampu menilai sendiri jawapan daripada
tingkah lakunya. “Kiah ada nampak abang tengah gembira
sekarang?”
Mati keterujaan Che Kiah.
“Hamdan tak setuju? Tapi kenapa?”
“Dia terima lamaran orang lain.”
“Siapa pula yang hendakkan Nailufar yang bisu tu?”
Che Kiah tak puas hati. Bengang tiba-tiba.
“Aku tak sangka Amru boleh pinang Lofa.” Hidungnya
mengeluarkan bunyi dengusan. Giginya mengetap demi
menghadapi gelombang amarah.
“Amru?” Che Kiah terperanjat besar. “Abang jangan
cakap budak Amru yang kita suruh Sara pikat tu?”
“Amru itulah aku maksudkan. Dia melamar Lofa dua
minggu lepas. Jumaat lepas, diaorang dah bertunang secara
tertutup. Paling aku tak sangka, hujung minggu ni diaorang
terus nikah. Hamdan baru nak beritahu aku lepas semuanya
hampir siap. Tak guna betul!”
Che Kiah terkulat-kulat.
“Habislah kita, bang! Musnah cita-cita Kiah nak beli
barang kemas baru. Rumah ni pun tak dapatlah Kiah nak
besarkan.”
“Kau ingat aku tak terkilan, Kiah? Aku dah booking
kereta Honda City dekat pekan tu. Siap cakap nak bayar cash
lagi. Sekarang dah jadi lain. Malulah aku terpaksa cancel
booking.”
Che Kiah mencekak pinggang.
“Hamdan sesuka hati aje tolak lamaran Dato’ Syed,
dia dah bayar semua hutang abang?”
“Dah. Hamdan bayar jumlah penuh enam puluh
ribu. Sepuluh ribu yang pernah dia bayar sebelum ni dia
halalkan. Aku pergi jumpa Hamdan fasal nak risaukan dia
dengan hutang dulu. Alih-alih aku yang terkejut dapat berita
yang tak disangka. Duit tu aku rasa Hamdan dapat daripada
Amru.”
“Padanlah Hamdan pilih Amru. Budak tu muda tapi
dah banyak duit. Rupa pun ada. Bukan calang-calang lelaki.
Mana-mana perempuan mesti terpikat. Cuma tak sangka,
Amru tu buta! Dia boleh dapat perempuan lebih baik daripada
Nailufar. Lagi-lagi dekat KL tu. Apalah yang istimewa sangat
anak Hamdan tu? Yang berebut Nailufar tu pula, dua-dua
lelaki yang berduit. Rugi betul Sara tak dapat pikat Amru
dulu!”
“Sekarang ni, kita dah sah jadi pihak yang rugi.
Mana-mana pun tak dapat.”
“Abang tahu kenapa Amru tiba-tiba pinang Lofa?”
soal Che Kiah.
Haji Sufian mengeluh sebelum membuka mulut.
“Kata Hamdan, Amru nak jaga nama baik Lofa.
Semuanya berkaitan insiden Amru selamatkan Lofa daripada
Nabil. Amru risau kejadian tu boleh disalah tafsir penduduk
kampung, sebab itu dia melamar Lofa. Macam awak kata,
entah-entah Amru dan Lofa yang bermukah tapi Nabil yang
sengaja dipersalahkan. Hamdan terima niat baik Amru demi
menjaga maruah Lofa dan keluarganya.”
Gulp! Cerita ringkas suaminya seakan-akan menjerut
lehernya. Terasa bersalah membuat tuduhan rambang.
Ekoran itu, Hamdan menerima lamaran Amru yang konon
ingin menjaga maruah Siti Nailufar.
“Takkan cuma sebab itu Amru terus melamar?
Mulianya hati dia? Entah-entah Amru memang syok dengan
Nailufar. Walaupun bisu, selekeh dan miskin, Lofa tu boleh
tahan cantik. Orang buta aje kata dia tak cantik.” Dalam
mengutuk, Che Kiah terpaksa memuji. Mengakui hakikat
bahawa Nailufar memiliki paras yang mampu menundukkan
naluri kaum Adam.
“Sebab Nailufar cantiklah Dato’ yang berdarjat tu
kejar! Ada suara atau tak, bukan isu utama. Yang penting
cantik dan mampu puaskan nafsu.”
Che Kiah gigit bibir. Turut terjejas dengan emosi
suaminya yang merudum.
Haji Sufian meraup wajah.
“Yang peningnya, macam mana aku nak menjawab
dengan Dato’ Syed? Mana aku nak letak muka? Dulu aku
bersungguh bagi harapan, sekarang aku terpaksa tanggung
malu bila semuanya tak jadi. Malu aku, Kiah!”
Che Kiah diam sejenak. Tolong memikirkan cara
terbaik untuk suaminya sampaikan kepada Dato’ Syed
Qassim.
“Ayah! Ayah!”
Tersentak Haji Sufian dan Che Kiah. Laungan itu
lebih kuat daripada bunyi enjin motosikal yang menderum
di halaman. Nabil terpacul di depan pintu rumah setelah
mematikan enjin. Kalut nampaknya dengan dada yang
berombak-ombak.
“Hah, kamu kenapa? Menjerit macam kena kejar
hantu!” lantang Haji Sufian.
Nabil segera menapak ke arah ayah dan ibu tirinya.
“Betul ke budak KL tu nak kahwin dengan Lofa?”
“Mana kau dapat tahu?” Haji Sufian menyoal.
“Dekat warung tadi ramai yang bercerita. Betul ke
semua tu? Ayah cakap nak jodohkan Lofa dengan Dato’ Syed.
Macam mana boleh tak jadi? Kenapa budak jahanam tu yang
dapat Lofa?” Nabil jelas meradang. Hatinya tidak rela Amru
mengahwini Nailufar, gadis impiannya.
Berlapis dahi Haji Sufian.
“Kau lepak dekat warung, Nabil? Aku suruh kau
pergi cari kerja pagi tadi.”
“Arghh, pergi mampus dengan kerja!” Nabil
membentak keras. “Sekarang aku nak tahu, kenapa Lofa tak
jadi kahwin dengan Dato’ tu? Aku nak kahwin dengan Lofa
tapi ayah tolak permintaan aku semata-mata duit Dato’ Syed.
Tapi sekarang Amru yang dapat Lofa. Apa semua ni?”
“Sebab kamulah keadaan jadi sebaliknya!” Che
Kiah menyampuk. Meletakkan kesalahan di bahu Nabil
sepenuhnya.
Nabil terpinga-pinga sebelum matanya menikam
muka Che Kiah.
“Mak Kiah jangan main tuduh. Aku tampar nanti!”
Che Kiah nampak terkedu. Lantas senyap dan
menikus dia. Apatah lagi suaminya tidak membelanya.
Haji Sufian berdiri lalu menentang mata anak
lelakinya.
“Betul kata Mak Kiah. Kalau bukan sebab kamu,
Amru tak ada alasan nak kahwin dengan Nailufar. Hamdan
terima Amru sebab Amru nak jaga maruah Lofa dan air muka
keluarganya.”
“Tapi orang kampung percayakan aku! Diaorang
percaya Lofa dengan budak KL tu buat bukan-bukan dekat
kebun,” bicara Nabil yang masih belum faham hujung
pangkal.
“Itulah puncanya, Nabil! Kamu dah bertindak bodoh
dengan aibkan keluarga Lofa. Menjaja cerita yang kamu tak
bersalah. Konon polis yang salah ambil tindakan. Kamu tuduh
Amru dan Lofa berasmara dekat kebun padahal hakikatnya
kamu yang cuba usik Nailufar. Kesudahannya, Amru kahwin
dengan Lofa untuk tutup aib yang kamu sendiri sebarkan.”
Kemab. Nabil menggeleng berkali-kali. “Tak. Aku
takkan benarkan Lofa kahwin dengan Amru. Lofa milik aku!”
“Kamu nak buat apa, hah? Esok lusa diaorang dah
nak kahwin. Kalau kamu cuba bertindak bukan-bukan dengan
Lofa lagi, aku tak nak terhegeh-hegeh nak jamin kamu dekat
balai. Baik kamu berfikiran waras, Nabil. Amru tak mungkin
lepaskan kamu kali ni. Nailufar dah jadi tunang dia. Mahu
bertahun-tahun kamu meringkuk kat dalam penjara. Amru
ada duit. Dia boleh upah peguam terbaik untuk sumbat kamu
ke neraka dunia tu!” jerkah ayahnya.
Nabil bungkam. Rahangnya mengejang.
“Tapi aku mengalah sebab ayah kata nak kahwinkan
Lofa dengan Dato’ tu!”
“Apa yang kau tak faham lagi, Nabil? Aku dah kata,
Hamdan terima pinangan Amru untuk lindungi maruah
keluarga dia. Hamdan tu bapak Nailufar, bukan aku!”
“Jahanam! Dari mula Amru tak sepatutnya masuk
kampung kita. Tengok sekarang, dia rampas Lofa daripada
aku. Budak KL tu memang nak mampus!” tempelak Nabil
dengan hati mendongkol marah.
“Kau jangan main kasar, Nabil. Jangan sampai kau
yang mampus dekat tali gantung.” Che Kiah mencelah kali ini.
Jelik dengan sikap anak tirinya yang tak semenggah. Bercakap
dan bertindak membabi buta. Sudahlah menganggur dan
hidup masih ditanggung oleh orang tua walaupun telah
berumur dua puluh tujuh tahun.
Tatkala itu, emosi marah benar-benar menghantui
Nabil. Jiwanya kacau dan otaknya kusut. Sebelah tangan
terangkat tinggi. Mahu menampar mulut ibu tirinya yang
lancang.
Pang!!!
Nabil terkesima. Pipinya ditampar lebih dulu oleh
ayahnya.
“Kau jangan macam-macam, Nabil. Masalah yang
kita hadapi sekarang berpunca daripada kau. Aku dah rugi
besar sebab nafsu kau yang salah tempat. Sebelum tangan
aku naik lagi, baik kau jaga perangai.”
Bola mata Nabil menyala kemerahan. Rahangnya
ketat menahan berang. Keinginannya kuat untuk membalas
tamparan ayahnya. Namun dia bergegas keluar dari rumah.
Bimbang Haji Sufian akan menghalaunya dari rumah andai
dia naik tangan ke wajah tua itu.
“Pedulikan budak tak guna tu, abang. Kiah ada satu
cara supaya abang tak malu bila bercakap dengan Dato’ Syed
nanti fasal Lofa.”
Demikian itu, Haji Sufian duduk semula lalu
memberi perhatian kepada tutur kata Che Kiah, janda
jelita yang dikahwininya tiga tahun lalu setelah lima bulan
pemergian ibu kandung Sara dan Nabil.

No comments:

Post a Comment