Ayman Hyeqal tersenyum sebaik sahaja berdiri
di hadapan Atilia. Bukan main cantik lagi gadis itu hari ini
pada pandangan matanya. Pertama kali berbual dengan gadis
itu semalam, dia rasakan Atilia banyak keistimewaannya.
Cakap pun sopan dan lembut saja. Rugi jika gadis sehebat
Atilia dilepaskan begitu sahaja.
“Raf ada?”
“Ada,” balas Atilia bersama senyuman. Walaupun
sakit hati dengan sikap Rafiq, dia harus bersikap
profesional
ketika bekerja. Seawal pagi lagi lelaki itu sudah menguji
darjah
kesabarannya. Boleh pula lelaki itu kata, tak jumpa telefon
bimbitnya. Bila dia ingin bantu mencarinya, Rafiq menolak.
Dengan alasan, dia hanya mengganggu kerja-kerja lelaki itu
dan bakal menjadikan bilik lelaki itu seperti tongkang pecah
semata-mata hendak mencari telefon bimbitnya yang tiada
nilai itu. Macam mana hatinya tak meletup pagi-pagi buta?
Mulut lelaki itu memang... JAAA... HATTT!!!
“Abang nak jumpa dia. Dia sibuk tak?”
“Sebentar ya?” Atilia
bangun dari tempat duduknya.
Memandangkan di mejanya tiada lagi kemudahan telefon
mahupun interkom, dia terpaksa bertemu empat mata
dengan Rafiq jika ada sesuatu.
Bunyi ketukan pintu, Rafiq angkat wajahnya.
Terjengul kepala Atilia dan diikuti Ayman tidak lama
kemudian.
Bulat matanya melihat kehadiran Ayman. Selalunya rakannya
itu malas hendak bertemu dengannya jika tidak ada apa-apa
masalah dan akan menghubunginya terlebih dahulu untuk
memaklumkan kedatangannya. Tapi hari ini tidak. Alih-alih
muncul di depan mata. Ada perkara penting sangat ke hingga
Ayman tidak sempat menghubunginya?
“Boleh aku masuk?” tanya Ayman sambil tersenyum.
“Bukan kau dah masuk ke?” Rafiq menempelak
rakannya itu.
“Buatkan aku air Horlicks.” Arah Rafiq apabila Atilia
memandang ke arahnya.
Atilia angguk kepala, akur dengan arahan ‘tuan
besar’.
“Ayman, kau nak air tak?”
“Boleh juga.” Ayman kemudiannya memandang
wajah Atilia. “Buatkan abang teh tarik. Buat kaw-kaw tau.”
Dia mengenyit nakal.
Hendak termuntah Rafiq lihat sikap Ayman sehari
dua ini. Bukan main miang lagi.
Atilia angguk kepala dan tersenyum manis. Dia
kemudiannya berlalu.
“Macam mana dia kerja, okey?”
“Bolehlah. Lagipun baru dua hari dia kerja. Takkan
nak harapkan lebih.” Rafiq bersuara malas.
“Wah, ada peningkatan nampak?”
“Apa maksud kau?”
“Selalunya apa saja tentang dia akan buat kau
melenting. Apatah lagi jika yang bertanyakan tentang dia
tu...
lelaki. Tapi hari ni, boleh pulak kau lindungi kelemahan
dia.”
Ayman tersenyum-senyum.
Rafiq mendengus kurang senang. Terperangkap dia
dengan soalan yang diajukan oleh Ayman sebentar tadi. Tak
pasal-pasal kena ejek.
“Orang lain tanya, aku malas nak layan. Disebabkan
kau yang bertanya, aku jawablah. Kau kan tahu siapa aku dan
siapa dia selama ni.” Rafiq mengingatkan Ayman akan hakikat
antara dia dengan Atilia. Manalah tahu andai Ayman terlupa
atau buat-buat lupa segala apa yang telah dia sampaikan
kepada lelaki itu selama bertahun-tahun ini.
Perbualan mereka terhenti apabila terdengar bunyi
ketukan. Muncul Atilia bersama dulang berisi minuman yang
mereka pinta. Melihatkan Atilia terkial-kial membawa dulang
di tangan sambil membuka pintu, Rafiq bingkas bangun dan
membantu. Dulang di tangan Atilia segera diambilnya.
“Terima kasih kerana sudi bantu.” Atilia melunakkan
suaranya dan tersenyum manis biarpun dia tahu Rafiq tidak
suka mendengar dan melihatnya.
“Biar aku aje yang bawa air ni. Kau boleh keluar.
Jangan lupa semak laporan yang aku beri semalam. Lepas
tu ingat, pukul dua nanti kau kena ikut aku ke Dinamik.
Ada kerja yang perlu aku selesaikan di sana. Kau jangan
terhegeh-hegeh pulak. Aku pecat karang.”
Atilia angguk kepala dan beredar. Baik dia segera
menghilangkan diri sebelum Rafiq bertukar menjadi raksasa.
Ayman pandang kelibat Atilia sehingga gadis itu
menghilang di sebalik pintu. Kemudian wajah Rafiq dicari.
“Bestnya kalau aku dapat kahwin dengan dia.”
“Apa yang bestnya?”
tanya Rafiq sambil meletakkan
dulang ke atas meja kopi.
“Bestlah! Dapat isteri cantik, dapat jadi bapa saudara
kau.”
“Jangan nak beranganlah! Entah-entah dia dah ada
boyfriend.”
“Ala... belum cuba belum tahu. Apa kata orang, best
man wins? Siapa cepat bertindak, dialah yang dapat.” Ayman
jongket keningnya. Mengusik. “Eh, Raf! Bilik tidur kau
dengan dia sebelah-menyebelah, kan?”
Rafiq pantas menuntaskan pandangannya ke arah
Ayman. Kenapa Ayman tiba-tiba bertanyakan hal bilik tidur
mereka? Nak ceroboh masuk bilik Atilia melalui bilik
tidurnya
ke? Andaian-andaian jahat berlegar dalam fikiran.
“Kenapa kau tanya?” Mug yang berisi air Horlicks
dicicip ke bibir.
“Nanti kalau aku kahwin dengan dia, kau jangan
terjah masuk pulak ya kalau dengar dia terjerit malam-malam
buta.” Ayman mengusik rakannya. Sengaja hendak mengajak
Rafiq bergurau.
Hampir tersembur air yang diminum Rafiq. Wajah
Ayman dipandang dengan rasa... entah! Tak tahu nak kata apa.
Macam nak bagi pelangkung pun ada. Memang betul-betul
gila sahabat karibnya itu. Belum kahwin dah fikir yang
bukan-bukan.
“Yakin benar kau akan kahwin dengan dia.”
“Manalah tahu... jodoh aku ditakdirkan dengan dia.
Kau juga yang untung dapat bapa saudara yang baik dan
beriman macam aku. Kita berdua kan kamceng? Apa salahnya
kau lobi aku kat mak saudara dan nenek kau tu. Berkat mulut
kau, dapat kita duduk sebumbung.” Ayman tahan gelak.
Seronok dapat buat Rafiq tidak senang duduk.
Betul ke Ayman nak pikat Atilia? Bukan ke selama
ini hati lelaki itu seolah-olah tertutup setelah dilukai?
Oh...
Tuhan!
“Kau dah tak serik bercinta?”
Ayman jongket bahu.
“Agak-agak... ada tak yang merana dan kecewa jika
dia bergandingan dengan aku?” Bahu Rafiq ditepuk lembut
dan Ayman tersenyum penuh makna.
Rafiq pandang Ayman dengan perasaan yang sukar
dimengertikan. Apa makna senyuman Ayman itu? Ingin
membalas dendam terhadap perempuan atau apa? Lain benar
senyuman sahabatnya itu. Seperti mencabarnya pun ada.
Ayman balas kembali pandangan Rafiq.
“Peluang yang dah ada depan mata, kalau tak rebut
cepat-cepat takut kempunan aje nanti. Lagipun... macam
sia-sia ajelah kan, menaruh hati sekian lama tapi tak berani
nak bertindak. Hai, rugi-rugi kalau jadi lelaki yang takut
berdepan dengan kenyataan. Sanggup pendam perasaan
daripada meluahkan!” Ayman melontarkan apa yang sekian
lama dipendam. Dia pasti Rafiq faham apa yang cuba dia
sampaikan. Jika tidak sekarang, esok mahupun lusa, dia yakin
Rafiq dapat menangkap apa yang tersirat dalam setiap patah
katanya.
MEMANDANGKAN Rafiq tiada di biliknya, Atilia segera
masuk ke dalam pejabat lelaki itu. Dia ingin menghantar
laporan yang telah siap disemaknya untuk tindakan
selanjutnya. Walaupun tugasnya sebagai PA dan perlu
menghadap Rafiq sepanjang masa, tetapi dia lebih suka jika
tidak bertembung dengan lelaki itu. Dirinya selamat dan
jiwanya tidak sakit. Setiap masa kena ‘bambu’, siapa yang
tahan? Mood Rafiq hari ini juga tidak berapa baik. Asyik
main
jeling-jeling saja setiap kali bertemu empat mata dengannya.
Ingat lagi dia akan arahan Rafiq lewat tengah hari
tadi.
“Tugas kau... kemas bilik aku. Buat air untuk aku.
Angkat panggilan telefon untuk aku...” Buat itu... buat
ini... bukan main panjang berjela lagi tugasan untuknya.
Sampaikan gosok baju dan sediakan pakaian kerja lelaki itu
setiap hari pun dia juga. Hai... memang banyak ‘lemak’ betul
lelaki itu sekarang. Dia yakin Rafiq sengaja hendak torture
dirinya dan mengukur Celsius kesabarannya. Tak apa, dia
akan bertahan demi mamanya.
Bunyi nada dering membuatkan Atilia
memanjangkan lehernya. Dia berkira-kira sama ada hendak
mengangkat ataupun tidak telefon bimbit milik Rafiq. Risau
juga hatinya jika Rafiq mengamuk. Lelaki itu terlalu banyak
pantang larang jika dengannya. Macamlah dia lahir dari
planet
lain, hinggakan lelaki itu sukar memberi muka kepadanya.
“Helo...” Akibat kasihankan si pemanggil, dia
beranikan diri mengangkat telefon bimbit Rafiq.
“Kau siapa?”
Terpinga-pinga Atilia apabila disergah sebegitu kasar.
“Err... nak cakap dengan Rafiq ya? Maaflah, dia baru
aje keluar dan telefon bimbitnya tidak dibawa bersama.”
Atilia
masih mampu menyabarkan diri walaupun orang di sebelah
sana agak dingin percakapannya.
“Aku bukannya nak dengar kau hurai panjang lebar.
Aku tanya, kau ni siapa yang memandai-mandai angkat
telefon Raf?” Gina bersuara keras.
Atilia mencebik. Macam bagus saja perempuan yang
sedang bercakap dengannya itu. Terasa menyesal pun ada
kerana berhati mulia menjawab panggilan itu.
Saat mata Atilia menangkap telefon bimbit miliknya
yang tersorok di tepi timbunan fail, dia segera mengambilnya
dan menyimpan ke dalam poket seluar slek. Rasa nak
melompat akibat terlalu gembira pun ada. Apa tidaknya,
telefon itu mempunyai nilai yang tinggi baginya. Jika
ditawarkan dengan wang tunai RM10,000 pun, dia tidak akan
sekali-kali menukarkannya.
“Siapa beri keizinan untuk kau jawab panggilan
aku?” Dengan pantas Rafiq merampas telefon bimbitnya yang
berada dalam genggaman Atilia.
Semerta rasa gembira yang bergayut dalam hati Atilia
terbubar sebaik sahaja mendengar suara yang sangat-sangat
dia kenali dan cuba hindari. Kini rasa takut dan risau mula
menyerang kolam hatinya. Janganlah Rafiq belasah dirinya
gara-gara dia menjawab panggilan bagi pihak lelaki itu.
Tapi...
bukan ke menjawab panggilan telefon bagi pihak Rafiq adalah
sebahagian daripada tugasnya? Hai... takkan tak sampai
sehari, Rafiq dah lupa atau hilang ingatan?
“Bukan ke menjawab panggilan telefon sudah
termaktub dalam skop kerja saya?” Atilia memberanikan diri
bersuara.
“Itu kalau guna talian pejabat, bukannya telefon
bimbit aku.” Rafiq mencerlang biji matanya. Dia tidak suka
sesiapa menyentuh barang peribadi miliknya.
“Tadi kenapa tak beritahu awal-awal?” Atilia
melawan. Asyik dia saja yang kena marah, mana aci! Lagipun
silap Rafiq juga kerana tidak memberi penerangan secara
terperinci kepadanya.
Rafiq memberi isyarat supaya Atilia diam dan tunggu.
“Helo...” Rafiq bersuara. Dia tidak mahu orang yang
menelefonnya tertunggu-tunggu terlalu lama.
“Raf... siapa
perempuan tu? You curang di belakang I
ya?” Gina mula menyerang.
Rafiq pandang skrin telefon bimbitnya seketika
untuk mengenal pasti si pemanggil, kemudian dia mengeluh
perlahan. Wajah Atilia dicari. Dia mengarahkan Atilia supaya
beredar.
Atilia menceber. Meluat! Macam bagus saja dua orang
makhluk itu. Seorang yang sedang berada di hadapannya dan
seorang lagi tidak tahu di mana duduknya. Enggan dikata
busybody, dengan pantas dia angkat kaki.
“Dia PA Ilah.”
“Sejak bila you ada PA?” Setahu Gina, Rafiq tidak
pernah ada PA mahupun setiausaha. Hatinya mula digamit
risau. Bimbang jika Rafiq tertarik dengan PAnya itu.
“Urusan kerja I, you tak perlu sibuk Gina.” Rafiq
bersuara tegas.
Atilia yang mencuri dengar mencebik. Tak
habis-habis dengan panas baran dia. Memang lambatlah anak
saudaranya itu akan kahwin jika tidak buang sikap kepala
anginnya itu. Dia kemudiannya berlalu ke tempat duduknya,
bimbang tertangkap mencuri dengar perbualan Rafiq dengan
kekasihnya.
“Sorry...” Gina lirihkan suaranya. Dia mahu Rafiq
terkesan kerana meninggikan suaranya seketika tadi. Lagi
pula, dia tidak mahu kerana sikapnya yang terlalu cemburu
itu membuatkan Rafiq bosan dan angkat kaki berlalu pergi.
Sudahlah antara mereka belum terpateri janji untuk sehidup
semati lagi, ada nanti dia gigit jari.
“I pun minta maaf sebab tertinggi suara sikit dengan
you tadi.” Rafiq luah rasa kesalnya.
Gina tersenyum puas tatkala jeratnya mengena.
“Ada apa call I ni? You tak kerja ke?” Rafiq bersuara
pelik. Bukan ke Gina sepatutnya sedang bertugas ketika ini?
“Kerja. Tapi I curi-curi masa sikit untuk call you.
Rindulah... You tak rindu kat I ke?” Gina memanjakan
suaranya. Mahu menarik perhatian Rafiq.
“Baru kelmarin jumpa, takkan dah rindu?” Rafiq
garu keningnya. Dia sebenarnya tidak berapa gemar apabila
Gina sering membangkitkan perihal hati dan perasaan.
“Untuk orang seperti I... yang terlalu cinta kan you
memanglah sering rindu.” Gina tanpa segan silu bongkar apa
yang hatinya rasa.
“Err... Gina, you ada perkara lain lagi ke nak cakap? I
sebenarnya ada meeting sekejap lagi.” Rafiq lihat permukaan
jam tangannya. Lagi pula, dia malas hendak dengar ‘syair
cinta’
Gina lama-lama. Dia juga takut mendengar pengharapan
gadis itu kerana dia tahu, dia tidak mampu membalas rasa
cinta Gina itu.
Gina mengeluh kecil. Dia yakin Rafiq sengaja berkata
begitu kerana ingin melarikan diri.
“Maaflah sebab curi masa you.” Gina cuba jadi
kekasih yang memahami biarpun hatinya meragui alasan
Rafiq sebentar tadi.
“Tak perlu nak minta maaf. Kalau I free memang I
tak kisah nak layan you berbual lama mana pun.” Rafiq cuba
jaga hati Gina. Dia tidak mahu Gina rasa tersinggung dengan
cara penolakannya secara halus itu.
Gina tersenyum. Hilang keraguan yang bermain
dalam hatinya sebentar tadi.
“Raf... bila I cuti nanti kita jumpa ya?”
“Insya-Allah. Tapi I tak janji. Bimbang waktu you
cuti nanti, I sedang sibuk ketika tu.” Rafiq segera beri
alasan.
Dia tidak mahu memberi harapan yang tinggi, bimbang dia
tidak mampu menunaikannya.
Sebaik sahaja Gina menamatkan perbualan antara
mereka, Rafiq lontar telefon bimbitnya ke atas meja.
Rambutnya dilurut perlahan-lahan. Hatinya mula berbicara.
Membisikkan apa yang dia rasa. Apa yang dia mahu dalam
hidupnya...
No comments:
Post a Comment