Puan Ainon segera hampiri anak gadisnya sebaik
sahaja ternampak batang hidung Atilia. Dia sudah tidak sabar
hendak tahu apakah jawatan yang ditawarkan oleh Rafiq.
Dia risau jika cucu lelakinya itu menawarkan jawatan yang
bukan-bukan untuk Atilia dan tidak setaraf dengan kelulusan
akademik anaknya itu. Tika dia menghubungi cucunya tengah
hari tadi, Rafiq sekadar menyatakan agar dia jangan bimbang.
Mahunya dia tidak risau, sikap Rafiq bukannya boleh diramal.
“Macam mana kerja hari ni sayang?”
“Okeylah mama.”
Okeylah? Puan Ainon tidak senang hati. Jawatan
apa yang telah Rafiq berikan kepada anak gadisnya itu.
Tukang cuci? Tapi... bukan ke mereka dah ada cleaner untuk
membersihkan pejabat? Tukang buat air? Macam tak logik
pula. Tapi juga tidak mustahil. Rafiq memang sukar ditebak
kehendaknya.
“Kerja apa yang Raf beri pada Che Su?” Dia segera
memandang Rafiq.
“PA.”
“Eh, kenapa PA? Bukan ke Che Su sepatutnya
jadi manager? Tak pun engineer?” Puan Ainon bertanya
kurang senang. Susah payah anaknya belajar dalam bidang
engineering, disuruhnya jadi PA pula. Hangat betul hati
tuanya.
“Kat Polimerlatex tak ada kekosongan jawatan tu.”
Letihnya dia hendak melayan pertanyaan kesayangan Atilia
ini.
“Bukan pagi tadi Raf kata nak tempatkan Che Su di
Polimer Qualitas ke? Kenapa alih-alih kerja kat Polimerlatex
pulak?” Siti yang baru tiba menyampuk.
“Pagi tadi bukan ke ibu suruh tempatkan dia di
Polimerlatex?” Rafiq bertanya kembali sambil menjeling ke
arah Atilia yang berada tidak jauh daripadanya. Butang
kemeja
dibuka hingga ke paras dada. Sesak nafasnya. Tadi neneknya
menyerang, kini ibunya pula. Teruk sangat ke jawatan PA tu?
Buatnya dia suruh jadi penyambut tetamu, mahu terangkat
bumbung rumah ini agaknya.
‘Tak kisahlah PA sekalipun. Janji Raf dan Tia kerja
sebumbung,’ bisik hati Puan Ainon. Risau hatinya jika Atilia
dan Rafiq bekerja di tempat yang berasingan.
“Kenapa lambat sangat balik?” Puan Ainon segera
menyoal.
“Banyak kerja mama.” Rafiq menjawab lemah.
Macamlah balik pukul sepuluh dah dikira lewat. Lainlah
kalau dia balik pukul dua belas malam. Tapi jika ada masalah
di kilang, perkara itu bukan sesuatu yang mustahil.
“Raf nak balik lewat, mama tak kisah. Tapi suruhlah
Pak Taha ambil Che Su. Bukannya Raf tak boleh buat kerja
jika Che Su tak ada.” Puan Ainon menambah.
‘Adoi, balik lewat
pun jadi isu!’ Rafiq mengeluh.
Kalau dia tahu banyak sangat pantang larang neneknya, baik
dia letak Atilia di Polimer Qualitas. Boleh dia jawab tidak
tahu
jika ditanya hal-hal berkaitan dengan Atilia.
“Betul tu mama, banyak sangat kerja tadi. Lagipun
ada masalah yang Raf kena settlekan kat kilang. Jadi dia tak
sempat nak telefon sesiapa suruh ambil Tia.” Atilia segera
mencelah. Bimbang Rafiq ‘berasap’ satu badan jika disoal
selidik macam-macam.
Sudahlah hari ini Rafiq asyik mencari pasal
dengannya di tempat kerja. Ada karang disebabkan hal yang
sekecil ini Rafiq semakin memusuhinya. Tak pasal-pasal dia
perlu hadap wajah tegang Rafiq setiap saat walaupun memang
itu yang Rafiq sering perlihatkan kepadanya setiap masa.
‘Nasib kau back-up aku. Kalau tak, tahulah aku nak
ajar kau macam mana esok,’ gumam Rafiq.
“Raf dah carikan kereta untuk Che Su?”
“Belum lagi mama, tak ada masa. Nanti-nantilah.”
Puan Ainon geleng kepala. Tahu sangat dia akan
perangai cucunya itu. Bila dipaksa, akan lambatlah buat
kerja. Kalau tak, belum disuruh lagi dah buat.
“Raf naik atas dululah, nak mandi dan solat.”
“Dah makan ke belum?” Siti bertanyakan anaknya.
“Dah,” balas Rafiq sepatah. Sebaik sahaja keluar
dari bangunan pejabatnya, Ayman sudah pun menunggu
dan mengajaknya keluar makan malam bersama. Enggan
menghampakan permintaan kecil sahabatnya, dia akur juga
walaupun ketika itu wajah Atilia sudah mencuka. Mungkin
bengang kerana tidak dapat keluar dengan kawan lelakinya
yang bernama Raid itu.
“Emmm... pergilah naik.” Siti bersuara.
Rafiq terus mengatur langkah sebaik sahaja ibunya
membuka mulut menyuruhnya beredar.
“Telefon Tia mana? Puas mama dan ibu telefon, tapi
tak dapat-dapat.” Puan Ainon bertanyakan anak gadisnya itu.
Atilia pantas tepuk dahi. Dia memang terlupa hendak
meminta kembali telefon bimbitnya daripada Rafiq.
“Kenapa Tia? Kenapa tepuk dahi macam tu sekali?”
cemas Siti bertanya.
“Err... tak ada apa-apa ibu. Telefon Tia sebenarnya dah
habis bateri,” dalih Atilia. Kasihannya Raid. Pasti
sepanjang
hari ini lelaki itu tidak henti-henti menghubunginya.
Perasaan bersalah menyerbu kolam hati. Argh... ini semua
Rafiq punya pasal!
“Mama... ibu... Tia naik atas dulu ya. Nak mandi dan
tidur. Letih sangat rasanya hari ni.”
“Yalah. Pergilah naik dan berehat. Esok nak kerja
lagi.” Puan Ainon mengusap lembut bahu anaknya.
Atilia tersenyum manis.
“Tia naik dulu.” Tangan mama dan kakak iparnya
dikucup sebelum berlalu ke kamar tidurnya di tingkat dua.
Sebaik sahaja menghampiri kamar Rafiq, Atilia
berhenti seketika. Dia memikirkan kewajaran sama ada
perlu atau tidak dia bersemuka dengan lelaki itu. Hatinya
tersangat geram dengan tindakan Rafiq yang masih belum
memulangkan kembali telefon bimbitnya. Memikirkan
betapa perlunya telefon bimbit tersebut, dia mengetuk daun
pintu. Saat tersedar kemungkinan bakal timbul kekecohan,
dia pantas bergerak menjauhi kamar lelaki itu.
“Kau nak apa?”
“Haaa... apa dia?” Atilia pura-pura tidak mengerti.
‘Alahai, cepat pulak dia ni memberi tindak balas,’ komen
Atilia dalam hati.
Tatkala melihat keadaan Rafiq yang tidak sempurna,
membulat besar biji matanya. Kemudian dengan pantas
bola matanya dihalakan ke arah lain. Tombol pintu biliknya
dipulas. Dia ingin segera meloloskan diri. Tidak sanggup dia
hendak membiarkan matanya melihat keadaan Rafiq yang
hanya bertuala itu.
Rafiq segera mendapatkan Atilia. Lengan gadis itu
dicengkamnya.
“Kau kan yang ketuk pintu bilik aku tadi? Apa kau
nak?”
“Errr... tak ada apa-apa.”
“Kalau tak ada apa-apa, takkan kau suka-suka ketuk
pintu bilik aku?”
“Err... err... dah lupa nak tanya apa,” dalih Atilia. Dia
ingin berlalu pergi secepat yang mungkin.
“Lepas kau dah ingat, jumpa aku. Aku tunggu
kau kat balkoni pukul sebelas setengah malam nanti.”
Lengan Atilia dilepaskannya perlahan-lahan. Dia pun malas
hendak memaksa gadis itu. Pasti Atilia tidak selesa melihat
keadaannya ketika ini. Tapi dia bukanlah seseksi mana pun,
tuala yang membaluti tubuhnya masih boleh dikira menutupi
aurat lelakinya.
Atilia angguk kepala dan segera menghilangkan diri.
Sebaik sahaja daun pintu ditutup, dia mengurut dadanya
yang masih berdebar dek rasa terkejut.
“Kalau ya pun nak buka pintu, pakailah sempurna
sikit dulu. Ini asal boleh aje. Hesy... tak tahu malu
langsung!”
omel Atilia bengang.
“ASSALAMUALAIKUM...”
Atilia menyapa Rafiq yang
sedang enak menyandar di balkoni. Memang menepati masa
sungguh lelaki itu.
“Waalaikumussalam. Kau dah ingat nak tanya apa?”
tanpa berlengah Rafiq bertanya.
Atilia angguk kepala. Sebaik sahaja masuk ke
kamarnya tadi, letih kepala otaknya memikirkan sama ada
perlu atau tidak dia bertemu dengan Rafiq. Jika tidak
bertemu
dengan lelaki itu, dia tidak boleh mendapatkan kembali
telefon bimbitnya. Dan jika telefon itu tidak ada, dia tidak
boleh hubungi Raid untuk menerangkan hal yang sebenar
dan sekali gus memohon maaf.
“Haaa... cepatlah cakap, apa tujuan kau nak jumpa
aku tadi?”
“Errr... saya nak balik telefon bimbit saya,” ujar
Atilia gementar. Hendak guna panggilan ‘Che Su’, takut
Rafiq meroyan. Karang tak pasal-pasal tak dapat balik telefon
kesayangannya itu.
“Kau ketuk pintu bilik aku semata-mata nak telefon
bimbit?” tanya Rafiq sinis.
Atilia ketap bibirnya menahan rasa. Pelik sangat ke
kalau dia nak balik telefon dia tu? Telefon tu ibarat
jantungnya,
okey. Penting! Banyak benda yang tersimpan di dalamnya.
Yang paling penting ada nombor ‘Raid’ kesayangannya. Dan
paling dia takuti dan risau jika Rafiq terbaca luahan
hatinya
terhadap ‘Raid’. Andai hal itu terjadi, mahu bumi Malaysia
terpaksa dia tinggalkan untuk selama-lamanya. Dapat saja
balik telefonnya nanti, dia nak delete semua luahan hatinya
yang tersimpan dalam S Note.
“Boleh tak kalau Raf bagi balik telefon tu?” Malas dia
hendak berdebat dengan Rafiq.
“Telefon kau tak ada dalam simpanan aku. Mungkin
tertinggal kat ofis.”
‘Tertinggal kat ofis
atau sengaja tinggal?’ Hati
Atilia sudah merusuh. Makin bertambah-tambah geramnya
terhadap lelaki itu. Kalau hilang telefon bimbit tu...
siaplah
Rafiq! Akan dia minta ganti dengan telefon baru yang
mahal-mahal. Ala... kalau dapat telefon baru pun tak guna,
bukannya ada nombor telefon kawan-kawannya. Yang dia
takuti, kehilangan nombor telefon ‘Raid’. Bukan mudah
untuk dia perolehi nombor itu.
“Penting sangat ke telefon tu?” Memang dia
benar-benar terlupa hendak memulangkan kembali telefon
bimbit Atilia. Lagi pula sepanjang hari ini dia lebih banyak
berada di plant berbanding di ofisnya. Dia juga sudah tidak
ingat di mana dia letak telefon bimbit gadis itu.
“Pentinglah,” balas Atilia perlahan.
‘Raid, maafkan Tia,’ gumam Atilia. Dia teramat yakin
Raid akan berkecil hati dengannya. Pasti Raid fikir dia
sengaja
tutup telefon kerana tidak mahu menemani lelaki itu. ‘Rafiq
Idlan... kenapa kau suka susahkan hidup aku???’
Melihat wajah keruh Atilia, hati Rafiq diterpa rasa
bersalah. Bukan niatnya hendak menyimpan telefon gadis
itu lama-lama. Dia sekadar ingin mengajar gadis itu supaya
mematuhi setiap arahannya.
“Esok kalau aku jumpa telefon kau, aku bagi balik.
Tapi ingat... jangan guna telefon bimbit kat kawasan kilang
kecuali kalau ada hal-hal penting atau kecemasan.”
Atilia sekadar angguk kepala. Cukuplah jika Rafiq sudi
memulangkan kembali telefon bimbitnya. Namun dia tidak
menaruh harapan yang terlalu tinggi. Esok, macam-macam
boleh terjadi. Jika okey angin Rafiq, dapatlah dia telefon
bimbitnya. Jika tidak, terpaksalah dia terus menunggu dan
menanti.
No comments:
Post a Comment