Sunday, 16 April 2017

Mr.Babe Magnet??? Not!!! - Bab 5

Ucapan selamat Hari Raya yang diterima Zayn
melalui aplikasi WhatsApp menyentak ketenangan. Ucapan
yang tidak dijangka. Hampir terlepas telefon di tangan.
Tajam matanya mencerlung ke setiap aksara di skrin. Angin
yang terkumpul dalam dada mula bergulung-gulung naik ke
rengkung dan singgah di hujung lidah. Pahit! Amat pahit!
‘Selamat Hari Raya? Maaf atas segala-galanya? Dah
buang tabiat nak mampus ke apa pompuan ni?’
Tanpa membalas ucapan yang diterima, Zayn
memadamkan saja pesanan itu. Hairan juga bagaimana si
penghantar pesanan bisa tahu nombor telefon bimbitnya
yang sudah bertukar sejak sekian lama. Tentu saja ada yang
membocorkan maklumat peribadinya kepada si tukang
penghantar pesanan itu.
“Zayn, tetamu dah nak mula datang ni. Jom kita ke
depan?”
Zayn menongkat wajah. Kelibat si kakak sulung,
merangkap ibu kepada Naim yang berdiri di jenang pintu
bilik menangkap pandangan.
“Zayn? Kenapa ni?” soal Puan Mashitah. Daun pintu
ditolak lebar sebelum menyusun langkah masuk ke dalam
bilik anaknya, Naim.
“Takde apalah long... saja je duduk rehat kat sini,”
Zayn beralasan.
“Betul ke ni?”
Kepala diangguk bagi menjawab pertanyaan Puan
Mashitah. Perkara kecil sebegini tidak perlu rasanya dikongsi
bersama kakaknya itu. Tidak mahu kakaknya berfikir yang
bukan-bukan hanya disebabkan pesanan ucapan selamat yang
diterimanya. Hati si kakak sulung yang sudah mengambil
tempat sebagai bondanya sejak dia berumur 10 tahun mahu
dijaga semampu boleh.
“Kalau macam tu, kejap lagi Zayn keluar ya?
Adik-beradik kita yang lain pun dah dalam perjalanan ni.
Kejap lagi sampailah tu.”
“Ya, long. Semua datang ke hari ni?”
“Tak semua. Angah dah balik ke kampung isteri dia
semalam. Tengoklah siapa yang datang kejap lagi,” ujar Puan
Mashitah. “Kak long keluar dulu. Nak siap-siapkan apa yang
patut.”
“Hmmm... nanti Zayn tolong. Zayn nak solat kejap.”
Zayn bangun. Ketenangan yang diganggu-gugat sebentar
tadi kembali menyapa diri. Sesungguhnya dia tiada perasaan
apa-apa pun menerima pesanan tadi. Cuma ada sedikit rasa
terkejut kerana bertahun-tahun lamanya si dia menyepikan
diri, tiba-tiba saja menghantar ucapan selamat Hari Raya.
Seperti tidak logik saja!
“Ramainya tetamu famili kau, Naim,” komen Azzahra
sambil mata meliar ke laman rumah orang tua Naim. Laman
yang bersiap pasang kanopi di segenap ruang. Walaupun
rumah sebandung dua tingkat keluarga Naim ini sederhana
saja besarnya, namun ruang laman yang agak luas dan selesa
di bahagian kanan rumah lebih daripada mencukupi untuk
menyusun meja dan kerusi.
Mata Naim turut mengikut arah mata temannya.
“Kawan ayah aku yang ramai, dengan jiran-jiran
kat taman ni. Lepas tu, adik-beradik mak aku je dah berapa
orang. Mak aku ada lima orang adik. Tu pun tak semua dapat
datang hari ni,” tutur Naim. “Kenapa kau datang sorang je?
Iman dengan Nurul tak ikut kau ke?” soal Naim bertanyakan
tentang adik-adik Azzahra.
“Diaorang pun ada jemputan hari raya kat rumah
cikgu diaorang. Tu yang tak dapat datang sini tu,” jelas
Azzahra.
“Eh, yang kau duduk je kenapa? Pergilah ambik
makanan.”
“Errr... nantilah dulu,” tolak Azzahra. “Aku seganlah.
Ramai sangat orang kat meja bufet tu.”
“Kau nak aku ambikkan ke?” pelawa Naim.
“Errr... boleh ke?” Azzahra sudah tersengih suka.
Tidak payah susah-susah hendak bangun bagai.
“Hesy! Mengada-ada!” getus Naim dengan wajah
yang kononnya garang.
Azzahra hanya ketawa.
Sementara Naim pergi mendapatkan juadah hari raya
untuknya, Azzahra mengambil peluang untuk mengamati
gelagat para tetamu yang lain. Sibuk nampaknya kedua
orang tua Naim melayan tetamu. Sempat berbual sekejap
saja dengannya tadi. Mata singgah di meja bufet. Kelihatan
pak cik Naim mendekati sahabatnya itu lalu berkata sesuatu.
Azzahra kembali membawa mata ke suatu sudut yang lain.
Tidak menghiraukan Naim serta pak ciknya itu.
“Ambikkan makanan untuk makwe ke?” sindir Zayn.
Naim ketawa.
“Makwe bendanya pak cu? Untuk Aralah...”
“Dah agak dah. Kenapa? Dia dah takde tangan
dengan kaki ke nak ambik sendiri?” Kali ini sinis.
“Dia segan tu. Takpelah pak cu. Small matter je
ni. Kalau abang ke rumah dia pun, dia yang akan ambikkan
makanan untuk abang. Takde hallah,” tangkis Naim.
“And yet you’re telling me there’s nothing going on
between the two of you?” soal Zayn. Masih yakin dengan kata
hatinya.
“Yup! Nothing!”
“Yalah tu!” gerutu Zayn sambil tangan mencapai
sepotong buah epal dari dulang hidangan lalu terus
dimasukkan ke dalam mulut.
Naim menggelengkan kepala. Ketika kaki melangkah
kembali ke meja Azzahra, dia melihat temannya itu kini
dikelilingi rakan-rakan yang saling dikenali mereka berdua.
Naim mengenali mereka ketika di sekolah, manakala Azzahra
pula ketika di pusat tuisyen.
“Eh, korang dah sampai?” soal Naim seraya
meletakkan pinggan di hadapan Azzahra. Kemudian, seorang
demi seorang rakan yang hadir disalami. Mereka berpelukan
sambil bertepuk tampar. Melepaskan rindu dengan cara
mereka sendiri. Yalah, bukannya selalu mereka bisa berjumpa.
Riuh meja mereka seketika.
“Ara, bila kau nak buat open house?” soal Malik.
“Rumah aku hari-hari open. Kau datang je bila-bila
kau nak,” balas Azzahra sambil mengunyah nasi himpit yang
bergelumang dengan kuah kacang.
“Alah... kau pilihlah hari yang special untuk kita
orang datang serbu. Barulah best!” sambung Malik lagi.
“Special konon. Kalau aku tak buat open house,
maknanya korang tak sudilah ya nak beraya ke rumah
aku? Apa punya konsep beraya yang kau pakai ni?” Azzahra
membalas. Nadanya sedikit malas. Tumpuannya pada juadah
di atas pinggan lebih utama ketika ini. Nikmat betul!
“Kak Ara!” tegur suatu suara yang terlebih ceria.
“Bila Kak Ara sampai? Epul tak tahu pun?”
Azzahra mengangkat wajah dari pinggan.
“Dah lama dah... Dah nak balik pun,” balas Azzahra
selamba.
“Eh! Takkan dah nak balik? Duduklah lama sikit,”
sampuk Naim. “Kau belum tambah lagi tu.” Macam dia
tidak kenal dengan Azzahra. Mana pernah dia makan tanpa
bertambah? Lebih-lebih lagi pada majlis begini.
“Aku ada hallah,” Azzahra beralasan.
“Blahlah kau! Aku tak kira. Selagi aku kata kau tak
boleh balik, kau tak boleh balik!” tegas Naim melontarkan
arahan.
Malik berbalas pandang dengan rakan-rakan yang
lain. Ada yang tersengih lagak kerang busuk. Ada yang
menjongketkan bahu. Saiful pula sudah mencemik.
“Suka hati akulah nak balik bila!” lawan Azzahra.
Naim dijeling geram. “Apa hal pulak kau nak tahan-tahan
aku?”
“Ah, takde! Kau tak boleh balik lagi!” Naim berdegil.
“Wek!” Azzahra menjelirkan lidah ke arah Naim.
Tiba-tiba dia bangun dari tempat duduknya.
“Eh, kau nak ke mana?” Terpinga-pinga Naim
jadinya.
“Aku nak pergi tambah arrr... sedap siot!”
Tergeleng-geleng kepala Naim melihat Azzahra laju
melangkah ke arah meja bufet. Kan betul telahannya tadi?
‘Perut tangki kontena betul si Ara ni!’
“Hah, Ara. Jemput, jemput. Jangan malu-malu kat
rumah aunty.”
Azzahra menoleh. Dia tersenyum segan.
“Aunty, Ara ni dah second round tau. Sedap sangat,”
puji Azzahra ikhlas.
Puan Mashitah menyentuh lengan Azzahra.
“Nak third round ke, fourth round pun takpe, Ara.
Makan je ya? Mak dengan ayah Ara sihat? Kenapa tak datang
sekali? Adik-adik Ara pun aunty tak nampak.”
“Errr... mak dengan ayah ada hal kat rumah mak long
Ara. Diaorang kirim salam kat aunty dengan uncle. Adik-adik
Ara pulak ada open house kat rumah cikgu diaorang.”
“Oh... waalaikumussalam...” jawab Puan Mashitah
sambil menepuk lengan Azzahra. “Okey, aunty nak jumpa
kawan aunty kejap ya. Ara jangan balik dulu tau. Epul, meh
layan Kak Ara ni,” suruh Puan Mashitah kepada anaknya yang
kebetulan lalu di sebelahnya.
Azzahra mengangguk.
‘Aisey! Camna ni? Naim tak bagi aku balik. Sekarang,
aunty pun tak bagi balik,’ keluhnya.
“Kak Ara, kita ni macam berjanji pulak ek?
Pakai baju pun sedondon,” tegur Saiful. Kening sudah
terjongket-jongket.
Azzahra tunduk memandang ke baju kurung
berwarna ungu muda yang dipakainya, kemudian berkalih ke
baju Melayu di tubuh Saiful.
“Haahlah...” Azzahra tersenyum. Saiful sudah
tersengih gatal.
“Kejap lagi kita ambik gambar ya Kak Ara?”
“Boleh, takde hal.” Azzahra melayan saja permintaan
Saiful.
“Kak Ara nak makan apa? Meh Epul ambikkan,”
lembut Saiful menawarkan perkhidmatannya.
“Eh, takpe, takpe. Kak Ara boleh ambik sendiri,”
tolak Azzahra sopan.
“Aisey, kawan Epul panggillah pulak. Kak Ara
layan diri ek? Nanti Epul layan Kak Ara pulak,” ujar Saiful
bersama kenyitan di mata. Gatal sungguh lagaknya. Laju dia
menyusun kaki ke arah sebuah meja.
Azzahra hanya mampu menggelengkan kepala
melihat Saiful berlalu. Dia kembali berpaling, namun
bahunya terlanggar dengan sesuatu objek yang keras. Oh...
lengan seseorang rupanya. Azzahra melangut. Alamak!
“Sorry, pak cik,” ucap Azzahra.
“Hmmm...” balas Zayn endah tidak endah. Tangan
sudah mencapai senduk untuk menyenduk rendang ayam ke
pinggan.
Azzahra menunggu gilirannya.
“Boleh pulak ambik sendiri?” Zayn bersuara. “Ada
pun tangan.”
Kening Azzahra bertaut tidak mengerti. Lain macam
saja suara pak cik si Naim ni. “Ambik apa?”
“Makanan inilah. Tadi suruh Naim, kan?”
“Eh, taklah! Mana ada saya suruh Naim? Dia yang offer
nak ambikkan. Saya setuju jelah,” bidas Azzahra. Mengapa
dirasakan yang pak cik Naim ini seperti tidak sukakannya, ya?
Bukan main lagi menyindir dia. Ketika pertemuan pertama
dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang sebelum ini,
lelaki di sebelahnya ini macam okey saja dengannya. Boleh
senyum bagai. Namun, semenjak pertemuan di masjid
minggu lalu, pak cik Naim ini berubah seratus peratus. Muka
ketat semedang! Kenapa agaknya ek?
“Whatever! Nah!” Senduk di tangan dihulurkan
kepada Azzahra. Belum sempat Azzahra menyambut
betul-betul senduk itu, Zayn sudah melepaskannya. Terjatuh
senduk ke dalam dulang hidangan lalu terpercik sedikit kuah
rendang ke tudung Azzahra. Terkejut kecil Azzahra jadinya.
Zayn tunduk. Tompokan kecil di tudung gadis itu
menarik perhatian.
“Sorry. Aku tak sengaja.” Zayn mencapai beberapa
helai kertas napkin dari atas meja. “Nah, kau pergi cuci kat
dalam,” saran Zayn.
‘Aku? Kau?’ Rasa hairan dengan bahasa yang
digunakan oleh Zayn. Kedengaran agak kasar di telinga
sedangkan mereka bukan kenal rapat pun. Lainlah kalau dia
dengan Naim.
Azzahra mengerling ke arah tudung di bahagian
dadanya.
“Takpelah, balik karang saya cuci.” Kertas napkin
yang dihulur oleh Zayn tidak disambut. Azzahra meneruskan
misi menambah makanan di pinggan yang sudah kosong.
Ingin lekas-lekas berlalu. Aura negatif atau lebih tepat ‘aura
tidak suka’ yang terbit dari setiap rongga lelaki di sebelahnya
semakin jelas terasa. Lantaklah! Dia bukan kisah pun orang
suka atau tidak kepadanya. Dia sudah biasa. Whatever!
“Tak nak sudah!” getus Zayn perlahan, namun masih
bisa ditangkap oleh telinga Azzahra.
Siap pinggan dipenuhi, Azzahra terus berpaling.
Sebelah mata pun dia tidak mengerling ke arah Zayn.
“Kau dah kenapa?” soal Naim sebaik melihat wajah
Azzahra.
“Takde apa-apalah!” dengus Azzahra. Dia balik ke
tempatnya. Cuba melupakan sindiran yang diterimanya
daripada pak cik Naim tadi. Dia turut berbual bersama
teman-teman yang sudah lama tidak diketemuinya. Sekelip
mata mood Azzahra sudah ceria semula. Senyum dan tawa
sudah kembali menghias wajah.
Agak lama Azzahra melepak di rumah keluarga
Naim. Dari suatu sudut, Zayn hanya memerhatikan gelagat
anak-anak saudaranya yang sakan bergambar dengan
Azzahra. Macam-macam memek muka yang diperagakan.
Silih berganti mereka bergaya di sebelah gadis itu. Tawa lepas
Azzahra mampu ditangkap telinga.
“Kak long berkenan betul dengan si Ara tu,” Puan
Mashitah bersuara dari arah kanan Zayn. Sedar yang mata
Zayn asyik bertumpu ke arah meja yang diduduki Azzahra
serta Naim bersama-sama teman-teman yang lain. Dia
melabuhkan penat. Rata-rata tetamunya sudah pulang. Kini
hanya tinggal rakan-rakan anak-anaknya saja.
“Berkenan?”
“Hmmm... dah lama dia berkawan dengan abang.
Epul dengan Ayie pun rapat dengan Ara. Kak long harap
sangat Ara jadi dengan abang.” Puan Mashitah berkongsi
harapan dengan adik bongsunya.
“Hesy, kak long ni! Budak lagi si abang tu. Umur pun
baru 19 tahun. Jauh lagi perjalanan diaorang tu kak oii!” ujar
Zayn tidak setuju.
“Kak long tahu. Tapi kalaulah abang nak kahwin
suatu hari nanti, kak long harap sangat perempuan yang akan
jadi menantu kak long tu sebiji macam Ara. Itu pun kalau
bukan Aralah. Kak long suka sangat dengan Ara.”
Zayn kembali melabuhkan pandangan ke arah meja
yang diduduki gadis yang menjadi topik perbualan mereka.
Perempuan macam ni yang kak longnya suka? Yang gedik
dengan lelaki? Yang jelas, tiada seorang perempuan pun di
meja Naim. Semuanya lelaki melainkan Azzahra.
“Tapi bila kak long tanya abang, jawapan dia sama je.
Ara tu kawan biasa katanya,” sambung Puan Mashitah lagi.
“Kak long rasa diaorang tu ada apa-apa ke?” soal
Zayn ingin tahu akan pendapat kakaknya.
“Kalau tengok betul-betul, macam takde. Abang
pernah terlepas cerita pada kak long yang Ara tu cintakan
orang lain.”
Zayn diam tiada balasan. Teringat akan usikan yang
pernah dilakukan oleh Naim kepada Azzahra suatu waktu
dahulu. Tentang hati Azzahra yang sudah dimiliki, namun
pantas dinafikan oleh gadis itu. Kalau tidak silap, Azzahra
menaruh perasaan terhadap sepupunya sendiri.
“Macam mana diaorang tu boleh rapat sangat, long?”
“Entahlah. Diaorang kenal masa tingkatan 3. Ara
tu adik-beradik semua perempuan, sedangkan abang semua
lelaki. Ara anak sulung, abang pun sama. Masing-masing ada
dua orang adik. Masa nak PMR dulu, diaorang banyak belajar
sama-sama. Masa nak SPM pun macam tu. Kak long tengok,
diaorang banyak kongsi minat yang sama. Minat tengok bola,
minat main badminton, minat jurusan yang sama... Sebab tu
diaorang satu kepala kut,” rumus Puan Mashitah.
“Kak long perasan yang si Epul tu pun suka kat Ara.
Kak long rasa, Ara tahu Epul suka kat dia, tapi Ara buat biasa
je. Dia layankan aje perangai si Epul yang perasan kasanova
tu.” Terbit senyuman di bibir Puan Mashitah. “Baik betul Ara
ni.”
“Ke dia ni bangsa suka melayan semua lelaki, long?
Sebab tu dia suka bila Epul suka kat dia,” tuduh Zayn.
“Tak baik Zayn cakap macam tu. Ara bukan macam
tu orangnya!” tangkis Puan Mashitah laju mempertahankan
Azzahra.
“Yalah, kita mana tahu. Kak long pun bukan tahu
apa yang diaorang buat kat kampus tu. Kadang-kadang
perempuan yang pakai tudung ni lebih jahat daripada yang
tak pakai, kak long,” sinis Zayn menyuarakan pendapatnya.
Keruh wajah Puan Mashitah. Tanpa sedar, dia
melabuhkan tangan ke atas tangan adiknya.
“Zayn... tak semua perempuan macam Suraya...”
Laju Zayn memalingkan wajah ke arah wajah
kakaknya. Kelu lidahnya seketika.
“Kak long rasa, dah sampai masanya Zayn berhenti
tukar-tukar perempuan macam tukar baju. Macam orang
perempuan ni takde perasaan.”
“Errrr... bukan macam tu. Zayn bukan main-mainkan
diaorang pun, kak long. Zayn masih belum jumpa yang
sesuai, tu je.”
Lama Puan Mashitah menatap wajah adiknya.
“Zayn, jangan disebabkan Su, Zayn berdendam
dengan semua perempuan.”
“Tak, long. Zayn tak berdendam pun. Mana ada?”
dalih Zayn.
Puan Mashitah mengeluh perlahan.
“Baguslah kalau macam tu. Jangan disebabkan
nila setitik, rosak susu sebelanga.” Puan Mashitah bangun.
Tangan dilabuhkan seketika ke bahu Zayn. “Kak long masuk
dulu. Tak solat asar lagi ni.”
Zayn hanya mengangguk. Kata-kata kakaknya
memang jarang dapat disangkal. Mungkin dia terlepas kata
sebentar tadi. Terlalu asyik ingin menyindir Azzahra, tidak
sedar yang dia telah menyingkap sedikit perasaannya sendiri
terhadap kaum wanita. Mengapa perlu dia menyindir gadis
yang langsung tidak dikenalinya itu? Hanya kerana Azzahra
mengingatkannya tentang Suraya? Takkan kut!

No comments:

Post a Comment