Tok! Tok! Tok!
“Ya? Masuk!” jerit Azzahra.
Daun pintu ditolak dari luar. Tersembul wajah Iman
di jenang pintu.
“Kak long!” Kuat suara Iman. Seakan teruja
semacam saja. Kuat juga dia melambungkan tubuh ke atas
katil saiz queen milik Azzahra.
Beralun badan Azzahra yang enak berbaring di atas
katil. Hampir tercampak majalah di tangan.
“Apa angah ni!” dengusnya.
“Kak long nak dengar gosip tak?”
“Hmm... takde benda lain angah ni. Gosip pasal
siapa pulak ni?” soal Azzahra malas-malas. Tahu sangat akan
perangai si adik yang gemar mengambil tahu hal tepi kain
orang lain.
“Abang Farouk nak bertunang tak lama lagi,” umum
Iman dalam nada teruja.
Riak di wajah Azzahra tidak berubah.
“Kak long dah tahu...” Meleret saja balasannya.
Cerita dah basi kut!
“Angah dengar mak berbual dengan ayah kat dapur
tadi. Patutnya, Abang Farouk bertunang bulan ni, tapi mak
long minta tangguh ke bulan depan.”
“Hmmm... apa-apalah...” jawab Azzahra endah tak
endah. Seingatnya, mak ngah ada menyebut tentang Farouk
yang akan melangsungkan pertunangan pada bulan Syawal
ini. Tiba-tiba sudah ditunda ke bulan depan. Perkara biasa
kut, tangguh-tangguh ni. Namun di dalam hati, dia sudah
mengucap kata syukur. Bulan depan? Bagus! Bulan depan
dia sudah kembali ke universiti. Maka, tidak perlulah dia
mengikut rombongan keluarga mak longnya ke rumah bakal
tunang Farouk nanti. Yes!!!
“Kak long nak tahu tak kenapa mak long minta
tangguh?”
Terjongket kening Azzahra.
“Angah, tak baik bawak mulut. Kalau tak betul, dah
jatuh berdosa,” nasihat Azzahra kepada adiknya.
“Apa pulak tak betulnya long? Angah dengar sendiri
daripada mulut mak tadi,” bidas Iman. Iman menyebak
rambut di bahagian dada ke belakang. Duduknya semakin
rapat dengan kakaknya.
“Kenapa?” Tidak tertahan soalan yang pada mulanya
tidak mahu disuarakan. Melihat riak Iman yang begitu teruja,
dia tidak dapat menyekat keinginan untuk mengetahui
tentang abang sepupunya itu.
“Keluarga mak long dengan keluarga bakal tunang
Abang Farouk tu tak setuju tentang hal pertunangan. Mak
long nak buat kecil-kecilan je sebab baru bertunang. Belum
bernikah lagi. Tapi yang belah sana nak majlis yang grand,
walaupun bertunang,” jelas Iman.
“Takkan, kut!” Azzahra tidak percaya. “Keluarga mak
long dah kenal lama dengan keluarga bakal tunang Abang
Farouk kan? Diaorang bercinta dah lama. Takkan hal remeh
macam ni pun boleh jadi isu?”
“Tu angah tak tahu. Tapi itulah sebab kenapa Abang
Farouk tak jadi bertunang bulan ni. Keluarga belah sana nak
buat kat hotel. Lepas tu diaorang nak keluarga mak long
tanggung separuh daripada kos nanti.” Semakin rancak Iman
bercerita. “Bila buat kat hotel, mestilah kena guna katering
yang hotel punya, kan? Tak bolehlah nak minta tolong mak
ngah yang masakkan.”
“Hesy! Membazirnya buat majlis pertunangan kat
hotel. Kan senang nikah terus je?” ujar Azzahra.
“Itulah... mak long pun cakap macam tu. Tapi Abang
Farouk suruh mak long terima je apa yang belah sana nak.”
“Biarlah, ngah... bukan hal kita pun. Tak payahlah
kita sibuk.” Azzahra mencampakkan majalah di tangan ke
atas meja sisi. Dia sudah menarik selimut, memberi bayangan
kepada si adik yang dia mahu tidur. Tidak mahu lagi berbicara
tentang Farouk. Tetapi si adik buat-buat tidak mengerti.
“Kak long!” seru Iman lagi. “Kak long tak rasa
apa-apa ke Abang Farouk nak bertunang ni?”
Azzahra mengeluh perlahan. Dah agak dah! Iman
tentu ingin mengorek isi hatinya.
“Kak long tak rasa apa-apalah.”
Iman membuat muka. Seolah-olah tidak percaya
dengan kata-kata kakaknya.
“Takkanlah tak rasa apa-apa? Angah tahu yang
Abang Farouk tu cinta pertama kak long. Lama gila kak long
cintakan Abang Farouk tu. Jadi, kak long mesti ada rasa
something, kan? Sedih ke? Terkilan ke? Kan? Kan?”
Azzahra bangun. Muka dirapatkan ke wajah adiknya.
“Angah betul nak tahu perasaan kak long?” Wajahnya
betul-betul serius.
Mata Iman membulat. Kepala diangguk laju. Telinga
sudah siap sedia terbuka.
“Tak-Ada! Takde! Sibuk!” jerit Azzahra dekat di wajah
adiknya itu. Sempat dahi adiknya itu ditunjal. Tertolak kepala
Iman ke belakang.
“Kak long!” pekik Iman. Bahu Azzahra ditampar
kuat. “Habis tersembur kat muka angah,” adu Iman sambil
mengusap pipinya. Eeee!
Kuat tawa Azzahra. Padan muka!
“Amboi, amboi! Eloknya anak dara jerit-jerit dengan
ketawa kuat mengalahkan puntianak macam tu.”
Spontan kepala Azzahra serta Iman berpaling ke
muka pintu. Mati tawa Azzahra. Alamak!
“Mak...”
“Hah! Dah kenapa malam-malam macam ni
menjerit-jerit macam orang tak siuman ni? Malu kalau jiran
sebelah-menyebelah dengar. Mesti diaorang tertanya-tanya.
Mak ni bela anak dara ke langsuir?”
“Hesy mak ni!” Muncung bibir Iman. “Ada ke
samakan kita orang berdua dengan langsuir!”
Puan Sakinah masuk ke dalam bilik Azzahra.
“Angah, keluar kejap. Mak ada benda nak bincang
dengan kak long.”
“Alah... angah pun nak dengar jugak, mak,” tolak
Iman. “Bincang jelah...”
Puan Sakinah sudah menggelengkan kepala.
“Tak boleh. Angah pergi belajar. Kalau tak pun,
pergi tolong adik belajar. Asyik nak bergosip je budak ni.
Mengalahkan CNN! Dah, pergi keluar.”
Iman mencemik. Namun arahan si ibu tidak berani
dibantah. Kuat kaki yang menghentak dalam setiap langkah
yang diatur keluar dari bilik Azzahra. Pintu ditutup rapat.
“Ada apa, mak?” soal Azzahra sebaik saja Puan
Sakinah melabuhkan punggung di birai katil.
Puan Sakinah menatap wajah anaknya dalam-dalam.
“Kak long... baru-baru ni, mak long ada tanya mak.
Errrr... kak long masih berharapkan Abang Farouk ke?”
Azzahra tersenyum hambar.
“Kenapa mak long tanya pada mak, tak tanya pada
kak long sendiri?” Azzahra berbalas soal.
“Yalah... kak long asyik mengelat je sejak Abang
Farouk balik Malaysia. Sebelum ni, kak long selalu jugak
ziarah mak long. Tapi sejak Abang Farouk balik, kak long
tak pergi pun ke rumah mak long. Padahal, Abang Farouk
bukannya tinggal serumah dengan mak long pun. Mak long
risaukan kak long.”
Azzahra terharu. Sedar betapa mak longnya itu amat
menyayangi dirinya.
“Tipulah kalau kak long sikit pun tak rasa apa-apa.
Tapi kak long dah tak berharap pada dialah mak. Kak long
yang perasan sorang-sorang selama ni. Dah lama kak long
tahu yang Abang Farouk tu tak suka kat kak long, tapi kak
long ni yang degil. Bila Abang Farouk dah ada girlfriend pun,
kak long masih menipu diri sendiri, konon suatu hari nanti
Abang Farouk akan suka jugak dengan kak long.” Azzahra
tunduk seketika. Tidak mampu melihat sorotan mata ibunya
yang penuh dengan riak simpati.
“Kak long minta maaf kalau perangai kak long dulu
malukan mak dan ayah.” Lirih suara Azzahra.
Puan Sakinah melabuhkan tangan di atas paha
anaknya.
“Kak long... kak long budak lagi masa tu. Kita orang
semua tak fikir apa-apa pun. Tahu yang perasaan kak long
ni takkan kekal lama. Mak long dengan pak long sayang
sangat pada kak long. Diaorang kalau boleh, tak nak kak long
jauhkan diri daripada diaorang hanya sebab Abang Farouk
dah balik.”
“Mak...” seru Azzahra perlahan. “Sebenarnya...
sebenarnya kak long segan kalau Abang Farouk ada. Kak long
akan teringat balik semua benda yang kak long pernah buat
untuk tarik perhatian Abang Farouk dulu. Macam-macam
kak long pernah buat dulu. Kak long malu, mak.”
“Kak long lupakanlah semua yang dulu tu. Kak long
buat biasa je,” saran Puan Sakinah.
Azzahra menggigit bibir. “Bukan mudah, mak...”
“Mak tahu... tapi kita semua satu keluarga, kak long.
Dahlah duduk dekat-dekat pulak tu. Pi mai pi mai tang tu
jugak! Sampai bila kak long nak cuba elakkan diri daripada
berjumpa dengan Abang Farouk tu? Esok-esok akan berlaga
bahu jugak.”
Azzahra terdiam. Bibir digigit kuat. Sedar ibunya
berkata yang benar.
“Kak long fikir apa yang mak cakap ni ya? Lagi kak
long jauhkan diri, lagi kak long akan rasa kekok nanti. Buat
macam mak cakap. Buat biasa je bila Abang Farouk ada.”
“Tapi kalau Abang Man dengan Abang Is usik-usik
atau sindir-sindir kak long macam mana? Macam mak tak
tahu diaorang tu kaki menyakat!” soal Azzahra bertanyakan
tentang adik-adik Farouk, yakni Lokman dan Haris.
“Alah, kak long buat pekak je. Lama-lama senyaplah
diaorang tu.”
Azzahra mengeluh.
“Kak long tak tahu sama ada kak long boleh buat
biasa je depan Abang Farouk nanti.”
Tangan ibunya digenggam erat.
“Tapi kak long akan cuba. Cuma... selagi Abang
Farouk belum bernikah, kalau boleh kak long tak nak jumpa
dia. Tak nak dia fikir yang bukan-bukan pasal kak long.”
Puan Sakinah mengangguk. Kesian anak gadisnya.
Meletakkan cinta pada orang yang tidak sudi. Azzahra terlalu
muda, terlalu mentah walaupun fikirannya sudah agak
matang. Namun di mata Farouk, Azzahra hanya merupakan
seorang anak kecil yang terlalu mendambakan perhatiannya.
Anak kakaknya itu tidaklah terkenal dengan sifatnya yang
sabar atau lembut. Entah mengapalah Azzahra boleh terjatuh
suka dengan Farouk itu.
Semoga Azzahra benar-benar dapat melupuskan
Farouk dari hatinya, dan menganggap lelaki itu sebagai
abang sepupu sahaja.
No comments:
Post a Comment