Sudah hampir dua jam Azzahra berdiri. Hari
ini, penat yang dirasakan lebih menyengat daripada hari
sebelum-sebelum ini. Tetamu masih datang silih berganti.
Tugasnya hari ini nampaknya tidak akan selesai untuk
beberapa jam lagi.
“Ara, sakit perut lagi ke sayang?” Berkerut dahi
Liana. Risau betul dia.
“Biasalah mak ngah. Best friend datang melawat
sebulan sekali,” lembik balasan Azzahra.
“Boleh tahan tak ni? Kalau tak boleh, Ara baliklah
dulu,” ujar Liana. Sedar yang Azzahra sedang menahan sakit
yang tentunya bukan sedikit. Muka anak saudaranya itu pucat
saja.
“Tapi mak ngah... orang masih ramai ni. Takpelah.
Ara boleh tahan lagi ni. Kalau tak boleh, Ara pergi duduk
dalam van kejap lagi.”
Liana mengangguk.
“Jangan dipaksa. Kalau tak larat, Ara berhenti rehat
okey?”
“Okey, mak ngah,” akur Azzahra.
Sempat Liana menepuk perlahan pipi Azzahra
sebelum berlalu untuk memeriksa hidangan makanan yang
perlu ditambah.
“Ara, air teh tarik dah nak dekat habis. Tolong bancuh
batch baru.” Suara Naim tiba-tiba mencelah dari arah kanan.
“Eh! Kau okey ke tak ni? Kenapa aku tengok kau macam tak
sihat je?” soal Naim.
Azzahra memaksa senyuman di bibir melihat Naim
yang berkemeja putih, berseluar hitam, juga dengan rompi
hitam sambil memegang dulang bulat di tangan. Uniform
yang dikenakan Naim, hampir sama dengan yang tersarung
di tubuhnya. Yang lainnya, Azzahra berskirt hitam.
“Aku penat sikit, tapi boleh lagi ni. Kejap, aku pergi
bancuh,” balas Azzahra.
“Kau jangan nak kelentong aku! Kau senggugut
ya?” Sudah terlalu biasa Naim dengan sakit Azzahra yang
bertandang sebulan sekali ini. Yalah, nama pun sahabat kan?
Mestilah dia tahu semuanya tentang Azzahra. Kalau tidak
sepenuhnya pun, 96 peratus tentang Azzahra sudah berada
dalam genggamannya.
Azzahra mengangguk lemah. Sedar yang dia tidak
dapat melindungi kesakitannya daripada pengetahuan Naim.
“Kau jangan risau. Aku okey.”
“Ya ke ni? Kalau macam tu, aku pergi kemas meja
dulu. Apa-apa kau panggil aku tau,” pesan Naim yang
menawarkan diri untuk menjadi seorang daripada tenaga
pekerja Liana di majlis rumah terbuka hari ini.
Ligat tangan Azzahra membancuh air teh tarik.
Beberapa kali dia menuang air ke dalam bekas tong minuman.
Rasa yang mencucuk di bahagian perut dan pinggang ditahan
semampu boleh. Namun wajah yang berkerut sesekali hadir,
tidak bisa diselindung.
Daripada kejauhan, sepasang mata hampir tidak
percaya melihat gerangan gadis yang sedang tekun bekerja
di suatu sudut laman rumah banglo milik keluarga temannya
ini. Sudah lima belas minit dia tiba di majlis rumah terbuka
ini, baru kini dia perasan akan kelibat gadis itu. Zayn pasti
Azzahra bertugas membantu mak ciknya, seperti yang
dilakukannya sebelum ini.
Dan tatkala dia melihat figura si anak saudara
mendekati gadis itu dan berbual seketika, dahinya berkerut.
Di mana ada Azzahra, di situ ada Naim, nampak gayanya.
Mengesahkan lagi telahannya yang mereka berdua itu
sememangnya mempunyai hubungan hati.
“Zayn, kau tengok apa tu?” soal Rashid sambil
mata cuba mengikut arah mata milik Zayn. “Kau kenal ke
perempuan tu? Boleh tahan comel, kan? Aku daripada tadi
duk usyar dia.”
Zayn berpaling. Keningnya terjongket sebelah.
“Muda sangatlah, Shade. Takkan dengan student pun
kau nak try?” sindir Zayn.
Rashid ketawa.
“Yang mudalah best, Zayn. Chances budak tu dara
lagi tinggi,” bisik Rashid dekat di telinga Zayn agar tidak bisa
ditangkap teman-teman semeja lain.
Entah mengapa, rumusan yang dilakukan oleh
Rashid amat menjengkelkan hatinya. Bahagian lehernya
tiba-tiba terasa panas. Dia memilih untuk tidak membalas
sambil membetulkan kolar kemejanya.
“Mana kau tahu dia student?” soal Rashid ingin tahu.
“Dia satu uni dengan anak saudara aku,” balas Zayn
dengan nada malas.
Rashid kembali mengarahkan mata ke objek yang
sedang diperbualkan.
“Papa selalu guna khidmat katering yang sama, tapi
ni kali pertama aku tengok budak tu kerja. Sebelum ni, tak
pernah nampak.”
Zayn masih diam.
“Eh, pak cu?”
Zayn berpaling. Dia tersenyum.
“Pak cu ada kat sini?” soal Naim dengan nada teruja.
“Haah. Ni rumah kawan pak cu.” Zayn memandang
ke arah temannya. “Shade, inilah anak saudara aku. Naim
namanya.”
Rashid menghulurkan tangan ke arah Naim.
Bersambut.
“Kerja dengan katering ni ke?”
“Part time je... tolong kawan,” balas Naim.
“Oh...”
“Errr... pak cu, abang pergi buat kerja dululah.
Banyak meja nak kena kemas.” Naim meminta diri.
“Okey,” balas Zayn.
“Aku nak minumlah kejap. Tiba-tiba dahaga pulak,”
Rashid bersuara. Dia bangun dari kerusi dan hala tuju kakinya
tidak lain menuju ke arah Azzahra.
“Cik adik, tuangkan abang teh tarik satu,” pinta
Rashid dengan suara yang sengaja dilembutkan.
Azzahra menongkat wajah. Wajah tampan lelaki
yang dikenali sebagai anak tuan rumah menyapa pandangan
mata.
‘Abang? Gelinya anak tekak aku!’ getus Azzahra di
dalam hati. Namun, tangan tetap menurut kemahuan si anak
tuan rumah.
“Aku pun nak.” Tiba-tiba saja suara Zayn mencelah.
Mata tidak lari dari wajah Azzahra. ‘Eh! Kenapa muka dia
pucat semacam je aku tengok ek?’
Membulat mata Azzahra seketika melihat Zayn di
depan mata. Tapi hanya seketika sebelum tangan mencapai
gelas kosong di atas meja. ‘Hailah... patutnya nak air kena
layan diri sendiri. Ni aku pulak jadi tukang ambik air,’ ngomel
Azzahra di dalam hati.
“Cik adik ni nama apa, ya?” Rashid masuk ke gear
satu.
“Ara,” balas Azzahra dengan mata yang masih
direndahkan ke arah gelas yang sedang menadah air.
“Sedapnya nama,” puji Rashid. “Nama abang, Shade.
Abang berkawan dengan Zayn ni. Ara kenal Zayn kan?”
Azzahra mengangguk sekali. Gelas dihulur ke tangan
Zayn.
“Baik-baik, pak cik. Air ni panas,” pesan Azzahra.
Zayn mengangguk. Rashid cuba menahan tawa
sebaik mendengar gadis di sebelahnya memanggil Zayn
dengan gelaran ‘pak cik’.
Melihat Rashid dan Zayn yang masih tidak berganjak,
Azzahra bertanya lagi.
“Pak cik-pak cik ni nak apa-apa lagi ke? Saya boleh
tolong ambilkan.” Sopan lakunya.
Masam terus muka Rashid. Macam tercekik cuka
saja. Pak cik? Cis!
Zayn menyembunyikan senyuman. Entah mengapa,
layanan acuh tidak acuh daripada Azzahra terhadap
Rashid menyenangkan hatinya. Tapi kenapa pula dia perlu
rasa senang? Errr... tentu saja kerana gadis itu menjaga
hubungannya dengan Naim. Tiada sebab lain!
“Takpe... nanti abang ambik sendiri,” jeling Rashid
sambil berlalu.
“Pak cik, nak apa-apa ke?” soal Azzahra kepada Zayn
pula.
“Kau kenapa? Sakit ke?” Zayn membalas soalan
Azzahra dengan dua soalan lain.
Azzahra tersenyum tawar.
“Saya okey. Kalau takde apa-apa, saya nak tolong
Naim kemas meja ya,” pinta Azzahra ingin berlalu.
Zayn melihat Azzahra menyusun langkah yang lemah
ke arah meja-meja yang perlu dikemas. Tangan gadis itu
kelihatan meramas bahagian tepi pinggang sendiri sebelum
menyambut huluran dulang kosong daripada seorang pekerja
katering yang lain. Zayn kembali ke mejanya. Konon tidak
mahu memikirkan tentang gadis itu lagi.
Sekali-sekala Zayn tidak dapat menahan mata
daripada mencari kelibat Azzahra. Kadang-kadang
gadis itu berpaut pada kerusi. Kadang-kadang Azzahra
membongkokkan diri seolah-olah mahu mengambil sesuatu
dari atas lantai. Tangan sering meramas pinggang. Naim pula,
sering ke sisi gadis itu dan setiap kali Naim berkata sesuatu,
Azzahra akan menggelengkan kepalanya.
Sudah sejam Zayn meluangkan masa di majlis
rumah terbuka keluarga temannya, Rashid. Cadangnya awal
tadi mahu singgah sekejap saja. Datang, tunjuk muka, makan,
dan blah. Tapi hingga kini, dia masih tidak berganjak-ganjak
lagi.
Berkerut dahi Zayn melihat Naim yang tiba-tiba
memaut lengan Azzahra. Spontan kerusinya ditolak ke
belakang. Laju kakinya berjalan. Sedang dia menghampiri
tempat dirinya Naim serta Azzahra, seorang wanita terlebih
dahulu meluru ke arah mereka berdua. Wanita itu merangkul
bahu Azzahra.
“Ara...” seru wanita itu dengan nada yang jelas
bimbang. “Ara balik dulu ya, sayang. Jangan paksa diri.”
“Kenapa ni?” Zayn pula menyoal.
“Pak cu, pak cu boleh tolong hantar Ara balik tak?”
pinta Naim.
“Eh, takpe, takpe,” celah Azzahra. “Aku okey.”
“Kau jangan degil, boleh tak?” marah Naim dengan
suara yang tertahan. Tidak mahu menarik perhatian para
jemputan yang masih ramai di sekeliling mereka. “Kalau aku
takde tadi, sah-sah kau dah tumbang kat sini. Tu pun kau nak
berdalih lagi?”
Azzahra diam. Tidak dapat menangkis kata-kata
Naim.
Liana mengerling ke arah lelaki yang dipanggil pak
cu oleh Naim tadi.
“Errr... Ara kenal ke dengan encik ni?”
“Mak ngah,” celah Naim. “Ni pak cik saya.”
“Oh... Kalau tak susahkan encik, boleh encik tolong
hantar anak saudara saya ni balik tak? Dia tak berapa sihat,”
soal Liana penuh sopan.
Zayn mengangguk tanpa banyak soal.
“Tapi mak ngah... mak ngah kan tak cukup
kakitangan. Takpe ke?” Azzahra masih cuba membantah.
“Tetamu masih ramai lagi ni.”
“Ara jangan risau, sayang. Kita orang boleh handle.”
Liana cuba meyakinkan anak saudaranya.
“Betul, Ara. Kau jangan risau. Kau balik dulu. Rehat
okey?” tambah Naim lagi.
Azzahra mengangguk.
“Terima kasih, Naim.”
Azzahra berjalan ke arah suatu sudut lalu
mengeluarkan beg selimpang dari dalam sebuah kotak.
“Mak ngah, Naim, Ara balik dulu.”
Spontan kepala Liana serta Naim mengangguk.
Azzahra berjalan dua langkah di belakang Zayn. Di
pagar utama, langkah Zayn terhenti. Azzahra mendengar
Zayn mengucapkan terima kasih kepada temannya.
“Shade, aku balik dulu. Kau sampaikan salam aku
pada parents kau ya? Tak nampak pulak diaorang kat luar
ni,” ujar Zayn.
Tangan Zayn dijabat erat.
“Okey, bro. Mungkin diaorang kat dalam rumah.”
Mata Rashid sempat menangkap kelibat Azzahra di belakang
Zayn. Hairan dia melihat gadis itu. Dah habis kerja ke?
Rasanya majlis masih belum selesai. Tetamu pun masih
datang bertali arus.
“Cik adik nak pergi mana ni?” soal Rashid. Suara
sengaja dilembutkan.
“Aku nak hantar dia balik kejap. Dia tak berapa
sihat.” Belum sempat Azzahra membuka mulut, Zayn sudah
menjawab bagi pihaknya.
“Tak sihat?” Riak Rashid berubah bimbang. Azzahra
dihampiri. “Nak abang bawak pergi klinik? Eh, buat apa
nak pergi klinik, mama abang doktor tau. Abang boleh
panggilkan.”
“Tak payah kacau mama kaulah, Shade. Aku gerak
dulu.” Lekas-lekas Zayn mencelah. “Jom!” Azzahra dikerling.
Berkerut dahi Rashid. Tidak suka dengan tingkah
temannya yang seakan ingin memotong jalannya. Ketika
Azzahra melintasinya bersama ucapan terima kasih, Rashid
mempamerkan senyuman yang paling tampan buat tatapan
Azzahra.
“Take care, ya. Jumpa lagi.”
Tajam mata Zayn melihat Azzahra membalas
senyuman Rashid walaupun senyuman yang terukir hanyalah
sebagai tanda hormat. Kaki diayun laju menuju ke kereta.
Tidak mengendahkan Azzahra yang mengikut di belakang.
“Terima kasih pak cik, tolong hantarkan saya,” ucap
Azzahra sebaik Zayn mula memandu. “Pak cik tahu rumah
saya kat mana, kan?”
“Hmmm...” balas Zayn. Mestilah tahu. Zayn yang
memandu dari Penang sebelum ini dan menghantar Azzahra
pulang.
Tiada perbualan mengisi keheningan di dalam kereta
Honda CR-V berwarna putih milik Zayn. Azzahra terlalu sakit
untuk memulakan sebarang perbualan. Matanya terpejam
sepanjang perjalanan pulang ke rumah.
“Kau nak pergi klinik tak?” soal Zayn tiba-tiba.
Mata Azzahra terbuka.
“Tak payah, pak cik. Saya dah ada ubat kat rumah.”
“Kau sakit apa sebenarnya ni?”
Azzahra menggigit bibir. Nak cakap apa ni?
“Errr... sakit perut,” ujar Azzahra akhirnya.
“Kau salah makan ke apa?”
“Errr... kat depan ni belok kiri ya.” Azzahra memilih
untuk tidak menjawab soalan lelaki di sebelahnya. “Rumah
saya yang sebelah kanan.”
Zayn mengeluh. ‘Macamlah aku tak tahu!’
“Okey, okey... dah boleh berhenti,” tutur Azzahra.
Lekas-lekas tali pinggang keledar ditanggalkan. Tali beg
disandang ke bahu. “Terima kasih,” ucap Azzahra sekali lagi.
Tanpa menunggu balasan daripada Zayn, Azzahra sudah keluar
dari perut kereta. Kaki dipaksa melangkah melepasi pintu
pagar. Kesakitan yang dirasakan semakin mencucuk-cucuk.
Dia hanya mahu melemparkan tubuhnya ke atas katil dan
tidur tanpa sebarang gangguan selama beberapa jam.
Deruman enjin kereta yang berlalu membuat
Azzahra berpaling seketika. Walaupun dia berterima kasih
kepada pak cik Naim kerana sudi menghantarnya pulang,
namun perangai lelaki itu benar-benar mengelirukan.
Nampak seperti tidak sukakannya, tapi pada masa yang sama,
lelaki itu seakan-akan bimbang akan keadaannya. Pening dia
dengan perangai Zayn!
No comments:
Post a Comment