“Kak long, barang-barang semua dah siap
kemas?” soal Encik Kadir sebelum menghirup air kopi O.
Azzahra menggigit kuih karipap sardin
kegemarannya sambil mengangguk laju. Dia menelan rakus.
“Tinggal sikit je lagi, ayah.”
“Jangan tangguh-tangguh. Esok Naim datang lepas
subuh. Elok siapkan semua barang yang nak dibawak balik ke
kampus. Takut ada yang tertinggal,” pesan Encik Kadir.
“Ya, ayah.”
“Eh, kak long tak siap lagi?” Puan Sakinah bertanya
sebaik melangkahkan kaki masuk ke dapur.
Berkerut dahi Azzahra melihat ibunya lengkap
bertudung.
“Mak nak pergi mana pulak ni?”
“Hai, kak long... takkan dah lupa kut?” sampuk si
adik bongsu. Nurul juga lengkap berpakaian dan bertudung.
Dia menarik kerusi di sebelah kakaknya. “Kan mak long ajak
kita minum petang kat rumah dia hari ni.”
Gulp! Sungguh! Azzahra tidak ingat langsung akan
jemputan daripada mak longnya. Kalau dia tahu, sudah pasti
dia tiada di rumah ketika ini. Kepala ligat memikirkan alasan
untuk tidak turut serta bersama ahli keluarga yang lain.
“Hah! Jangan tak pergi pulak,” ujar Puan Sakinah
sedikit keras. “Kak long mesti ikut, sebab esok kak long dah
nak balik ke kampus.” Tahu saja Puan Sakinah apa yang
berputar di kepala anaknya itu. Tengok riak muka pun dia
sudah boleh agak.
“Ala... mak, kak long ada barang lagi yang tak kemas.
Lagipun kak long dah kenyang ni. Malaslah nak pergi.”
Azzahra menekur meja. Tidak berani mahu melawan pandang
mata tajam ibunya.
“Kak long, tak baik macam ni. Pergi siap. Ayah
tunggu,” Encik Kadir pula bersuara.
Azzahra menelan liur.
“Takut jumpa Abang Farouklah tu!” sindir Nurul
bersama suatu kerlingan.
“Diamlah kau!” jerkah Azzahra. Lengan adiknya
disiku kuat.
“Kak long...” suara Encik Kadir sudah berubah nada.
Nada yang selalunya akan membuat mereka tiga beradik tidak
berani membantah.
Lambat-lambat Azzahra menolak kerusi ke
belakang. Kaki dibawa naik ke atas. Teguran yang dibuat
oleh Encik Kadir tanpa susunan ayat yang berjela-jela cukup
untuk membuat Azzahra akur walaupun kemahuan diri
sendiri terpaksa diketepikan. Dia bersiap ala kadar. Memohon
kekuatan untuk melabuhkan mata pada seseorang yang
pernah bertapak di dalam hatinya.
Kekakuan Azzahra kian menghilang. Lega bukan
kepalang melihat kelibat Farouk tidak muncul-muncul
walaupun sesi minum petang di rumah mak long sudah
hampir ke penghujung. Yang ada cuma Lokman dan Haris
sahaja. Azzahra sudah bersedia untuk menadah telinga
mendengar usikan serta sindiran mereka. Namun mereka
terlalu asyik menilik telefon pintar di tangan, sehinggakan
langsung tiada adab dalam pergaulan. Penangan media sosial
yang menjadikan seseorang itu tidak peka dengan keadaan
sekeliling. Kurang ajar pun ada. Anti-sosial betul!
“La... Ara kat sini ke? Buat apa susah-susah basuh
pinggan ni? Mak long tak suruh pun,” tegur Puan Habsah
dari arah belakang. Azzahra dihampiri.
“Alah mak long, bukannya banyak pun. Sikit je lagi,”
balas Azzahra mesra.
“Dah besar dah anak dara mak long ni,” puji Puan
Habsah. Kepala Azzahra yang berbalut tudung diusap penuh
kasih. “Dulu kecil je, dengan rambut tocang dua.”
Azzahra ketawa. Tangan masih ligat membilas
pinggan mangkuk yang bersalut sabun.
“Ara dah ada buah hati ke kat sana?” usik Puan
Habsah dengan senyuman meleret. “Orang comel macam Ara
ni mesti ramai peminat kat kampus tu, kan?
“Ada ke orang nak kat pompuan macam dia ni, mak?”
Spontan dua kepala berpaling ke arah jenang pintu
dapur. Serta-merta mati wajah ceria Azzahra. Dia menelan
liur. Mata seakan terpaku melihat lelaki yang tiba-tiba
bersuara tadi. Nasib baik piring jenama Corelle di tangan
tidak terlepas begitu saja.
“Eh, abang balik? Ingatkan abang tak balik,” tegur
Puan Habsah ceria melihat kedatangan anak sulungnya. Puan
Habsah mengerling ke arah Azzahra. Wajah pucat si anak
saudara meruntun hatinya. “Apa abang cakap tadi? Tak baik
tau! Mestilah ramai yang nak kat Ara ni,” bela Puan Habsah.
Farouk membuka pintu peti ais. Bibir sinis
tersenyum melihat Azzahra yang memandangnya tanpa
berkelip. Lebih dua tahun tidak bertemu dengan sepupunya
ini, nampaknya seperti tiada yang berubah. Azzahra masih
menyimpan perasaan yang amat dalam terhadapnya. Farouk
mengeluh di dalam hati. Selama dia berada di negara asing,
hidupnya begitu aman sekali. Kembali ke Malaysia, dia perlu
menghadap semula si perigi yang tidak sudah-sudah mencari
timba miliknya ini. Penat! Rimas!
Azzahra melarikan mata. Kesedaran sudah kembali
menerpa. Mahu saja dikorek biji matanya yang jelas derhaka
kepada tuan punya badan. Kalau tangannya tidak bersabun,
pasti pipinya sudah ditampar berkali-kali. Sedaya upaya
Azzahra menahan kaki untuk tidak berlari. Lari jauh daripada
Farouk dan lidah penuh berbisa lelaki itu.
Bukan kerana hati masih mencinta... Bukan juga
kerana rindu yang suatu ketika dulu begitu payah untuk
dibuang jauh... Namun kerana rasa malu! Malu yang dulunya
tidak pernah mahu singgah di dalam hatinya ketika diri
begitu asyik mengejar impian. Impian yang ternyata sia-sia.
Kesal! Sesungguhnya Azzahra menyesal terlalu
mengikut emosi hatinya dulu. Baru kini mahu berasa malu?
Rasa segan? Sudah terlambat, Ara! Nasihat si ibu datang
menyapa. ‘Buat biasa Ara... buat biasa. Kau boleh!’
Terlalu melayan rasa, Azzahra tidak sedar dia kini
bersendirian dengan Farouk di dapur rumah mak longnya
ini. Ke mana menghilang Puan Habsah tadi? Aduh...
Farouk bersandar di pintu peti ais. Jari-jemari
mencabut penutup tin air Coke. Mata sengaja dibiarkan
berlabuh di tubuh Azzahra. Sedar yang keheningan suasana
membuat sepupunya itu kegelisahan. Agaknya apa yang
Azzahra akan katakan demi mendapatkan perhatiannya kali
ini ya? Puji-pujian seperti selalu? Atau rengekan meminta itu
dan ini daripadanya?
“Kau buat apa sekarang?” soal Farouk tatkala
menyedari yang Azzahra tidak mahu memulakan bicara.
Pelik juga dia. Selalunya mulut Azzahra tidak pernah bisu.
Terkejut. Terangkat kecil bahu Azzahra. Dia menoleh
seketika ke arah Farouk sebelum tunduk semula.
“Errr... tengah belajar...” tergagap-gagap Azzahra
menjawab. Hati seakan terjerut pedih. Suatu waktu dahulu,
Farouk membahasakan dirinya ‘abang’ dan memanggil
namanya ‘Ara’, dengan mesra. Waktu itu sudah jauh berlalu.
Kini hanya ‘aku’ dan ‘engkau’ yang layak diterimanya daripada
Farouk.
“Kat mana?”
Sekali lagi Azzahra membuka mulut.
“Oh... kat Penang, kan?”
Azzahra mengangguk. Tidak mampu menolak rasa
hairan yang datang bertimpa-timpa. Farouk kini berbual
dengannya? Hari nak kiamat ke apa ni? Sebelum ini, pantang
mereka bertembung wajah. Farouk akan terlebih dahulu
mengangkat kaki mengalahkan kelajuan pelari pecut Usain
Bolt.
“Baguslah. Belajar dulu rajin-rajin. Jangan asyik nak
menggatal je,” sindir Farouk pedas.
Dush!!! Terasa ada tangan limunan yang menampar
kuat ke wajah. Sakit! Azzahra menggigit bibir. Tidak tahu
balasan yang perlu diberikan. Sedar yang tiada kata mampu
diluahkan demi mempertahankan dirinya. Di dalam hati, dia
mengakui diri memang layak menerima sindiran daripada
sepupunya itu. Sesungguhnya suatu ketika dahulu dia seorang
perempuan yang gatal, tidak tahu malu! Terhegeh-hegeh.
Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong!
Berkerut dahi Farouk. Gadis yang kaku berdiri di
hadapannya ini seakan-akan bukan Azzahra yang dikenalinya
dulu. Dia menghirup air Coke.
“Aku nak bertunang bulan depan,” umum
Farouk ingin menduga hati Azzahra. Yakin yang Azzahra
akan menangis dan merayunya untuk tidak meneruskan
pertunangannya, sambil memujuknya untuk mengambil
dirinya sendiri sebagai ganti.
“Haah. Ara ada dengar. Tahniah abang,” ucap
Azzahra seikhlas yang mampu. Senyuman kecil dihulurkan
kepada Farouk.
Garisan di dahi Farouk bertambah dalam. Tidak
percaya dengan kata-kata yang singgah di telinga.
Azzahra membilas pinggan yang terakhir. Tuala kecil
dicapai lalu tangan dilap perlahan.
“Ara takde bulan depan nak tengok abang bertunang.
Esok Ara akan balik ke kampus. Apa pun Ara harap semuanya
akan berjalan dengan lancar. Insya-Allah bila abang bernikah
esok, Ara balik ya?”
Azzahra menyangkut kembali tuala kecil di jeruji
tingkap di hadapan singki.
“Ara ke depan dulu. Mak mungkin dah nak balik.”
Azzahra meminta diri.
Lama Farouk tidak bereaksi walaupun Azzahra
sudah meninggalkannya berseorangan di ruang dapur ini.
Belakang tubuhnya seakan terpaku ke pintu peti ais. ‘Apa dia
cakap tadi? Aku tak salah dengar ke?’
Gadis itu bertutur tanpa air mata? Tanpa kata-kata
penuh drama? Dalam masa lebih kurang dua tahun tanpanya,
sepupunya ini boleh berubah begini sekali? Ah, tak mungkin!
Dia yakin Azzahra menyembunyikan sesuatu. Sesuatu yang
sentiasa akan membuatnya rasa jelak... rasa rimas! Mungkin
Azzahra akan mencucuk ibunya untuk menggagalkan
rancangannya untuk melangsungkan pertunangan bulan
depan. Mungkin juga Azzahra akan mencipta kisah dongeng
untuk memburukkan bakal tunangnya. Atau mungkin
Azzahra menanti saat yang sesuai untuk berbincang secara
empat mata dengannya. Tengoklah esok lusa, Azzahra tentu
akan mencarinya! Memujuk serta merayunya.
Eh, tapi esok dia dah takde! Takkan Azzahra akan
membiarkan dia bertunang dengan pilihan hatinya dengan
begitu saja? Tak logik! Benaknya tidak bisa menerima
kenyataan yang Azzahra sudah tidak lagi berpaut harap
terhadapnya. Apa yang berubah? Setahunya, dia tidak! Atau
Azzahra sudah berpaut harap pada lelaki lain? Logikkah?
No comments:
Post a Comment