Monday, 21 August 2017

Ikhlas Memilihmu- Bab 4

SATU rumah bergema dengan bunyi ketawa
seseorang. Ketika itu, Datin Roziah yang sedang memotong
timun terus meletakkan pisau. Jiwanya gusar. Kenapa ni? Ada
apa-apa yang berlaku ke?
Khuatir dengan keadaan itu, dia bergegas keluar dari
dapur. Kaki diarah untuk mencari dari mana datangnya gelak
setan macam itu.
Ruang tamu! Gelak itu datang dari sana. Siapakah
yang berada di sana?
“Ya Allah... Qis???” Terbeliak biji mata tatkala
melihat anak daranya yang berada di sana. Anaknya ke yang
gelak tadi? Sukar untuk percaya, tapi itulah hakikatnya.
“Yes, mom. Ada apa?” Qistina menyoal sambil
mengusap haiwan kesayangan yang bernama Kiki.
Kiki ialah seekor arnab betina peliharaannya,
pemberian nenek sempena hadiah hari jadinya 2 tahun
lepas. Pada mulanya, dia memang tidak suka membela Kiki
kerana dirasakan terlalu leceh. Dahlah tidak reti datang
kalau dia panggil. Membuang najis pula merata-rata. Tapi
lama-kelamaan, haiwan inilah menjadi peneman hidup
Qistina. Sekali gus penghilang rasa sunyi. Terutamanya
selepas perpisahannya dengan Iskandar. Kiki ibarat darah
daging sendiri.
“Kamu dah kenapa? Ketawa macam orang gila.
Terkejut mama, tahu tak?”
Qistina ketawa lagi. Kelakar apabila mamanya
menuduh dia kurang siuman. Boleh tahan kasar juga gurauan
mama. Tapi tak boleh salahkan juga. Mungkin mamanya
terkejut sangat.
“Ni hah... Qis tak tahan tengok cerita ni. Lawak gila.”
Qistina menjawab persoalan yang bermain dalam benak Datin
Roziah. Sudah lama dia tidak menonton filem kegemaran
sepanjang hayatnya; Baby’s Day Out. Mengisahkan tentang
telatah anak kecil yang mengenakan tiga orang lelaki yang
telah menculiknya. Ternyata, Qistinia tidak pernah bosan
dengan cerita itu walaupun sudah berulang kali menontonnya.
“Oh... patutlah.” Datin Roziah mengangguk faham.
Sudah masak dia dengan perangai darah daging sendiri.
Namun begitu, rasa curiga masih lagi bertandang dalam
kepala. “Seingat mama, dah lama kamu tak tengok cerita ni.
Tapi kenapa hari ni tiba-tiba boleh tengok pulak?”
Mana tidaknya, sejak beberapa minggu yang lalu,
Qistina bagaikan berada dalam dimensinya sendiri. Dia tidak
suka berada di rumah. Lebih suka berjalan-jalan di luar.
Hairan pula kenapa anaknya itu tiba-tiba boleh berada di
ruang tamu waktu cuti hujung minggu begini.
“Ala, mama. Sekali-sekali, takkan tak boleh kut?”
“Boleh memanglah boleh. Tapi mama cuma pelik.
Kamu dah okey ke?”
Qistina hanya tersengih. Dia faham kenapa Datin
Roziah bertanya begitu.
“Mama ni... Qis dah move onlah.”
“Kalau betul dah move on, kenapa tak masuk pejabat
lagi?”
Soalan itu hanya dibiarkan sepi oleh Qistina. Dia
sebenarnya takut. Takut bertembung dengan kenangan lalu.
Iskandar bekerja satu pejabat dengannya. Jadi bukanlah satu
keputusan bijak jika dia mengambil keputusan untuk kembali
semula bekerja.
“Qis tak boleh.”
“Kenapa? Kamu takut tergugat dengan Iskandar?”
“Dadada...” Suara anak kecil di dalam TV
mengganggu perbualan Qistina dengan Datin Roziah.
Tiba-tiba Qistina teringatkan sesuatu. Tidak
berlengah, dia meletakkan Kiki ke atas kusyen lembut di
sebelah. Kemudian tangan segera mencapai telefon bimbit
yang berada tidak jauh daripadanya. Ada sesuatu yang mahu
ditunjukkan kepada mamanya itu. Folder gambar dibuka.
Lalu disuakan kepada Datin Roziah yang duduk di sebelahnya.
“Tengok ni, comel kan baby ni?”
“Ini siapa pulak? Anak Iskandar ke?”
“Hesy mama ni... merepeklah.” Qistina tayang muka
protes. Mamanya ini tidak habis-habis nak kenakan dia. Ingat
dia rela ke jadi isteri muda? Pleaselah... hidup membujang tu
jauh lebih baik kut.
“Ni anak orang yang Qis jumpa masa kat dalam bas
hari tu.”
Datin Roziah mengangguk tanda memahami.
Sambil mata menilik dalam-dalam gambar bayi itu, akal
turut mencerna situasi apa yang sedang berlaku sekarang.
Perlahan-lahan, satu keluhan terbit dari bibirnya.
“Kamu ni biar betul Qis? Mama tak sangka taste
kamu macam ni.”
“Taste apa ni mama? Qis tak fahamlah.”
“Dulu kamu dah bercinta dengan suami orang.
Sekarang pun kamu nak ulang benda yang sama?”
Terlopong mulut Qistina. Terkejut beruk dia
mendengar Datin Roziah menuduhnya begitu. Apa mamanya
ingat dia ni spesies benak otak sangat ke?
“Hesy, mama ni... ada ke sampai ke situ. Mana ada
Qis bercinta dengan dia. Nama dia pun Qis tak tahulah. Qis
cuma main-main dengan anak dia. Aduh, mama ni... suka
sangat serkap jarang.”
“Fuh... nasib baik.” Datin Roziah menarik nafas
kelegaan. Syukurlah anaknya tidak buat kerja gila. Kalau tak,
entah apa pula kerenah Qistina hendak melenyapkan rasa
kecewanya nanti. Panjat bangunan tinggi, kemudian selfie?
Pengsan!
“Bak sini, mama tengok lagi.” Datin Roziah
mengambil telefon bimbit Qistina. Mata merenung penuh
takjub wajah polos anak kecil itu. Memang comel. Mata bulat.
Pipi gebu. Senyuman menawan terlakar di bibir mungilnya.
“Memang cute. Tapi kan...” Datin Roziah buat-buat
mengeluh pula. Sengaja ditayang wajah kecewa buat tatapan
Qistina.
“Tapi apa mama?”
“Bilalah mama dapat rasa ada cucu sendiri pula.
Hmm...” Datin Roziah seakan berkias.
Terus Qistina tarik muka masam. Inilah salah satu
sebab kenapa dia malas berkongsi apa-apa dengan mamanya.
Pantang ada peluang sikit, mesti ada benda yang nak diselit.
Agak-agaknya, semua orang tua memang macam ni ya?
Pandai betul pasang jerangkap samar.
“Mama ni... relakslah sikit. Kan mama dah ada Farisha
dan Firash tu.” Firash dan Farisha itu ialah anak saudaranya.
Anak kepada Qayyum. Satu-satunya abang kesayangan yang
dia ada. Farisha merupakan anak sulung. Berumur 8 tahun.
Beza 2 tahun daripada adiknya yang lelaki itu.
“Itu anak Qayyum. Mama nak juga merasa cucu
daripada kamu, Qis.”
“Ala mama ni... Qis muda lagilah. Lagipun banyak
benda lagi yang Qis nak buat selain buat anak.” Qistina
memangkah.
Datin Roziah menyeringai. Terasa macam pelik
pula apabila mendengar alasan begitu keluar daripada mulut
Qistina.
“Ke kamu masih nak tunggu Iskandar?” Giliran
Datin Roziah membidas.
“Tolonglah mama. Qis dah lupakan dialah.”
“Ya ke? Mama tak...” Belum sempat Datin Roziah
menghabiskan ayat, Qistina segera memintas.
“Dahlah mama. Qis nak tengok cerita ni. Tengok,
banyak dah terlepas. Apa kata mama pergi dapur sekarang,
sambung masak. Mama kata nak buat laksa Penang hari ni,
kan? Cepatlah. Qis dah tak sabar nak makan. Mesti sedap
gila.” Qistina cuba mengalihkan perhatian Datin Roziah.
Ternyata tindakannya itu berjaya. Datin Roziah terus
terlupa akan topik perbincangan tadi. Dia memang pantang
jika anak-anak dan suami memuji masakannya. Baginya itu
adalah satu kepuasan yang paling nikmat.
“Yalah. Mama terlupalah. Okey, mama masak
sekarang. Nanti kita makan sama-sama.”
“Ya mama. Thank you so much. I love you so much,
mom.”
“Yalah tu...” Datin Roziah mengusik seraya mencuit
manja hidung Qistina sebelum dia bangun untuk menuju ke
dapur.
Sejenak, Qistina hanya termenung melihat bayi
yang sedang beraksi di televisyen. Namun begitu, fokusnya
langsung tiada di situ. Kepala seolah-olah menerawang
memikirkan perkara lain yang dirasakan lebih menarik
perhatian. Tanpa sedar, tangan spontan menggagau telefon
miliknya tadi. Perlahan-lahan, meleret senyuman di bibirnya
jua.
“Comelnya...” Qistina memuji geram tatkala
melihat wajah anak kecil yang ada iras-iras anak Che Ta yang
terpampang di skrin telefon. Tiba-tiba saja hatinya menjadi
rindu. Rindu dengan gelak tawa dan senyuman anak kecil itu.

HARIS TERPERANJAT. Ilai ketawa Alya yang sedang berada
di dukungan dengan kepala di bahunya membuatkan dia
kehairanan. Lalu cepat-cepat Alya dibawa ke hadapan untuk
dilihat. Bimbang jika ada apa-apa perkara yang tidak diingini
sedang berlaku kepada buah hati kesayangannya itu.
“Eh, kenapa ni?” Haris menyoal. Air liur Alya yang
berjejeran dikesat dengan sapu tangan.
Sudah tentulah Alya tidak mampu menjawab soalan
itu. Namun apabila tangan Alya yang seolah-olah cuba
menggapai sesuatu di belakang, ia bagaikan memberi satu
petanda.
Berasa ingin tahu, Haris cuba berpaling ke belakang.
Terpampang dalam anak matanya sekarang kelibat seorang
gadis. Kelihatannya dia sedang memandang ke arah luar
cermin.
“Nakal anak ayah ni. Tengok apa sampai boleh
gelak-gelak ni?” Haris cuba berkomunikasi dengan Alya.
Geram punya pasal, dia menggeletek Alya sehingga anak itu
kegelian. Bertambah kuat ilai tawa Alya.
Puas bermain, Haris meletakkan Alya di dukungan
semula. Wajah Alya sudah menghadap ke arah belakang,
memandang wajah Qistina yang seakan curi-curi mengintai
keadaan.
Setelah memastikan semuanya selamat, Qistina
merenung tepat ke arah mata Alya. Mereka berbalas
pandangan buat seketika sebelum Qistina akhirnya
menjulingkan kedua-dua belah matanya. Kesudahannya, Alya
mengekek lagi.
Haris yang tidak tahu dengan apa yang sedang
berlaku hanya menjongketkan bahunya. Fikirnya, mungkin
Alya terlalu gembira hari ni sampaikan boleh ketawa sesuka
hati.

No comments:

Post a Comment