“AWAL balik hari ni?” Puan Aidah menegur
apabila melihat kemunculan Haris di ruang tamu. Selalunya,
anaknya itu akan sampai sekitar pukul 6 lebih. Tapi hari ini,
pukul 5 sudah terpacak depan TV. Bukan menonton sangat
pun. Tapi sekadar menghilangkan rasa penat setelah seharian
bekerja.
“Haah mak. Bos bagi balik awal. Kebetulan tak ada
kerja.” Haris menjelaskan. “Alya mana mak?”
“Dia baru aje keluar dengan Rafiq. Agaknya pergi
main kat bawah.” Puan Aidah memberitahu.
Itulah rutin Rafiq jika dia ada kelapangan atau
tiada latihan bola sepak di sekolah. Pasti dia akan membawa
Alya keluar bermain di taman permainan. Rafiq sangat
menyayangi anak buahnya itu. Seboleh-bolehnya, dia cuba
menggembirakan hati anak kecil yang belum tahu apa-apa
itu.
“Ohhh...”
Baru saja Puan Aidah hendak berbual lagi, tiba-tiba
telinganya disapa dengan salam yang datang dari arah luar
rumah. Spontan suaranya bergabung dengan suara Haris
untuk menjawab salam yang diberikan itu. Kaki sudah diatur
menuju ke muka pintu.
“Eh kamu, Gayah.”
Gayah hanya tersengih. Di tangannya turut terdapat
sepinggan kuih. Sengaja dia datang selepas ternampak anak
lelaki Puan Aidah sudah pulang. Dia bukannya apa, pesanan
anak kesayangan haruslah diturutkan. Kalau tidak, melenting
sakan si Norli itu nanti.
Belum sempat Puan Aidah menjemput masuk,
wanita itu terlebih dahulu meluru ke arah ruang tamu.
Tangan menghulur kuih donat dan karipap hasil air tangan
anaknya kepada Haris.
Terpinga-pinga Haris dibuatnya.
“Nah. Ini Norli kasi. Khas buat kamu.”
“Oh, ya ke? Terima kasih.”
“Sama-sama.”
Gayah tersengih lagi. Bangga dengan pencapaian
anak sendiri. Memanglah kalau diikutkan, kelim karipap
itu tidak berapa menjadi. Sekali tengok, macam budak 3
tahun punya kerja. Tapi sekurang-kurangnya, anaknya dah
berusaha. Jadi, tak salah kiranya Haris memuji hasil air
tangan anaknya.
Norli; sebenarnya gadis itu memang sudah lama
menaruh hati terhadap Haris. Tak silap, sejak zaman sekolah
rendah lagi. Banyak kali dia meluahkan isi hati kepada Haris,
tapi lelaki itu hanya mampu menolak secara baik. Bukannya
memilih, cuma cinta itu memang tidak dapat dipaksa.
Namun begitu, sejurus saja Haris berkahwin dengan
Lina, Norli terus patah hati. Berhari-hari dia tak makan kerana
terlalu sedih. Sampai Gayah pun naik runsing melihatkan
kekecewaan yang sedang ditanggung anaknya itu.
“Lama saya tak tengok Norli tu. Dia kerja, kan?”
“Haah. Kerja kilang. Biasalah... kalau dia buat OT tu,
malam nanti baru balik.”
“Oh...”
Ketika itu, Puan Aidah tidak terus menyertai
perbualan antara Haris dan Gayah. Sebaliknya dia terus
menuju ke dapur kerana ingin membuat air. Ikutkan hati,
malas dia nak buat. Tapi rasa tak manislah pula. Tetamu
datang kan membawa rezeki.
Puan Aidah bukannya apa. Sudah lama sangat dia
berjiran dengan wanita itu. Sudah masak betul dengan hati
budi Gayah. Mulut kata lain, tapi hati kata lain. Pepatah
Melayu kata talam dua muka. Hah, itulah Gayah.
Masih segar dalam ingatan, sewaktu bekas
menantunya balik ke rumah ini dulu. Masa itu Gayah datang.
Pelbagai cerita dicanangnya.
“Kamu nak tahu sesuatu tak? Mak cik ni dah kenal
sangat dengan Haris tu. Dulu, dia ni jenis kaki motor. Apa
orang kata, mat rempit. Selalu sangat dia balik lewat malam.
Mak cik rasalah, dia tu ada buat kerja luar kut.”
“Apa maksud mak cik?” Ketika itu, Lina yang masih
tidak tahu apa-apa cuba bertanya. Berubah juga air mukanya
ketika itu. Yalah, baru seminggu berkahwin, mendengar
cerita yang entah apa-apa pula daripada jiran sebelah rumah.
Sedikit sebanyak, tergugat juga perasaannya.
“Mak cik rasa, dia tu ada join lumba haram.
Faham-fahamlah, mana ada mat rempit baik atas muka bumi
ni. Semuanya menyusahkan orang. Yang meragut semua tu,
semua kaki rempit. Tak pun mat gian.”
Terbeliak terus mata Lina. Rasa nak tercabut jantung
dari tangkai. Mujurlah dia ini jenis yang tidak cepat melatah.
Lagipun, dia lebih mengenali Haris. Masakan lelaki itu mat
rempit. Naik motor pun siap pakai vest kuning. Tak ada makna
mat rempit nak ambil pendekatan tak masuk akal macam itu.
“Taklah mak cik. Sebenarnya Abang Haris tu dia ada
buat kerja part-time kat 7E. Saja nak cari duit lebih. Saya
sendiri pernah pergi ke tempat kerja dia.” Lina menjelaskan
hal yang sebenarnya.
Tatkala itu, air muka Gayah terus berubah. Dia yang
sedang malu, terus buat-buat tergelak lalu mengalih topik
perbualan.
Puan Aidah mendapat tahu tentang kelakuan sebenar
Gayah pun selepas Lina berkongsi cerita dengannya.
“Mak, ooo mak.”
Suara Haris yang memanggil menyentak lamunan
Puan Aidah yang sedang leka mengacau air. Cepat-cepat dia
mengambil gelas lalu bergerak ke hadapan. Dulang berisi
sejag air sirap dan 2 biji gelas diletakkan di hadapan anaknya
dan tetamu yang hadir.
“Maaflah Gayah. Hanya ni yang aku mampu siapkan
untuk kau.” Puan Aidah memberitahu, jujur.
Gayah mengangguk dengan air muka yang tak
dapat digambarkan. Adalah tu yang dia tidak puas hati. Ah,
pedulikanlah. Jangan dilayan kerenah orang macam ini, buat
sakit hati saja.
“Oh, ya Haris. Lupa mak cik nak cakap. Si Norli tu
kirim salam kat kamu.”
“Waalaikumussalam.”
“Esok dia cuti tau.”
“Oh, ya ke? Baguslah. Kerja tak boleh kuat sangat.
Nanti stres otak.” Haris hanya mengingatkan. Baginya, kalau
lelaki bekerja kuat tidak mengapa, sebab kudrat lelaki kan
berbeza dengan kudrat wanita yang tidak seberapa. Tersilap
cara, boleh jadikan wanita itu lebih cepat tua.
“Hehehe... ambil berat jugak ya kamu pasal dia.”
Gayah hanya tersengih. “Memandangkan dia cuti esok, apa
kata kamu ajak dia keluar makan sama? Kamu pun dah
bergelar duda sekarang ni. Jadi tak salah kan kalau kamu
dating dengan dia?”
Haris tersenyum mendengar saranan itu. Tak sangka,
rupa-rupanya Norli masih menaruh hati lagi terhadapnya.
Kalaulah dia mampu membalas, sudah lama dipaksa hatinya
untuk menerima gadis itu. Masalahnya, dia tidak mampu.
“Tak boleh, mak cik. Esok saya ada kerja.”
“Ah, kamu ni... ada aje alasan kamu tu. Mak cik tak
tahulah nak cakap apa lagi. Anak mak cik tu bukan main baik
budaknya. Itulah, dulu mak cik nak jodohkan kamu dengan
Norli, kamu tak nak. Tup-tup kamu nikah dengan orang lain.
So sekarang ni, mananya kebahagiaan kamu? Mana isteri
yang kamu duk puja tu? Dia ada datang nak rujuk? Tak ada,
kan? Sudah-sudahlah Haris. Kita ni kena ukur baju di badan
sendiri. Kau tu sesuai dengan anak aku aje.” Gayah yang
sudah lama sakit hati segera menghamburkan rasa tidak puas
hatinya. Ikutkan hati, dia mahu membebel lagi. Yalah, geram
dengan sikap Haris. Dah ada yang depan mata, masih cari
yang jauh buat apa? Kalaulah dia bernikah dengan Norli, kan
senang. Confirm takkan bercerai punyalah.
Tatkala itu, Puan Aidah perasan perubahan pada
air muka Haris. Wajah anaknya itu jelas kelihatan sedih.
Bimbang emosi Haris terganggu, cepat-cepat dia mencari
jalan untuk mengusir jirannya itu.
“Eh Gayah, kau ada bau sesuatu tak? Aku ada bau
benda hangitlah. Macam datang dari rumah kau aje.”
Terbeliak mata Gayah. Tanpa berfikir panjang,
dia yang panik terus berlari menuju ke rumahnya. Seraya
itu juga, Puan Aidah bingkas bangkit lalu menutup pintu
rumahnya rapat-rapat. Siap diselaknya lagi biar ‘syaitan’
bertanduk itu tidak masuk semula.
“Ala Haris, pedulikanlah Mak Cik Gayah tu. Kamu
takkan tak tahu perangai dia tu...”
Bibir Haris mengukir senyuman secalit. Tidak lama
kemudian, dia termenung pula memikirkan apa yang telah
berlaku dalam hidupnya.
No comments:
Post a Comment