Thursday, 23 November 2017

Cinta Zara - Bab 10

“BILA kita keluar dari rumah ini, kita dah tak
boleh patah balik. Aku nak tanya sekali lagi. Betul ke kau nak
keluar dari tanah semenanjung ni?” tanya Maria. Untuk kali
ke berapa Maria mengulang soalannya. Bimbang jika sahabat
baiknya itu tidak cukup waras semasa membuat keputusan.
Zara menarik nafas dalam-dalam. Dipandangnya beg
yang tersusun rapi di depan pintu. Dia tahu Maria risau akan
keputusannya, namun itulah yang sebaiknya dia lakukan.
Meninggalkan tempat kelahirannya bersama kenangan
pahit yang dia lalui. Berharap agar tempat baharu dapat
memberikannya ruang untuk bernafas.
“Aku serius Mar... Aku memang nak keluar dari
sini...” Dan untuk ke berapa kali Zara menjawab dengan
jawapan yang sama. Maria mengangguk puas hati.
“Pak cik boleh angkat beg sekarang... Tuan punya
badan dah serius nak lari ni.” Maria cuba bergurau dengan
pakcik teksi. Hampir setengah jam Maria melewatkan
perjalanan mereka semata-mata mahukan kepastian. Pak cik
teksi pun terheret sama menunggu.
Zara memandang rumah sewa mereka buat kali
terakhir. Dia dan Maria menghuni rumah itu sejak mereka
tamat persekolahan. Mereka berkenalan semasa di rumah
anak yatim. Maria masih mempunyai saudara-mara namun
semuanya tidak mampu untuk menjaga Maria. Zara pula
memang mahu tinggal di rumah anak yatim. Pelawaan
Tan Sri Amir untuk dia terus menetap di rumah orang gaji
ditolaknya. Tidak mahu terhutang budi.
“Aku harap lepas kita sampai sana nanti kita
sama-sama mulakan hidup baru. Kau kena usaha lebih kuat
untuk lupakan Ammar. Janji dengan aku kau akan lupakan
dia...” Maria bersuara penuh harapan.
“Insya-Allah Mar... aku tak akan sia-siakan
pengorbanan kau. Kaulah saudara aku dunia akhirat...”
Zara senyum. Besar sungguh pengorbanan sahabatnya itu.
Sanggup berhenti kerja demi untuk menemaninya.
Selepas lebih 2 jam dalam perut teksi, mereka berdua
tiba di KLIA. Kali pertama menjejakkan kaki ke lapangan
terbang dan kali pertama juga mereka berdua menaiki kapal
terbang. Perasaan Zara bercampur baur. Gembira dan juga
sedih. Gembira untuk merasa pengalaman baharu dan sedih
kerana akan meninggalkan tempat kelahirannya.
‘Saya menjemput semua kawan-kawan FB saya untuk
menghadiri majlis perkahwinan saya...’ Zara tidak sanggup
lagi membaca ayat seterusnya. Dia meletakkan tablet di atas
meja. Buat masa ini memang dia tak akan dapat menunaikan
janjinya kepada Maria. Cintanya terhadap Ammar masih kuat.
Bayang Ammar masih menghantuinya.
“Kenapa...” Maria lihat mata Zara mula berkaca.
Kalau dah berkaca pasti sebab Ammar. Tapi Ammar sudah tak
boleh menghubungi mereka dari minggu lepas. Zara sudah
pun mematahkan kad simnya. Begitu juga dia. Tidak mahu
Ammar terus menghubungi mereka.
“Dia... Ammar dan Karina nikah hari ini...” Zara
gagal mengawal sebaknya. Air matanya menitik satu per satu.
Maria kelihatan tenang.
“Maafkan aku Zara. Aku dah lama tahu pasal benda
ni tapi tak berani nak beritahu kau. Sejak minggu lepas lagi
berita pasal pernikahan Ammar dengan Karina keluar paper
dan majalah. Aku tak sampai hati nak...”
“Aku faham Mar... Aku tak salahkan kau pun. Memang
tujuan Ammar ceraikan aku sebab nak kahwin dengan Karina
kan. Aku tak sepatutnya sedih sebab dah lama tahu benda ni
akan jadi. Tapi aku... aku... aku cintakan dia. Aku tak sanggup
kehilangan dia.” Zara menghamburkan tangisan. Dia tak
peduli pandangan orang sekelilingnya.
“Zara aku faham perasaan kau. Tapi kau juga yang
nak lepaskan dia. Sekarang kau kena lepaskan dia pergi.
Lupakan dia. Jangan kau bazirkan air mata untuk dia.” Maria
cuba memujuk Zara. Dia faham kalau Zara betul-betul sedih
dengan berita perkahwinan bekas suaminya itu. Lelaki yang
dicintai akan menjadi milik orang lain.
“Aku...”
“Bukan mudah untuk melepaskan orang yang kita
cinta pergi. Semoga kat tempat baru nanti kau akan dapat
semangat baru. Apa kata kau ‘unfriend’ dia. Kau padam akaun
kau. Lepas ni kau tak perlu lagi ambil tau hal dia.”
Zara mengikut saranan Maria. Dia tekan butang
‘unfriend’. Seterusnya deactivate akaun sendiri. Dia harus
tunaikan janjinya kepada diri sendiri. Tabahkan hati dan
lupakan Ammar.

“ZARA... KAU okey ke?”
Maria melihat air mata Zara mengalir. Menyesal dia
membeli majalah Mingguan Wanita tadi. Kononnya untuk
buat bacaan dalam flight. Tak tahu pula ada artikel mengenai
persiapan perkahwinan Karina dan Ammar. Sudahnya Zara
kembali berendam air mata.
“Sudahlah... Muka kau jadi hodoh, merah macam
udang kena bakar...”
“Dia nampak gembira sangat... Senyuman dia
memang boleh buat orang jatuh hati. Aku rindukan dia...”
Zara merenung gambar Ammar yang sedang tersenyum
sambil mencuba baju Melayu warna putih. Serta-merta dia
teringatkan majlis pernikahannya dengan Ammar.
Air mata Zara mengalir lagi. Rindu terhadap
Ammar memang susah untuk pergi. Kalaulah Ammar
melayannya dengan buruk sudah tentu dia tak perlu
menangis rindu sebegitu. Ibarat cerita dalam novel, kahwin
paksa... permulaannya buruk akhirnya bahagia. Dia terbalik,
permulaan yang sangat indah namun pengakhirannya sangat
buruk. Sehinggakan dia hampir hilang keyakinan untuk
hidup.
“Kau dah janji nak lupakan dia kan...” Maria
mengingatkan Zara. Tak mahu kawannya terus hanyut dalam
kesedihan.
“Aku pegang janji aku Mar... Tak guna aku rindukan
dia sedangkan dia gembira dengan Karina. Tapi bagi aku
masa. Cinta dalam hati aku ni tak mudah untuk dibuang.”
Melihat wajah gembira Ammar dalam majalah, dia
yakin yang Ammar telah menemui cinta sejatinya. Ammar dan
Karina sama cantik, sama padan, ibarat pinang dibelah dua.
Dia berdoa agar Ammar diberi kebahagiaan berpanjangan.
Zara menyimpan majalah dalam beg. Dia memandang
ke luar tingkap. Nampak lautan yang membiru. Saat ini dia
tahu yang dia tidak boleh berpatah balik. Bumi semenanjung
telah ditinggalkan. Begitu juga Ammar dan juga kenangan
pahit yang mahu dilupakannya. Selamat tinggal semuanya.
Andai ada izin Allah dia akan kembali suatu hari nanti sebagai
Zara yang baru.

“I JANJI I akan jadi isteri yang baik. Malah lebih baik daripada
anak driver tu.” Karina senyum dengan penuh kegembiraan.
Akhirnya hasrat untuk menjadi isteri Ammar tercapai. Dia
memeluk Ammar erat. Majlis pernikahan mereka siang tadi
berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.
“I harap you akan kotakan semua janji-janji you.
Untuk jadi isteri yang lebih baik daripada Zara. First, you
kena keluar dari bidang modeling tu dan jadi suri rumah
sepenuh masa. Belajar memasak dan juga uruskan rumah
sendiri tanpa orang gaji.” Ammar balas pelukan Karina.
Entah kenapa dia tiada rasa ghairah pada malam pertamanya
sebagai seorang suami. Ingatannya ketika bersama Zara pada
malam pertama muncul. Zara yang malu-malu sangat manja
rupanya.
“Bagi I masa okey untuk buat semua tu. Kontrak I
lambat lagi nak habis. Dah habis nanti I akan jadi suri rumah
sepenuh masa.” Karina memberikan janjinya kepada Ammar.
Janji yang dia sendiri tak pasti akan dapat ditepati atau tidak.
Apa yang penting dia berjaya menyingkirkan musuhnya
dan mengikat Ammar sekarang. Hal lain dia akan uruskan
kemudian.
Ammar senyum. Kenapa dia tak yakin yang Karina
mampu menjadi seperti Zara? Ammar pejamkan mata. Mahu
menyingkirkan bayangan Zara. Zara adalah masa lalunya.
Kini Karina menjadi suri hidupnya. Tak sepatutnya dia
memikirkan perempuan lain saat bersama isterinya.
Dia pasti banyak kenangan indah bakal dia lakarkan
bersama Karina nanti. Impiannya untuk hidup dengan
perempuan yang dicintainya sudah tercapai. Seterusnya
mereka akan punya anak dan bahagia selama-lamanya.
‘Maafkan saya, Zara...’


*** BOLEH DAPATKAN  DIPASARAN UNTUK KELUARAN NOVEMBER 2017*** 

No comments:

Post a Comment