Thursday, 23 November 2017

Cinta Zara - Bab 9

MARIA memandang Zara. Alhamdulillah...
akhirnya urusan perceraian antara Ammar dan Zara sudah
selesai. Zara disahkan bercerai talak satu. Sepanjang
urusan perceraian, Zara cuba mengelak untuk bertemu
Ammar. Namun, hari ini dia tidak boleh mengelak lagi dari
bertemu dengan lelaki itu. Mengikut hukum Islam, wanita
berada dalam tempoh idah masih di bawah tanggungjawab
suaminya. Kali ini, dia bertekad untuk menemui Ammar,
buat kali terakhir.
Zara ditemani Maria manakala Ammar ditemani
Amelia. Mereka berjanji untuk bertemu di restoran kegemaran
Ammar. Dia dan Ammar duduk satu meja. Manakala Maria
dan Amelia duduk di meja sebelah.
“Assalamualaikum.” Ammar memulakan bicara.
Lidahnya kelu untuk memulakan bicara. Ammar merenung
wajah Zara sepuas-puasnya. Rindu... rindu untuk memeluk
Zara dan rindu untuk mencium pipi isterinya itu.
“Waalaikumussalam,” jawab Zara sepatah. Dia
tunduk. Jarinya bermain-main dengan hujung tudung
bawalnya.
“Abang nampak Zara makin tembam.” Ammar
perasan pipi Zara bulat macam kuih pau. Rasa nak cubit pun
ada.
Zara meraba pipinya. Betul ke dia makin tembam?
Mungkin sebab dia banyak sangat makan sepanjang tinggal
di rumah Maria. Kenapa Ammar yang perasan? Kenapa tidak
dia atau Maria? Zara terbuai sebentar dengan keprihatinan
suaminya. Tapi dia cepat-cepat sedar yang hubungan mereka
sudah pun berakhir. Mereka sudah pun bercerai.
“Zara tak nak cakap banyak. Zara nak minta izin
untuk tinggal dengan Maria selama tempoh idah ni. Dan
Zara juga minta izin nak keluar cari kerja. Zara harap abang
izinkan.” Ujar Zara terus saja kepada tujuan pertemuan
mereka. Dia berharap Ammar tak akan membantah.
“Abang nak Zara tinggal di Vila Aisyah sampai habis
tempoh idah. Ada banyak perkara yang kita perlu bincangkan.
Zara tak payah kerja, nanti abang bank in duit tiap-tiap bulan
sampai Zara ada kehidupan sendiri.”
“Apa maksud abang?” Zara kurang faham. Dia angkat
muka pandang Ammar. Keputusan Ammar memang tidak
dijangka. Apakah niatnya mahu mereka terus serumah? Zara
tidak setuju. Dia tak sanggup untuk memandang Ammar
sebagai kenalan biasa sedangkan seluruh hatinya milik
Ammar. Kejamnya lelaki itu!
“Abang nak Zara tinggal kat Vila Aisyah sebab
abang nak sediakan kehidupan lain untuk Zara. Abang akan
carikan Zara rumah dan siapkan semua keperluan Zara.
Abang akan bagi duit belanja tiap-tiap bulan sampailah Zara
jumpa orang lain yang boleh jaga Zara.” Ammar menjelaskan
keputusannya. Dia pun tidak faham kenapa berat hatinya
untuk mengizinkan Zara tinggal berasingan.
Baru Zara faham apa maksud Ammar. Hatinya
menangis hiba. Senangnya Ammar bercakap soal pengganti.
Ammar tidak tahu ke bukan senang untuk melupakan orang
tersayang. Dan bukan senang dia menerima orang lain selepas
apa yang dilalui sekarang. Kenapa Ammar tiba-tiba prihatin
akan soal kebajikan dirinya?
“Kalau sampai akhir hayat Zara tak ada orang lain
selepas abang macam mana?” tanya Zara sebak. Mencari
pengganti Ammar memang tidak pernah terlintas dalam
fikirannya. Dia sudah serik untuk punya suami. Dia takut
kalau terjumpa lelaki lain yang sama seperti Ammar.
Ammar terdiam. Lidah rasa seperti terjerut. Dia
tidak pernah mengharapkan itu terjadi. Dia mahu selepas
idah nanti Zara mencari kehidupannya sendiri. Dia pun
bakal melalui kehidupan sendiri bersama Karina. Dia berjanji
untuk tidak mengabaikan Zara sepanjang dalam idah. Zara
masih dalam tanggungjawabnya.
“Zara tak boleh macam ni. Abang tahu abang salah
tapi abang nak Zara teruskan hidup Zara. Jangan sebab abang,
Zara lupakan kehidupan Zara.”
“Abang cakap senanglah sebab abang tak pernah
sayangkan Zara. Tapi Zara... Zara...” Air mata Zara menitis
satu per satu. Zara mengelap air matanya dengan tangan.
Dia yang berjanji untuk tenang gagal mengawal emosi.
Maria yang sejak tadi melihat mula risau. Kenapa kawannya
tiba-tiba menangis?
“Macam mana Zara nak cari orang lain sedangkan
hati Zara dah tertulis nama abang... Zara cintakan abang.
Sekarang abang nak kita tinggal bersama sepanjang idah?
Zara tak mampu untuk belajar melupakan abang kalau kita
tinggal bersama.” Tangisan Zara makin kuat.
Ammar bangun dan duduk di sebelah Zara. Dia
memeluk bahu Zara dan gosok belikatnya. Perkara biasa yang
dia buat apabila Zara menangis.
Maria dan Amelia turut bangun. Amelia menarik
abangnya daripada terus memeluk Zara. Amelia melemparkan
pandangan tajam ke arah abangnya. Ammar terlupa ke yang
mereka berdua sudah bercerai? Amelia tidak mahu abangnya
memberikan kasih sayang palsu lagi. Biar dia kejam asalkan
kakak iparnya tidak menderita.
“Angah jangan sesekali sentuh Kak Zara. Sekali lagi
angah sentuh, kami anggap angah nak rujuk dengan Kak
Zara. Tak payah tunjuk prihatinlah angah. Kami berdua ada
nak pujuk Kak Zara.” Amelia sindir Ammar tajam.
Ammar segera faham kata-kata Amelia. Dia bangun
dan kembali ke tempat duduknya. Dia terlanjur risaukan Zara
tadi. Hampir saja dia pujuk Zara dengan kata-kata manisnya.
Maria segera mengambil tempat Ammar dan
memeluk Zara yang sedang menangis. Kenapa berselirat
sangat jodoh Ammar dan Zara?
“Encik Ammar tolong izinkan dia tinggal dengan
saya. Saya berjanji saya akan jaga dia dengan baik.” Maria
berbicara bagi pihak Zara.
“Tapi...”
“Encik Ammar ni janganlah kejam sangat. Berapa
banyak pisau yang Encik Ammar nak guna untuk hiris hati
dia? Berapa banyak kelukaan lagi Encik Ammar nak bagi kat
dia? Saya harap Encik Ammar faham maksud saya.”
Ammar tunduk. Dia sedar dia yang salah kerana
melukakan hati Zara. Melihat Zara menangis dia turut sedih.
Dia sedar khilafnya tadi. Dia sedar sayangnya kepada Zara
masih ada, tapi dia sudah berjanji dengan Karina.
“Abang izinkan Zara tinggal kat rumah Maria. Abang
beri Zara kebebasan. Pasal nak keluar cari kerja itu abang
tak izinkan. Semua perbelanjaan Zara abang akan tanggung.
Abang akan masukkan duit dalam akaun Zara tiap-tiap bulan.”
Akhirnya Ammar akur dengan permintaan Zara.
Selama ini pun memang Zara sudah tinggal
dengan Maria. Memang mustahillah kalau Zara kembali ke
rumahnya. Lagipun takut kalau-kalau dia yang berubah hati.
Baru berdepan macam ini hatinya dah meronta-ronta mahu
memeluk Zara. Kalau duduk satu rumah mungkin perkara
lain akan berlaku. Dia kena ingat janjinya kepada Karina.
“Terima kasih abang... Zara minta diri dulu,” ujar
Zara sambil teresak-esak. Zara bangun untuk meninggalkan
tempat itu.
“Zara, kita makan dulu...” Ammar menarik lengan
Zara.
“Terima kasih abang tapi Zara dah kenyang.” Zara
bohong. Dia tidak ingin terus berlama di situ. Sakit hati
menanggung rindu. Orang yang dia sayang ada di depan mata
tapi hanya mampu dilihat tidak mampu disentuh.

“KITA PATUT celebrate hari ini. Akhirnya you lepas juga dari
perempuan itu.” Karina ketawa. Puas hati dia sekarang.
Ammar diam. Pertemuan dia dengan Zara siang tadi
masih tidak dapat dilupakan. Tangisan Zara dan kata-kata
Zara masih jelas di telinganya. Zara cintakan dia.
“Ammar... kenapa ni? You patut gembira tau... tapi
kenapa monyok aje?” Karina perasan yang Ammar senyap
sunyi dari tadi. Karina jadi geram. Ammar sekan-akan tak
rela dengan perceraian dia dengan Zara.
“Ammar kenapa you ni? Ingat lagi kat anak driver tu
ke? You memang dah jatuh cinta kat dia kan? Jujur dengan
I.” Karina berang. Risau tekaan hatinya betul. Dia bakal
kehilangan lubuk emasnya. Ammar bukan saja kacak tapi
berharta.
“Dear... mana ada I jatuh cinta kat dia. You tahu
kan dia tak layak untuk I. Hanya Karina Wilson seorang saja
yang layak jadi pendamping Ammar Syafiq. I penat sikit aje.”
Ammar memujuk Karina. Dia tidak mahu Karina mengesyaki
yang bukan-bukan. Memang betul hati kecilnya sedikit
merindukan Zara.
“So, sekarang boleh kita start plan wedding kita.
Lepas anak driver tu habis idah kita terus nikah. Ada ramai
sponsor dah tanya pasal wedding kita. Kita tak payah keluar
duit sesen pun.” Karina begitu teruja. Tidak sia-sia semua
yang dia lakukan selama ini. Menelefon Ammar setiap hari
dan mendesak Ammar untuk menceraikan Zara.
“Kenapa nak cari sponsor? I boleh tanggung semua
kos perkahwinan kita nanti. You tak perlu risau pasal duit.”
Ammar senyum. Dia sebenarnya kurang selesa untuk
membicarakan hal perkahwinan buat masa ini. Tapi melihat
Karina begitu teruja dia tidak sampai hati.
“Nope... tak boleh sayang. I kan model terkenal. Dah
diaorang nak sponsor, terima ajelah. Nanti diaorang cakap I
sombong. Karina sombong selepas kahwin dengan anak Tan
Sri. Eeii... I tak nak kena macam tu.”
Ammar angguk. Tak guna berkata tidak kepada
Karina. Meletus perang dunia nanti. Lebih baik dia setuju.
Karina menjerit kegembiraan. Karina memeluk dan
mencium pipi Ammar. Tak sabar-sabar nak naik pelamin. Dia
sudah pun mengupah wedding planner untuk menguruskan
semuanya. Dia sudah pun menyewa dewan di PWTC tanpa
pengetahuan Ammar. Dia mahukan perkahwinan yang grand.
“Lagi satu... habis aje nikah, I nak kita balik rumah
kita sendiri. I tak nak balik rumah famili you. Diaorang mesti
bandingkan I dengan anak driver tu nanti.”
“Janganlah macam tu, kita duduk rumah mama
seminggu lepas tu baru balik rumah kita.” Ammar tak
setuju dengan niat Karina. Dia perlu menghormati mama.
Keluarganya pun kena kenal Karina.
“No! Keputusan I muktamad. I dah upah Zarul
sebagai wedding planner kita. I nak majlis yang grand...
ada...”
Ammar langsung tak dengar apa Karina ucapkan.
Kenapa dia langsung tidak teruja dengan semua ini? Kalau
betul cintanya hanya untuk Karina kenapa dia ragu-ragu
sekarang ini? Kenapa dia rasa tak selesa dengan Karina?
“Helo Justin... Nice to meet you.” Karina bangun
untuk menegur seseorang.
Ammar lihat Karina dengan lelaki itu berlaga pipi.
Dan Karina mengizinkan lelaki itu mencium pipinya. Ammar
tiba-tiba rasa waswas. Betul ke Karina jodoh daripada Allah
untuknya? Kenapa semuanya tiba-tiba jadi serba tak kena?
Kenapa sebelum ini dia tak kisah dengan pergaulan bebas
Karina? Sekarang dia jadi tamak dan mahukan Karina
untuknya seorang.

“ZARA MAKANLAH sikit. Jangan ikutkan sangat perasaan
tu.” Pujuk Maria. Sejak pulang dari bertemu Ammar, Zara
asyik duduk termenung. Jangan kata makan atau minum,
bercakap pun tak mahu. Asyik menangis saja.
“Zara... kau boleh ambil banyak mana masa kau nak
untuk lupakan dia. Apa yang penting sekarang, kau kena kuat
dan teruskan hidup kau. Kau sendiri cakap kau nak mulakan
hidup baru.” Maria mengingatkan Zara akan janji-janjinya.
Dia mahu Zara kembali ceria seperti dulu. Dia sedar dalam
keadaan ini Zara pasti akan mengambil masa yang lama
untuk pulih.
“Aku... aku rindukan dia. Macam mana aku nak
hidup tanpa dia...” Akhirnya Zara bersuara.
“Aku kan ada. Kita hidup sama-sama macam sebelum
dia muncul. Kalau perlu kita pergi dari sini. Kita berhijrah
ke mana-mana.” Maria memberikan cadangan. Kalau mereka
terus di situ memang mustahil untuk Zara pulih.
“Tapi kita tak ada duit. Aku pun tak kerja. Macam
mana nak hidup kat tempat baru? Lagipun...” Ayat Zara
terhenti.
“Ammar izinkan kau buat apa saja. Dia kan dah beri
kebebasan. Tak salah kalau kau nak berhijrah.”
“Duit?”
“Kau pesan dengan aku jangan ambil pemberian
Ammar, kan. Ini daripada mak mentua dan abang ipar kau.
Mama kau pesan jaga diri baik-baik.” Maria menghulurkan
sekeping cek kepada Zara. Zara lihat angka yang tertera di
permukaan kertas berwarna kuning itu. Memang lumayan.
“Dan ini arwah ayah mentua kau amanahkan pada
abang ipar kau. Ayah kau dapat mengagak yang Ammar akan
ceraikan kau. Dia dah letakkan semua harta dalam tu atas
nama kau. Kita kena jumpa peguam.” Sebuah sampul surat
dihulurkan kepada Zara.
Zara terharu. Tak sangka di saat semuanya gelap
muncul pula sinar cahaya. Tan Sri Amir sudah mempersiapkan
semuanya andai Ammar menceraikan dia. Semua orang
dalam keluarga itu baik, tapi kenapa bukan Ammar?

No comments:

Post a Comment