Thursday, 8 March 2018
Mungkinkah Dia - Bab 1
“YOU sedar tak apa yang you cakap ni? Lagi
2 bulan aje lagi, takkan you nak putuskan macam tu aje?”
Haziq Asyraf panas dengan keputusan tunangnya. Mudah
benar gadis di hadapannya ini berubah fikiran. Sebelum ini
Farah yang beria-ia benar ingin berkahwin dengannya tetapi
apabila masanya sudah dekat, begini pula jadinya.
“Sorry, I belum bersedia nak kahwin dengan you,”
tegas Farah Amani buat kesekian kalinya. Dia pasti tunangnya
itu sedang marah terhadapnya namun apakan daya, dia juga
mahu berjaya. Peluang sudah datang menjenguk, masakan
dia mahu melepaskannya begitu sahaja!
“Kenapa you tiba-tiba berubah fikiran? Dulu you
yang nak kahwin sangat. Sekarang?” Haziq bertanya sinis.
Sempat lagi dia menjeling geram kepada Farah.
Melihat Farah diam, Haziq menyambung lagi. Apa
yang bergumpal dalam hatinya, diluahkan.
“You tahu kita akan jadi suami isteri 2 bulan lagi.
You pun tahu semua persiapan dah dibuat, kan?” Haziq
bertubi-tubi menghentam Farah.
“Yes, I know it!” Suara Farah sedikit menjerit.
Bengang dihentam sebegitu oleh Haziq. Tunangnya itu
bertanya seakan dia ini tidak tahu apa-apa pula.
“And?” Haziq mengharapkan pengertian. Matanya
merenung tepat ke dalam anak mata tunangnya yang memakai
kanta lekap berwarna coklat itu. Dalam hati, dia berharap
agar jawapan Farah selepas ini akan lebih menenangkannya.
“I still dengan keputusan I.” Relaks sahaja Farah
menjawab seakan tidak perasan tunangnya kini sedang naik
minyak. Masih lagi berlagak biasa.
Haziq terasa mahu mengetuk kepala Farah. Sudah
3 tahun mereka berkenalan, namun Farah seakan-akan
tidak memahami dirinya. Masakan tunangnya itu lupa sikap
dirinya yang sangat benci dengan orang yang memungkiri
janji. Lupakah Farah tentang semua itu?
“Amazing! Kenapa you tiba-tiba berubah fikiran?
Kenapa sekarang? Kenapa tak beritahu waktu hari akad nikah
aje? Senang, kan?” keras Haziq berbicara. Ada sindiran dalam
ayatnya.
“Actually, I memang nak kahwin dengan you, tapi
I nak kejar cita-cita I dulu.” Giliran Farah pula memohon
pengertian.
Haziq pelik dengan Farah. Tidak cukupkah dengan
kerjaya Farah sebagai pereka fesyen terkenal sekarang?
Bukankah itu yang diingini Farah selama ini? Haziq semakin
tidak mengerti.
“Apa yang you nak jadi lagi? Tak cukup lagi ke kerja
you sekarang sampai nak tukar kerjaya? You tak pernah cakap
dengan I pun yang you nak tukar kerjaya?” Perkataan tukar
itu ditekan habis-habisan. Biar tunangnya itu sedar sedikit.
“I nak jadi model! Selama ni I jadi designer pun sebab
I nak kukuhkan kedudukan I dalam bidang fesyen. Mula-mula
I fikir nak teruskan perkahwinan kita, tapi I tak boleh lupakan
impian I untuk jadi model!” bentak Farah. Dia sudah tidak
peduli lagi, impiannya tidak mahu lagi ditangguhkan.
Haziq cuba mencari penyelesaian terbaik. Dia
merenung wajah tunangnya itu. Muka itu kelihatan tegang
sahaja. Memang buruk sekiranya marah, namun apabila
tersenyum, hati pak imam pun boleh cair apatah lagi dirinya;
iman yang tak seberapa nak tebal ini.
“Serius you tak nak kahwin dengan I?” Haziq
cuba bermain dengan psikologi. Dia masih berharap agar
tunangnya itu terpujuk dengan rayuannya. Tak kasihankah
Farah kepada dirinya?
“I tak kata yang I tak nak kahwin dengan you tapi I
tak boleh lupakan impian I macam tu aje. Please understand
me,” balas Farah separa merayu. Tangannya menggenggam
tangan Haziq yang diletakkan di atas meja.
Farah memandang Haziq. Mana mungkin dia
ingin melepaskan kekasih hatinya ini begitu sahaja. Tetapi
hatinya lebih memilih impiannya berbanding Haziq. Lagi
pula dia pasti Haziq sanggup menunggunya. Dia kan kekasih
hati lelaki ini. Dia yakin seratus peratus yang Haziq akan
menantinya. Haziq kan cintakan dirinya sahaja.
“Impian you lagi penting daripada I?” Haziq masih
mahu menguji hati tunangnya itu. Dia sangat berharap
perbincangannya dengan Farah tidak akan berakhir dengan
pengakhiran yang menghampakan. Kelak, dia juga yang akan
susah andai gadis ini tetap berkeras.
“No! You penting tapi impian I pun penting juga,”
jawab Farah pantas. Kini hatinya semakin berbelah bahagi;
mahu pilih yang mana satu. Farah segera menyedarkan
dirinya tentang impiannya yang satu itu. Sudah lama dia
menanti saat ini, masakan mahu dilupakan begitu sahaja.
Peluang dah ada depan mata.
Haziq diam. Dalam fikiran, dia menimbang baik
buruk keputusan yang bakal dibuat. Banyak perkara perlu
difikirkan. Akhirnya dia bersuara. Apa lagi pilihan yang dia
ada andai si kekasih hati tetap berkeras? Masakan mahu
bersanding seorang diri pula?
“Okey, I akan tunggu you sampai you betul-betul
sedia untuk kahwin dengan I.” Haziq akhirnya mengalah,
namun dia sendiri tidak pasti sama ada dia mampu
menunaikan janjinya. Mungkinkah dia akan jatuh cinta pada
sesiapa sementara menunggu tunangnya itu? Buat masa ini,
dia yakin dengan dirinya. Farah akan sentiasa dalam hatinya.
Mendengar jawapan tunangnya membuatkan Farah
spontan memeluk Haziq.
“Really? Yeay, love you!” Tanpa segan, dia mencium
pipi Haziq.
“You tahu tak betapa gembiranya hati I bila dapat
tahu yang permohonan I untuk masuk akademi model tu
diterima? I pergi sana sekejap aje. Dalam 2 tahun. I bukan
tak nak kahwin dengan you... tapi dah syaratnya, I mesti
berstatus bujang untuk stay di sana. You pun faham, kan?”
Mulut Farah laju bercerita tentang itu ini dan Haziq
cuba mengukir senyum. Dalam hati, hanya Allah yang tahu.
Kini dia harus memikirkan bagaimana mahu menjelaskan
situasi yang rumit ini kepada mamanya. Memang tempah
nahas betullah!
DATIN SUHAILA memandang anak keduanya itu dengan
pandangan tidak percaya. Biar betul? Majlis akan berlangsung
2 bulan lagi. Semua persiapan sudah siap dan yang paling
penting, semua kad jemputan sudah diedarkan. Bukan sedikit,
tapi hampir 3000 orang dijemput untuk memeriahkan majlis
perkahwinan anak keduanya itu.
“Haziq dah buat keputusan untuk tunggu Farah,
ma. Dia pergi bukan lama, 2 tahun aje,” Haziq menenangkan
ibunya. Dia sudah menjangka reaksi mamanya itu.
“Kamu masih boleh bertenang? Kamu pun tahu
semua kad dah diedar, kan? Kamu mahu mama malu depan
kawan-kawan mama? Apa kata mereka kalau pengantinnya
tiada nanti?” Semakin sesak nafasnya bercakap dengan
anaknya itu. Dia tidak faham mengapa anaknya itu terlampau
mengikut telunjuk tunangnya. Inilah jadinya kalau cinta
sangat. Maruah keluarga pun dah tidak dipedulikan. Hati
Datin Suhaila sebu memikirkan Haziq akan menjadi sebegitu.
“Alah mama ni... biar ajelah orang nak cakap apa
pun. Kita tak mati pun kalau dengar cakap mereka.” Haziq
masih selamba walaupun dia tahu mamanya sudah mahu
bertukar menjadi naga.
“Ya Allah, kita memanglah tak mati tapi mana mama
dan papa nak letak muka nanti?” Datin Suhaila semakin
geram dengan anaknya itu. Dia berjalan mundar-mandir
di ruang tamu. Memikirkan apa yang harus dilakukan bagi
mengelakkan keluarganya daripada mendapat malu. Segala
soalan yang bakal ditanya oleh teman-temannya mula
menerpa di ruang fikiran. Hai, malu tujuh keturunan nanti!
“Simpanlah dekat dalam peti. Banyak peti dekat
rumah ni. Peti sejuk pun okey juga, sejuk sikit,” perlahan
suara Haziq menjawab namun masih boleh ditangkap oleh
telinga mamanya.
“Mama kurang dengarlah apa yang Haziq cakap
tadi. Cuba ulang balik,” sebal hati Datin Suhaila mendengar
kata-kata Haziq tadi. Saat dia sedang bermati-matian
memikirkan soal Haziq, masih lagi sempat anaknya itu mahu
membuat lawak. Sabar sajalah!
“Hurm, tak ada apa-apa.” Haziq menutup rasa malu.
Dia tidak sangka telinga mamanya begitu tajam.
“Mama tak kira, kamu mesti cari pengganti untuk
gantikan Farah.” Suara Datin Suhaila kedengaran agak serius
dan dia sememangnya serius. Dia tak boleh berlembut lagi
dengan anak terunanya ini. Sebelum mereka sekeluarga jatuh
malu nanti, baik dia selamatkan keadaan dengan mencari
pengantin lain.
Haziq cuak. Laju sahaja mulutnya membantah.
“Mana boleh macam ni! Haziq dah janji nak tunggu
Farah.” Haziq masih mahu mempertahankan keputusannya.
Mencerlung mata Datin Suhaila memandang anak
terunanya itu.
“Makanlah janji kamu tu. Mama tak nak keluarga
kita malu!”
Suara mamanya semakin meninggi. Haziq
memandang mamanya dengan pandangan tidak percaya.
Sebelum ini mama tidak pernah naik angin sebegini, kecut
sekejap perutnya. Lebih baik dia mengalah.
“Habis tu, Haziq nak kahwin dengan siapa? Haziq
mana kenal dengan mana-mana perempuan selain Farah?”
sengaja mahu memeningkan mamanya.
“Oh... tak kenal sesiapa ya? Habis tu yang Tira,
Melia... tu apa? Entah-entah banyak lagi dekat luar tu.” Datin
Suhaila merenung anaknya itu. Fikir dia tak tahu agaknya
anaknya itu ada banyak girlfriends di luar sana.
Haziq menelan air liur. Kesat. Hebat betul memori
mamanya itu. Nama-nama yang dia sendiri sudah lupa,
dibongkar pula oleh mamanya.
“Mama ajelah yang carikan, Haziq malas.” Haziq
mengeluh. Nampaknya dia memang tidak dapat mengelak
lagi. Berserah ajelah. Fikirnya setakat kahwin sekejap, tak apa
kut.
“Betul ke ni?” Datin Suhaila tidak percaya.
Unbelieveable! Dia memandang anaknya yang mengangguk.
Kini dia pula yang parah. Misi mencari menantu!
“Dirra okey?” Datin Suhaila tiba-tiba teringatkan
anak buahnya, Liyana Dirra.
Berubah terus wajah Haziq apabila mendengar
saranan mamanya.
“Dirra? Tak naklah. Orang lain boleh, tapi kalau
Dirra... Haziq tak nak. Dah penat Haziq tengok dia dekat
ofis tu.” Haziq menolak saranan itu mentah-mentah. Dia
tidak sanggup jika berkahwin dengan Dirra. Dia lagi sanggup
berkahwin dengan cleaner di pejabatnya. Eh, tapi betul ke
sanggup? Terbayang terus wajah Mak Cik Kamariah yang
selalu mengemop lantai di pejabatnya. Uih, seram!
Kini Dirra bekerja di hotel keluarga Haziq. Seluruh
ahli keluarga tahu bahawa Dirra terlampau fanatik terhadap
Haziq sehingga sanggup mengetepikan minatnya terhadap
dunia peragaan dan memilih untuk menjadi PA Haziq. Haziq
cukup rimas dengan perangai Dirra yang selalu membuat
cubaan ‘berani mati’ untuk memikatnya.
Pernah suatu hari, Dirra terlampau rajin
membuatkannya tomyam seafood kegemarannya. Dia makan
sahajalah, tanda menghargai jasa baik Dirra dan masakan
itu benar-benar berapi! Huh! Akibatnya, dia terpaksa
berulang-alik ke tandas sebanyak 7 kali. Sampai sekarang dia
fobia untuk makan makanan yang berunsurkan pedas yang
melampau.
Datin Suhaila semakin buntu. Dia sudah kematian
idea. Mundar-mandir dia di tengah ruang tamu.
Haziq naik pening melihat mamanya yang sudah
seperti memikirkan soal negara yang bakal dibom tidak lama
lagi. Dia segera memanjat tangga untuk ke bilik. Biarlah
mama yang fikir. Malas dia hendak ambil tahu.
Gelisah Datin Suhaila yang melampau tadi lenyap
tiba-tiba. Dengan muka yang penuh bercahaya, dia berlari ke
arah stor. Dia sudah menemui jalan penyelesaian yang tepat
sekali.
DATIN SUHAILA menyelongkar fail-fail lama di dalam stor
itu. Dia harus mencari fail itu secepat mungkin. Hanya fail
itu yang dapat membantunya sekarang ini. Sekejap-sekejap
dia terbersin gara-gara habuk yang melekat pada fail-fail lama
itu.
“Sufi! Sufi!” Datin Suhaila memanggil pembantu
rumah Indonesianya.
“Iya, buk! Sebentar!” Sufi menjawab dengan bahasa
Indonesianya yang memang sukar diubah. Sudah 4 tahun dia
bekerja di Malaysia namun dia masih sukar untuk berbicara
menggunakan bahasa Melayu.
“Tolong saya asingkan fail-fail ni. Saya nak yang
warna oren sahaja. Faham?” arah Datin Suhaila sebaik sahaja
Sufi tiba di stor itu.
Datin Suhaila memerhati sahaja Sufi membuat kerja
pengasingan fail. Peristiwa 8 tahun dahulu kembali berlayar
di hadapan matanya. Masih segar dalam ingatannya. Ugutan
dan tangisan.
‘Kau jangan muncul lagi depan aku. Kau
tu kuman aje berbanding aku. Bila-bila
masa sahaja aku boleh lenyapkan kau! Kau
tak layak untuk menjadi salah seorang
daripada ahli keluarga aku!’
Itulah apa yang dia ucapkan 8 tahun lalu. Memisahkan
pasangan bercinta. Itulah yang telah dia lakukan. Namun dia
tidak pernah menyesal dengan tindakannya itu walaupun ada
yang merana. Ada yang terseksa. Baginya, budak kampung
tidak layak untuk menjadi ahli keluarganya.
Hari ini dia terpaksa menjilat ludahnya kembali bagi
mengelakkan malu. Ah, biarlah! Untuk kebaikan dia juga.
“Buk, sudah selesai diasing.” Suara Sufi melenyapkan
lamunan Datin Suhaila.
Terkejut Datin Suhaila dibuatnya. Dadanya yang
berdebar diusap perlahan.
“Bagus, sekarang awak dah boleh pergi.”
No comments:
Post a Comment