Thursday, 8 March 2018

Polaroid - Bab 10

“NI kenapa muka kelat semacam ni? Dahlah
lambat.”
Shaiful pandang Tiara yang menghenyakkan
punggungnya kasar di kerusi restoran. Tiara diam. Dia
melepaskan lelah seketika. Dia terlambat sebab menghantar
Mek Yah ke kolej kediaman. Selepas itu baru dia racing ke
restoran seperti yang dijanjikan dengan Shaiful.
“Sayang.”
“Diamlah! Aku penat.”
“Main ragbi ke tadi?”
Soalan itu dibalas dengan tangan yang dikepalkan.
Ditunjuk penumbuk kepada muka Shaiful. Lelaki itu tidak
gentar. Sudah biasa dengan teman wanitanya.
“Ni dah kenapa sebenarnya ni? Orang tanya bukannya
nak jawab pun.”
“Aku bengang dengan budak baru dalam kelas aku.”
“Budak baru? Dia buat apa? Kacau kau ke?”
“Tak adalah dia kacau aku.”
“Dah tu yang kau bengang sangat tu kenapa?”
“Hesy! Banyak tanyalah kau ni. Dah order ke belum?”
“Aku tanya sebab aku tak tahu. Kita jumpa ni nak
happy-happy. Dah kau buat muka ketat macam ni, aku pun
tahu nak bengang juga.” Shaiful turut membalas dengan
nada yang tidak senang. Dijeling Tiara di depannya.
Tiara mengeluh. “Yalah. Sorry. Tadi ada budak baru.
Muka dia sebijik muka aku. Mana aku tak bengang. Budak tu
pulak bertudung. Ustazah konon.”
“Oh... jadi ni bengang sebab dapat kembarlah ni?”
“Kau jangan nak cari masalah dengan aku. Time ni
aku tak ada mood nak bergurau.” Tiara memberi amaran.
Shaiful senyum dan gelak kecil. Dia mendekatkan
badannya pada meja. “Perangai kau yang macam nilah yang
buat aku rindu, angau. Walaupun teruk, aku tetap sayang.”
“Ni kau memuji ke mengata?”
“Mana-mana yang kau suka.” Shaiful membalas. Dia
menjauh ke belakang apabila tangan itu mahu menampar
badannya. “Tadi aku dah order. Macam biasa.”
“Hmm,” balas Tiara. Angin tak eloknya masih
menular di dalam badan. Dia pandang Shaiful yang
menyengih. “Tak payah nak buat muka macam tu. Aku rasa
nak luku je.”
“Jangan garang sangat. Ni baru jadi girlfriend aku,
dah nak luku semua. Kalau jadi bini aku nanti tak tahu
macam mana kau buat aku.”
“Siapa nak jadi bini kau? Tak ingin aku!”
“Eleh... cakap je tak nak. Kang hilang aku, meroyan
setahun.”
Tiara ketap giginya kuat. Dia pandang Shaiful dengan
pandangan yang boleh buatkan lelaki itu arwah. “Perasan nak
mampus kau kan?”
“Well. Biasalah aku. Perasan tu hari-hari. Mampus
je tak lagi.”
Makanan yang ditempah dihantar oleh pelayan. Tak
jadi Tiara membidas lagi kata-kata lelaki itu. Tak nak dia buat
kecoh di depan orang. Kalau depan Shaiful, itu dia tak kisah.
Sebab lelaki itu sudah cukup faham perangainya macam
mana.
“Sayang, jadi tak nak pergi karaoke lepas ni?”
“Suka hati kaulah. Aku okey je mana-mana.”
“Bagus. Kita petik lagu rock banyak-banyak. Boleh
kau melalak lepaskan tension pasal budak baru tu.”
“Tak payahlah nak sebut pasal dia. Kang aku cancel,
balik je terus.”
“Alah, tu pun nak merajuk. Sudah-sudahlah jadi
budak-budak.”
“Siapa budak?” Tiara menghalakan garpu ke wajah
Shaiful. Lelaki itu bersahaja. Langsung tak hairan. Dia tahu
yang Tiara takkan bertindak berlebihan. Ganas macam mana
sekalipun, takkan sanggup buat yang bukan-bukan pada orang
yang dia sayang. Sama juga seperti dirinya. Kedua-duanya
sudah kenal perangai masing-masing.
“Janganlah emo sangat. Makan cepat.”
Tiara akhirnya patuh. Kepalanya dah penat nak cari
ayat untuk gaduh dengan teman lelakinya itu. Biasanya setiap
kali jumpa ada sahaja modal untuk mereka bertekak. Kalau
dia yang tak cari masalah, pasti Shaiful yang akan buat onar.
Sengaja mengusik.

“MACAM MANA first day?”
“Okey, alhamdulillah. Semua okey. Guess what
abang...”
“What?”
“Nia sekelas dengan Ara.”
“Ara?”
“Ya. Perempuan yang kita duk gosip time pendaftaran
semalam tu.”
“Oh. So, macam mana? Sama dengan muka Nia ke?”
“Sama sangat abang. Nia pun tak sangka yang akan
berhadapan dengan muka sendiri secara live. Muka sendiri
tapi badan orang lain.”
“Dah tu Nia excited sangat kenapa?”
“Yalah. Nanti bila Nia dah tak ada, dia boleh jadi
pengganti Nia. Abang boleh tengok muka dia kalau abang
rindukan Nia.”
“Nia cakap apa ni? Abang tak suka. Jangan cakap
benda yang bukan-bukan.”
“Bukan-bukan apanya? Kan mati tu pasti. Lagipun
penyakit Nia ni dah teruk sangat. Mungkin masa Nia pun dah
tak lama.”
Zafril berhentikan keretanya di tepi. Dia pandang
Tania. Geram dan sayu dengan apa yang diperkatakan oleh
bibir itu. Rasa debar di hatinya.
“Siapa Nia nak rasa-rasa tentang kerja Allah? Mati tu
pasti. Tapi nak hukum diri sendiri tu bukan jalannya. Jangan
mention perkataan tu lagi depan abang. Kita ikhtiar. Kalau
hospital tak jalan, kita cuba perubatan Islam. Kanser Nia
masih tahap tiga. Kita usaha berubat. Kuasa Allah tu luas.
Kalau Dia nak izinkan Nia sembuh, sekelip mata je.”
Suara Zafril mendatar. Langsung tiada nada marah.
Dia cuba nak sedarkan Tania yang dia sangat tak suka bila
adiknya bercakap tentang hal itu.
“Yalah. Nia minta maaf. Nia tak ada niat pun nak
downkan mood abang. Nia cuma cakap apa yang Nia rasa.”
“Kalau dengan abang, abang boleh terima. Tapi
jangan cakap pasal hal ni dengan mak. Nanti mak sedih.
Nia kena kuat. Abang pun akan kuat untuk Nia. Kita pergi
berubat.”
“Yalah. Nia ikut cakap abang. Tapi Nia ingat, nanti
Nia nak apply hostel. Dengar-dengar kat kolej kediaman tu
ada lagi bilik kosong.”
“Kenapa pulak? Nia ulang-alik dengan abanglah.
Kan nanti abang kerja dekat U tu juga.”
“Nia tahu. Okay, let’s saylah Nia ada kelas pagi,
lepas tu next class petang dan seterusnya pulak malam.
Kalau habis kelas pagi tu, boleh je Nia tunggu abang habis
kelas. Tunggu kat library ke kat mana-mana. Tapi takkanlah
macam tu hari-hari. Kesian abang juga kalau nak ulang-alik
hantar ambil Nia. Kalau Nia stay kat hostel, ada juga tempat
untuk Nia baring sementara Nia tunggu abang. Kalau dah
sama-sama free, setiap hari pun Nia boleh je tidur kat rumah.
Hostel untuk persinggahan Nia je. Lagipun kalau ada study
group, senang sikit. Tak perlu nak susahkan abang hantar.”
Tania menjelaskan situasi yang sebenar.
Zafril mengurut janggutnya perlahan. “Kalau Nia
sakit tiba-tiba macam mana?”
“Abang janganlah doa Nia macam tu.”
“Ada pulak cakap macam tu. Abang bukan doa, abang
cuma bagi andaian.”
“Nia calllah. Kalau emergency macam Nia tak sedar
ke apa, mesti orang sekeliling Nia akan call. Nia janji yang Nia
takkan lock phone.”
“Pandai kan?”
“Adik abang...”
Zafril senyum senget. Dia sebenarnya setuju
dengan saranan adiknya. Sebab dia juga risau kalau setiap
hari dia bawa Tania ulang-alik balik ke rumah mereka yang
memakan masa hampir satu jam setengah perjalanan. Kalau
terperangkap dalam kesesakan, masa di dalam kereta akan
lebih lama. Dia risau kalau keadaan itu akan membuatkan
Tania sakit kepala.
“Hmm... kalau macam tu okeylah. Abang setuju.
Nanti abang cakap dengan mak.”
“Thanks abang. Baru nak suruh abang pujuk mak.”
“Abang tahu.”
Tania ketawa mengekek. Memang abangnya itu
antara insan terbaik yang dapat membaca isi hatinya.
“Ha, abang. Pasal Ara tadi tu, nanti kalau abang
tengok dia depan-depan, mesti abang terkejut. Tadi pun Nia
dengan dia saling merenung. Macam tengok cermin. Tapi
dia lagi lawa sebab ada tahi lalat comel kat bawah bibir dia.
Kenapalah lalat tu tak berak juga kat bawah bibir Nia ni.” Dia
ketawa dengan kata-katanya.
Zafril juga ketawa kecil. “Perasan! Puji diri sendiri
lawa.”
“Memang Nia lawa apa.”
Tania menjuihkan bibirnya ke arah Zafril. Lelaki
itu akhirnya mengangguk beberapa kali. Melayan perangai
budak-budak adiknya.
“Lambat nak tunggu next week. Nanti abang pun
akan jumpa Ara.”
“Mana tahu abang akan jumpa dia?”
“Laaa... sah-sahlah abang akan jumpa dia. Kan abang
tu pensyarah Multimedia. Nanti abang akan ajar kelas Nia.
Kelas kami!”
“Excited betul.”
“Mestilah.”
“Dia baik tak?”
“Baik.” Sepantas kilat di Tania menjawab soalan
abangnya. Kemudian dia tayang gigi. Tanda menyokong apa
yang diperkatakan oleh mulutnya itu.
“Macam tipu je.”
“Tipu apa? Kita tak boleh tau pandang negatif kat
orang lain. Tak ingat apa mak pesan? Jangan suka menilai
orang dengan pandangan pertama. Ni abang belum pun
pandang dia dengan pandangan pertama dah buruk sangka.
Kang nanti kalau dah pandang boleh jatuh cinta.”
Zafril diam. Kalah dengan ceramah adiknya. Dia
hanya mengulum senyum. Apabila nama emak mereka
sudah disebut, lebih baik dia diam. Kalau dia melawan untuk
berbahas, ada yang sampai di telinga emaknya. Kenal sangat
dengan perangai adik perempuannya.

*** AKAN BERADA DIPASARAN UNTUK KELUARAN  MAC 2018** 

No comments:

Post a Comment