Thursday, 8 March 2018

Mungkinkah Dia - Bab 10

AYLA terpegun melihat laman rumah itu. Luas.
Ada sebuah gazebo di sebelah kolam ikan. Landskap laman
itu pun nampak segar. Melihat rumah itu, hatinya semakin
rindu dengan rumah lamanya. Rumahnya juga tidak ada
bezanya dengan rumah ini. Rumah keluarganya sebelum dia
berpindah ke rumah neneknya. Terlampau banyak kenangan
dia bersama ibu bapanya di rumah itu membuatkan dia tidak
betah tinggal di rumah itu.
Lamunan Ayla terhenti apabila handphone di
genggaman mula menjerit minta diangkat. Matanya
disorotkan ke skrin handphone. Nombor yang tidak dikenali!
Butang hijau ditekan.
“Akak!” Suara di hujung talian menyapa terlebih
dahulu.
“Zafrel!” Suara Ayla sedikit menjerit. Terkejut
mendengar suara adiknya.
“Akak buat apa dekat sana? Adik sendiri tak nak
jemput, kan! Nasib baik Zaf ada driver sendiri tau!”ujar Zafrel.
Sengaja membuatkan kakaknya serba salah. Dia kenal benar
dengan Ayla yang mudah serba salah.
“Driver? Bila pula kau hire driver ni? Setahu akak,
kau baru balik dari Australia. Kau import dari sana ek?” balas
Ayla. Soalan Zafrel sengaja tidak mahu dijawab. Dia pasti 100
peratus yang Zafrel akan marah dengan keputusannya.
“Sampai aje airport tadi, Zaf terus hire driver.
Pemandu teksilah.”
Mendengar jawapan Zafrel, Ayla tertawa kecil.
Adiknya itu tak pernah gagal membuatkan dia ketawa.
“Akak buat apa dekat sana?” tanya Zafrel lagi.
Suaranya kedengaran agak tegas di telinga Ayla.
“Nenek tak cakap?”
“Ada.”
“Habis tu, kenapa tanya?” Ayla membuat suara tidak
bersalah. Dia tahu adiknya itu marah. Walaupun Zafrel itu
adiknya, tetapi Zafrel lebih suka berlagak menjadi abangnya.
Zafrel selalu mengatakan kepadanya bahawa dia akan
melindungi kakaknya itu daripada sebarang bahaya. Chewah!
“Akak tak kenal dia, kan? Mana boleh terus kahwin.
Akak ingat, kahwin ni perkara main-main ke? Mana tahu dia
ada niat jahat? Akak jangan ingat Zafrel tak tahu cerita dari
awal sampai akhir. Jangan nak tipu Zaf!” ujar Zafrel panjang
lebar. Dia sememangnya tidak puas hati dengan keputusan
kakaknya itu.
Ayla mengeluh mendengar kata-kata Zafrel.
‘Akak buat pun sebab mak! Ingat akak nak sangat
ke kahwin dengan mamat tu?’ Namun kata-kata itu hanya
terluah dalam hatinya sahaja. Tidak mahu adik kesayangannya
itu berkecil hati.
“Nanti akak balik sana, akak terangkan dekat Zaf.
Zaf tolong uruskan resort sementara akak tak ada ni ya.
Assalamualaikum.” Dia terus mematikan talian. Sebenarnya,
hatinya agak terasa dengan Zafrel yang tidak mahu memahami
keadaan yang sedang dilaluinya.
“Woi!”
Tersentak Ayla dengan sergahan itu. Dia memandang
Haziq yang sudah berdiri di sebelahnya sambil menabur
makanan ikan ke dalam kolam.
“Esok kita pergi butik adik. Pukul 5, aku jemput
kau.”
“Okey.” balas Ayla pendek. Sebenarnya dia kekok
untuk bercakap dengan Haziq.
“Lagi satu, aku dah daftarkan nama untuk kursus
kahwin,” ujar Haziq lagi.
Ayla mengangguk. Dia terus masuk ke dalam rumah.
Haziq hanya memandang pelik ke arah Ayla. Apakah
masalah gadis itu? Resah semacam saja.
“Akak dating dengan angah ek?” Suara Nayla
menegur ketika Ayla melewati ruang tamu. Tadi ketika Haziq
dan Ayla di luar, dia dan Sufi sibuk meninjau dari dalam
rumah.
“Hah? Taklah. Mana ada,” nafi Ayla.
“Hurm, jom kita pergi shopping. Adik belanja akak,”
ajak Nayla. Dia sememangnya bosan duduk di rumah. Tiada
apa yang boleh dilakukan.
“Tak apalah. Akak tak ada nak beli apa-apa pun.”
“Alah, jomlah. Kita duduk rumah pun bukan buat
apa. Kalau tak nak beli apa-apa pun, akak teman adik ajelah.”
Nayla memandang Ayla dengan pandangan yang penuh
harapan. Matanya dikerdipkan beberapa kali.
Akhirnya Ayla akur juga. Kepalanya dianggukkan.

SUZUKI SWIFT milik Nayla memasuki petak parkir.
Mereka berdua berjalan menuju ke arah pintu masuk pusat
membeli-belah itu.
“Adik nak pergi mana dulu ni?”
“Adik ingat nak cari kasutlah dengan tudung.
Hujung minggu ni ada fashion show dekat PWTC. Akak nak
ikut?” Mata Nayla meliar mencari butik-butik yang boleh
mereka singgah. Mereka memasuki kedai Vincci.
“Fashion show? Wow! Rasa hati macam nak ikut...
tapi akak tak lamalah dekat sini,” balas Ayla. Hampa. Dia
suka pergi ke fashion show kerana sejak dia di universiti lagi,
dia mula melibatkan diri dengan fashion show. Maklumlah,
pelajar seni.
Nayla mula mencapai beberapa kasut yang berkenan
di hatinya untuk dicuba. Dia duduk di bangku yang disediakan.
Dia mula mencuba kasut itu satu per satu.
“Akak minat pasal fesyen ke?” tanya Nayla sambil dia
mencuba kasut-kasut itu.
“Akak ni study Art and Designlah. Mana boleh tak
minat,” ujar Ayla.
“Hah? Akak belajar art? Tapi kenapa jadi pengurus
resort?” tanya Nayla lagi. Pelik pula dia. Minat lain, tetapi
kerja lain.
“Resort tu mak dengan abah akak punya. Lepas
mereka meninggal, akaklah yang uruskan resort tu. Adik akak
belajar lagi,” terang Ayla. Hatinya sebak seketika memikirkan
hidupnya senang atas harta peninggalan ibu dan bapanya. Jika
tidak, dia sendiri tidak pasti dengan nasibnya kini. Dia segera
mengukirkan senyuman, tidak mahu merosakkan suasana.
Kata-kata Ayla disambut dengan anggukan Nayla.
Usai memilih dua pasang kasut, Nayla ke kaunter
bayaran. Dia menghulurkan kad kreditnya kepada gadis di
kaunter itu. Dia segera mendapatkan Ayla selepas membuat
bayaran. Mereka meneruskan shopping mereka ke Butik
Ariani pula.
“Akak, cantik tak? Yang mana satu ek? Purple atau
pink? Nayla menunjukkan kedua-dua tudung itu kepada Ayla.
Dia buntu mahu memilih yang mana satu. Baginya dua-dua
itu cantik, tetapi tidak pasti mana yang lebih sesuai dengan
dirinya.
“Hurm... akak rasa, better purple tu daripada pink.
Pink tu nampak menyerlah sangat. Lagipun, kulit adik dah
putih.” Ayla menyuarakan pandangannya selepas mengacukan
tudung-tudung itu pada wajah Nayla.
Sekali lagi pendapat Ayla diterima. Nayla
mengangguk setuju. Usai memilih, dia terus membuat
pembayaran di kaunter.
“Jom kita pergi kedai buku kejap. Kawan akak
ada kedai dekat sini,” ajak Ayla. Kedai yang dimaksudkan
ialah kedai Aznira. Dia selalu mendapatkan novel daripada
sahabatnya itu.
“Okey juga. Adik nak cari novellah.”
“Adik pun minat novel ke?” tanya Ayla. Nama sama,
takkan hobi pun sama kut?
“Yup. Akak pun ek? Samalah kita. Kita ni kembar
agaknya.” Mereka ketawa bersama-sama sambil menuju ke
arah kedai Aznira.
“TERIMA KASIH. Datang lagi,” ucap Aznira kepada
pelanggannya itu. Dari jauh dia melihat Ayla bersama
seorang gadis berjalan menghala ke kedainya. Dia cuba
mengecam wajah gadis bersama sahabatnya itu, namun
gagal. Maklumlah, rabun. Cuma dia yang degil tidak mahu
membuat cermin mata walaupun sudah berbuih mulut Ayla
menasihatinya.
“Hai, Aznira!”
“Hai. Ni siapa?” tanya Aznira. Dia cuba mengingat
kerana serasanya, dia pernah melihat gadis itu.
“Ni adik Haziq. Nayla Ilham.” Ayla memperkenalkan
Nayla kepada Aznira. Mereka saling bersalaman.
“Oh, pernah datang sini, kan? Dengan abang?
Patutlah macam pernah nampak. Tapi, kejap! Ayla, macam
mana kau boleh kenal adik Haziq pula? Aku tak fahamlah,”
ujar Aznira.
Ayla terdiam mendengar kata-kata Aznira. Dia
berfikir bagaimana mahu bercerita dengan sahabatnya
itu. Namun dia membuat keputusan untuk tidak bercerita.
Sampai masa nanti sahabatnya itu akan tahu juga.
“Nantilah aku cerita.” Ayla menepuk bahu sahabatnya
itu. “Dahlah, jom cari novel!” ajak Ayla. Dia dan Nayla terus
menuju ke rak buku bahagian novel.
Setelah agak lama di situ, akhirnya Ayla memilih
beberapa buah novel. Nayla pula sudah mengambil 3 buah
novel dan beberapa buah majalah.
“Akak lama lagi ke?” tanya Nayla.
“Hurm? Sekejap ek... okey dah!” Ayla segera
memberikan novel-novel itu kepada Aznira.
“Ayla ni, kalau nak pilih novel bukan main lama.
Kadang-kadang satu jam pun tak cukup,” sindir Aznira
sambil tangannya laju memasukkan novel-novel yang dibeli
oleh Ayla ke dalam plastik.
Sindiran Aznira membuatkan Ayla tersengih-sengih.
Sememangnya kata-kata Aznira tidak dapat dia nafikan.

*** AKAN BERADA DIPASARAN UNTUK KELUARAN MAC 2018** 

No comments:

Post a Comment