AYLA menjenguk dari tingkat 3 ke bawah. Dia
memandang sekeliling. Di sebelah biliknya ada sebuah bilik.
Terdapat papan tanda di pintu bilik itu.
ONLY HAZIQS & HAZRI ALLOWED
(THIS AREA FOR MEN ONLY)
Berkerut dia melihat papan tanda itu. Kelakar pun
ada. ‘Haziqs? Ada Haziq lain ke selain Haziq ini? Biarlah!’
Berhati-hati Ayla menuruni tangga. Kenapa rumah
ini sepi? Tidur lagi ke? Jam di dinding dikerling. 8.30 pagi.
Dia menuju ke arah sebuah pintu gerbang. Dapur agaknya.
Dia melihat Sufi sedang sibuk menghiris bawang merah
sehingga meleleh-leleh air mata. Dia tersenyum.
“Assalamualaikum. Apa yang sedih sangat sampai
menangis?” tegur Ayla. Teguran itu ternyata memeranjatkan
Sufi sehingga bawang tadi dibaling entah ke mana. Respons
Sufi yang spontan itu membuatkan Ayla tergelak.
“Ya ampun, mbak. Terkejut saya. Waduh, mana ya
bawang tadi?” Sufi tertunduk-tunduk di bawah meja mencari
bawang yang telah dibalingnya. Dia terpandang bawang
tadi berdekatan kaki Ayla. Segera bawang itu dicapai, lalu
dicucinya.
“Maaflah ya. Tak tahu pula Sufi tengah feeling
potong bawang.”
“Tak apa, mbak. Oh ya, kenapa kaki mbak dibalut
begitu?” tanya Sufi. Dia tersedar sewaktu dia mengambil
bawang tadi.
Pertanyaan itu membuatkan Ayla terkejut. Dia
memandang kakinya. Segera kejadian malam tadi singgah
dalam minda.
“Oh, malam tadi saya jatuh. Terseliuh sikit,” jawab
Ayla.
Jawapan itu membuatkan Sufi mengangguk.
“Sufi nak masak apa ni?” tanya Ayla. Tak sampai pula
hatinya membiarkan Sufi membuat kerja itu seorang diri.
“Mi goreng saja, mbak. Orang di rumah ini tak kisah
kalau saya masak apa-apa pun. Apa saja yang saya masak
mereka makan. Cuma, jika saya tak masak, itu mereka kisah,”
seloroh Sufi.
Kata-kata Sufi membuatkan Ayla tertawa kecil.
Pandai juga wanita Indonesia ini bergurau dengannya.
“Mbak, saya mahu tanya pada mbak. Jika mbak tak
kisah, mbak jawab ya?”
Ayla hanya tersenyum ke arah Sufi sambil
mengangguk.
“Kenapa ya mbak ke sini sama Tuan Haziq?” tanya
Sufi.
“Betul ke Sufi nak tahu?” duga Ayla.
“Ya, sudah tentu...” kata Sufi. Dia tersengih-sengih
memandang Ayla.
“Saya ni bakal isteri Haziq.”
Jawapan Ayla membuatkan Sufi terkejut. Hatinya
mula tertanya-tanya. Bukankah lelaki itu telah bertunang
dengan Farah? Gadis yang sering menyakitkan hatinya jika
mampir di sini. Ada saja yang tidak kena. Air tak sedaplah,
apalah, namun Farah hanya berani membulinya ketika di
belakang orang lain. Gadis itu sememangnya pandai berlakon.
“Kenapa, Sufi? Ada yang tak kena ke?” tanya Ayla.
Pelik juga dia melihat reaksi Sufi. Mesti ada something ni!
“Tak. Tak ada apa-apa,” selindung Sufi. Dia tidak
mahu mengambil tahu tentang perkahwinan Haziq. Takut
akan memakan diri.
“Oh ya Sufi, mana orang lain?” soal Ayla. Pelik pula
dia, sejak tadi dia tidak nampak sesiapa pun di dalam rumah
itu.
“Ada. Biasalah mbak, hari ini kan hari cuti. Pasti
mereka tidur lebih lama daripada biasa,” kata Sufi.
Tergelak Ayla mendengar kata-kata Sufi.
“Kita dengar ada orang tu mengumpat pasal kitalah.”
Suara itu membuat Ayla dan Sufi berpaling. Terlihat
seorang gadis berdiri di muka pintu dapur memandang
mereka. Sufi tersenyum namun Ayla tercengang.
“Tak, kami cuma berbual saja.” Sufi menutup
malunya. Kantoi pula mengumpat.
“Tak payahlah nak cuak. Adik gurau aje.” Serba salah
pula Nayla melihat muka Sufi seperti diacu pistol sahaja. “Ni
siapa? Tak pernah nampak pun,” tanya Nayla. Dia memandang
gadis bertudung di hadapannya itu atas bawah.
“Ini... ini bakal isteri Tuan Haziq.” Tersekat-sekat
suara Sufi hendak memberitahu. Dia yakin Nayla pasti akan
terkejut.
Seperti yang dijangka, mulut Nayla ternganga sedikit
mendengar ayat yang keluar dari mulut Sufi.
“Bi... bi... ar be... be... tul?” Nayla tergagap-gagap
bertanya.
Ayla hairan dengan reaksi yang diberikan oleh gadis
yang masih belum dikenalinya itu. Tetapi yang pastinya dia
paling pelik dengan reaksi itu kerana Sufi turut memberikan
reaksi yang sama sebentar tadi.
“Tapi angah....” Baru Nayla mahu memulakan bicara,
tangannya ditarik oleh seseorang.
“KENAPA DENGAN angah ni? Sakitlah!” marah Nayla. Saat
dia mahu membuka mulut, abangnya sudah menariknya
keluar dari rumah. Entah mimpi apalah abangnya malam tadi
sampai pagi-pagi dah sibuk nak kacau orang.
“Apa pula angah? Adiklah! Adik tahu tak yang adik
hampir aje nak rosakkan rancangan angah!” marah Haziq
dengan suara yang tertahan. Dia tidak mahu kata-katanya
didengari oleh Ayla dan Sufi. Mujur dia sempat menarik
adiknya itu sebelum rahsianya terbongkar.
“Rancangan apanya? Lagi satu, kenapa Kak Sufi kata
yang perempuan tu bakal isteri abang?”
Haziq mengeluh. Susah betul kalau ada adik yang
gemar menyibuk.
“Adik ni kecohlah! Semuanya nak tahu.”
“Mestilah nak tahu! Angah dah lupa ke yang
adik ni wedding planner angah dengan Kak Farah?”
tanya Nayla. Masakan abangnya itu lupa bahawa dia yang
bertanggungjawab untuk memastikan majlis abangnya itu
berjalan dengan gilang-gemilang.
“Betul juga tu. Tak apa, petang nanti angah dengan
minah tu pergi butik adik,” jawab Haziq sebaik sahaja teringat
peranan adik kesayangannya itu.
“Hari ni hari Ahadlah, cik abang oi! Butik tutup!”
Nayla mengingatkan abangnya itu.
“Oh? Hurm... tak apalah, angah pergi esok saja.”
“Habis tu, yang dah dirancang sebelum ni?” tanya
Nayla. Jika semua hendak ditukar, habislah! Jika pelamin
hendak ditukar, dia tidak kisah. Tapi kalau baju, parah!
“Angah rasa... baju mesti tukar, yang lain terpulang
dekat adiklah.” Haziq akhirnya membuat keputusan.
Jawapan Haziq membuatkan Nayla terasa mahu
pengsan. Apa yang dia takutkan terjadi juga.
“Kak Farah tu macam mana? Abang tak jadi kahwin
dengan dia ke?”
Haziq hanya mengangkat bahu sebelum berlalu.
Nayla terus kembali ke dapur. Padanya, gadis yang bakal
menjadi isteri abangnya itu nampak lebih baik daripada Farah
yang terlebih makan ubat gatal.
“Nama akak ni siapa?” soal Nayla sebaik sahaja dia
tiba di dapur.
“Ayla. Ayla Khalish...” jawab Ayla sambil memotong
buah yang baru sahaja dikeluarkan dari peti ais.
“Nama kita dah nak samalah. Ayla, Nayla... tapi adik
Nayla Ilham. Panggil adik aje.”
Kata-kata Nayla itu membuatkan Ayla tersenyum.
Ceria betul! Dia bersyukur kerana mereka menerima dirinya
dengan baik walaupun mereka baru sahaja bertemu.
SUASANA DI meja makan sepi walaupun ada 4 orang yang
duduk menjamah makanan di situ. Nayla memandang
abangnya yang sedari tadi asyik dengan telefon. Ayla juga
senyap. Dia mengerling Sufi, cuba bertanya apa yang
diletakkan oleh Sufi ke dalam mi mereka sehingga 2 insan
di hadapannya ini diam seribu bahasa. Apa masalahnya ni?
Dah bisu ke?
“Akak kerja apa?” Pertanyaan Nayla itu membuatkan
Ayla dan Haziq serentak menoleh ke arahnya. Sengaja mahu
memecahkan tembok sepi yang telah terbina.
“Hah? Oh, akak pengurus resort dekat Pulau
Pangkor.” Ayla menjawab pertanyaan Nayla. Sejak tadi dia
asyik memikirkan tentang reaksi Nayla dan Sufi sebentar
tadi. Kenapa ya? Ada apa-apa ke? Hatinya kuat mengatakan
bahawa ada perkara yang mereka sorokkan.
“Akak duduk dekat Pulau Pangkor? Mesti best,
kan? Macam-macam boleh buat. Ada pantai pula tu. Mesti
nyaman aje. Kalau stres, boleh tengok laut,” kata Nayla. Dia
sememangnya suka dengan keindahan dan kedamaian laut.
Setiap kali cuti, dia pasti akan melancong ke pulau-pulau.
“Memang best,tapi kalau dah setiap hari tengok tu,
kadang-kadang bosan juga.”
“Orang tak bersyukur, memanglah!” sampuk Haziq.
“Kenapa dengan angah ni? Datang bulan ek? Nak
sindir-sindir pula.” Nayla tak puas hati. Entah ribut apalah
yang melanda abangnya itu.
Ayla hanya mengetap bibir. Dia segera berlalu dari
situ. Tidak mahu makan hati.
“Betullah apa yang angah kata. Mama dengan papa
mana?”
“Pergi Singapore. Ada urusan hotel tak silap adik.
Maybe lusa baru mereka balik,” jawab Nayla.
“Tak beritahu angah pun,” ujar Haziq. Pelik juga dia.
Selalunya papa ataupun mama pasti akan memberitahunya
jika hal itu berkaitan dengan hotel.
“Tak sempat agaknya. Mereka pergi tergesa-gesa. Ada
masalah pasal kita nak buka cawangan baru kat sana,” jawab
Nayla. Dia memandang Ayla di sebelahnya. Eh, dah hilang!
Mana pula perginya? Tadi ada dekat sini. Matanya meliar
mencari kelibat bakal kakak iparnya itu.
No comments:
Post a Comment