Dear Husband-To-Be,
Malam tadi sungguh indah...
sungguh romantik. Kalau you nak I sentiasa bahagia, pastikan you seorang yang
romantik!
“GOOD morning, pa. Good morning,
ma,” ucap Deja dengan suara yang ceria. Suatu ciuman hinggap di pipi Encik
Fahmi dan Puan Shamila. “Morning semua!” sambung Deja lagi ke arah
abang-abangnya yang sudah mengambil tempat masing-masing di meja makan. Deja
menarik kerusi di antara Puan Shamila dengan Nazran, dan melabuhkan duduk
betul-betul di hadapan Aidan. Irfan, yang duduk di sebelah Aidan membalas ucapan
selamat pagi adiknya.
“Amboi happynya dia!” tegur Irfan.
“Selalunya, kalau bangun pagi bad mood je.”
Deja hanya menjeling ke arah Irfan. Malas mahu
membalas. Bukan dia tak tahu perangai Irfan
yang suka menyakatnya.
“Kalau happy macam ni, tak lain mesti
ada date. Kalau tak pun, mesti nak pergi shopping,” sampuk Nazran
pula.
Aidan menongkat mata daripada cawan kopi yang
melekat di bibirnya. Wajah Deja yang ceria dipandang.
Puan Shamila berpaling ke arah kanan. “Dee nak
keluar ke pagi ni?”
Deja mencedok mihun goreng ke dalam pinggan.
“Haah, ma. Dee nak keluar kejap.”
“Dengan Jazz ke?” Encik Fahmi pula menyoal.
Wajahnya serius. Matanya memanah ke arah Deja.
“Hmmm...” balas Deja.
“Dah agak dah...” Sempat Nazran mencelah.
Kepala sudah menggeleng.
“Keluar berdua je ke?” tanya Puan
Shamila pula. Wajah sudah berkerut. Tidak suka Deja terlalu sering keluar
berdua-duaan dengan teman lelakinya, Jazlan. Tidak manis. Malam tadi pun Deja
sudah keluar bersama Jazlan. Takkan hari ni nak dating lagi?
“Ya, ma. Jazz minta Dee temankan dia pergi
beli barang sikit pagi ni. Lepas tu kita orang nak tengok wayang.”
“Dee... papa tak suka Dee selalu sangat keluar
dengan Jazz tu. Dahlah semalam pun Dee keluar dengan dia. Pukul berapa Dee
balik malam tadi?” Encik Fahmi sudah bersuara. Agak tegas nada suaranya.
Deja menayang muka comel ke arah papanya.
“Pukul 12.30, pa. Errr... sorry arrr,
pa. Birthday party Lis mula lambat malam tadi. Potong kek je pun
dah pukul berapa... It won’t happen again, pa,” ikrar Deja sambil
mengangkat tangan kanan ke paras dada. Dia
tersenyum manis. Cuba membeli hati papanya.
Encik Fahmi menggelengkan kepala. Dia lemah
mahu menegur Deja lebih daripada yang seharusnya. Deja terlalu manja dan pandai
mengambil hatinya. Belum kena marah lagi, sudah meminta maaf. Macam mana
hatinya tak cair?
“Bagilah sangat muka kat dia tu. Esok-esok,
langsung tak reti nak balik rumah!” dengus Aidan tiba-tiba. “Macam dia tak tahu
curfew rumah ni sebelum pukul 11.00 malam?”
Deja yang baru mahu menyuap mihun ke mulut
mencerlung memandang ke arah si abang sulung. Dia mencebik seketika. ‘Sibuk
aje! Papa tak marah, dia pulak nak bising!’
“Bagus sangatlah anak dara balik rumah
malam-malam buta macam semalam. Bukannya tahu nak call kata nak balik
lambat ke apa. Entah apa dia buat kat luar tu pun kita tak tahu!” sambung Aidan
lagi. Wajahnya serius. Matanya tajam terpasak ke arah Deja. Tidak puas hati
yang Deja hanya ditegur sebegitu oleh papanya. Dia merasakan papanya langsung
tidak berkeras dengan Deja sedangkan adiknya sudah melanggar peraturan yang
ditetapkan untuk mereka empat beradik. Dari dulu lagi, papanya cukup tegas
dalam menanam disiplin dalam jiwa mereka. Tiada pengecualian!
“Hei! Malam tadi baru first time Dee
balik lambat okey? Kan Dee dah beritahu yang Dee pergi birthday party Lis.
Bukannya Dee pergi merewang ke tempat lain pun!” bidas Deja.
“Dah, dah... tak baik gaduh depan rezeki,”
tegur Puan Shamila pula. Wajah tegang Aidan serta wajah cemberut Deja dipandang
silih berganti. “Kita makan dulu.”
Deja menjelirkan lidahnya ke arah Aidan.
Jelingannya
tajam. ‘Padan muka!’
“She’s so spoilt, ma,” ujar Aidan masih
tak puas hati. “Jangan biarkan Dee buat suka hati dia je. Dia tu
perempuan!”
“Betul cakap along tu, Dee. Hari ni papa tak
izinkan Dee keluar dengan Jazz. Duduk kat rumah je hari ni. Tolong mama
masak ke apa,” putus Encik Fahmi dalam cubaannya untuk bertegas sedikit dengan
anak bongsunya.
Mulut Deja sudah terbuka.
“What?” getusnya kuat. “Pa...”
rengeknya pula. “It’s Sunday. Dee dah janji dengan Jazz. Please,
pa... please?” Deja menyatukan kedua belah telapak tangan, lalu
diletakkan setinggi dagu, lagak merayu.
Encik Fahmi menggelengkan kepala.
“No. Papa serius kali ni. Hari ni Dee
tak boleh keluar!”
Deja tidak puas hati. Matanya jelas
memancarkan amarah yang tidak mampu disuarakan ke arah Aidan. Ni semua salah
Aidan. Dia menolak kerusi kuat ke belakang. Kakinya berlari meninggalkan ruang
makan. Panggilan daripada Puan Shamila dibiarkan sepi begitu saja.
“Bang... Dee tak sempat makan pun lagi,”
rungut Puan Shamila. “Kalaupun nak ajar dia tentang disiplin, tak boleh ke
tunggu dia makan dulu? Ni dia dah merajuk, mesti sampai esok dia berkurung
dalam bilik.”
“Maaf, yang,” pinta Encik Fahmi. “Abang tak
sengaja. Abang risau betul dia selalu keluar dengan Jazz tu. Ke hulu ke hilir
berdua. Kalau dah serius, kita kahwinkan jelah diaorang berdua tu
nak?” soal Encik Fahmi kepada isterinya.
Aidan yang baru mencicip kopi panas terbatuk
tiba-tiba. Perit ya amat terasa di tekak. Pantas dia meletakkan kembali cawan
ke atas piring.
“You can’t be serious, pa!” Irfan
bersuara sebelum
sempat Aidan membuka mulut. Tidak percaya
dengan kata-kata yang meluncur daripada mulut papanya. Deja berkahwin dengan
Jazlan?
“Kenapa?” balas Encik Fahmi.
“Biar betul, pa! Dee tu apah pun tak
tahu. Masak Maggi pun tak lepas lagi. Manja bukan main! Lepas tu kuat merajuk!
Macam mana nak jadi isteri orang ni pa?”
Encik Fahmi mengeluh. Nazran pula mengangguk
tanda bersetuju dengan pendapat abangnya. Aidan diam tidak bersuara. Semua yang
mahu disuarakan tadi telah terlebih dahulu diluahkan oleh Irfan.
“Umur dah 23. Belajar dah habis. Tapi perangai
masih macam budak sekolah lagi. Tengoklah tadi. Cakap sikit nak merajuk,”
sambung Irfan lagi.
“Ayang tak berkenanlah dengan Jazz tu bang...”
ujar Puan Shamila tiba-tiba. “Diaorang sebaya. Lepas tu asyik nak enjoy
je kerja. Dee tu minggu depan dah mula kerja, tapi Jazz tu masih melepak
menghabiskan duit mak bapak. Ayang tak suka betul dengan budak lelaki yang
macam tu!”
“Habis tu, takkan kita nak putuskan hubungan diaorang?
Alamat merajuk sampai kiamatlah anak dara awak tu, yang oi! Lagipun, takkan
ayang tak tahu Dee tu macam mana? Lagi kita larang, lagilah benda tu dia nak
buat!” ungkit Encik Fahmi tentang perangai anak daranya.
“Ngah, kau rasa diaorang berdua tu
serius ke?” soal Nazran kepada Irfan.
Irfan menjongket bahu.
“Aku pun tak tahu. Dee tu bukannya boleh
percaya sangat. Otak tak betul budak tu!” Selamba Irfan mengutuk adiknya. Dia
menolak pinggan yang sudah licin. “Angah naik dululah, ma. Biar angah pujuk
adik manja sorang tu!”
Irfan bangun lalu mencapai pinggan Deja tadi.
Kaki
diayun meniti anak tangga naik ke atas. Mata
Aidan tidak lepas daripada memandang langkah adiknya. Dia mengeluh dalam hati.
Sedar yang teguran mamanya kepada papanya tadi, seharusnya ditujukan kepada
dirinya jua. Dah tahu perangai Dee yang kuat merajuk, mengapalah dia terawal
melepaskan kata sebentar tadi? Tak boleh tunggu adiknya sudah makan ke?
Irfan mengetuk pintu bilik Deja.
“Go away!” Sayup-sayup kedengaran suara
Deja dari dalam kamarnya. Irfan tidak peduli. Daun pintu diketuk semakin kuat
dan semakin lama. Tahu yang Deja rimas jika diganggu sebegitu.
Irfan menyembunyikan senyum tatkala mendengar
hentakan kaki yang semakin lama semakin kuat kedengaran menghampiri ke pintu.
Tombol dipulas kuat. Wajah kelat Deja tersembul dari celah pintu. “Nak apa?”
tanyanya kurang sabar.
“Breakfast is served... right at your
doorstep, my princess,” Irfan bermanis mulut. Hilang kerutan di wajah Deja.
Daun pintu dibuka semakin luas, mempersilakan Irfan masuk ke dalam biliknya.
Pantas Irfan mengatur langkah masuk ke dalam
bilik adiknya. Deja membiarkan saja pintu terbuka sebelum mengekor abangnya.
Mereka berdua duduk bersila di atas karpet di tepi katil.
“Dee... meh makan ni. Sedap mihun yang
mama goreng ni tau!” pujuk Irfan. Pinggan berisi mihun sengaja didekatkan ke
hidung Deja.
“Tak nak!” Deja menarik muka. Jual mahal
konon. Padahal perut dah lama berkeroncong.
“Dee... kenapa nak marah-marah ni? Salah Dee jugak
sebab balik lambat sangat malam tadi. Mestilah papa marah...”
“Tak!
Papa tak marah pun mula-mula tadi. Tapi bila along buka mulut je, baru
papa marah. Terus tak bagi Dee keluar hari ni!” adu Deja.
Irfan menarik rambut Deja yang terlepas
daripada ikatan ekor kudanya.
“Betul atau salah apa yang along cakap tadi?
Manis tak, anak dara balik rumah malam-malam buta?”
Mulut Deja memuncung sebelum dia menggelengkan
kepalanya.
“Ada Dee call mama atau papa kata nak
balik lambat?”
Kepala itu menggeleng lagi.
“Mama dengan papa risaukan Dee. Dee tu
perempuan...”
“Tapi Dee bukannya buat benda yang tak elok
pun. Dee lepak dengan kawan-kawan je,” tangkis Deja. “Along tu selalu
tak puas hati dengan Dee. Semua yang Dee buat, semua tak kena! Benci tau!”
“Along pun sama macam kita orang semua. We
care about you, Dee. Kita orang risaukan Dee. Along tegur sebab dia sayang!
Kalau tak sayang, along takkan marah. Dia akan diam dan buat tak tahu je apa
yang Dee buat. Lantak kaulah nak buat apa gitu!”
Deja menjuihkan bibir. Masam saja wajahnya.
Hilang sudah keceriaan yang dipamerkan awal pagi tadi.
“Yalah tu!” ngomelnya.
“Dah, meh makan. Angah suap nak?”
“Mana ayam goreng?” soal Deja. Tadi atas meja
ada ayam goreng. Kenapa pinggannya ada mihun kosong saja tiada lauk?
“Aisey... angah lupa arrr nak ambik.
Tak payahlah ayam goreng. Angah suap apa yang ada je, ek?”
Deja menjeling konon tidak puas hati. Namun
mulutnya masih dingangakan. Perut yang lapar tidak sanggup untuk dihukum.
“Good girl!” puji Irfan.
Dari jenang pintu, Aidan hanya memasang telinga. Hati sedikit
senang melihat Deja tidak merajuk lagi. Mungkin masih merajuk dengannya, tapi
setidak-tidaknya, perut Deja tidak dibiarkan kosong tidak berisi. Irfan
sentiasa bisa mengubah angin Deja. Daripada tidak baik, kepada baik. Irfan
memang bijak meneka serta memujuk hati Deja. Hubungan Deja dengan Irfan memang
amat rapat. Sesuatu yang terlebih dahulu pernah dinikmatinya bersama Deja suatu
ketika dulu. Namun kini, tempatnya sudah diambil oleh Irfan. Asyik-asyik Irfan!
No comments:
Post a Comment