“MEH sayang, meh masuk. Jangan takut,” pujuk Puan
Shamila lembut. Tangan kanak-kanak yang melangut memandangnya ditarik sedikit.
Bulat mata si kecil dan yang masih sedikit basah dek sisa tangis yang seakan
tidak mahu berhenti sepanjang perjalanan pulang ke rumah tadi.
Puan Shamila mengerling ke arah
suaminya yang berdiri rapat di sebelahnya sebelum menebarkan pandangan ke arah
ruang tamu. Tiga pasang mata memandang ke arah mereka dengan penuh tanda tanya.
Si kecil merapatkan dirinya ke tubuh Puan Shamila. Sorotan matanya penuh
ketakutan.
“Along, angah, adik,” seru Puan
Shamila. “Papa dengan mama nak kenalkan korang semua pada ahli baru
dalam keluarga kita ni.” Dalam diam, mata Puan Shamila merayu pengertian
daripada anak-anak lelakinya.
Puan Shamila serta Encik Fahmi
bersaing melangkah ke hadapan. Si kecil ditarik bersama-sama. Kecil
langkahnya... dan jelas kelihatan
amat keberatan untuk mengikut kaki Puan Shamila.
“Ni, Deja,” Encik Fahmi pula bersuara
ke arah tiga orang anak terunanya. “Dee, mulai hari ni, yang bertiga ni semua
abang-abang Dee. Yang ni along, yang ni angah dan yang ni... errr...
alang.” Encik Fahmi memandang ke wajah anak bongsunya. “Sorry adik,
mulai hari ni, adik dah jadi alang ya. Dee yang akan jadi adik sebab umur Dee
baru 5 tahun.”
Ketiga-tiga anak Puan Shamila dan
Encik Fahmi masih tergamam dengan pengumuman yang baru dibuat oleh orang tua
mereka. Mata tidak berkalih daripada tubuh si kecil yang menggenggam erat baju
kurung mama mereka, seakan tidak mahu dilepaskan. Muka disembamkan ke paha Puan
Shamila. Sekali-sekala, si kecil akan mengerling ke arah mereka dengan mata
yang bulat.
“Comelnya dia, pa,” puji Irfan, anak
kedua Encik Fahmi serta isteri, yang berusia 10 tahun. “Mata dia besar gila!”
Si kecil mengerdipkan matanya ke arah
Irfan, seolah-olah ingin menayangkan betapa benar dan betapa tepat kata-katanya
tadi. Irfan sudah tersengih. Hatinya bagai ditarik-tarik melihat wajah comel si
kecil. Bukan setakat matanya besar seperti watak komik dari negara Jepun yang
sering dibacanya, bulu matanya juga begitu lebat dan lentik bak anak patung.
Rambutnya panjang dan keriting, dan gulung-gulung kecil yang jatuh lebat di
belakang tubuhnya meyakinkan Irfan yang Deja ini benar-benar daripada spesies
anak patung.
“Pa? Apa maksud semua ni?” soal
Aidan, anak yang sulung. Wajahnya ketat, dan matanya kosong tanpa cahaya.
Encik Fahmi mengerling ke arah
isterinya.
“Yang, ayang bawak Dee naik ke
atas dulu ya. Biar
abang jelaskan pada anak-anak kita.”
Puan Shamila mengangguk. Sebelum dia
menurut arahan si suami, sempat dia menatap ke setiap wajah anak-anaknya,
Aidan, Irfan dan Nazran. Sekali lagi, matanya merayu pengertian dan simpati
daripada mereka bertiga akan nasib si kecil... anak yang sudah hilang tempat
bergantung dan bermanja.
“Jom, sayang ikut mama. Kita mandi,
lepas tu kita salin baju,” ajak Puan Shamila dengan suara yang perlahan. Tangan
kecil Deja sekali lagi tenggelam dalam genggamannya. Deja yang masih tidak
bersuara sejak tadi hanya mengikut. Beg pakaian yang dibawa pulang oleh Puan
Shamila tadi dibawa naik ke atas.
“Duduk along, angah, alang,” suruh
Encik Fahmi sebaik saja kelibat isterinya dan Deja hilang daripada pandangan.
Encik Fahmi melepaskan lelah di sofa
tunggal di ruang tamunya. Dia memejamkan matanya seketika. Penat... dan sedih
sangat...
“Pa?” Anak bongsu yang selama ini
dipanggil ‘adik’ pertama kali bersuara. “Siapa Deja tu?”
Suatu keluhan berat terbit daripada
bibir Encik Fahmi.
“Ingat tak tiga hari lepas, papa ada
cerita yang kawan rapat mama masa kat universiti dulu accident kat
Melaka dalam perjalanan balik ke KL?” soal Encik Fahmi.
Serentak tiga kepala mengangguk.
“Aunty Murni ke pa?” Irfan
bersuara.
“Hmmm, Aunty Murni...”
jawab Encik Fahmi. “Aunty Murni dengan Uncle Zubair dah takde...”
Sayu suara Encik Fahmi.
“Innalillahiwainnailaihirojiun,”
Aidan serta Irfan
bersuara hampir serentak. Nazran
hanya mendengar. Mulutnya sedikit ternganga. Padanlah mata mama mereka
kelihatan agak sembap tadi. Pasti bersedih dengan kehilangan teman baiknya.
“Dee tu dah jadi anak yatim. Sekelip
mata dia jadi sebatang kara kat dunia ni,” ujar Encik Fahmi dengan wajah yang
sugul. “Dee anak tunggal. Aunty Murni dah kahwin hampir 10 tahun baru
dapat anak. Lama diaorang tunggu kehadiran Dee. Dee la intan, Dee la
permata...” Lirih suara Encik Fahmi.
“Dia takde saudara-mara yang
boleh jaga dia ke, pa?” Aidan menyoal. Wajahnya walaupun masih seketat tadi,
kini sudah terbias rasa simpati.
Encik Fahmi mengeluh sekali lagi.
“Ada... tapi takde sesiapa pun nak jadi penjaga dia. Atuk dan nenek,
semua dah takde. Yang ada, cuma pak cik dan mak cik dari belah Aunty Murni
dan Uncle Zubair, tapi semua tak sanggup nak bela Dee. Jadi, memandangkan
mama dan papa dari dulu lagi teringin sangat nak ada anak perempuan, kami
sepakat untuk bawak Dee balik ke sini.”
Perbalahan antara keluarga daripada
sebelah Murni dan juga Zubair ketika masih di hospital, terlayar di depan mata.
Masing-masing menolak Deja untuk dijaga oleh orang lain. Masing-masing sibuk
membentangkan hujah serta alasan mengapa mereka tidak mampu untuk menjaga Deja.
Tiada sesiapa pun yang mahu bertanggungjawab ke atas anak kecil itu. Wajah
suram Deja yang seakan mengerti dirinya sedang ditolak ke serata arah, meruntun
hatinya. Maka dengan lantang dia bersuara. Deja akan menjadi sebahagian
daripada keluarganya! Senyap semua mulut yang berbalah tadi. Riak lega
terpancar pada setiap wajah mereka.
“Papa dengan mama harap, along, angah
dengan alang boleh terima Dee sebagai adik korang semua. Ingat! Dee tu
anak yatim. Banyak pahala untuk kita semua kalau kita jaga dia dengan ikhlas dan penuh
kasih sayang...”
Irfan mengerling ke wajah si abang
sulung.
“Angah okey je, pa. Angah pun
memang dah lama teringin nak ada adik perempuan. Dah penat buli si adik ni...
Eh, maksud angah, si alang ni!” Irfan menjeling ke arah Nazran. Panggilan
kepada adiknya diperbetulkan, demi menerima kehadiran Deja dalam keluarga
mereka.
Nazran pada mulanya mencemik ke arah
abangnya tanda tidak puas hati. Namun, hatinya berasa lega kerana dia tidak
akan menjadi mangsa buli angahnya lagi. ‘Seronok jugak ada adik kalau
macam ni,’ fikirnya.
“Alang pun okey ada adik, pa. Alang
akan jaga adik baik-baik,” Nazran bersuara penuh semangat. Pada usia 7 tahun,
dia kini mempunyai seorang adik kecil yang sangat comel. Tak sabar pula nak
berkongsi cerita dengan rakan-rakan di sekolahnya nanti.
“Along?” Encik Fahmi menghalakan mata
ke arah Aidan yang membisu. “Along okey dengan semua ni?” Aidan anak yang
sulung. Anak yang amat bertanggungjawab walaupun usianya baru 13 tahun.
Irfan serta Nazran turut menantikan
si abang sulung menuturkan sesuatu. Seolah-olah menunggu kata putus daripada
seorang hakim yang akan menentukan nasib si adik angkat. Tanpa sedar, Irfan
menahan nafas.
Aidan mengangguk tanpa bersuara.
“Alhamdulillah... Lega hati papa.”
Penerimaan daripada ketiga-tiga anak kandungnya begitu melapangkan dadanya. Dia
tidak perlu risau akan nasib Deja lagi. Deja akan menjadi anak perempuan yang
selama ini diidamkan. Secubit pun Deja tidak akan rasa kekurangan kasih sayang
daripada seorang ibu dan juga bapa. Jika dulu Deja merupakan anak yang tunggal,
kini dia mempunyai tiga orang abang yang akan sama-sama mencurahkan kasih dan
sayang mereka
kepadanya.
Deja akan dimanjakan selayaknya seorang anak bongsu dimanjakan oleh setiap ahli
keluarganya. Itu janjinya!
No comments:
Post a Comment