Wednesday, 11 April 2018

DEAR HUSBAND-TO-BE BAB 3


Dear Husband-To-Be,
Hari ni hari pertama I akan mulakan kerjaya I. I excited sangat ni! Wish me luck my husband-to-be!
PAGI pertama sebagai seorang pekerja dimulakan dengan sesi berkenalan dengan semua kakitangan yang bekerja di ibu pejabat syarikat, taklimat tentang operasi syarikat serta mendalami hal-hal dalaman syarikat, terutamanya yang berkaitan dengan sumber manusia. Memegang jawatan eksekutif dalam Jabatan Sumber Manusia di syarikat telekomunikasi yang agak besar ini, benar-benar membuat dia teruja. Dia mempunyai misi dan visi yang tersendiri. Biar dia bermula dari bawah. Biar merangkak dulu. Nanti dia akan pastikan pangkatnya akan naik seiring dengan peredaran masa.
Staf dalam jabatannya saja ada hampir 30 orang.
Punyalah ramai! Mana taknya? Syarikat ni ada lebih kurang empat ribu orang kakitangan. Makanya, Jabatan Sumber Manusia dibahagikan ke beberapa bahagian dan Deja ditugaskan di bahagian perekrutan yang mempunyai lima orang staf kesemuanya.
Menjelang ke pukul 5.30 petang, Deja sudah mula menyesuaikan diri dengan persekitaran baharunya. Dia rasa gembira dengan episod baharu dalam kehidupannya. Tidak sabar dia ingin berkongsi cerita dengan papa, mama dan juga Irfan.
Pulang ke rumah, laju dia meluru ke arah Puan Shamila yang berada di dapur. Sejak mamanya bersara daripada profesionnya sebagai seorang peguam, tiada lain yang dilakukan oleh Puan Shamila. Memasak, berkebun, bersenam dan meluangkan masa bagi aktiviti amal yang menjadi minatnya. Dan Deja tahu, pada waktu begini, mamanya tentu sedang sibuk menyediakan makanan untuk santapan malam mereka.
Riuh mulut Deja menceritakan tentang hari pertamanya di pejabat. Tersenyum Puan Shamila mendengar celoteh Deja. Gembira si anak bisa menerima tanggungjawab yang diamanahkan oleh syarikat kepadanya.
“Ma, angah mana? Dee tak sabar nak cerita pada angah.” Deja sudah bangun mahu meninggalkan ruang dapur.
“Angah tak balik lagi. Dia ada meeting kalau tak silap petang ni,” balas Puan Shamila. “Papa pun sekali...”
“Oh... kalau macam tu, Dee naik dululah. Nak mandi,” putus Deja. Agak kecewa Irfan masih belum balik. Laporan yang ingin disampaikan kepada abangnya itu terpaksa ditunda dulu nampaknya.
Dalam keluarga mereka, hanya Irfan yang mengikut jejak langkah mama serta papanya untuk menjadi seorang peguam. Aidan, memilih untuk menjadi seorang doktor,
dan baru membuka klinik sendiri setelah tamat tempoh berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Katanya mahu berehat dulu sebelum menyambung pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi. Manakala Nazran, berminat dalam bidang perniagaan. Buat masa ini, Nazran melukis dan mencetak baju-T untuk dijual secara dalam talian dan juga di bazar larut malam di Taman Danau Kota.
Deja kembali ke ruang tamu. Beg tangan yang dicampak ke atas sofa tadi, diambil semula. Baru mahu naik ke atas, bunyi deruman motosikal Aidan kedengaran di luar pekarangan rumah. Bunyi motosikal Aidan amat dikenalinya, yang berbeza sedikit daripada bunyi motosikal Irfan dan juga Nazran. Ketiga-tiga abangnya mempunyai sebuah kereta dan juga motosikal berkuasa tinggi seorang satu. Sama saja minat mereka. Abang beli motosikal, yang lagi dua orang tu pun, sibuk nak miliki motosikal juga!
Hala tuju kaki Deja kini berubah ke pintu utama. Mata menangkap figura Aidan yang sedang menanggalkan helmet daripada kepalanya. Kaki kanan diayun untuk turun daripada motosikal Kawasaki Z900 kesayangannya. Motosikal ditongkat sebelum jaket ditanggalkan daripada tubuhnya. Cukup bergaya abang sulung Deja ini. Berkarisma dan mempunyai aura yang tersendiri. Bertuah Nia memiliki lelaki setampan Aidan.
Deja sudah tersenyum simpul melihat mata Aidan yang seakan terkejut melihat dirinya tercegat di muka pintu.
“Tunggu angah ke?” tegur Aidan. Macamlah dia tak tahu perangai Deja ini. Kalau tercegat kat pintu masuk, sah-sahlah mahu menunggu Irfan. Bukan dirinya, dan bukan juga Nazran.
“Mama kata angah balik lambat. Ni Dee nak sambut along balik tak boleh ke?” soal Deja dengan wajah yang bercahaya.29
Aidan melurut rambut ke belakang dengan jari-jemarinya. Jaket serta helmet di tangan diserahkan kepada Deja. Kasut ditanggalkan sebelum tubuh kembali ditegakkan.
“Along tak kata pun tak boleh...” Lunak pandangan yang singgah di wajah Deja. “So, how was your first day?”
Terrific!” balas Deja ceria. Kaki mengundur sedikit untuk memberikan ruang kepada Aidan masuk ke dalam rumah. Jaket serta helmet Aidan dibawa masuk. Deja duduk di sofa berangkai tiga. Aidan mengambil tempat di sebelah kirinya. Segala yang diceritakan kepada Puan Shamila tadi diulang buat tatapan telinga si abang pula.
“Alhamdulillah... along tumpang happy Dee happy kat sana.”
“Eh, kenapa along nampak penat sangat?” soal Deja. Punyalah rancak bercerita sehinggakan tidak sedar akan wajah Aidan yang lesu.
Patients ramai sangat hari ni. Along tak sempat nak lunch...”
“Laaaa... kesiannya along. Malam ni shift along jugak ke?”
“Tak. Malam ni shift kawan along. Along dah tak larat...”
“Nak Dee tolong picit along?” Deja sudah menegakkan tubuh. “Meh Dee picit bahu along nak?” Tangan sudah hinggap di bahu Aidan. Mahu melonggarkan sedikit otot-otot Aidan yang tegang. Sesuatu yang sering dilakukan kepada Aidan dulu.
Perlahan-lahan Aidan menurunkan tangan Deja daripada bahunya. Wajah kekal manis agar Deja tidak terasa dengan penolakannya.
Takpe. Along okey. Along nak mandi je dulu. Lepas
maghrib kita makan ya? Along lapar.”
“Okey. Dee pun nak mandi. Jom naik!” ajak Deja. Dia menelan rasa kecil hati. Bukan dia tidak tahu yang Aidan tidak suka disentuh olehnya. Seingatnya, Aidan tidak begini ketika dia masih kecil dulu. Peluk cium sudah biasa dihadiahkan oleh Aidan kepadanya. Sama saja dengan tindakan Irfan serta Nazran. Cuma... sejak dia berusia 16 atau 17 tahun, semuanya berubah. Aidan sudah tidak semesra dahulu dari segi fizikal. Berjalan berpimpin tangan dengannya pun, Aidan sudah tidak mahu.
Deja sedar hukum yang memisahkan pergaulan bebas antara mereka. Sejak mula lagi dia tahu yang dia cuma anak angkat kepada papa dan mamanya. Namun dia masih menyimpan rasa terkilan. Dia rindu akan Aidan yang dulu yang tidak pernah berkira dalam mempamerkan kasih sayangnya. Yang paling utama, Deja rindu akan pelukan daripada abangnya itu. Setiap kali Aidan memujuk serta memeluknya, cepat saja hatinya menjadi tenang dan suhu menjadi rendah. Kini pujukan daripada Aidan hanya di bibir. Tiada lagi sentuhan mahupun pelukan daripada Aidan.
Tipulah kalau Deja mengatakan yang dia tidak merasa suatu kehilangan akibat jarak yang telah dicipta oleh Aidan. Memang terasa. Dan Deja terasa amat rindu... rindu sangat akan kemesraan mereka yang lalu!
USAI MAKAN malam, Deja dikejutkan dengan Nazran yang tiba-tiba menghidangkan kek kegemarannya di atas meja makan. Merekah bibir Deja.
“Apa ni lang?”
“Nak celebrate hari yang penuh sejarah sebab ada
budak manja dah berjaya menyudahkan hari pertama kerja, tanpa apa-apa drama atau kejadian yang boleh buat papa sakit jantung,” jawab Nazran selamba. Terletus tawanya melihat riak Deja berubah masam. Tawanya disambut pula oleh Irfan, Encik Fahmi dan juga Puan Shamila. Aidan sekadar tersengih meleret.
“Menyampah tau,” rungut Deja dengan muncung yang panjang. “Ma, tengok alang ni!” adunya.
Puan Shamila mengulum senyum. Pisau dicapai lalu kek tadi dipotong.
“Dah, jangan kacau Dee. Meh kita makan kek.”
Emmm... sedapnya!” puji Deja tatkala kek keju coklat sudah meniti di atas lidah. “Thank you, lang. Sayang alang!”
“Eh, helo! Angah yang kasi duit pada alang untuk belikan kek ni tau. Where’s my sayang? Takkan sayang alang je?” getus Irfan tidak puas hati.
Deja mengerdipkan mata seraya melayangkan beberapa ciuman ke arah Irfan. Comel saja lagaknya. Tak serupa gadis yang sudah berusia 23 tahun!
“Tu pun nak berkira. Mestilah sayang alang yang susah-payah belikan kek ni untuk Dee.”
“Angah meeting dengan papalah tadi. Kalau tak, mesti angah yang pergi beli,” ujar Irfan lagi. Masih mahu menang.
Deja mengerutkan hidung ke arah Irfan tanda mengusik. Tergelak Irfan jadinya. Aidan hanya mampu menggelengkan kepala melihat aksi tidak matang adik-adiknya.
“Papa happy Dee selesa kat sana walaupun baru sehari Dee bekerja. Papa harap Dee akan kerja elok-elok kat sana. Pandai-pandailah bawak diri dan kalau ada masalah,
jangan lari. Berani bertanggungjawab kalau Dee yang salah, dan hadapi dengan sabar kalau Dee di pihak yang benar,” pesan Encik Fahmi panjang lebar kepada anak bongsunya. “Takde kerja yang senang dalam dunia ni. Jangan cepat putus asa kalau Dee rasa Dee tak boleh buat. Belajar dan jangan malas bertanya.”
“Ya, pa. Insya-Allah Dee akan ingat tu.” Wajah tenang papanya ditatap bersama sekuntum senyuman. “Thanks!”
“Papa ni masih teruk bekerja Dee tengok. Kata nak phase off dah...” tegur Deja sebelum suapan kedua dibuat.
“Papa memang nak pelan-pelan phase off semua kerja papa. Tapi papa masih ada klien yang tak nak peguam lain take over kes diaorang tu. Tak ramai, tapi ada seorang dua. Jadi, nak tak nak, papa masih kena buat,” jelas Encik Fahmi. “Insya-Allah, tak lama lagi kes diaorang akan selesai. Nanti papa dah boleh retire macam mama.” Encik Fahmi mengerling ke arah isterinya.
“Papa mesti rindu kat mama bila mama berhenti dulu kan? Kalau tak, pergi ofis sama-sama, balik pun sama-sama,” komen Deja lagi.
Encik Fahmi dengan Puan Shamila berbalas kerlingan.
“Mestilah papa rindu... Walaupun department papa dengan mama lain-lain, kadang-kadang tu masih boleh dating dengan mama untuk lunch atau bertukar-tukar pendapat, tapi sejak mama berhenti kerja, papa dah tak boleh nak main-main mata dengan mama lagi,” usik Encik Fahmi.
Pantas tangan Puan Shamila menepuk lengan suaminya.
“Apa abang ni? Malu je kat anak-anak!”
Yang lain sudah tergelak mendengar kata-kata Encik Fahmi serta reaksi Puan Shamila. Senang dengan
kasih sayang yang tidak pernah lokek dipamerkan oleh Encik Fahmi buat isterinya, walaupun di hadapan anak-anak.
“Papa is so sweet...” rengek Deja. “Agaknya kan, baba dengan ibu Dee dulu sweet macam ni tak ya?” Tiba-tiba Deja menyoal. Matanya memandang kosong ke arah piring yang masih bersisa.
Spontan suasana di ruang makan berubah sepi seketika. Puan Shamila mencapai tangan Deja.
“Yang mama ingat, ibu Dee pun manja dengan baba. Disebabkan arwah datuk Dee ada darah Arab, baba Dee pun fasih cakap bahasa Arab. Kalau dia nak bersikap romantik dengan ibu Dee, baba akan bercakap bahasa Arab, sebab dia tahu ibu Dee takkan faham. Ucap ‘I love you’ semua pun dalam bahasa Arab, tapi yang tu ibu Dee faham sebab dah selalu sangat baba ucap kata-kata cinta tu dalam bahasa Arab,” terang Puan Shamila sambil tersenyum. Dia tidak pernah berahsia tentang siapa orang tua Deja yang sebenar. Apa saja soalan yang Deja ingin tahu tentang ibu atau babanya akan dijawab semampu boleh oleh Puan Shamila ataupun Encik Fahmi.
“Lagipun, diaorang hidup berdua lama sebelum Dee dilahirkan. Baba tak pernah merungut diaorang takde anak bertahun-tahun lamanya selepas kahwin. Baba tetap setia dengan ibu Dee walaupun keluarga kedua belah pihak dah bising diaorang masih takde anak. Bila ibu Dee mengandung, babalah orang yang paling gembira...”
Deja turut tersenyum.
“Dee harap, bakal suami Dee pun akan sweet macam papa dan baba...”
‘Dengar tak my husband-to-be? Make sure you are sweet!’ Deja membuat nota di dalam kepala tentang pesanan yang bakal dicoret ke dalam diari sebentar lagi.
“Alang lupa pulak datuk Dee ni ada darah Arab,”
tutur Nazran. Hai! Padanlah Dee ni ada iras-iras perempuan Arab. Dengan rambutnya yang ikal lagi keriting, dengan bulu mata yang lebat serta lentik, kulit yang putih kemerahan, membuat orang di luar sana sering tertanya-tanya mengapa Deja terlalu lain daripada mereka tiga beradik. Namun soalan yang sering diterima mereka hanya dijawab dengan menjongketkan bahu atau sekadar melepaskan tawa kecil. Tidak perlu dijelaskan secara nyata kerana biarlah yang rapat dengan mereka sekeluarga saja yang perlu tahu tentang asal usul Deja.
“Haah,” sambung Encik Fahmi pula. “Arwah baba Dee pun segak sangat orangnya. Tinggi... badan pun tough. Ibu Dee pulak kecik rendah orangnya. Macam Dee...”
Deja mengangguk. Semua yang diperincikan oleh papanya memang jelas terbukti daripada gambar-gambar famili yang disimpan dengan rapi oleh Puan Shamila serta suaminya, sehingga diserahkan semuanya kepada Deja ketika Deja berusia 12 tahun.
I hope they’re proud of me...” Perlahan suara Deja. Namun masih bisa ditangkap oleh semua di sekelilingnya.
Aidan mengeluh dalam hati. Rasa simpatinya terhadap Deja tidak pernah bertepi. Mungkin orang lain akan berfikir betapa bertuahnya Deja mempunyai keluarga angkat seperti mereka. Yang menyayangi dirinya tanpa syarat. Hakikatnya, bukan Deja yang bertuah, tetapi mereka! Kehadiran Deja seakan telah menguatkan lagi ikatan kekeluargaan antara mereka. Kalau dulu hubungan dia dengan adik-adiknya seperti anjing dan kucing, namun Deja telah membuat mereka rapat dan mesra, kerana masing-masing mempunyai objektif yang sama. Menyayangi serta melindungi Deja daripada realiti kehidupan yang penuh dengan kata-kata hasad dan dengki. Maka dari situ, mereka bertiga sentiasa sepakat dan bersatu. Demi Deja...
“Mestilah diaorang bangga dengan Dee...” Perlahan
juga suara Puan Shamila. Seakan memujuk. Tahu kerinduan yang tidak pernah pudar yang ditanggung oleh Deja buat orang tuanya. “Sama macam kita orang semua yang bangga dengan pencapaian Dee selama ni...”
Thanks, ma!” Terharu. Deja melabuhkan ciuman ke pipi mamanya. Puan Shamila membalas dengan menepuk-nepuk pipi anak gadisnya.
“Eh, makanlah kek ni. Penat-penat alang beli tau!” Nazran bersuara. Mahu mengembalikan suasana ceria yang tiba-tiba hilang sebentar tadi. “Alang tak kira! Dee kena habiskan jugak malam ni!”
Terbeliak mata Deja.
“Mana Dee larat makan sorang? Along... angah... tolong Dee ya?” rengek Deja manja. Mata sudah dikerdipkan ke arah Aidan serta Irfan.
Aidan melarikan mata ke arah piring kek yang sudah kosong.
“Yalah!” balasnya. Tidak mampu menolak kehendak si adik bongsu. Irfan turut mengangguk walaupun sedar yang perutnya tiada ruang yang kosong untuk menelan apa-apa lagi.
Yes!” jerit Deja sebelum sepotong kek diletakkan ke dalam piring di hadapan Aidan. Aksi yang sama dilakukan untuk Irfan. Sengaja dia membuat potongan yang besar. “Thanks long, ngah. Sayang you all ketat-ketat!”
Kening Aidan bertaut seketika sebelum riaknya pantas disembunyikan. Nazran pula sudah menggelengkan kepala.
Korang ni lembik arrr!” kutuknya. “Senang betul korang kena buli!”
“Diamlah kau!” dengus Irfan. “Aku memang suka kek ni!” Dia mengenyit mata ke arah Deja. Hailah! Telan 36
sajalah walaupun rasa macam dah nak muntah. Itu saja yang mampu dilakukannya. Apa saja demi Deja.

No comments:

Post a Comment