Wednesday 11 April 2018

DEAR HUSBAND-TO-BE BAB 9


Dear Husband-To-Be,
I masih benci pada along. Tapi... kenapa I marah sangat ni? I pun tak tahu!
DEJA duduk di atas batu sederhana besar sambil merendam kaki ke dalam air sungai yang dingin. Nyaman terasa sehingga ke sumsum tulang.
“Dee... you marah I lagi ke?”
Deja menggelengkan kepala. Wajah serius Jazlan yang duduk di sebelahnya dan melakukan aksi yang sama dipandang sejenak.
“Habis tu? Kenapa you diam je dari tadi? I betul-betul minta maaf pasal malam kelmarin Dee...” pinta Jazlan untuk kali yang entah ke berapa. Riak bersalah memenuhi setiap garisan di wajahnya. “I dah minta maaf pada along you jugak tadi.”
 “I dah tak fikir pasal malam tu, Jazz. I cuma takde mood. Kalau tak sebab angah, I nak cancel je outing kita hari ni. I ada banyak sangat benda kat dalam kepala I ni.”
“Tak nak share dengan I?” soal Jazlan lembut. Ingin mengambil hati Deja kembali.
Yang sebenarnya, Deja masih belum bersedia untuk berkongsi dengan Jazlan tentang hal kerjanya. Dengan papa, mama serta abang-abangnya pun dia masih belum membuka mulut. Hanya Lisa seorang yang tahu tentang hal pemindahannya ke Kota Kinabalu. Itu pun, Deja sudah meminta agar Lisa mendiamkan saja perkara itu dulu. Dia masih menanti masa yang sesuai untuk memaklumkan sendiri kepada keluarganya dan juga Jazlan.
Deja tersenyum kecil.
“Bukan sekarang, okey? Sekarang tak sesuai.”
“Dee!” jerit Irfan yang sudah pun berendam sepenuhnya di dalam air. “Tak nak mandi ke?”
Deja menggelengkan kepala.
“Tak naklah. Sejuk!” dalih Deja.
Rina yang berendam rapat di sebelah Irfan sudah mencemik.
“Dasar anak bandar. Mengharapkan water heater setiap kali nak mandi,” sindirnya. “Air sungai pun tak tahan sejuk.”
Irfan ketawa. Sindiran daripada Rina dianggap sebagai kata-kata usikan semata-mata.
“Semalam kan hujan? Memanglah sejuk. Jeram kat atas tu pun macam deras semacam.” Air dipercikkan ke wajah Rina. Sengaja. Mahu mengusik si buah hati.
“Fan!” rengek Rina manja seraya meraup wajah. “Janganlah...” Rengekan Rina disambut oleh tawa Irfan yang
semakin galak mengusik teman wanitanya.
“Dan...”
Aidan mengalihkan pandangan daripada merpati dua sejoli yang santai duduk di atas batu.
“Tak nak mandi ke?”
“Kejap lagi kut,” balas Aidan. Bekas air minuman styrofoam yang dihulur oleh Nia disambut. Sopan gadis itu duduk bersimpuh di atas tikar sambil tangan sibuk mengeluarkan makanan yang dibawa ke tapak perkelahan mereka ini.
Seketika kemudian, Nazran melabuhkan duduk di atas tikar dengan persalinan mandinya. Tuala disangkut ke leher.
“Long, nasib baik kau ingat nak bawak khemah. Senang nak salin baju,” ujar Nazran. Tangan sudah menyumbat kuih karipap ke dalam mulut.
Hmmm...” Sambil meneguk air teh-o yang sudah sejuk, mata mengerling ke arah Deja yang enak berbual dengan Jazlan. Nampaknya kedinginan Deja terhadap Jazlan yang dipamerkan pagi tadi sudah hilang. Deja kini sudah kembali mesra berbual dengan lelaki yang masih menganggur itu. Hanya dia yang masih menerima layanan dingin Deja.
Sejak Deja pulang ke rumah malam tadi, hinggalah kini, tiada sepatah kata pun yang diucapkan oleh adiknya itu. Ucap maaf daripada Aidan pun seperti angin lalu yang menyapa di telinga. Langsung tiada kesan kepada Deja.
“Long,” seru Nazran lagi. “Kau dengan Dee tak baik lagi ke?”
Kaku seketika tangan Nia yang baru mahu membuka bekas Tupperware berisi sandwic.
“Dan, you gaduh dengan Dee ke?”
 Just a small misunderstanding.” Ringkas balasan Aidan. Mata sudah mencerlung ke arah Nazran. Tidak suka hal keluarga dibincang untuk pendengaran orang luar.
Nazran mengerti. Raut sudah mempamerkan riak kesal. Dia terlepas kata nampaknya.
“Oh... padanlah I tengok Dee macam tak semesra selalu...” komen Nia.
“Alah... biasalah gaduh adik-beradik ni, kan?” celah Nazran. Nia tersenyum seraya mengangguk.
Melihat Siti sudah keluar dari khemah, Nazran bangun.
“Okey, aku nak mandi.” Kaki dibawa ke bahagian tengah sungai yang terbentuk seperti kolam yang besar. Temannya, Siti hanya mengekor dari belakang. Gelak tawa mereka bersabung dengan suara-suara pengunjung lain, terutamanya kanak-kanak kecil, yang ligat melompat masuk ke dalam sungai.
“Tu boyfriend Dee ke Fan?” soal Rina. Entah mengapa, mata asyik mahu melihat ke arah Deja serta lelaki yang diperkenalkan sebagai Jazz kepadanya tadi.
Hmmm...”
“Kerja apa? Muda-muda lagi dah bawak kereta BMW?” ujar Rina.
Irfan mengerling ke arah Rina. Telinganya seakan menangkap nada tidak puas hati pada suara buah hatinya, namun dia tidak tahu sebab Rina perlu merasa begitu.
“Anak orang kaya, biasalah...”
“You pun anak orang kaya jugak, tapi tak drive BMW pun?”
Terjongket kening Irfan.
Errr... maksud I, you taklah pulak nak beli kereta
BMW, walaupun you anak orang kaya.” Tergagap-gagap Rina cuba membetulkan kata-kata yang kedengaran agak sinis tadi.
“Reen, I tak rasa I anak orang kaya. Cuma famili I mampu. Tu je,” tangkis Irfan. Kaya? Seperti tak tepat. Walaupun kehidupan mereka serba-serbi mencukupi, namun Irfan tidak merasakan yang mereka berlebih-lebih dalam segala hal. Papa dan mama pun tidak pernah memanjakan mereka dengan kebendaan. Semua yang mereka inginkan, perlu diusahakan sendiri. Malah, sejak mereka dalam alam persekolahan sehinggalah ke peringkat universiti, setiap kali cuti sekolah atau semester, setiap mereka akan disarani agar mencari kerja sambilan untuk mendapatkan duit poket. Daripada usia yang muda, papa mereka sudah mengajari mereka tentang erti usaha dan berdikari. Tak semua yang mereka inginkan akan datang bergolek tanpa sebarang usaha.
“You ni humble sangat arrr, Fan.” Mata Reen melirik manja. Alah! Macamlah dia tak tahu betapa besarnya nama papa dan juga mama Irfan dalam dunia perundangan, dan betapa berjayanya firma Ali & Partners yang sudah berusia lebih 30 tahun itu. Mama Irfan dulu pun merupakan seorang daripada rakan kongsi firma sebelum dia memilih untuk bersara daripada profesionnya, tetapi masih menjadi penasihat kepada firma itu.
“Kenapa you tanya pasal Jazz?” soal Irfan.
“Saja. Nampak sesuai dengan adik you tu,” balas Rina bersahaja.
She deserves someone better,” komen Irfan.
Berkerut dahi Rina.
“Kenapa?”
“Dee tu perlukan sorang lelaki yang akan jaga dia dengan baik. I tak nampak Jazz tu boleh jaga Dee macam mana I, along dan alang jaga dia selama ni.”
Rina sudah membuat muka. ‘Eleh! Menyampah aku!’
“Kalaulah Dee nak kahwin dengan Jazz, I la orang pertama yang akan tentang, kut,” tambah Irfan. Tidak sedar yang kata-katanya membuat Rina semakin meluat.
“Kenapa pulak?”
“Sebab I sayang sangat pada adik I tu. She is my princess, dan I tak nak lepaskan dia pada mana-mana lelaki yang I rasa tak dapat nak bahagiakan dia.” Penuh emosi Irfan menyuarakan pendapat hatinya.
Mulut Rina sudah mencebik. Pleaselah! Adik angkat je kut! Yang nak lebih-lebihkan sangat tu kenapa?
“Esok-esok I dah jadi isteri you, I la akan jadi princess you kan?” duga Rina.
Irfan tersengih.
“You akan jadi the queen of my heart. Title princess tu akan selama-lamanya dipegang oleh Dee.”
Sedaya upaya Rina menahan diri untuk tidak membuat aksi nak termuntah.
We’ll see about that!’ Rina tidak puas hati. Iri yang datang bertimpa-timpa terhadap perasaan kasih dan sayang Irfan yang dirasakan agak melampau terhadap Deja membuat dia tidak mahu hanya berpeluk tubuh. Dia akan pastikan dirinya seorang saja yang akan bertakhta di hati Irfan. Hanya dia seorang! Mata sempat menjeling ke arah Deja.
“Dee, I laparlah. Jom makan?” ajak Jazlan.
Deja mengerling ke arah tapak perkelahan mereka. Aidan masih tidak berganjak daripada tikar. Hesy! Bila abang sulungnya itu nak turun mandi?
“I tak breakfast lagi sebenarnya ni. I lapar,” rengek Jazlan lagi.
“Yalah! Jom!” Deja beralah. Dia melompat turun dari
batu lalu berdiri ke dalam sungai sebelum berjalan ke tepi kemudian memanjat batu menuju ke daratan.
“Nak makan, Dee?” soal Nia mesra.
Deja menghulurkan senyuman. Dalam minda, dia terfikir akan kata-kata Lisa semalam. Dia marah akan Aidan, jadi tidak perlu untuk melampiaskan pada orang lain. Nia tak bersalah.
“Jazz yang lapar,” balas Deja. Pinggan plastik diambil dari dalam bakul. “You nak makan apa, Jazz? Ada mihun goreng, sandwic, kuih...”
“Mihunlah,” jawab Jazlan. Pinggan yang diisi mihun dihulur kepada Jazlan.
Jazlan tersengih. Suka dia dilayan begitu oleh Deja. Layanan yang diharapkan akan berterusan sehingga ke akhir hayat.
Nia mengerling ke arah Deja dan kemudian ke arah Aidan yang seakan terpaku memandang ke figura Deja tanpa berkelip. Apa agaknya yang menjadi isu antara Aidan dengan Deja ni ya? Selalunya, hubungan mereka empat beradik ini begitu baik dan mesra. Tentu ada sesuatu yang membuat Deja begitu terasa hati dengan Aidan.
“Sedapnya! Dee, you ke yang masak ni?” puji Jazlan antara kunyahan.
“Hesy you ni! I mana pandai masak? Bibik I yang masak,” terang Deja. Dia tidak segan mengaku perkara yang benar. Dan tiada guna dia menipu. Lambat-laun, Jazlan akan tahu perkara yang sebenarnya pun.
“Macam mana nak jadi isteri kalau tak reti masak?” sampuk satu suara tiba-tiba.
Deja melangut. Melihat Rina yang sedang mengibas-ngibas rambutnya yang basah. Bibir gadis itu tersungging senyuman sinis.
Sakit hati Deja. Sejak pagi tadi, ada saja komen-komen daripada si Rina ini yang menghangatkan hatinya. Ada saja isu yang digunakan untuk menyindirnya. Bersiap lambat sedikit pun kena sindir. Padahal, bukannya lama sangat mereka menunggunya pun. Awal-awal lagi dia sudah menyuruh mereka bertolak dulu dan dia akan menyusul dengan Jazlan kemudian. Tapi abang-abangnya semua tidak bersetuju. Tengok-tengok si Rina pula yang berlebih-lebih. Deja betul-betul tidak mengerti. Apa masalah Rina dengannya? Aura tidak suka seakan terpancar dari segenap rongga gadis itu.
Takpe. Tak pandai masak pun takpe. I boleh gajikan tiga orang bibik untuk you, Dee. Takkan orang cantik dan berkerjaya macam you ni nak duduk kat dapur, kan?” sengih Jazlan sambil mengenyit mata ke arah Deja.
Deja ketawa. Sedar yang Jazlan hanya bergurau. Dalam hati, dia berterima kasih kerana Jazlan mempertahankannya di hadapan Rina. Rina diam tiada balasan.
Irfan mengambil tempat di antara Deja dengan Jazlan. Sengaja dia menyelit di situ.
“Apa angah ni? Basahlah tikar ni! Hesy! Pergilah keringkan badan dulu!” dengus Deja sambil menolak bahu Irfan.
Irfan buat bodoh. Tangan yang masih basah dipercikkan ke wajah Deja.
Sejuk! Sekali lagi Deja meninggikan suara.
“Angah!!” Tangan sudah memukul bahu Irfan bertalu-talu.
Nia menekup mulut untuk menutup tawa yang ingin terlepas. Lucu betul melihat gelagat Irfan yang menyakat Deja. Lain pula ekspresi di wajah Rina. Air sungai yang dingin tidak mampu menyejukkan hati yang terbakar melihat kemesraan si kekasih hati dengan adik angkat yang tak sedar
diri ni. Mengada-ada!
Koyak senyuman di bibir Aidan. Begitu juga dengan Jazlan.
“Dee... you ni comel arrr...” puji Jazlan. Pujian yang secara automatik mematikan senyuman manis di bibir Aidan. Dia mengerling Jazlan tajam.
Suara Nazran yang mencelah mengadu dirinya lapar merubah suasana buat seketika. Masing-masing sibuk melayan kehendak perut. Sambil makan, Deja berbual dengan Jazlan. Tidak langsung mengambil peduli akan perbualan antara abang-abangnya dengan pasangan masing-masing.
Sudah 3 jam mereka menghabiskan masa di kawasan Air Terjun Ulu Yam ini. Tiada yang berubah antara Deja dengan Aidan. Deja masih beku dan hanya melayan Jazlan yang pandai menghiburkan hatinya. Ketika waktu sudah menginjak ke jam 3 petang, masing-masing berkeputusan untuk bersurai saja.
Aidan hanya memandang si adik bongsu yang membuntuti langkah Jazlan menyusuri laluan menuju ke tempat letak kereta. Tikar dari atas tanah dikutip lalu dikibas kuat. Lebih kuat daripada yang seharusnya.
Rina sudah mendengus tidak puas hati. ‘Orang lain sibuk kena kemas, dia boleh berlenggang-lenggang kangkung balik macam tu je!’ Namun rasa hati yang ingin dihamburkan hanya mampu disalurkan ke rengkung dan tidak bisa disuarakan secara lantang. Lebih-lebih lagi dia perasan akan layanan tidak-begitu-mesra yang diterima daripada Aidan dan Nazran sejak pagi. Dia perlu lebih bijak menyembunyikan perasaannya agar tidak terlalu ketara. Dia sedar yang Deja bukan saja merupakan orang kesayangan Irfan, tetapi mempunyai takhta yang istimewa di hati Aidan dan juga Nazran.
“You okey? Jauh termenung?”
Tersentak Rina jadinya. Hampir terlepas bekas air di tangan. Dia membalas renungan Irfan lalu tersenyum.
“I okey. Penat sikit je...” rengeknya.
“Jom, I hantar you balik,” pelawa Irfan.
Rina mengangguk.
“Jom...”
Langkah Irfan serta Rina diikuti rapat oleh Nazran dan juga Siti. Meninggalkan Aidan serta Nia yang masih memastikan mereka tidak meninggalkan sebarang sampah di tapak perkelahan mereka.
“Dan? You tak banyak cakap hari ni. You okey ke?” soal Nia penuh prihatin.
“I okey, Nia.”
“You masih upset pasal Dee ke?”
“Taklah... semuanya akan baik-baik je. Dah sejuk nanti, Dee mesti akan rapat semula dengan I,” balas Aidan.
“Boleh I tahu apa isu you berdua?”
Tawar senyuman di bibir Aidan.
Takpelah, you. Small matter je.”
Nia menelan rasa kecewa. Tiada perkembangan positif nampaknya daripada Aidan dalam hubungan mereka. Aidan masih tidak mahu bercerita tentang hal keluarga dengannya, seolah-olah dia bukan sesiapa pun di hati lelaki itu. Nia mengeluh dalam hati. Ke mana agaknya hala tuju hubungan mereka ya? Nampak seperti tidak berkembang sedikit pun dari dua bulan yang lalu. Adakah tempat di hati Aidan buat dirinya?  

No comments:

Post a Comment