Wednesday, 11 April 2018

KAHWIN PAKSA KE ? - BAB 10




DIAN berjaya menghabiskan 3 buah novel pada hari ini. Selepas selesai menunaikan solat asar di surau yang tersedia, dia terus pulang ke rumah. Memandangkan telefon pintarnya senyap sahaja hari ini, dia sangat yakin yang Ariq tidak akan mencarinya. Selamat! Line clear! Roger and out!
Apabila Vespanya mahu masuk ke kawasan garaj, dia perasan ada sebuah kereta BMW M2 Coupe berwarna putih terparkir di hadapan rumah. Kereta siapa? Dato’ atau datin mana yang datang singgah ke rumahnya? Bergaya betul dengan kereta mewah berpintu dua ini. Dia terintai-intai juga bahagian dalam kereta yang bercermin gelap. Memang tak nampak apa-apa langsung. Siapa pula yang datang?
Vespa diparkir di tepi kereta Encik Zulkarnain sebelum dia mengatur langkah ke muka pintu rumah yang daun pintunya sudah terbuka. Dia membongkokkan tubuh untuk membuka kasut. Baru sahaja dia mahu merungkai tali kasut Converse di kaki kanan, telinganya sudah menangkap suara ceria abah yang sedang berbual dengan seseorang.
 “Tak sangka yang Ariq sampai jugak di rumah pak cik ni.”
‘Kejap! Ariq???’ Terus dia berdiri tegak dengan mata yang membulat. Ariq Huzair si mamat yang selamat bermandikan latte miliknya pagi tadi ke? Terus degupan jantung mula tidak tentu hala dan Dian mula berpeluh-peluh. Mampus dia kalau abah tahu yang dia sudah menyembur calon kahwin paksa tidak jadi pilihan abahnya ini dengan latte pagi tadi.
Tali kasut Converse yang hampir terurai diikat dengan kemas semula sambil anak mata meliar ke kawasan sekeliling.
Red alert! Dia kena selamatkan diri sendiri secepat yang mungkin! Apalah nasib, Ariq ada di rumah keluarganya pula.
Pandangan mata Dian terhenti pada tangga yang sememangnya tersandar elok pada pagar batu yang memisahkan rumah keluarganya dengan rumah keluarga Nana. Telefon pintar dari dalam poket seluar jean dikeluarkan dan nombor telefon Nana didail. Tidak berangkat.
“Nanti ajak daddy Ariq datang pulak. Kita buat makan-makan, meriah sikit.” Suara Encik Zulkarnain sudah semakin jelas kedengaran.
Ah, sudah! Abahnya dan Ariq sedang berjalan ke arah pintu masuk ke? Dian menelan liur dengan rentak jantung yang sudah tidak tentu hala.
“Insya-Allah, pak cik.”
Suara Ariq yang semakin jelas menandakan Ariq dan Encik Zulkarnain semakin hampir dengan muka pintu rumah.
Ini memang red alert sungguh! Tanpa berfikir panjang, Dian memanjat tangga yang tersandar pada pagar
batu dengan niat mahu ke rumah Nana di sebelah. Bolehlah dia menyembunyikan dirinya sebentar sehinggalah Ariq betul-betul pulang.
Tiba-tiba dia terasa tangga yang sedang dipanjat bergoyang-goyang. Terus dia menjerit. Jeritannya semakin kuat apabila kaki tersilap memijak anak tangga dan tubuhnya terus melorot jatuh ke bawah. Lebih tepat lagi jatuh seperti nangka busuk. Errr... sebenarnya jatuh menimpa Ariq Huzair!
‘Bala apa pulaklah hari ni! Matilanakkkkk!!!’
“YA ALLAH! Dian!” jerit Puan Marina, terkejut dia melihat si anak dara tiba-tiba terbaring di atas lantai.
Suara Puan Marina yang nyaring itu membuatkan Dian terus bangun sambil menggosok-gosok bahagian belakang tubuh yang terasa sengal dan sakit.
“Ariq?” Pandangan Puan Marina beralih ke arah Ariq yang sudah terbaring di atas lantai sambil memegang tangan kanannya dengan dahi yang berkerut-kerut.
“Kenapa ni?” Muncul pula Encik Zulkarnain di muka pintu. Berubah raut wajahnya. Baru sahaja dia berbual dengan Ariq di muka pintu sebentar tadi dan kini Ariq sudah terbaring di atas lantai laman rumahnya pula.
“Dian? Ariq? Apa yang dah jadi ni?” Kini Encik Zulkarnain memandang lama wajah Dian. Berpeluh-peluh Dian memandang riak wajah garang abahnya.
Errr... Dian... err...” Dian sudah tergagap-gagap memandang abahnya dan wajah Ariq yang sedang berkerut-kerut menahan sakit. Takkanlah dia hendak berterus terang dengan Encik Zulkarnain yang dia memanjat tangga disebabkan mahu melarikan diri daripada Ariq. Ariq pula,
mungkin ingatkan yang dia ini mempunyai bau-bau bacang dengan Rapunzel, maka dia pun mahu menyelamatkan Dian daripada terus memanjat tangga. Selamatlah sangat, kan? Selamat jatuh macam nangka busuk adalah!
“Dian panjat tangga lagi?” soal Encik Zulkarnain sambil memandang tangga yang terbaring di lantai, bersebelahan dengan Ariq. Tabiat suka memanjat tangga anaknya ini sejak zaman sekolah masih tidak berubah-ubah!
“You ni adik Tarzan ke apa?” gumam Ariq perlahan sambil tajam matanya memandang Dian. Konon-konon dia mahu surprisekan Dian, tetapi dia yang terkejut. Pertama kali dia berjumpa dengan perempuan yang suka memanjat.
Dian terus menjeling tajam.
“Ala, abah... Dian kan dah biasa panjat tangga. Mamat ni haaa...” Terus Dian membulatkan biji mata ke arah Ariq yang masih terbaring di lantai. “Mamat ni yang gatal-gatal pergi goyangkan tangga tu. Sendiri cari pasal!” Dian menayangkan riak wajah kasihan. Harap-haraplah abahnya bersimpati.
“Dian Eryna!”
Terus Dian senyap apabila abah sudah menyebut nama penuhnya. Perlahan-lahan Encik Zulkarnain membantu Ariq untuk berdiri. Berkerut-kerut wajah Ariq menahan sakit dengan tangan kirinya memangku kemas tangan kanan.
“Pak cik rasa tangan Ariq terseliuh ni,” tutur Encik Zulkarnain sambil memegang tangan kanan Ariq dengan berhati-hati.
Dian yang hanya memerhatikan Encik Zulkarnain mulai bergerak perlahan-lahan menyembunyikan diri di belakang tubuh Puan Marina.
“Kena pergi klinik ni, Ariq. Takut apa-apa jadi dekat tulang. Bahaya!” tambah Encik Zulkarnain lagi sambil wajah
masam Dian dipandang tajam. Terus Dian menundukkan wajah. Bukan salah dia pun sebenarnya.
“Tak apalah, pak cik. Saya boleh call Emir, minta tolong dia jemput saya dan terus pergi klinik,” tutur Ariq sambil tangan kiri terkial-kial menyeluk poket seluar. Berkerut-kerut dia menahan rasa sengal dan pedih di kawasan pergelangan tangan kanannya. Pagi tadi kena sembur dengan latte; petang ni tangan terseliuh pula. Confirm Emir akan gelakkan dia lagi.
“Tak payah call Emir. Biar Dian yang bawa Ariq pergi klinik.”
Membulat mata Dian mendengar ayat penyata yang keluar dari mulut Encik Zulkarnain. Dia pula yang kena? Takut bukannya dia bawa mamat kerek ini ke hospital, tetapi ke ‘batu dua’!
“Abahhh...”
“Sendiri buat, sendiri tanggung!” balas Encik Zulkarnain tegas.
“Tapi Dian...”
Dian terus senyap apabila Puan Marina mencubit lengannya. Masalahnya bukan dia yang cari pasal. Kenapa dia yang kena tanggung?
“Bawa Ariq pergi klinik.”
“Hah?” Dian memandang lama wajah Encik Zulkarnain, cuba meminta simpati. Dia mana berani bawa kereta. Takkan nak merempit dengan mamat ni dengan Vespanya pula? Confirm pagi esok dia akan famous dalam kalangan mak-mak jemah Taman Sentosa. Memang hidup dia takkan sentosa nanti!
“Abahnya...” pujuk Puan Marina lembut. Kasihan pula melihat wajah Dian yang sudah berubah pucat. Bukannya Encik Zulkarnain tidak tahu yang anak dara mereka ini tidak
berani untuk memandu kereta walaupun mempunyai lesen kereta.
“Kita pergi klinik sekarang. Tunggu sekejap, abah ambil kunci kereta.”
Dian terus menarik nafas lega. Kita? ‘Kita’ itu bermaksud dia, Ariq dan abah dia, kan?
DISEBABKAN PERGELANGAN tangan kanan Ariq sudah membengkak, doktor di klinik menyarankan supaya Ariq dibawa terus ke hospital.
Dian memandang lama riak wajah selamba Ariq yang sedang berdiri menyandarkan tubuh pada dinding ruang menunggu Hospital Ampang Puteri. Punyalah beria-ia abahnya menguruskan pendaftaran Ariq dan dia juga yang dipaksa supaya menemani mamat ini. Berjumpa dengan doktor pakar tulang pun dia yang kena temankan.
“You tahu tak betapa pentingnya kedua-dua belah tangan I ni?” soal Ariq dengan sinis. Memang nasibnya dengan calon kahwin paksa tak jadi dia ini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.
Terus anak mata Dian jatuh pada tangan kanan Ariq yang sudah berbalut kemas.
“Untuk makan,” jawab Dian pendek.
Berkerut-kerut dahi Ariq.
“Basuh apa yang patut lepas awak buat ‘business besar’ dekat bilik air,” balas Dian selamba sambil menjongketkan kening. Dia cuba menahan gelak apabila menyedari riak wajah Ariq sudah berubah kelat.
“Gila punya perempuan!”
Ewahhhhh... jujurnya panggil dia gila!
“I ni F1 racer. Macam mana nak pegang stereng kereta kalau tangan kanan dah terseliuh?” Wajah Dian dipandang tajam sehinggakan Dian mengundurkan langkah kaki ke belakang.
Anak mata Dian terus meliar mencari abahnya. Mana pulalah abahnya pergi ni?
“Tangan kiri kan ada. Allah ciptakan tangan kita ni sepasang. Drive sebelah tangan pun cool apa,” jawab Dian berani sambil anak mata masih meliar mencari kelibat abah. Segarang-garang abah, dia tahu yang abah sayangkan dia tapi segarang-garang mamat di hadapannya ini, belum tentu lagi.
Kedengaran bunyi Ariq mendengus. Tulang rahang pipinya kelihatan bergerak-gerak. Marahlah tu!
“Tak cukup-cukup pagi tadi you sembur I dengan latte? Now disebabkan you, tangan I terseliuh.”
Terus Dian bercekak pinggang memandang Ariq yang sedang berdiri bersandar pada dinding.
“Eh, eh! Awak yang cari pasal. Sebab tu tangan awak tu terseliuh. Pernah tak dengar peribahasa Melayu yang berbunyi, kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Kalau takut tangan terseliuh, jangan gatal-gatal sibuk bila saya memanjat!”
Terus Ariq terdiam. Amekaw! Senyap terus.
Tiba-tiba, Ariq cuba menarik keluar telefon pintarnya dari dalam poket seluar dengan susah payah. Dengan menggunakan sebelah tangan, dia menyentuh skrin telefon pintarnya sebelum melekapkan telefon tersebut di telinga.
“Emir, please proceed with the legal action.” Anak mata Ariq difokuskan ke arah Dian walaupun jelas dia sedang bercakap dengan Emir yang berada di hujung talian.
Legal action? Apa pulak ni?” soal Dian pantas.
 “Allah ciptakan satu je otak dengan akal untuk kita berfikir. Jadi, fikirlah wahai Cik Dian Eryna!”

*** AKAN BERADA DIPASARAN UNTUK KELUARAN APRIL 2018**  

No comments:

Post a Comment