TAJAM sepasang mata milik Ariq merenung wajah Dian yang sudah pucat
lesi. Sepasang mata bulat itu tidak berani untuk memandangnya. Panas rasa kulit
wajahnya, panas lagi hatinya sekarang. Si Bibah ni boleh pula tersembur air
dekat dia. Air panas pula tu!
Dian menelan liur yang terasa kesat sebelum
memberanikan diri memandang wajah Ariq yang sudah bermandikan air latte miliknya.
Hilang sudah hiasan craft latte yang berbentuk teddy bear comel.
Yang ada di hadapannya sekarang ini hanyalah kulit wajah Ariq yang sudah dihiasi
warna air latte.
“Sorry!” Kelam-kabut dia mencapai
napkin yang terletak di sisi meja dan digunakan untuk mengelap wajah Ariq yang
kelihatan seperti sedang menahan marah. Biji mata lelaki di hadapannya ini
seolah-olah mahu tersembul keluar. Dian menelan liur lagi. Peluh dingin juga
mula membasahi dahi.
“Did you just use that napkin to wipe my
face?”
Garang anak mata Ariq memandang Dian sebelum
jatuh pada napkin putih yang masih berada di pegangan Dian. Selamba betul
perempuan ini!
Kain napkin putih terus terlepas dari pegangan
tangan Dian. Sekali lagi dia menelan air liur yang terasa kesat. Ini memang
betul-betul sudah jatuh ditimpa tangga! Sungguh, dia tidak berani untuk
bertentang mata dengan Ariq yang pastinya seperti mahu menelannya hidup-hidup.
Dian bangun daripada duduknya dan terus
berlari keluar dari Pahlawan Cafe. Tidak terus ke kedainya, dia menghidupkan
enjin Vespa, menyarung pantas topi keledar dan terus meninggalkan pekarangan
Pahlawan Cafe secepat yang mungkin.
Ariq yang masih di tempat duduknya ternganga
memandang Dian yang sudah berlari keluar dari Pahlawan Cafe. Biar betul!
“BOS!”
Suara nyaring Wawa di hujung talian membuatkan
Dian spontan menjauhkan telefon pintar di tangan dari telinga. ‘Budak ni
tertelan mikrofon ke apa?’
“Bos kat mana? Sebab dah lebih setengah jam,
saya jenguk kafe sebelah tapi tak nampak bos pun. Tuah kata bos dah lama keluar
dari kafe. Bos kat mana ni? Bos kena culik ke?” Bertalu-talu soalan diajukan
oleh Wawa yang mulutnya seperti bertih jagung itu. Pelik juga dia kerana Dian
tidak muncul-muncul di kedai.
“Saya ada dekat library.” Dian menjawab
sambil mengatur langkah ke pintu utama Perpustakaan Negara.
“Hah? Siapa bagi bos stres ni? Habaq kat
saya. Biaq
saya pi ganyang dia!”
Dian terus ketawa. Dia dapat membayangkan
reaksi Wawa yang mungkin sedang menyingsing lengan bajunya. Hilang sebentar
rasa gelisah dan takut yang dirasai. Dia mempunyai satu tabiat yang dipanggil
pelik oleh Wawa; suka ke perpustakaan setiap kali dia stres atau fikirannya
berserabut. Ala-ala ulat bukulah katakan! Lagipun mat salih sebut yang ‘a
library is a hospital for the mind’.
“Adalah mamat rempit ni,” jawab Dian
dan automatik seraut wajah Ariq yang sangat garang sebentar tadi menari-nari di
hadapan mata. Terus dia menggelengkan kepala, cuba mengusir riak wajah garang
itu dari kotak fikirannya.
“Mamat rempit? Sejak bila bos pandai
bergaul dengan geng-geng rempit ni? Bahaya bos! Kena tahan dengan polis trafik
nanti, memang free je!”
Dian menepuk dahi sendiri. Wawa ini blur juga
rupanya.
“Okeylah, Wawa. Saya tak masuk kedai tau hari
ni. Nak pergi mencari ketenangan satu hari. Jangan beritahu orang yang tak
dikenali saya ada dekat library.”
“Roger that, bos!”
Dian menyimpan telefon pintar ke dalam poket
seluar jean yang dipakai sebelum melangkah masuk ke dalam ruang perpustakaan.
‘Wanginya bau buku-buku dekat dalam ni. Heaven
sungguh!’ Senyum lebar ditarik sebaik sahaja terpandangkan deretan buku.
Terus dia lupa kejadian Ariq yang bermandikan air latte sebentar tadi.
Abahnya pernah berpesan, kalau nak bersembunyi
daripada musuh mestilah bijak. Takkan ada sesiapa tahu tempat favouritenya
ini kecuali si Wawa
“BOS? EH, kenapa ni?” Kalut Emir menyoal sebaik sahaja
Ariq melangkah masuk ke dalam kereta dengan kulit wajah yang merah padam dan
rambutnya yang kelihatan basah. Jika dilihat dengan teliti, ada kesan air
berwarna coklat di bahagian tepi wajah Ariq.
“Tolong passkan dekat aku wet tissue
tu.” Ariq melabuhkan duduk di sebelah kerusi pemandu.
Emir hanya menurut sambil memerhatikan telatah
Ariq.
“Budak tu sembur latte dia dekat aku.”
Tangan kanan Ariq menyental kuat kulit wajah yang terasa melekit-lekit.
Bulat mata Emir mendengar cerita Ariq.
Patutlah... Tapi...
“Budak mana ni, bos?”
“Si Bibah itulah,” dengus Ariq sambil kembali
mengesat bahagian tepi wajahnya dengan tisu basah. Masih terasa melekit.
“Bibah?” Emir mengerutkan dahi. Bibah mana
pula ni?
“Dian Eryna ke?” soal Emir sekali lagi.
“Tak kisahlah Bibah ke, Dian ke, D ke, donat
ke. Kau tahu, lepas dia sembur aku dengan latte dia, dia pergi lap muka
aku ni guna kain napkin dia pulak. Boleh berkurap kulit muka aku!”
Kedengaran suara Emir ketawa kuat. Terus Ariq
menjeling ke sisi dan tawa Emir mati.
‘Kurang asam punya PA!’
“Cik
Dian mana?” soal Emir.
“Entah! Dia terus blah macam tu je,”
jawab Ariq, bengang. Sudahlah Dian menipu. Kemudian dah buat salah, lari pula.
“Bos jadi ke nak terus pergi Lexington lepas
ni?”
“Aku masuk esok jelah, Mir. Ni nak kena
balik mandi. Aku jumpa kau esok dekat hotel.”
Emir mengangguk. Sedaya upaya dia menahan
senyumnya apabila melihat wajah cemberut Ariq. Berani betul gadis yang bernama
Dian Eryna itu. Patutlah Instafamous!
“ARIQ? KATA nak pergi Lexington hari
ni?” tegur Dato’ Azhar sebaik sahaja Ariq melangkah masuk ke dalam rumah.
Berkerut-kerut dia memandang rambut Ariq.
“Cancel nak masuk awal sehari, daddy.
Esok baru nak pergi sana.” Tangan kiri Ariq naik membetulkan rambut. Mesti daddynya
pelik.
“Kenapa dengan baju tu?” Anak mata Dato’ Azhar
jatuh pada kolar T-shirt putih Ariq yang jelas kelihatan tompok-tompok
berwarna coklat.
“Air latte tumpah.” Ariq tayang sengih.
“Sejak bila pulak Ariq minum latte
ni?” Dato’ Azhar menjongketkan keningnya.
Terkebil-kebil Ariq memandang daddynya.
Pandai betul nak memerangkapnya.
“By the way, daddy tahu tak rumah Dian
kat mana?”
Soalan Ariq membuatkan Dato’ Azhar mengangkat
wajah dari surat khabar yang sedang dibaca. Biar betul apa
yang sedang dia dengar sekarang.
“Dian mana ni, Ariq?”
“Dian Eryna Zulkarnain. Do I get her name
right?”
Dato’ Azhar hanya ketawa senang.
“Kenapa tiba-tiba tanya pasal rumah Dian pulak
ni? Orangnya pun Ariq belum pernah jumpa lagi, tapi terus tanya pasal rumah
pulak.”
Ariq tarik senyum senget.
“Apa salahnya kalau jumpa Dian dekat rumah
famili dia, kan? Lagi elok macam tu rasanya,” balas Ariq bersahaja.
Dato’ Azhar ketawa lagi. Kenapa tiba-tiba pula
Ariq begitu berminat dengan perihal Dian selepas 3 tahun berlalu?
“Kenapa since malam tadi lagi Ariq interested
sangat pasal Dian ni? Dulu bukan main lagi Ariq reject dia. Nak
jumpa pun tak nak,” sindir Dato’ Azhar.
“Because I just found out that she’s
interesting.”
Terus bertaut kening Dato’ Azhar memandang
riak wajah si anak tunggal yang sedang mengoyak senyum ke arahnya.
“Ariq, daddy tak nak Ariq main-mainkan
Dian.”
“Eh, bukan macam tu. Ariq cuma nak kenal-kenal
je.”
“Bila nak pergi sana?”
“Hah?”
“Bila nak pergi rumah famili Dian tu.”
Ariq menggosok belakang tengkuk sendiri. Dia
tersenyum puas. Nampaknya Dian takkan boleh lari.
“Insya-Allah petang ni.”
“Nak daddy ikut sekali?”
“Tak
apa, daddy. Bagilah chance dekat Ariq untuk kenal-kenal dengan
famili Dian sebab daddy memang dah kenal dengan diaorang, kan?” Ariq
cuba meyakinkan Dato’ Azhar yang nampak waswas dengannya.
“Okey, nanti daddy call Uncle Zulkarnain
dan inform dia yang Ariq nak datang petang ni. Daddy forwardkan
alamat rumah Dian via WhatsApp nanti.”
“Thanks a lot, daddy. Tak sabar pulak
nak jumpa dengan famili Dian.” Ariq koyak senyum lebar. Sebenarnya dia
tidak sabar untuk melihat reaksi Dian petang nanti!
No comments:
Post a Comment