Wednesday 11 April 2018

KAHWIN PAKSA KE ? - BAB 6




DADDY.”
Ariq mengukir senyum ke arah Dato’ Azhar yang sedang menonton televisyen sebelum melabuhkan duduk di sebelah.
“Dah dinner ke ni?” tegur Dato’ Azhar sambil raut wajah anak tunggalnya dipandang lama.
“Dah, daddy. Farewell dinner dengan team tadi. Daddy dah dinner?”
“Dah jugak. Mak Leha dah siapkan lauk makan malam sebelum dia balik tadi.” Mak Leha merupakan pembantu rumah separuh masa yang akan datang waktu pagi dan pulang pada waktu petang untuk membantu menguruskan rumah banglo besar milik Dato’ Azhar.
“Ariq.”
Ariq mengangkat wajah memandang daddynya. Sejak arwah mummy meninggal dunia disebabkan leukemia dua tahun yang lepas, rumah besar ini terasa sangat sunyi.
Sudah lama dia tidak mendengar bebelan manja mummy.
“Kenapa nak berhenti? I thought you love fast speed cars, you love to race,” soal Dato’ Azhar. Dia sebenarnya pelik dengan keputusan Ariq untuk bersara daripada dunia lumba kereta. Punyalah anak tunggalnya itu tekad untuk berkecimpung di dalam dunia lumba kereta sehinggakan kursus pengajian perniagaan di London ditinggalkan separuh jalan. Jika dulu ditanya mengapa Ariq sangat sukakan dunia lumba kereta, jawapan selamba si anak teruna ialah pelumba kereta lumba ialah golongan yang boleh memandu kereta dengan laju tanpa disaman oleh pihak polis trafik!
But I love you more, daddy.”
Jawapan bersahaja Ariq membuatkan Dato’ Azhar ketawa. Sejak pemergian Datin Aliya, hanya tinggal mereka dua beranak di dalam rumah besar ini. Ariq buat lawak, dia gelak dan dia buat lawak, Ariq yang gelak.
“Kenapa daddy gelak?”
“Ayat pick-up line macam tu sepatutnya guna dekat orang perempuan. Cakap dekat daddy bukannya ada effect apa-apa pun,” balas Dato’ Azhar dengan tawa yang masih bersisa.
Practice makes perfect, kan? So, Ariq try dekat daddy dululah. Nampak gayanya pick-up line tu boleh diguna pakai.”
Mereka berdua sama-sama ketawa.
Seriously son, why choose to quit?”
Kali ini nada suara Dato’ Azhar kembali serius.
“Macam yang Ariq cakap tadi, sebab daddy dan sebab arwah mummy.” Jawapan ini tidak dikongsikan dengan para wartawan apabila dia ditanyakan soalan yang sama.
Dato’ Azhar menjongketkan kening.
 This is the time untuk Ariq duduk bawah ketiak daddy because I was away from home for quite some time. Dulu pun Ariq tak dapat spend banyak masa sangat dengan arwah mummy sebab sibuk dengan race di merata-rata tempat. Ariq tak nak terkilan lagi.”
Kali ini nada suara si anak tunggal sudah berubah nada membuatkan Dato’ Azhar turut berasa sebak.
“Ariq, arwah mummy kan sentiasa faham minat Ariq. You don’t have to feel bad. Yang penting kita kena selalu doakan semoga roh arwah mummy ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.”
Ariq tarik senyum nipis dan mengaminkan dalam hati. Sekurang-kurangnya 5 kali sehari selepas solat, dia tidak pernah lupa untuk mendoakan kesejahteraan keluarganya.
“Ariq dah contact Emir. Alhamdulillah everything is ready, so lusa dah boleh masuk Lexington Hotel.”
So soon?”
Dato’ Azhar terkejut. Tiba-tiba Ariq mahu bersara daripada dunia lumba kereta. Kali ini tiba-tiba lagi Ariq mahu mula mengambil alih untuk menguruskan Lexington Hotel yang merupakan hasil titik peluh arwah isterinya.
“Tak adalah soon sangat pun, daddy. Dari dulu lagi arwah mummy memang nak Ariq yang completely handle hotel tu. Lagipun Ariq memang membesar dengan Lexington Hotel.” Ariq tarik senyum lagi.
Dato’ Azhar hanya mengangguk sambil tersenyum. Dia ingatkan suatu hari nanti Ariq akan mengikut jejak langkahnya untuk menjadi seorang peguam, tetapi Ariq beralih minat ke arah lumba kereta. Dan kali ini mahu mengambil alih hotel peninggalan arwah isterinya. Betullah yang perancangan Allah itu lebih baik daripada perancangan manusia biasa sepertinya.
 “Apa kata pak lang? Dia okey?” soal Dato’ Azhar, merujuk kepada Encik Amin, adik lelaki tunggal arwah Datin Aliya.
“Pak lang kata kerusi tu sememangnya tempat Ariq dari dulu lagi. Lagipun pak lang nak tumpukan perhatian pada business tekstil dia tu.”
Are you sure you will be fine on your own? Ariq kena belajar pasal hotel management dari bawah,” soal Dato’ Azhar.
“Emir ada, daddy. Emir tu kan dah lama kerja dengan Lexington Hotel sejak zaman arwah mummy.”
“Kalau arwah mummy dengar yang Ariq nak uruskan hotel tu, mesti dia gembira,” tutur Dato’ Azhar perlahan.
Ariq senyap. Tiba-tiba malam ini ingatannya terhadap arwah mummy sangat kuat. Dia rindu!
Daddy, apa nama budak perempuan tu?” Cepat-cepat Ariq menukar topik supaya Dato’ Azhar tidak terus melayan perasaan.
“Budak perempuan mana?” soal Dato’ Azhar pelik.
“Yang arwah mummy dengan daddy pernah nak jodohkan dengan Ariq tiga tahun lepas,” jawab Ariq. Di hadapan matanya terbayang-bayang raut wajah si hijab stailista yang membahasakan dirinya sebagai Bibs itu. Entah-entah Bibah itu nama tipu!
Terus Dato’ Azhar ketawa.
“Kenapa tiba-tiba teringat dekat dia pulak?” usik Dato’ Azhar.
Daddy, daddy tak jawab lagi soalan Ariq.”
“Nama dia Dian Eryna. Kenapa? Dah terbuka pintu hati nak kahwin dengan dia ke?”
“Bukanlah, daddy.”
 Then, kenapa tiba-tiba teringat dekat Dian pulak?” Dato’ Azhar tersenyum meleret memandang riak wajah Ariq yang jelas sedang berfikir.
“Memang nama penuh budak tu Dian Eryna ke?”
“Yalah. Kenapa?”
“Bukan Dian Eryna Bibah?”
Dato’ Azhar ketawa kuat. Dah kenapa pulak dengan si anak tunggal ni?
“Bibah mana pulak ni?” soal Dato’ Azhar dengan tawa yang masih bersisa.
Daddy ada simpan gambar dia?” Soalan Dato’ Azhar dibiarkan tidak berjawab.
“Mestilah tak ada. Daddy dah delete gambar tu lepas Ariq cakap yang Ariq tak interested.” Dato’ Azhar semakin pelik dengan Ariq. Sebelum ini beria-ia anaknya itu tidak mahu dijodohkan dengan anak dara Zulkarnain. Sewaktu arwah isterinya mahu menunjukkan gambar Dian kepada Ariq tiga tahun yang lepas, anaknya itu tidak berminat langsung. Cuma adalah dua kali Ariq berbual pendek dengan Dian di telefon dan terus dia tidak berminat walaupun puas dipujuk. Disebabkan itu, dia dan arwah isterinya tidak mahu memaksa.
Ariq menggosok-gosok belakang tengkuk yang terasa lenguh. Macam mana dia nak pastikan identiti sebenar Bibs? Kenapalah dulu dia sombong sangat sehinggakan tidak mahu melihat gambar Dian?
“Kawan daddy tu tak ada anak perempuan nama Bibah? Or nama manja Bibs ke?”
“Mana ada, Ariq. Kenapa ni?” Dato’ Azhar tergelak-gelak. Bibah mana pulak yang tiba-tiba terparking’ dekat dalam hati anak tunggalnya ini?
“Tak ada apa-apalah, daddy. Ariq masuk bilik dulu,
nak baring, sebab bahu rasa sengal dari petang tadi.” Dia bangun dari sofa empuk.
“Kalau dah kahwin bolehlah minta Bibah tolong urutkan bahu,” usik Dato’ Azhar. Bibah pun Bibahlah. Yang penting anak terunanya terbuka hati untuk berkahwin.
“Bibah mana pulak ni, daddy?” Ariq kerut dahi sebelum dia berlalu ke tingkat atas.
‘Eh, pulak dah? Tadi kan dia sendiri yang asyik sebut nama tu.’ Dato’ Azhar menanti kelibat Ariq hilang ke tingkat atas sebelum dia mencapai telefon pintar yang terletak di atas meja. Nombor telefon Zulkarnain dicari sebelum jarinya menyentuh nombor tersebut.
“Assalamualaikum, Zul. Aku ada berita baik ni.” Senyuman lebar sudah terukir di hujung bibir. Tiba-tiba deria baunya macam boleh terbau aroma nasi minyak pula!
ARIQ MEREBAHKAN diri di atas katil sambil anak mata merenung siling bilik tidurnya. Kata Kawai, Bibs itu Instafamous. Kalau Instafamous, maksudnya dia boleh cuba-try-test mencari si Bibah menerusi Instagramlah, kan?
IPhone yang terletak di atas meja kecil di sisi kepala katil dicapai. Aplikasi Instagram dibuka sebelum hujung jari menyentuh ikon search di skrin telefon pintar. Dia pantas menaip nama ‘Bibs’ di ruangan search.
Berkerut-kerut dahinya memandang senarai orang yang menggunakan nama Bibs, tetapi tiada satu pun yang menyerupai Bibs yang dijumpainya di litar siang tadi. IPhone diletakkan semula di atas meja sebelum dia kembali berfikir.
‘Dian Eryna? Bibs ataupun Bibah?’ Cepat-cepat jari-jemari menaip nama tersebut di ruangan search tetapi
hasilnya masih hampa. Rupa-rupanya susah juga jika hendak menjadi seorang stalker. Ikon phone book yang tertera di skrin disentuh sebelum dia mencari nama Emir.
“Emir, aku nak tanya pendapat kau sikit,” tutur Ariq sebaik sahaja salamnya berjawab.
“Tanya apa tu bos?”
Emir merupakan bakal setiausaha merangkap PAnya apabila dia memulakan tugas di Lexington Hotel nanti. Sudah lama Emir bekerja dengan arwah mummynya; hampir 6 tahun di cawangan utama Lexington Hotel.
“Kau ada Instagram?”
Soalan pelik yang tiba-tiba datang daripada Ariq membuatkan kening Emir hampir bercantum.
“Ada, bos. Kenapa?”
“Apa nama Instagram kau?”
“Hah?” Tanpa sempat ditahan, nada suara Emir berubah kuat. Ariq ni buang tabiat ke?
“Ala, aku nak follow Instagram kau.”
Emir semakin mengerutkan dahi. Sah, Ariq memang buang tabiat kerana menelefon pada malam Sabtu semata-mata untuk bertanyakan nama Instagramnya!
“Mir Zaq.”
Ariq terus ketawa tanpa sempat ditahan. Bukan main punya nama! Nama betul Emir Zaquan, tetapi nama Instagram ‘Mir Zaq’.
“Kenapa kau tak guna nama betul kau?”
“Apa salahnya kalau guna nama bukan nama penuh, bos. Bukannya kita nak isi borang jabatan kerajaan,” jawab Emir selamba.
“Aku guna nama penuh aku kut!”
Opsss! Terus Emir terdiam. Rasa nak tergelak pun ada.
“Kau rasalah kan...” Jeda seketika memandangkan Ariq masih teragak-agak untuk bertanyakan pendapat Emir. “Kalau nama kau Dian Eryna, kau akan guna nama apa?”
Soalan Ariq kali ini semakin memeningkan kepala Emir.
“D.”
“D je?”
“Dah memang Dian Eryna yang sebenar pun guna nama ‘D’ je untuk Instagram dia. Bos pun kenal dengan Dian Eryna ke?”
Soalan Emir dibiarkan tidak berjawab. Terus Ariq duduk tegak. Emir pun kenal dengan Dian Eryna? Famous sangat ke Dian Eryna itu?
“Mir, mana kau kenal Dian Eryna?”
Emir menggelengkan kepalanya. Nasib baiklah Ariq tidak berada di hadapannya sekarang.
“Bos, Dian Eryna tu Instafamouslah. Gift shop dia famous dan dia sendiri pun famous,” jawab Emir. Dia tahu disebabkan adik perempuannya, Edina meminati skuter seperti Dian juga. Minat yang sama dan nama mereka juga hampir sama.
Ariq cuba mencerna maklumat yang baru diterima. Dian Eryna Instafamous dan Bibs jugak merupakan Instafamous. Maknanya...
“Kau kata tadi nama Instagram dia ‘D’, kan?”
“Haah. Kenapa...”
Thanks, Emir!”
Klik!
Emir merenung skrin telefon pintarnya sendiri. Pelik sangatlah lelaki bernama Ariq Huzair ini!
PANTAS JARI-JEMARI Ariq menaip huruf ‘D’ di ruangan search Instagram sebelum senyumannya melebar apabila anak matanya menangkap gambar profil Instagram seorang wanita yang sedang duduk tersenyum di atas Vespa berwarna putih merah.
Got you, lady!’



No comments:

Post a Comment