Wednesday, 11 April 2018

KAHWIN PAKSA KE ? - BAB 7

PUAN Marina mengerutkan dahi melihat Dian yang sedang duduk termenung di meja makan walaupun hidangan nasi lemak sudah tersedia di atas meja. Pelik! Selalunya, mulut Dianlah yang paling riuh berbual dengannya pada waktu pagi begini. Jarang-jarang sangat kalau Dian hanya duduk termenung di meja makan.
“Menung apa tu, Dian? Rezeki kan dah ada dekat depan mata, tak elok termenung macam tu,” tegur Puan Marina lembut.
“Dian rasa macam tak sedap hatilah hari ni, ibu. Rasa macam nak duduk dekat rumah je satu hari.” Sebenarnya dia risau jika Ariq betul-betul sudah mengetahui identiti sebenar Bibs a.k.a. Bibah. Hendak bertanya kepada abah, memang dia tak berani.
“Tak sedap hati sebab apa pulak?”
Dian hanya senyap sebelum dia berdiri.
“Ibu, Dian gerak dululah sebab takut jalan sesak
pulak.” Tangan kanan Puan Marina dicapai sebelum dikucup hormat.
“Tak nak makan nasi lemak dulu ke?” soal Puan Marina apabila Dian sudah menolak kerusi yang menjadi tempat duduknya sejak tadi.
“Dian dah makan roti dengan Milo tadi. Dian gerak dulu tau. Assalamualaikum, ibu.” Terus dia berlalu ke ruang tamu untuk mencari kunci Vespa yang terparkir di garaj.
Puan Marina menjawab salam Dian dalam hati sambil memerhatikan tingkah laku pelik anak daranya dengan gelengan kepala.
BUNYI DERUMAN enjin Vespa milik Dian membuatkan Aliff yang sedang mengikat tali kasut di luar rumah berdiri untuk mencuri pandang. Sekejap sahaja kelibat Dian dan Vespa miliknya kelihatan di hadapan pagar. Aliff mengorak senyum nipis memerhatikan gelagat Dian yang nampak sedikit kelam-kabut itu.
“Dian!”
Langkah Dian mati dan dia hampir melatah apabila Aliff sudah berdiri tercegat di tepi pagar rumahnya.
“Kau ni kalau tak menyergah aku pagi-pagi memang tak sah, kan?” dengus Dian sambil membulatkan mata memandang Aliff yang sedang berdiri di hadapan pagar rumah. Tersengih memandangnya.
“Kepala kau tu keras macam besi ke?” soal Aliff, tanpa mempedulikan riak wajah Dian yang jelas tidak puas hati.
“Apa yang keras macam besi?” Dian mengerutkan  
dahi memandang Aliff. Kenapalah soalan Aliff sentiasa susah untuk dicerna oleh kepala otaknya? Sudahlah sejak pagi tadi hatinya asyik berdebar-debar semacam. Dah gaya macam orang nak akad nikah!
“Kepala kau tu.” Anak mata Aliff menghantar isyarat ke arah kepala Dian yang dilitupi dengan shawl bintik polka berwarna merah jambu dan putih.
“Hah?” Terus tangan kanan Dian naik memegang kepala sendiri. Alamak, dia lupa helmet merahnya!
Aliff hanya menggelengkan kepala melihat Dian yang sudah berlari masuk ke dalam rumah semula. Dian dan sikap mudah pelupanya memang berpisah tiada.
VESPA S 50 4V yang berwarna putih dengan tempat duduk dan sedikit bahagian badannya yang berwarna merah itu diparkirkan dengan cermat di petak parkir motosikal. Topi keledar berwarna merah yang sejak tadi terletak di kepalanya dibuka dan bahagian depan shawl yang sudah penyek dikemaskan semula.
Selepas Dian menamatkan pengajiannya dalam bidang seni reka dalaman 2 tahun lepas, dia mula membuka kedai cenderahati dan hadiah yang diberi nama ‘Surprises Inside’ pada awal tahun lepas selepas hampir setahun menganggur. Seni reka dalaman kedai yang sangat comel dan vintage menjadi sebab utama kedai miliknya popular di media sosial.
Pada mulanya abahnya bising kerana dia tidak memanfaatkan ijazah yang diterima selepas bersusah payah, tetapi selepas banyak kali dia mencuba untuk mencari pekerjaan yang berkaitan dengan seni reka dalaman dan tiada
berita gembira yang diterima, akhirnya dia berhenti mencari pekerjaan dan membuka kedai comel tersebut.
Morning, Kak D!”
Suara ceria yang menegur itu membuatkan Dian tersenyum di pagi Isnin. Terus dia terlupa tentang resah hatinya. Kelihatan kembar seiras Tuah dan Lekiu sedang membuka Pahlawan Cafe yang terletak bersebelahan dengan kedainya. Pasangan kembar ini memang suka memanggil nama orang lain dengan menggunakan satu huruf sahaja. Tuan punya Pahlawan Cafe yang bernama Luth Hannan itu juga dipanggil dengan nama ‘L’ sahaja oleh mereka berdua.
Morning, lads.” Dian tersenyum dan berjalan menghampiri mereka.
“Hari ni Red Velvet Kak D extra berkilat.” Lekiu tersengih memandang Vespa Dian yang sudah terparkir elok.
“Awal korang datang buka kafe hari ni?” soal Dian.
“Yalah, Kak D... mat salih dah cakap yang ‘the early bird gets the worm’,” balas Tuah sambil tersenyum.
Cehhhh... over betul!” Dian mencebik dan pasangan kembar ini ketawa. Sewaktu awal-awal pembukaan Pahlawan Cafe, Dianlah yang membantu untuk seni reka dalaman kafe tersebut. Bak kata Lekiu, hasil tangannya tak pernah gagal membuatkan orang jatuh cinta.
“Akak nak order apa-apa for breakfast?” soal Lekiu dan menolak pintu kaca kafe. Masih ada setengah jam lagi sebelum waktu operasi kafe.
“Akak nak order hot latte jelah. Tolong craft design cun-cun sikit ya. Tak nak bentuk love sebab bentuk love tu dah normal,” jawab Dian bersahaja. Dalam kepalanya sudah merangka idea untuk post yang pertama pada hari Isnin di Instagramnya.
“Amboi! Ni kena buat ni. Mesti Kak D nak review
dalam Instagram. Yalah, akak kan orang berpengaruh di laman sosial. Nanti bila review baik punya, lagi ramai orang nak datang Pahlawan Cafe,” balas Lekiu dan Dian ketawa senang.
“Eh, sebelum ni pun memang akak bagi good reviews untuk Pahlawan Cafe kan.”
Mereka berdua tersenyum.
“Nanti kita orang buat special delivery ke sebelah,” balas Tuah dan mereka berdua bergerak masuk ke dalam kafe. Dian pula terus ke kedainya di sebelah. Wawa, pembantu utama dia yang selalunya tiba awal sebelum pukul 9 pagi masih belum memunculkan diri.
Dian menghidupkan suis komputer dan sementara menanti Wawa, dia menangkap beberapa keping gambar set hadiah yang bertemakan peta dunia yang baru sahaja sampai 2 hari lepas. Bolehlah gambar-gambar ini dimuat naik ke laman sosial sebentar lagi. Tema World Map merupakan salah satu tema yang sedang trending sekarang.
Bunyi dentingan loceng yang menandakan pintu kedai ditolak dari luar membuatkan Dian bangun daripada tempat duduknya. Mungkin Wawa baru sampai.
“Wa...” Terus dia terhenti menyebut nama Wawa apabila seorang lelaki yang kemas dengan kemeja lengan panjang berwarna hitam dan juga seluar slek berwarna hitam sedang berdiri di hadapannya.
Berkerut-kerut dahi Dian memandang lelaki yang berpakaian kemas itu. Siapa pula ni?
“Saya Emir Zaquan, setiausaha Encik Ariq Huzair.” Pantas Emir memperkenalkan diri. Sejujurnya, dia sendiri terkejut apabila selepas subuh tadi Ariq menghubunginya. Pertanyaan Ariq tentang kedai hadiah comel ini membuatkan dia membawa Ariq ke sini. Yang peliknya, bos baharunya itu hanya duduk menunggu di kafe sebelah sementara disuruh untuk berjumpa dengan Dian. Dah macam dalam drama!
Dian terkebil-kebil memandang lelaki itu.
‘Setiausaha Ariq Huzair???’ Terus Dian teringatkan peribahasa bahasa Inggeris yang digunakan oleh Tuah sebentar tadi. Ini bukannya ‘the early bird gets the worm’ tetapi ini namanya ‘datang awal, jodoh pun datang.’
Eh, jodoh ke? Ke kahwin paksa? Dia tersenyum nipis memandang Emir yang masih berdiri tegak di hadapan pintu masuk kedai.


No comments:

Post a Comment