Wednesday, 11 April 2018

KEMBALIKAN MERAH CINTAKU - BAB 5

TERSENYUM Ava teringatkan lelaki yang bernama Haydar tadi. Kelakar pula apabila melihat tingkah ‘malu-malu’ lelaki itu saat menghantarnya pulang tadi. Tidak seperti lelaki lain yang kebanyakannya suka mengambil kesempatan terhadapnya. Teringat perbualannya bersama Haydar.
“Nama apa?”
Lelaki itu diam tanpa jawapan. Sejak dia beritahu jalan pulang ke rumahnya, lelaki itu hanya diam seribu bahasa, seolah-olah dia tidak wujud di situ.
Ava senyum, dia tahu bagaimana hendak buat lelaki itu melayannya.
“Telinga tajam you ni nampak normal, tapi takkan tak dengar soalan I.” Ava usap-usap telinga Haydar di sebelahnya.
Hampir-hampir terbabas kereta Haydar apabila gadis itu mengusap lembut telinganya. Terus dia berhentikan kereta di sisi jalan.
 “Okey, nama saya Haydar. Boleh tak cik jaga tangan tu baik-baik. Saya ni lelaki... bukan pondan, bukan kunyit. Saya masih bernafsu dengan perempuan. Kalau lebih-lebih macam ni, bukan kereta aje yang terbabas, nanti saya pun terbabas.” Haydar beri amaran. Sungguh dia tak faham ada perempuan yang perangainya begini. Memang hendak menggodanya atau sengaja menguji? Kalau tidak kuat imannya, memang dia terkam masa itu juga.
Ava ketawa halus. “Saya Ava.” Dia hulurkan tangan pada Haydar.
“Saya lelaki dan awak perempuan. Haram bersentuhan.” Haydar mengingatkan. Dia pandu semula ke jalan raya, berharap agar dapat menghantar gadis bernama Ava itu dengan segera. Lama-lama dalam keadaan begitu, dia sendiri tak percayakan diri sendiri.
“Haydar...” Pertama kali Ava menyebut nama lelaki yang buatkan dia tersenyum lebar. Mungkin lelaki macam Haydar sesuai jadi suami aku. Angannya jauh di sudut hati.
Tapi... wajah lelaki itu seakan-akan rupa Harraz. Katanya kepada diri sendiri.
AKHBAR DI tangannya dihempas kasar di atas meja. Berita yang baru dia baca buatkan dia rasa jijik.
“Kenapa?” tegur Helena yang perasan dengan perubahan wajah Ava. Helena cuma penyambut tetamu di syarikat daddynya namun Helenalah kawan baiknya, teman dia menceritakan segala masalahnya. Teman dia sama-sama gelak.
“Baca tu.” Tunjuk Ava pada satu petikan berita pendek. Helena ambil lalu dibawa ke pandangannya.36
 “Dunia sekarang ramai manusia yang sakit.” Komen Ava lagi. Helena habiskan bacaannya. Usai membaca dia tolak akhbar ke tepi.
“Setiap kali baca berita macam ni, you mesti emotional, kan?” Memang dia perasan itulah rekasi Ava apabila membaca kisah-kisah begitu.
“I peliklah Len. Ahli keluarga yang sepatutnya jadi pelindung, tapi sebaliknya diaorang yang buat jahat.” Berita yang dibacanya menceritakan tentang kisah bapa merogol anak.
Helena hanya mampu mengangguk. Benar kata Ava, dalam masyarakat yang makin moden, semakin banyak kisah begitu yang disajikan di dada-dada akhbar. Bapa merogol anak, abang merogol adik. Memang masyarakat kini makin sakit.
“Itulah yang berlaku apabila didikan agama tak cukup.”
Kata-kata Helena membuatkan Ava mengangkat wajahnya. Ya, benar kata kawannya itu, didikan agama yang tidak sempurna. Dia melihat penampilan Helena yang menyerupai pakaiannya. Didikan agama mereka pun tidak cukup. Aurat tidak ditutup sempurna, tuntutan agama langsung tidak pernah tertunai. Dia kesal dengan semua itu. Kadangkala saat memerhatikan gadis-gadis berjubah dan bertudung litup, dia rasa ingin sekali berubah. Ingin sekali menjadi perempuan Muslimah yang tahu agama. Namun dia tidak tahu dari mana hendak bermula. Hendak bertanya kepada Helena, kawannya itu juga sama sepertinya. Mereka lahir dalam keluarga yang langsung tidak memberatkan hal-hal agama.
“I nak berubah Len tapi tak ada siapa nak bimbing I,” luah Ava.
Helena tarik tangan Ava dan menggenggamnya
kemas. Ava nampak seperti perempuan yang sangat kuat namun dia tahu Ava tidak sekuat yang diperlihatkan kepada umum. Tingkah sahabatnya itu berjauhan sekali dengan hatinya. Ini bukan kali pertama dia mendengar Ava luahkan begitu, sudah banyak kali. Dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak membantu sahabatnya. Latar belakang mereka hampir sama. Dia juga ingin berubah, tetapi sejak kecil, itu sajalah dunia yang dia kenal.
Helena walau datang dari keluarga kurang berada, namun keluarganya juga kurang mempraktiskan agama. Ayah dan ibunya tak pernah solat, malah bapanya selalu saja membeli nombor ekor. Berkawan dengan Ava kerana dia rasakan yang latar belakang mereka sama walau berbeza dari segi darjat kekayaan. Dan gadis itu walau kelihatan liar dan tidak terbimbing namun sahabatnya ini tidak pernah lagi lakukan perkara yang bertentangan dengan agama. Belum pernah meniduri mana-mana lelaki. Berlagak liar, namun jarak dengan lelaki masih dijaga. Cuma kelemahan sahabatnya itu, dia tidak segan silu memegang lelaki. Tetapi bila ada lelaki hendak mencubanya, dia akan lari. Macam jinak-jinak merpati. Pendek kata, dalam liar, Ava masih pandai menjaga diri.
“Ava, orang macam kita kalau nak berubah... mungkin kena cari lelaki baik untuk dijadikan suami. Nak harapkan keluarga memang tak ada harapan kita akan berubah,” keluh Helena.
Siapa yang ada boleh membantu mereka, keluarga mereka juga jauh terpesong daripada agama. Takkan dia dan Ava tiba-tiba hendak bertudung litup sedangkan asas pun mereka tiada. Nanti dikata orang buang tabiat pula.
Tiba-tiba Ava teringatkan Haydar, lelaki yang menghantarnya pulang beberapa malam lepas. Pernah terdetik dalam hatinya, lelaki seperti Haydar mungkin calon yang sesuai. Mungkin ada juga hikmahnya dia putus dengan 38
Harraz. Mungkin ada lelaki yang lebih baik daripada Harraz untuknya. Tapi bukankah lelaki baik hanya untuk perempuan baik?
“Lelaki baik tentu nak cari perempuan baik.” Ava menung jauh.
“Kita bukan perempuan baik?”
Ava ketawa halus. Mungkin mereka bukan kategori perempuan-perempuan jahat. Namun ‘baik’ mereka masih belum cukup. Hanya perempuan baik bukan perempuan ‘baik-baik’.
“Dahlah, tak nak cakap pasal tu,” potong Ava, malas hendak memikirkan benda yang tidak pasti dan tidak mahu dia meletakkan harapan yang terlalu tinggi tentang jodohnya nanti.
“Esok I nak ke rumah Harraz, nak pulangkan semula semua barang-barang dia.”
Helena terlopong. “Bukan kata tak nak tengok muka dia lagi?” soalnya yang terkejut dengan kata-kata Ava.
Selalunya kawannya itu tidak pula hendak memanjangkan cerita begitu. Kata gadis itu nak melupakan Harraz terus, tapi kenapa perlu bertemu lagi? Nak pulangkan barang bagai.
“I bukan nak pergi bunuh malaun tu. You bercakap macamlah I nak buat jahat. I nak pulangkan ni semua.” Ava tanggalkan cincin serta gelang emas yang pernah Harraz hadiahkan kepadanya dahulu. Rasa nak saja campak dalam tong sampah sebelah meja mereka tapi itu harta Harraz dan lelaki itu tuntut semula. Masa bercinta bukan main berikan dia hadiah macam-macam. Dah putus begini, pandai pula menuntut balik.
“Dia dah bagi, you ambil ajelah.”
“Len, you ingat I nak pulangkan kalau dia tak
minta? Ini semua dia tuntut balik. Tahi hidung masin punya lelaki. Dah bagi, minta balik. I doakan siku dia buruk!” bebel Ava sehingga membuatkan Helena ketawa lucu dengan telatahnya.
“Nasib baik belum jadi suami. Kalau dah jadi suami baru tahu dia tahi hidung masin, meranalah you...” tambah Helena.
“Tahu takpe...” Kali ini Ava pula ketawa. Nasib baik nampak perangai buruk sebelum kahwin. Kalau dah kahwin baru tahu lelaki itu tangkai jering, benar kata Helena, meranalah dia.

No comments:

Post a Comment