Wednesday, 11 April 2018

KEMBALIKAN MERAH CINTAKU - BAB 6

HUJUNG minggu itu, Ava pergi ke rumah Harraz. Ini bukan kali pertama dia ke situ, sudah beberapa kali juga dia datang mengambil Harraz di hadapan banglo itu jika kereta lelaki itu bermasalah. Malah Dato’ Muktasim juga merupakan kenalan daddynya. Mereka sama-sama memiliki perniagaan sendiri dan sering bertemu dalam beberapa perjumpaan di kalangan ahli niaga. Dan perkenalan dia dengan Harraz juga bermula dari pertemuan yang tidak sengaja semasa Harraz mengambil Dato’ Muktasim pada satu pertemuan santai yang diadakan di rumahnya.
Ava genggam erat stereng kereta, berkira-kira hendak keluar dan menuju ke pintu hadapan. Rasa segan hendak masuk apabila memikirkan dia akan bertemu dengan keluarga Harraz. Lelaki itu yang menyuruh dia datang, lelaki itu mengungkit-ungkit pemberian dan memintanya memulangkan segera. Tidak betah dia lama-lama mendengar bebelan Harraz. Dasar lelaki dayus! Patutnya Harrazlah yang datang bertemunya. Ikutkan hati mahu saja dia tinggalkan barang kemas yang sudah dimasukkan dalam sampul di peti
surat namun tidak mahu melanjutkan perbalahan dengan Harraz, dia pulangkan dengan cara baik.
Ava tekan loceng pintu sejurus dia berdiri di hadapan pintu pagar besar. Hanya sekali tekan, pintu automatik itu terbuka dengan sendiri.
“Cik mahu cari siapa?” tanya pembantu rumah yang terkocoh-kocoh meluru ke pintu pagar. Dari cermin kaca dalam rumah dia sudah nampak gerangannya cuma dia harus tahu apa tujuan tetamu ini. Ramai tetamu yang datang berkunjung ke situ. Kadangkala teman Datin Nirmala, kadang-kadang kenalan Dato’ Muktasim sendiri.
“Harraz ada?”
Pembantu rumah itu mengangguk. “Jemput masuk dulu cik,” pelawanya walau belum bertanyakan tuan rumah.
Ava membuntuti pembantu rumah itu sehingga ke pintu hadapan.
“Masuk ke dalam cik.” Panggil pembantu rumah itu apabila Ava hanya berdiri di muka pintu.
“Tuan rumah tak marah?” soal Ava dalam serba salah. Pandai-pandai saja pembantu rumah ini menjemput orang asing masuk ke dalam rumah tanpa usul periksa.
“Encik Harraz ada beritahu temannya nak datang,” jawab pembantu rumah itu lagi.
Patutlah, jawab Ava dalam hati. Sejurus masuk dia dipelawa duduk oleh pembantu rumah itu.
“Minum dulu cik. Encik Harraz sedang mandi.” Segelas jus oren diletakkan di atas meja.
Ava mengangguk dan perhatikan saja langkah wanita Indonesia itu berlalu ke dapur. Dia memerhati sekeliling, sunyi. Namun begitu hiasan dalam rumah itu membuatkan dia kagum. Susunan perabot dan hiasan memukau pandangan. Barangkali hasil sentuhan tangan ibu
Harraz. Pemandangan yang berbeza sekali dengan suasana dalam banglo daddynya yang suram walaupun penuh dengan perabot mewah. Ava leka seketika sehinggalah menungannya terganggu oleh kehadiran seseorang dalam ruang yang sama. Dia baru berkira-kira hendak menegur lelaki itu namun suara Harraz sudah terlebih dahulu menyapa dari belakang lelaki itu.
“Ava...” Harraz melintasi Haydar yang juga baru turun dari tangga. Dia berjalan menuju ke arah Ava.
Ava tumpukan perhatian pada Harraz namun dia rasa terganggu dengan susuk tubuh Haydar yang turut berada di ruangan yang sama. Dia cuba fokus pada Harraz namun matanya mencari kelibat Haydar.
I believe you haven’t met my brother yet,” kata Harraz kepada Ava yang memaku pandangan pada Haydar. Tidak tahu yang sebenarnya, Ava dan abangnya sudah pun pernah berjumpa.
Mendengar saja kata-kata Harraz, Haydar menuju ke tempat yang sama. Dia labuhkan duduknya hampir dengan Harraz.
Ava, this is Haydar and Haydar this is Ava, my ex.” Perkenal Harraz dalam sekali ayat. Hendak cepat sebenarnya.
Ava terkejut. Patutlah serupa, adik-beradik rupanya... bisiknya dalam hati.
Haydar pula hanya berwajah selamba. Sudah tahu yang Ava kekasih Harraz, atau lebih tepat lagi, bekas kekasih. Seperti yang ditekankan Harraz sebentar tadi.
“I nak kembalikan ini.” Ava letak sampul berisi barangan kemas di atas meja kaca di tengah ruang. Rancangan awalnya tadi, dia ingin menembak Harraz dengan perlian dan sindiran kerana berburuk siku tapi dengan kehadiran Haydar dalam ruangan sama, lidahnya tiba-tiba kelu. Tidak sangka Haydar dan Harraz adik-beradik. Berlainan benar karakter
kedua-duanya. Patutlah kali pertama dia melihat Haydar, dia teringat akan bekas kekasihnya.
Sunyi tanpa bicara selepas memulangkan barangan Harraz, Ava liarkan mata ke sekeliling. “Papa dan mummy you tak ada?”
Harraz geleng. “I nak keluar sekejap lagi, kalau you tak kisah...” ucap Harraz sambil menilik jam di tangan. Ava angguk dan faham isyarat Harraz.
Ava bangun dan berdiri.
Nice meeting you, Haydar.” Kata Ava dalam senyuman paling manis. Entahkan kerana ikhlas ataupun dia mahu Harraz cemburu, dia sendiri tidak pasti. Namun senyuman itu berjaya membuatkan Harraz rasa sesuatu dan wajah lelaki itu tiba-tiba berubah.
AVA LABUHKAN duduknya di kerusi yang tersedia di tepi tasik itu. Hampir sejam dia berjoging untuk mengeluarkan peluh. Begitulah rutin dia setiap hujung minggu. Menghabiskan masa bersenam untuk memastikan tubuhnya sentiasa sihat.
Peluh di dahi dikesat dengan tuala kecil yang disangkut pada leher. Air mineral dalam botol kecil yang dibawa bersama, dibuka dan diteguk perlahan. Ava menyandar tubuh ke penyandar kerusi dan memerhatikan gelagat pengujung taman. Ada ibu bapa yang menemani anak-anak bermain di gelonsor, buaian dan jongkang-jongket. Ada juga pasangan kekasih yang menghabiskan masa joging bersama-sama.
Ava lemparkan pandangannya ke satu sudut hujung taman, duduknya seorang lelaki yang berpakaian santai sambil melayan telefon di tangan.
 “Haydar.” Terletus nama itu di bibirnya. Dia perhatikan lama ke arah lelaki itu.Memang itu Haydar. Kemas berT-shirt hitam dan track bottom coklat. Mungkin datang sekadar untuk ambil udara segar. Tak sangka pula bertemu lelaki itu di sini. Dia selalu berjoging di kawasan itu namun tidak pernah bertembung. Atau sebelum ini pernah bertembung tapi dia tidak perasan.
Mata Ava terpaku lama kepada lelaki itu. Semakin hari, Haydar semakin menarik perhatiannya. Entah kenapa, hatinya rasa teruja hendak kenal lanjut dengan abang Harraz.
Lelaki itu tidak sedar dengan kehadirannya di taman yang sama. Leka Ava perhatikan Haydar dari jauh sehinggalah dilihatnya lelaki itu bangun dan menghampiri dua orang kanak-kanak kecil yang sedang berdiri di sebelah motor penjual ais krim. Salah seorang daripada kanak-kanak itu sedang menangis tetapi sejurus Haydar mendekat, lelaki itu membongkok dan bercakap sesuatu dan kanak-kanak itu berhenti menangis. Dilihatnya penjual ais krim memberi dua batang ais krim kepada kanak-kanak tadi dan Haydar pula sudah mengeluarkan dompetnya untuk menjelaskan bayaran.
Dari jauh Ava tersenyum. Baik, bisiknya dalam hati. Tak tahu apa yang berlaku tapi yang pasti, Haydar memujuk kedua beradik itu dan belanja ais krim untuk mereka.
HAYDAR LABUHKAN semula duduknya di kerusi. Gembira melihat senyuman pada bibir dua kanak-kanak itu. Tadi semasa terdengar perbualan dua beradik itu, dia rasa kasihan pula. Si adik mahukan ais krim tapi abangnya tiada duit. Jadi dia belikan untuk kedua-duanya. Situasi itu mengingatkan dia kepada satu peristiwa masa dia berusia 9 tahun, saat dia berebut ais krim dengan Harraz.
Haydar berlari masuk ke dalam rumah. Dia terus menuju ke peti sejuk, membuka dan mengambil ais krim yang hanya berbaki satu dalam simpanan. Selepas melihat anak jiran sebelah menjilat ais krim yang dibeli daripada penjual ais krim yang lalu di hadapan rumah tadi, dia rasa terliur nak makan ais krim.
“Aku punya, kau jangan ambil!” jerit Harraz sejurus Haydar buang sampul ais krim ke dalam tong sampah.
“Kau dah makan banyak, aku baru nak makan. Papa pesan suruh makan sama-sama,” balas Haydar yang tidak mengendahkan kata-kata Harraz.
“Tak boleh, tu aku punya...” Harraz dah mula mengamuk. Dia rebahkan badan ke lantai dan meronta-ronta.
Haydar tidak mengendahkan Harraz sebaliknya fokusnya hanya pada ais krim di tangan. Dia baru hendak menjilat namun...
Pang!!! Pipinya ditampar kuat. Ais krim di tangannya dirampas.
“Berapa kali aku beritahu kau, jangan ambil barang sesuka hati!” jerkah ibu tirinya kuat. Jerkahan yang membuatkan Haydar ketakutan. Pipinya terasa perit ditampar. Air matanya terasa ingin mengalir deras namun dia keraskan hati kerana dia tahu, ibu tirinya pasti tidak suka kalau dia menangis di situ. Ibu tirinya sudah banyak kali mengingatkan, jangan menangis di hadapannya.
Ais krim yang dirampas dari tangannya diserahkan kepada Harraz yang sedang menangis dan mengamuk di lantai. Sejurus ais krim bertukar tangan, Harraz tersenyum puas. Terus berhenti menangis dan menunjukkan isyarat ibu jari kepada Haydar. Padan muka! Dapat dia baca gerak bibir Harraz.
Haydar rasa ingin menangis. Sedih bercampur kecewa. Kenapa sampai hati ibu tirinya buat dia begitu? Dia
tahu Harraz bukan mahukan ais krim di tangannya, cuma adik lelakinya itu dengki kepadanya. Buktinya, sejurus ibu tinggalkan mereka, Harraz membuang ais krim itu ke dalam tong sampah. Betapa hancur luluh perasaannya kerana dia sangat teringin nak makan ais krim yang hanya berbaki satu dalam peti sejuk. Dia baru nak merasa kerana baki yang sebelumnya Harraz sudah makan sampai habis.
Memori itu kuat melekat dalam kepalanya sehingga kini. Haydar masih ingat. Pada hari itu, dia menghabiskan masa menangis di dalam bilik hanya kerana tidak dapat makan ais krim!

No comments:

Post a Comment